Surya : Bab 16
Adila masih teresak melihat keadaan Surya. Sudah hilang ingatan. Seminggu dia hilang sejak peristiwa malam itu, Surya juga banyak berubah menjadi lebih pendiam dan agak cengkung. "Dia tak makan ke mak cik?" Tanya Salwa, bimbang.
"Makan. Tapi sesuap dua, sudah. Ini pun lepas dia mimpi berulang-ulang dua tiga hari ni. Lepas tu dia banyak kali meracau."
"Mimpi?" Rizal yang tidak jauh dari mereka menyampuk sedikit. Kemudian, bergerak ke arah Mak Salima. Haji Latiff cuma melihat.
Mak Salima bercerita mengenai mimpi Surya itu. Satu persatu seumpama apa yang Surya beritahunya. Ketika itu dahi Rizal berkerut dan wajahnya gelisah. Dia sekali sekala melihat ke arah bilik Surya yang sedikit terbuka dan melihat semula ke arah Mak Salima. 'Sama dengan mimpi aku. Cuma lain posisi.' Ujar benak hatinya. "Sama dengan mimpi saya. Cuma saya jadi penolong. Mimpi saya pun berulang." Luah Rizal.
Mak Salima cuma mampu berkerut dahi. Tidak sangka ada yang peroleh petanda juga. "Barangkali ianya petanda."
"Mungkin juga. Wallahu a'lam. Mimpi tu makin lama makin menakutkan sebab Surya seakan semakin lemas..."
"Kita kena lekas." Haji Latiff bagai mentafsir mimpi yang didengarinya.
"Hahahhahaha." Suara garau muncul dari bilik Surya. "Aku tak boleh tunggu lagi. Aku perlukan pewaris!" Melopong penghuni rumah itu. Haron yang berteleku di pintu bilik Surya pun seakan kaku melihat Surya. Terapung.
"Ahh... Gadis ini aku punya! Aku suka dia!" Suara lain muncul melalui mulut Surya. Kali ini suara sedikit serak. Tapi masih kuat bergema. Mata Surya terbeliak menunjukkan mata putihnya. Dua makhluk itu bagaikan tidak mengendahkan yang lain. Mereka cuma mahukan 'hak' mereka.
Ketika itu, Adila dan Salwa dibawa keluar cuma Rizal, Haji Latiff dan Encik Basri sahaja di dalam bilik. Mulut mereka bertiga terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci dan tiba-tiba Surya merjerit keras. Bingit suaranya didengari. Memecahkan sunyi kampung itu ketika itu.
Surya turun ke lantai. Dengan pantas juga kakinya menjejak lalu mengubah posisi merangkak. Matanya dijengkilkan. Memandang tajam setiap orang yang ada di dalam bilik. Matanya beralih ke luar. Dia mencari sesuatu.
Bagaikan pelesit, Surya sudah ada di luar. Tapi kakinya berjaya di tangkap Haji Latiff. Ketika itu juga Surya memusingkan tubuh dan menendang Haji Latiff. Tidak teruk, kerana dapat ditepis. Tapi lengan Haji Latiff kebiruan lebam.
Di pintu rumah Adhwa dan Nadzri menjaga. Kekuda sudah dibuka sebagai persediaan. Manakala di pintu dapur Pak Daud menjaga. Kemudian, empat lelaki menjaga sudut ruang tamu apabila Surya merangkak ke ruang tamu. Azan dilaung dan Surya menggelupur.
Ketika Adhwa, Nadzri, Rizal dan Encik Basri ingin memegang Surya, sepantas kilat Surya bangkit dan menendang mereka. Kali ini Surya terapung di udara. Matanya membuntang lagi.
"Aku suka dia! Tiada siapa mampu menghalang!"
Satu bunyi nyaring muncul dan segala isi ruang tamu berterbangan secara rawak dan satu letupan berlaku di dalam rumah.
Surya hilang.
Share this novel