71

Romance Series 93217

Aayra terus berjalan menyusuri anak sungai itu bersama deraian air mata. Tubuhnya mula terasa letih. Apatah lagi dengan kesakitan yang ditanggungnya membuatkan langkahnya menjadi semakin perlahan. Puas dia mencari kelibat Harraz, namun tidak juga ditemui. Aayra mula dihimpit perasaan takut. Ditambah pula dengan cuaca yang semakin gelap. Jika dia tidak keluar dari sini dengan kadar yang segera, pasti dirinya akan terperangkap di dalam hutan ini semalaman. Tapi bagaimana caranya lagi untuk dia menyelamatkan diri? Kudratnya sudah tidak kuat. Akhirnya Aayra terduduk di atas sebuah batu bersama tangisan yang tiada henti.

“Abang.. Abang di mana? Jangan tinggalkan sayang sendirian macam ni, abang. Sayang takut." Rayu Aayra sebak.

Lama Aayra berkeadaan begitu. Menangisi nasib yang menimpa dirinya. Aayra lelah. Dia tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk dia mencari jalan keluar dari hutan ini. Sepanjang perjalanannya tadi tiada sebiji rumah pun yang ditemuinya. Apakah dia akan terperangkap di sini untuk tempoh yang lama? Memikirkan hal itu membuatkan tangisan Aayra semakin kuat berkumandang.

“Sayang.."

Entah dari mana datangnya suara itu tidak pula Aayra ketahui. Namun dia yakin pemilik suara itu adalah milik suaminya sendiri. Aayra pantas mengangkat wajahnya lalu pemilik suara itu dicari. Tiba - tiba matanya tertancap ke arah satu susuk tubuh yang berlumuran darah yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Ya! Lelaki itu adalah suaminya. Aayra sangat yakin dan pasti.

“Abang!! Ya Allah syukur alhamdulillah!! Akhirnya kita bertemu. Puas sayang cari abang sejak tadi. Abang tolong jangan tinggalkan sayang macam ni lagi. Sayang takut sorang - sorang dalam hutan macam ni." Rayu Aayra buat sekian kalinya. Langkahnya semakin laju mendekati Harraz. Namun semakin dia cuba untuk mendekati suaminya itu, semakin jauh lelaki itu pergi meninggalkannya.

“Abang!! Abang nak pergi mana tu? Abang tunggulah sayang. Sayang nak ikut. Abang!! Janganlah buat sayang macam ni. Sayang takut. Abangg, abang dengar tak sayang panggil ni?" Laung Aayra dengan sekuat hati.

Langkah Harraz semakin laju meninggalkannya dirinya sendirian di belakang. Malah tidak sedikit pun lelaki itu menoleh ke arahnya. Sampai di suatu tempat tiba - tiba bayangan Harraz terus hilang dari pandangan matanya.

“Abanggggg!!!" Jerit Aayra sekaligus menyedarkan dirinya dari koma.

“Allahuakhbar!! Adik! Adik dah sedar? Syukur alhamdulillah! Adik tunggu di sini kejap ok? Abang panggilkan doktor." Ujar Aayril dengan riak yang teruja.

Beberapa minit kemudian Aayril muncul kembali bersama - sama doktor dan jururawat di belakangnya. Dia membiarkan doktor dan jururawat itu memeriksa keadaan diri Aayra buat seketika. Sementara menantikan hasil laporan doktor, Aayril segera menghubungi keluarganya untuk mengkhabarkan berita gembira itu. Sudah lama mereka menantikan detik - detik gembira seperti ini. Manakan tidak, sudah hampir sebulan Aayra koma tidak sedarkan diri. Malah dalam tempoh sebulan ini jugalah hospital ini telah dijadikan seperti rumah kedua buat mereka sekeluarga. Hampir setiap hari mereka silih berganti menjaga Aayra di hospital. Tidak sedikit pun mereka sanggup untuk membiarkan Aayra keseorangan di sini.

“Alhamdulillah syukur, Encik Aayril. Nampaknya keadaan Puan Aayra sudah mula menunjukkan tindak balas yang positif. Malah Puan Aayra juga sudah dapat mengingat kembali hampir semua kejadian yang menimpa dirinya semasa kemalangan itu terjadi. Ini beerti kondisi Puan Aayra benar - benar berada di dalam keadaan yang sangat baik. In Shaa Allah, dalam sehari dua lagi, pasti Puan Aayra akan pulih sepenuhnya. In shaa Allah, sama - samalah kita berdoa kepada Allah agar segalanya dipermudahkan olehNya." Ujar Doktor Mukhlis selaku doktor pakar yang mengendalikan kes Aayra.

“Alhamdulillah! Terima kasih Ya Allah! Terima kasih doktor." Ucap Aayril sekali gus memeluk tubuh doktor muda itu dengan penuh teruja.

*******************************************

Aayra tidak dapat menghabiskan makanannya dek kerana tekaknya yang masih terasa perit. Malah, kepalanya juga masih terasa pening. Namun segala kesakitan itu ditolak ke tepi demi mencari sebuah jawapan.

“Abang, macam mana dengan keadaan Harraz? Dia ok kan? Harraz dekat mana abang? Kenapa dia takde dekat sini sekali? Adik nak jumpa Harraz, abang." Soal Aayra bertalu - talu.

Aayril dilihat menarik nafas panjang sebelum dihela perlahan - lahan. Mangkuk yang berisi bubur ayam itu diletak kembali di atas rak yang disediakan. Wajah Aayra dipandang sayu. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menjelaskan kepada Aayra. Bibirnya bagaikan terkunci. Namun suka atau tidak, dia terpaksa jua menceritakan segala - galanya kepada Aayra.

“Abang harap adik tenang lepas dengar apa yang abang nak beritahu selepas ni. Serahkan segala - galanya kepada Allah ye?" Ujar Aayril dengan nada yang sayu.

“Apa maksud abang ni? Apa yang dah jadi dengan Harraz sebenarnya? Suami adik ok kan abang? Dia baik - baik aje kan abang? Cakaplah abang!! Janganlah buat adik tertunggu - tunggu macam ni. Adik nak jumpa Harraz. Adik nak jumpa suami adik. Mana dia abang?" Kali ini nada Aayra sudah semakin tinggi dan memaksa.

“Sabar adik. Bawa - bawa mengucap. Istighfar banyak - banyak." Pujuk Aayril lagi.

“Macam mana adik nak bersabar kalau adik sendiri tak tahu apa yang dah terjadi dengan Harraz? Selagi adik tak tengok dia dengan mata adik sendiri, adik tak boleh tenang abang. Tolonglah abang. Bawa adik jumpa Harraz. Adik rindu dia abang." Rayu Aayra sebak.

“Adik, Harraz sekarang berada di ICU. Dah sebulan Harraz ditempatkan di situ. Keadaan dia sangat - sangat kritikal. Sampai sekarang dia masih belum sedar. Selepas dari kemalangan tu, korang berdua sama - sama koma. Macam - macam usaha yang doktor lakukan untuk korang berdua. Tapi keadaan masih juga sama. Cuma bezanya situasi yang adik lalui tidaklah terlalu rumit seperti yang dihadapi Harraz saat ini. Jadi nasihat abang, biarlah Harraz berehat di sana dulu. Nanti bila keadaan dia dah stabil, abang bawak adik jumpa Harraz ok?” Aayril bersuara akhirnya.

“Ya Allah!! Allahuakhbar!! Abang tolong bawa adik jumpa Harraz sekarang. Adik nak tengok keadaan dia. Tolong abang. Tolonglah adik. Adik rayu sangat - sangat." Aayra mula menangis teresak - esak. Jarum di tangannya mahu segera ditanggalkan dan Aayra mula berura - ura mahu turun dari katilnya. Namun tindakannya itu pantas dihalang Aayril.

“Adik, sabar dulu sayang. Keadaan adik pun masih lemah lagi ni. Adik rehat dulu ok? Abang janji bila adik dah kuat sikit, abang bawa adik jumpa Harraz. Sekarang adik rest dulu ok?" Aayril cuba menenangkan Aayra.

“Tenang abang cakap? Macam mana adik nak tenang kalau suami adik tengah bertarung nyawa dalam ICU tu? Adik nak jumpa dia abang!! Takpe kalau abang tak nak bawa adik jumpa Harraz, adik boleh pergi sendiri. Ke tepi! Lepaskan adik!" Jerit Aayra kuat.

Aayril panik. Namun sepantas kilat dia menarik tubuh Aayra ke dalam dakapannya. Tubuh Aayra dipeluk dengan sekuat mungkin. Melihatkan tindakan Aayril, Aayra cuba meronta - ronta bagi melepaskan diri. Namun apalah dayanya untuk melawan kudrat lelaki Aayril. Tenaga Aayril lebih kuat dari tenaganya yang masih lemah itu. Akhirnya Aayra menyerah kalah. Dia sudah tidak mampu untuk melawan lagi. Perlahan - lahan Aayra duduk di birai katil bersama deraian air mata.

“Maafkan abang, adik. Bukan niat abang nak halang adik dari jumpa Harraz. Cuma keadaan adik masih belum mengizinkannya. Tapi abang janji once adik dah betul - betul sihat nanti, abang akan bawa adik jumpa Harraz ok?" Janji Aayril kepada Aayra.

Aayra diam tidak berkutik. Air matanya masih laju mengalir membasahi pipi. Tiba - tiba fikirannya kembali terbayangkan mimpi yang menghantui dirinya sebentar tadi. Mengingatkan mimpi itu, Aayra kembali diulit perasaan takut. Berkali - kali dia menggeleng kepala sambil menutup mukanya. Melihatkan situasi itu, Aayril kembali menghampiri Aayra.

“Ya Allah!! Adik, kenapa ni?? Bawa mengucap adik! Istighfar banyak - banyak. Ingat Allah. Jangan takut, sayang. Abang ada di sini." Pujuk Aayril cuba menenangkan adik kesayangannya. Keadaan panik itu tidak berlarutan lama setelah Aayra kembali berada di dalam pelukan Aayril.

Aayra dilihat menarik nafas panjang sebelum berbaring di atas katil. Setelah keadaan kembali tenang, Aayra mula menceritakan mengenai mimpinya kepada Aayril. Air mata masih menjadi peneman setianya sepanjang proses penceritaan. Sesekali Aayril mengusap - usap kepala Aayra bagi menenangkan hati adiknya yang dalam keresahan itu.

“Adik, jangan menangis lagi sayang. Itu semua kan hanya mimpi je. Mimpi tu kan mainan tidur? In shaa Allah, Harraz akan sihat sepenuhnya. Sama - sama kita berdoa semoga Allah berikan kesembuhan kepada Harraz seperti sedia kala ok? Yang penting sekarang adik kena banyak berehat. Jangan fikir yang bukan - bukan lagi ok? Dah rehatlah. Kalau adik nak apa - apa, bagitahu je abang." Pujuk Aayril lagi tanpa jemu.

Aayra mengangguk perlahan. Air mata yang masih bersisa di tubir matanya juga dikesat perlahan. Jauh disudut hati, Aayra berdoa semoga akan ada keajaiban yang berlaku sebaik dia bangun dari tidurnya kelak. Mana mungkin Aayra sanggup mengharungi hidup ini tanpa suami tercinta di sisi. Bagi Aayra, Harraz adalah segala - galanya buat dirinya. Tanpa Harraz di sisi bagaikan sebuah rumah yang tiada tiang. Lagi pula anak - anak mereka masih kecil.
Nuffan dan Nufael masih memerlukan kasih sayang dan perhatian dari mereka. Jadi wajarlah dia begitu mengharapkan kesembuhan buat suaminya itu. Semoga doa - doanya itu mampu didengari oleh Allah SWT. Itulah harapan dan doa Aayra sebelum dia memejamkan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience