BUNYI bising di luar biliknya mengejutkannya daripada tidur. Memandangkan hari ini hari Ahad dan hari cuti, selepas solat subuh tadi, dia terus tidur semula kerana dia berniat untuk bangun lewat pada hari ini.
Dia berusaha memekakkan telinga dan menarik selimut menutupi seluruh tubuh termasuk kepalanya, namun bunyi ketukan kuat yang bertubi-tubi tanpa henti di pintu biliknya membuatkan dia terpaksa beralah. Dengan perasaan geram, dia bangkit juga untuk membuka pintu.
"Masih hidup lagi rupanya! Ingatkan dah mati tadi! Masa-masa macam ni masih nak membuta lagi?! Kau tu perempuan, sepatutnya kerja kat dapur! Bukan sibuk nak jadi jantan!" Herdikan dengan satu nafas terus menyapa kasar di gegendang telinganya sebaik sahaja dia membuka pintu.
Syaira mengerling sekilas ke arah jam kecil di dinding bilik yang menunjukkan pukul 7.00 pagi. Dia buat-buat tidak peduli dengan kata-kata Puan Alimah. Ada sahaja ayat penambah perisa ibu tirinya itu untuk menyakitkan hatinya, namun dia selalunya akan buat-buat tidak dengar.
Wajah Puan Alimah dipandang dengan lagak bersahaja menanti apa sebenarnya yang ibu tirinya itu hendak katakan. Sesekali dia menutup mulutnya yang menguap dengan kepalanya yang disandarkan di tepi pintu.
"Siapa punya motor kat luar tu?! Kau bawa balik jantan ke semalam?!" tengkingnya dengan mata yang dijegilkan sambil bercekak pinggang.
Eih! Nasib baiklah kau orang tua, Mak Lampir! Kalau tak, dah lama aku back hand mulut tu!" marahnya dalam hati.
Dia sudah lama hilang hormat terhadap wanita tua itu. Wajar atau tidak, dia tidak peduli. Hatinya sudah lama memberontak. Dia bukanlah seperti watak anak tiri dalam sinetron Ratapan Anak Tiri yang akan membiarkan dirinya tertindas. Memang tidak.
Syaira terus menolak luas-luas pintu biliknya supaya seluruh ruangan dalam bilik kecil yang berkeluasan lapan kaki persegi itu boleh dilihat jelas.
Encik Radin yang baru keluar dari dapur, berhenti di depan bilik Syaira dan memanjangkan lehernya untuk melihat ke dalam tanpa berkata apa-apa. Sudah beberapa minggu mereka tidak bercakap kerana dia masih terkilan dengan anak tunggalnya atas apa yang berlaku pada malam tiga minggu lepas.
"Tu motosikal Ira lah mak," jawabnya tenang walaupun dia sebenarnya merasa geram di tuduh sembarangan.
"Mesti dia curi tu mak!" Elena menyampuk sambil memegang bahu ibunya.
"Sejak bila pula kau ada duit nak beli motosikal? Kau curi kan?!" tukas Puan Alimah.
Syaira memandang ayahnya yang turut memandangnya. Mungkin sedang memikirkan persoalan yang sama seperti dua beranak itu dan turut menantikan jawapannya.
"Abang Dol tolak murah kat Ira. Bukannya bayar cash. Ansur-ansur bayar. Kalau tak percaya, pergilah tanya sendiri," jawabnya lalu melepaskan keluhan.
Ketiga-tiga mereka terdiam. Elena mencebik tidak berpuas hati dan Encik Radin pula terus melangkah menuju ke pintu utama kerana hendak turun bekerja.
Baru sahaja Syaira hendak menutup pintu bilik kerana hendak menyambung semula tidurnya, Puan Alimah menendang bahagian bawah pintu dengan kasar sehingga pintu terkuak laju dengan kelajuan 50 kilometer per jam. Mujur sahaja Syaira sempat mengelak, kalau tidak, mahu kemek hidungnya terkena pintu.
"Kau jangan nak tidur balik! Pergi siapkan sarapan!" tempelak Puan Alimah.
Syaira melepaskan keluhan kecil. Renungan tajam Puan Alimah dibalasnya dengan pandangan kosong, namun pandangan itulah yang paling menyakitkan hati dua beranak itu, kerana mereka sebenarnya mengharapkan reaksi ketakutan di wajahnya. Kalau dulu, ya. Tetapi sekarang, dia bukan lagi dirinya yang tiga tahun lepas. Dia tidak akan membenarkan lagi dirinya dipijak-pijak.
Syaira lantas berpaling menuju ke tepi katilnya dan mencapai kunci motosikal di atas meja serta beg silangnya yang bersangkut lalu menuju ke almari dan menyumbat satu set pakaian ke dalam begnya kemudian dia terus keluar dari bilik melepasi dua beranak itu.
"Suruhlah Lena masak. Confirm sedap dia masak mengalahkan Chef Ammar," perlinya ketika dia sudah beberapa langkah menjauhi dua beranak itu tanpa memandang ke arah mereka. Dia hanya berjalan lurus menuju ke pintu utama.
"Tak guna punya budak! Kau kurang ajar dengan aku ya! Kau tengoklah apa aku buat kau balik nanti!" Puan Alimah bertempik nyaring kerana terlalu sakit hati.
Lantak kaulah Mak Lampir! kutuknya dalam hati sambil menyarung kasut di kakinya.
- - - - - - - -
"Seriuslah? Kau datang sini sebab nak tumpang bilik air je?" Aidil yang sedang berdiri di pagar kaki lima rumahnya menyoal dengan mata terbuka luas sambil memandang Syaira dari atas sampai ke bawah dengan pandangan tidak percaya.
Sejak kecil, Syaira memang sudah biasa dan rapat dengan ahli keluarga Aidil, sebab itu dia tidak rasa segan dengan mereka.
"Haah. Tak sempat kat rumah tadi. Tak pasal-pasal kena beli berus gigi baru dengan sabun. Ubat gigi aku tak beli. Minta yang kau sikit boleh?"
"Boleh je. Apa kes? Gaduh dengan mak tiri kau eh? Ke gaduh dengan si mulut katak tu?" soal Aidil.
"Hm, Mak Lampir tu lah, awal-awal pagi dah bising-bising pasal motosikal ni. Dia tuduh aku curi," jawab Syaira sambil membuka ikatan tali keledar berjenama MS88 yang Aidil berikan padanya itu.
"Siapa ada kat dalam? Kalau takde orang selain kau, aku tak jadilah masuk," kata Syaira yang masih duduk di atas motosikalnya. Matahari sudah mulai naik, namun pancaran cahayanya masih lemah terasa memancar di kulit.
"Masuk je lah. Kalau kita berdua je pun takde masalah juga, sebab kalau jiran-jiran tengok dari jauh, orang nampak macam jantan dengan jantan je," balas Aidil sambil menahan tawa.
"Mulut tu kan! Aku hempuk juga dengan helmet ni. Dahlah aku dah memang bengang dari rumah tadi. Sini pun sama! Aku pergi ke tandas awam kat pasar je lah kalau macam ni," rajuknya lalu mencapai semula topi keledar yang disangkutkan di cermin sisi motosikal tadi.
"Laa, merajuk ke? Aku gurau je lah. Jomlah masuk. Ada mak dengan adik-adik aku kat dalam tu. Kau janganlah buat muka macam tu. Takutlah!" kata Aidil lalu tersengih.
"Tahu takut!" Syaira menjeling sambil mencebikkan bibir.
"Memang aku takut. Aku takut aku makin jatuh cinta kat kau, sebab kalau kau marah kan, aura kecantikan dan kecomelan kau semakin menyerlah," balas Aidil lalu berlari masuk ke dalam rumah sambil ketawa mengekek.
"Ira, jom sarapan." Mak Midah memanggil sebaik sahaja Syaira keluar dari bilik air yang terletak di bahagian hujung dapur.
"Tak laparlah mak cik," balas Syaira sambil menghampiri meja makan dan memandang ke arah nasi goreng kampung berlaukkan telur mata di atas meja.
"Ira dah sarapan ke kat rumah tadi?" Mak Midah menyoal sambil mencedokkan nasi goreng ke dalam pinggan untuk Aswad iaitu adik bongsu Aidil yang baru berusia 11 tahun.
"Belum, tapi ira tak lapar. Nak Milo je," jawabnya lalu menarik kerusi dan duduk berdepan dengan Aidil dan seorang lagi adik lelaki Aidil, Amzar yang berumur 17 tahun.
Seusai bersarapan, Syaira membantu Mak Midah mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk.
"Mak tiri Ira masih garang lagi ke dengan Ira?" tiba-tiba Mak Midah menyoal.
"Hmmm, macam tu juga mak cik. Nak tunggu dia baik dengan Ira, sampai kiamat pun tak akanlah," jawab Syaira sambil menyusun pinggan mangkuk ke dalam rak piring.
Mak Midah mengeluh kecil. Sisi wajah Syaira dipandang dengan perasaan simpati. Ringan rasa mulutnya hendak memberitahu Syaira tentang ibu kandungnya, tetapi dia sudah berjanji dengan Encik Radin untuk menyimpan rahsia itu ketika Encik Radin meminta bantuannya untuk menjaga Syaira sejak lahir sehingga dia berumur dua tahun setiap kali dia keluar bekerja.
Syaira pula tidak pernah tahu Mak Midah pernah menjaganya ketika bayi kerana tiada sesiapa yang memberitahunya. Sengaja mereka menutup mulut kerana tidak mahu Syaira bertanya mengenai ibu kandungnya.
Selesai menyusun pinggan mangkuk, Syaira duduk semula di atas kerusi meja makan sambil memerhati Mak Midah melakukan kerjanya.
"Sabar je lah Ira. Kalau Ira stress kat rumah masa-masa cuti macam ni, Ira datang je sini. Ni pun dah lama Ira tak datang sini," kata Mak Midah sambil mengelap permukaan meja makan.
"Tinggal terus pun boleh. Aidil kahwin dengan Ira boleh kan, mak?" kata Aidil yang tiba-tiba muncul masuk ke dapur untuk mengambil air putih. Bibirnya menyungging senyuman nakal.
"Tengok tu mak cik. Asyik itu je si Dil to pagal hai ni cakap." Syaira mengadu sambil menjeling Aidil.
"Mak cik okey je, asalkan dah mampu bertanggungjawab, bolehlah tu. Tambah meriah rumah mak cik," balas Mak Midah sengaja memeriahkan lagi sesi menyakat.
"Lah! Mak cik pun sama. Ira dah anggap keluarga mak cik ni dah macam keluarga kandung Ira dah," ujarnya sambil memuncungkan bibir.
"Kau ni Dil! Aku anggap kita ni macam adik-beradik je tau!" ujarnya lagi sambil memandang Aidil dengan ekor mata.
"Mak, kesian anak mak ni, cinta tak berbalas," kata Aidil lalu ketawa disusuli oleh Mak Midah.
Syaira menjulingkan mata sambil menjelirkan lidah ke arah Aidil membuatkan Mak Midah dan Aidil ketawa geli hati.
"Jom duduk kat bawah pokok." Aidil mengajak.
"Jom! Mak cik, Ira pergi ke depan dulu ye mak cik," kata Syaira meminta diri.
"Ye lah." balas Mak Midah sambil memerhati Syaira dari belakang.
Syaira dilihatnya membesar semakin cantik. Wajah cantik gabungan daripada genetik ayah dan ibu kandungnya jelas terserlah, tetapi wajahnya lebih seiras dengan wajah ibunya.
"Apa plan kau lepas ni? Kita pergi bandar nak?" cadang Aidil.
"Banyak duit kau! Aku nak berjimatlah. Nanti kan turun bandar, macam-macam pula terbeli. Kau faham tak? Ter..beli." Syaira menekankan perkataan di ayat terakhir.
"Setakat barang keperluan, abang boleh payunglah. Ira kan tanggungjawab abang," kata Aidil sambil memandang ke arah lain dengan hidung kembang-kempis dan bibir diketap menahan tawa. Dia tahu Syaira sedang mencerlungnya.
Dubb!
"Aduh!" Aidil segera berdiri lalu menggosok bahunya sambil menyeringai kesakitan. Wajah serius Syaira di pandang sambil ketawa. Ketawa dalam kesakitan.
"Kau ni tak habis-habis lagi kan? Nak lagi?" soal Syaira sambil mengangkat penumbuk.
"Boleh juga. Kat sini," jawab Aidil sambil menepuk-nepuk dada dan mendepakan kedua-dua tangannya.
"Mencabar nampak. Takpe, takpe. Lain kali okey? Ni kalau aku tumbuk dada kau terus pengsan, nanti mak cik marah pula," balas Syaira lalu berpaling ke belakang memandang ke arah rumah untuk melihat jika Mak Midah ada di luar.
"Aku tahu kau sayang aku," ujar Aidil dengan senyuman lalu duduk semula di sebelah Syaira di atas pangkin kecil di bawah pokok asam jawa.
"Jadi nak pergi ke tak ni? Jomlah, aku serius ni. Aku belanja." Aidil masih cuba memujuk.
"Tak naklah menyusahkan orang." Syaira menolak.
Tiba-tiba telefon Aidil yang dia letakkan di dalam bakul raga motosikal Syaira berdering. Dengan pantas dia berdiri dan menjawab panggilan.
"Hello, assalamualaikum Bang Dol." Aidil memberi salam.
"Kenapa Abang Dol call?" Syaira menyoal sebaik sahaja Aidil menamatkan talian.
"Kita kena turun ke bandar juga, tapi ke bengkel. Urgent," jawab Aidil.
"Apa yang urgent?" soal Syaira lagi.
"Kau ingat tak motosikal yang kena hantar guna truck 4x4 kelmarin tu?" Aidil membalas dengan soalan.
"Oh, yang Kawasaki Ninja ZX-10R tu?"
Aidil mengangguk.
"Aduh! Dahlah hari Ahad je waktu boleh santai-santai. Kacaulah! Ni yang aku malas kalau orang kaya sibuk nak hantar motor kat bengkel Abang Dol. Mesti nak cepat. Macamlah motor diorang tu je satu-satunya yang ada kat bengkel tu," bebel Syaira dengan kerutan di dahi. Geram.
Aidil hanya tersenyum mendengar bebelan Syaira.
"Dah, jomlah! Kita singgah rumah Abang Dol dulu ambil kunci bengkel. Sekejap je tu kalau kita buat sama-sama. Kena ganti ekzos dengan absorber depan je. Tak sampai sejam pun, lepas tu Abang Dol suruh tunggu sebab tengahari orang tu datang ambil. Mahal weh Abang Dol bagi upah untuk motor tu. Sebab tulah yang urgent tu yang best, sebab orang sanggup bayar lebih. Aku pergi ambil kunci motor dengan helmet jap," ujar Aidil lalu berdiri dan masuk ke dalam rumah batu sederhana besar itu.
- - - - - - - -
"Dil! Mana orang tu? Dah dekat pukul 2:00 petang dah ni. Aku dahlah lapar. Aku malaslah orang yang tak menepati masa ni," rungut Syaira yang sedang duduk di atas motosikalnya.
"Manalah aku tahu. Abang Dol cakap tunggu je. Memang laparlah kalau takde sarapan. Aku keluar kejaplah belikan kau makanan. Nanti pengsan lagi. Kau nak makan apa?" Aidil yang duduk di atas bangku kayu kecil terus berdiri dan memandang wajah Syaira menanti jawapan.
"Mana-mana je lah. Aku tak memilih," balas Syaira.
"Okey! Sayang tunggu tau," kata Aidil lalu menghidupkan enjin motosikal Honda EX5 nya itu sambil tersenyum.
"Sayang kepala hotak kau!" ujar Syaira sambil menjegilkan mata dan Aidil hanya mampu ketawa melihat Syaira.
Dua minit selepas Aidil keluar, sebuah kereta Audi RS6 Avant bercermin gelap berhenti tepat di depan bengkel. Kereta yang sememangnya dikenali olehnya. Syaira berpaling dan hanya memandang sekilas ke arah kereta itu.
"Aduh! Masa Aidil takdelah pula si kambing ni datang!" bentaknya dalam hati, namun dia masih kekal duduk di atas motosikalnya membelakangi kereta itu.
"Weh! Motosikal tu dah siap ke belum?" Pemilik suara itu menyoal kasar.
"Masih tak reti bagi salam lagi rupanya si kambing ni!" cemuhnya dengan nada suara perlahan, tetapi cukup jelas untuk didengar. Syaira turun dari motosikalnya dan melangkah dengan langkah malas menghampiri lelaki itu.
"Mulut kau terbakar ke kalau bagi salam? Tak reti-reti lagi nak bagi salam?" marahnya.
"Hish! Minah baran ni! Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!" Hah! Ambik kau! bisik Rizuan dalam hati.
"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh! Pandai pun kambing bagi salam!" jawab Syaira sambil merenung wajah ketat lelaki itu. Motor Ninja tu, dia punya ke? getus hati Syaira.
"Ninja ZX tu ke?" Syaira menyoal.
"Ya. Bos korang tak bagitahu ke? Ke otak kau tak mampu hadam arahan kalau hari Ahad?" balasnya lalu ketawa kecil sambil memandang ke arah lain.
"Kau sengaja kan kacau orang cuti?!" Syaira menjegilkan matanya memandang Rizuan.
"Sengaja kepala kau berjambul! Aku nak guna ride petang ni lah!" balas Rizuan lalu menghampiri motosikalnya yang berada di bahagian dalam bengkel dan membeleknya.
"Yang berjambul tu otak kau! Dah tahu nak guna hari ini, hantarlah awal-awal! Motor kau tu bukannya rosak pun! Setakat ekzos dengan absorber tu, bila-bila boleh ganti!" balas Syaira tidak mahu kalah. Dalam hatinya dia berdoa supaya Aidil cepat kembali ke bengkel. Sebal terpaksa berhadapan dengan lelaki itu seorang diri.
"Suka hati akulah! Bukannya aku tak bayar kan?!" Rizuan berjalan menghampiri Syaira dan berdiri bercekak pinggang di depannya.
"Kalau ikut suka hati kau, baik kau buat sendiri je kat rumah! Mentang-mentang banyak duit, nak berlagak pula! Haa, angkatlah motor kau tu balik!" balas Syaira lalu menolak tubuh Rizuan ke belakang kerana berdiri terlalu hampir dengannya.
Tiba-tiba ada satu suara ketawa dari arah kereta. Rafiqi yang baru keluar dari kereta, ketawa berdekah-dekah sambil menggeleng beberapa kali. Rupa-rupanya dia memerhati dari dalam kereta sejak dari awal sesi perang mulut itu lagi.
"Jadi sebenarnya perempuan yang kambingkan kau ni, Ira lah Riz?" Rafiqi menyoal lalu menyambung semula tawanya.
Rizuan mengangkat kedua-dua tangannya ke paras dada sambil menjongket bahu dan menaikkan kedua-dua keningnya mengiakan kata-kata Rafiqi.
"Habis tu kenapa masa kat rumah dulu tu, korang buat-buat tak kenal?" Rafiqi menyoal lagi setelah puas ketawa.
"Dah aku sendiri pun terkejut dia ni bestfriend Nia. Kau tahulah Nia punya cerewet memilih kawan tu macam mana kan?" jawab Rizuan sambil memandang Syaira dari atas sampai ke bawah yang memakai seluar jeans berwarna biru tua dan t-shirt warna kelabu dengan gambar kartun Mickey Mouse. Rambutnya sudah sedikit panjang dan diikat kontot.
"Apa masalahnya dengan Ira? Ira ni cantiklah. Kalau dia single and available, aku on kalau dia nak aku jadi boyfriend dia," seloroh Rafiqi lalu mengenyit sebelah mata dan melempar senyuman manis ke arah Syaira.
"Mengarut jelah Abang Fiqi ni." Syaira ketawa kecil sambil menggeleng.
"Aih! Dengan kau boleh pula dia panggil abang," kata Rizuan tidak berpuas hati sambil memandang Syaira dan Rafiqi silih-berganti.
"Habis tu kau nak aku panggil kau abang ke? Dalam mimpi kaulah, kambing! Respect is earned, not given!" kata Syaira lalu menuju ke kaunter untuk mengambil resit.
"Hah! Ambik kau!" kata Rafiqi lalu ketawa mengejek.
Syaira kembali ke tempat mereka berdiri membawa sekeping resit. "Kau bayar transfer kat bos," ujar Syaira dengan nada mendatar sambil menghulurkan sekeping kertas resit.
"Hmm," balas Rizuan dengan lagak acuh tak acuh sambil memeriksa tulisan di dalam resit.
"Ira, jomlah join kitorang ride petang ni." Rafiqi mempelawa.
"Eh, tak naklah bang. Motor cabuk nak menyelit dengan motor mahal, buat rosak pemandangan je." Syaira menolak kerana segan.
"Bonceng dengan abanglah kalau macam tu," balas Rafiqi sambil tersengih.
"Takpelah bang. Lain kali je." Syaira menolak lembut dengan senyuman.
"Tak payahlah kau ajak dia ni pun. Menyemak je nanti!" sampuk Rizuan dengan renungan tajamnya.
"Poyolah kambing ni! Tahu lah korang guna motor mahal. Dah lah! Bawalah motor kau tu balik. Kitorang nak tutup bengkel ni!" Syaira membalas. Geram.
Rizuan terus menolak motosikalnya keluar dari bengkel dan mengambil topi keledar jenis full facenya di dalam kereta. Rafiqi yang akan memandu keretanya pulang.
"Ada masa nanti, datanglah rumah. Ada satu perlawanan lagi, ingat tak?" soal Rafiqi sambil menaikkan sebelah kening memandang sepasang mata berwarna coklat milik Syaira.
"Oh, ingat. Err, tunggulah nanti bila free," jawab Syaira sambil tersenyum.
Beberapa saat kemudian, Aidil kembali membawa beberapa beg plastik di dalam raga motosikalnya.
"Oh! motor abang rupanya." Aidil menegur Rizuan yang sedang berdiri di sebelah superbikenya di luar bengkel dan Rizuan hanya tersenyum pendek sambil mengangguk.
Aidil masuk ke dalam bengkel menjinjing beg plastik berisi makanan dan dahinya berkerut melihat Syaira kelihatan mesra dan sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki segak dan kacak di depannya.
"Okey Ira, abang gerak dulu. See you!" kata Rafiqi meminta diri disusuli dengan satu senyuman manis.
"Okey bang, kirim salam auntie," ujar Syaira dan membalas senyuman Rafiqi.
"Siapa tu? Mesra semacam je aku tengok. Siap panggil abang lagi," soal Aidil sambil mengetap gigi dan memerhati motosikal serta kereta mahal itu meluncur pergi.
"Abang kawan aku. Kau ingat tak yang aku pernah cerita kat kau kawan aku nama Nia tu?"
"Ooo." Aidil membulatkan mulut tanda mengerti, namun dahinya masih berkerut kerana senyuman Syaira terhadap lelaki tadi masih terbayang di dalam ruangan fikirannya. Amat jarang sekali dia melihat Syaira senyum sebegitu. Kalaulah senyuman itu boleh dimakan, sudah boleh potong kaki agaknya. Manis sangat.
"Apa kau beli tu?" soal Syaira sambil memandang beg plastik di tangan Aidil.
"Aku beli nasi padang kat tempat mak cik jawa tu. Nah!" jawab Aidil lalu menghulurkan sebuah beg plastik serta segelas air Milo di dalam gelas plastik.
"Berapa?" soal Syaira lagi lalu membuka zip beg silangnya untuk mengambil duit.
"Berapa apa pula? Kan aku cakap aku belanja," balasnya lalu duduk di atas kerusi kayu di meja bahagian dalam bengkel dan membuka bekas polisterin berisi nasi yang dibelinya itu.
- - - - - - - -
Syaira memarkirkan motosikalnya di depan rumah bersebelahan dengan motosikal Kriss110 milik ayahnya. Dia melepaskan keluhan panjang memikirkan ketidaknyamanan yang bakal dirasakannya di rumah itu sebentar lagi lalu dia menaiki satu per satu anak tangga.
Langkahnya terhenti melihat satu bagasi besar dan barang-barangnya ada di sudut kaki lima. Serta-merta matanya membulat. Pintu rumah pula sedang bertutup rapat. Jam berharga sepuluh ringgit di pergelangan tangannya menunjukkan pukul 6:00 petang.
Baru dia hendak menolak pintu, pintu sudah dibuka dari dalam. Wajah bengis Puan Alimah yang sudah bercekak pinggang di muka pintu yang merenung tajam memandangnya dipandang dengan perasaan meluat.
"Siapa suruh kau balik sini lagi?! Hah! Tu barang-barang kau! Mulai dari hari ni, aku tak nak tengok lagi muka kau kat sini! Silakan berambus!" tengkingnya.
"Mak?!" Syaira mengerutkan dahi memandangnya.
"Kau jangan panggil aku mak! Aku bukan mak kau! Kau berambus sekarang! Berambus!" tengkingnya lagi.
Syaira menghela nafas panjang sambil mengetap gigi. Matanya melilau mencari kelibat ayahnya di dalam rumah melalui pintu yang terbuka luas. Seminit kemudian, ayahnya keluar dari dapur dan berhenti di depan pintu bilik sambil memandangnya.
"Ayah!" Syaira memanggil, namun Encik Radin berdiri kaku pada kedudukannya.
"Tak payah kau sibuk-sibuk nak panggil ayah. Ayah kau pun dah malu nak mengaku ada anak macam kau!" kata Puan Alimah lalu menolak kasar bahu Syaira.
Syaira merenung tajam mata Puan Alimah lalu segera melangkah masuk ke dalam dan menghampiri ayahnya. Tangan ayahnya diraih, disalam dan dicium.
"Ayah, Ira minta maaf sebab banyak menyusahkan ayah selama ni. Terima kasih sebab jaga dan besarkan Ira selama 24 tahun. Halalkan makan minum Ira ye ayah. Ira nak ayah tahu, Ira takkan pernah bencikan ayah, sebab Ira sayangkan ayah. Jaga kesihatan, jangan paksa diri bekerja kalau tak sihat. Lagi dua bulan sebelum final exam Ira untuk last semester. Tolong doakan Ira ye ayah. Ira pergi dulu," ujarnya panjang lebar lalu melangkah keluar dari rumah.
Encik Radin hanya diam membisu dan hanya memerhatinya melangkah pergi.
"Kau kuat Ira! Kau kena kuat!" kata hati dan mindanya memberikan semangat. Airmata yang sejak tadi ditahan, akhirnya tumpah juga. Sejujurnya, dia sakit hati terhadap ayahnya kerana ayahnya hanya membiarkan sahaja dia dihalau.
Share this novel
Sy dah republish ya sis.. :))
Assalamualaikum sis... novel mengapai cinta dah u publish ye