“Mia...”
Aku tersentak. Pandangan aku alihkan pada muka pintu bilik.
“Eh, ummi... masuklah.” Aku mula bangkit dan melangkah ke sofa
mendapatkan ummi yang sedang meletakkan dulang berisi sarapan di atas
meja kopi.
Ummi menghulurkan bihun goreng sebaik saja aku melabuhkan
punggung di sebelahnya.
“Ummi, lepas ni tak payahlah ummi hantarkan makanan kat atas
lagi.” Aku bersuara selepas menyuap beberapa sudu bihun ke dalam mulut.
“Kenapa pulak?” soal ummi pelik.
“Mia ingat Mia nak pindah...”
“Hah, Mia nak pindah?! Kenapa nak pindah? Mia kan lagi
beberapa hari je nak bersalain. Tak seronok ke tinggal kat sini?”
potong ummi sebelum aku sempat menghabiskan ayat.
“Ummi...” Aku pegang tangan ummi.
“Tak bagus ke layanan ummi ni?” Wajah ummi sudah berubah
riak sedih.
“Ummi, dengar dulu...”
“Ummi ada buat salah apa-apa ke kat Mia? Cakap Mia... apa
yang tak kena dengan layanan ummi ni? Ummi merayu pada Mia, tolong
jangan pindah.” Air mata ummi mula mengalir.
Aku menghemburkan tawa.
“Kenapa Mia ketawa? Mia suka ya tengok ummi susah hati?”
tanya ummi pelik.
“Ummi, Mia bukan nak pindah rumahlah,” ujarku setelah habis
ketawa.
Air mata ummi serta-merta berhenti. “Bukan pindah rumah?”
soal ummi ingin kepastian.
Aku mengangguk kepala.
“Habis tu?” Kening ummi sudah berkerut.
“Mia ingat nak pindah bilik bawah. Segan pulak Mia tengok
ummi asyik turun naik tangga je semata-mata nak hantarkan makanan
untuk Mia,” jelasku.
“La... pindah bilik rupanya. Mia ni buat takut ummi je
tau. Lain kali cakaplah terang-terang.” Ummi mengesat air matanya yang
mengalir.
“Mia belum habis cakap, ummi dah potong.” Aku ketawa lagi.
Kemudian menyambung suapan yang tergendala sebentar tadi.
“Esok dah mula puasa. Pejam celik, pejam celik sekejap /je
masa berjalan.”
“Sahur esok kita nak masak apa eh ummi?” tanyaku. Teruja
ingin memasak makanan untuk bersahur esok.
“Kita?” soal ummi sambil mengerutkan kening.
“Yalah, kita...” Aku menundingkan ibu jari ke arah aku dan ummi.
“Pembetulan... yang akan masak lauk sahur esok hanya ummi
dengan Kak Ifa je. Mia kan dah sarat, duduk je berehat.”
“Ala, bolehlah ummi... lagipun Mia kan dah pindah bilik
bawah. Bukannya angkat benda berat pun. Bolehlah ummi,” rayuku.
“Yalah, yalah... cepat makan, lepas ni ummi tolong pindahkan
pakaian Mia kat bilik bawah.”
Aku mempercepatkan suapan, tidak sabar mahu turun ke bawah.
Usai menghabiskan sarapan, aku bangkit lalu melangkah ke arah almari
pakaian.
“Eh, nak ke mana pulak tu?” tanya ummi.
Aku menoleh ke belakang. “Nak kemas bajulah ummi. Kan nak
pindah bilik bawah,” jelas aku lalu meneruskan langkah yang terhenti
tadi. Sebaik sampai di hadapan almari, pintunya aku buka lalu
mengeluarkan sebuah beg sederhana besar. Tanpa membuang masa, pakaian
yang tergantung di dalam almari aku ambil lalu memasukkannya ke dalam
beg. Selesai mengemas, aku mula mengangkat beg itu untuk dibawa turun.
“Auch!!” jeritku apabila ummi memukul tanganku. Terlepas
peganganku pada tali beg.
“Awak tu dah sarat, mana boleh bawak beg berat ni.” Ummi
mula mengangkat beg pakaianku lalu melangkah keluar dari bilikku.
Aku mengekori ummi dari belakang. Perlahan-lahan aku
melangkah menuruni tangga. Sebaik sampai di tangga terakhir, langkahku
melencong ke luar rumah tanpa memberitahu ummi. Aku melabuhkan punggung
di atas buaian. Mata aku pejamkan sambil menyedut angin pagi. Sungguh!
Aku rindukan laman.
“Ya Allah... kat sini rupanya kamu, Mia. Puas ummi cari kamu
kat dapur tadi.” Ummi menggeleng memandang aku.
“Nak ambil anginlah ummi. Dah lama sangat Mia tak jejakkan
kaki kat sini. Kejap lagi Mia masuk ya ummi.” pintaku dengan muka kesian.
“Yalah... ummi masuk dalam dulu. Jangan lupa masuk tau.”
Ummi melangkah masuk ke dalam rumah.
Aku melemparkan pandangan ke laman rumah. Esok bermulalah
ramadhan. Ingatanku kembali melayang pada zaman kanak-kanakku di mana
pertama kali aku berpuasa.
Jom kita bersiap, kejap lagi dah nak masuk isyak,” ajak ibu setelah
selesai menonton penguman puasa. Kemudian ibu bangkit menutup
televisyen. Ayah dan along sudah melangkah ke tangga untuk ke bilik
masing-masing. Hanya aku saja yang masih duduk di sofa.
“kita nak pergi mana bu?” soalku. Yalah, tiba-tiba saja ibu
suruh bersiap.
“Kita nak pergi sembahyang tarawih. Esok dah mula puasa,”
jelas ibu sambil mengusap kepalaku.
“Sembahyang tawarih tu apa?” tanyaku pelik lantas mengerut dahi.
“Bukan tawarih, sayang... tarawih. T.A.R.A.W.I.H. tarawih ni
maksudnya solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat
isyak. Sembahyang tarawih ni dikerjakan setelah mengerjakan solat isyak.
Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat
yang sangat dituntut bagi dikerjakan oleh orang-orang islam lelaki dan
perempuan, pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan, sama ada secara
berseorangan atau berjemaah. Sebelum mengerjakan solat tarawih, kita
mesti baca niat dulu. Niatnya, sahaja aku sembahyang tarawih dua rakaat
makmum kerana Allah Taala,” terang ibu panjang lebar. “Cuba Mia ikut
balik niat yang ibu sebut tadi,” pinta ibu.
“Sahaja aku sembahyang tarawih dua rakaat makmum kerana
Allah Taala,” sebutku lancar.
“Pandai anak ibu ni.” Ibu menggosok kepalaku. “Kelebihan
bersolat tarawih /pulak/, sesiapa yang mendirikan sembahyang tarawih
dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, semua dosa yang
dia buat akan diampunkan,” terang ibu lagi.
“Min tak siap lagi ke? Tadi beria-ia suruh kami bersiap,”
tegur ayah yang sedang menuruni tangga.
“Nak bersiaplah ni. Min tengah terangkan pasal sembahyang
tarawih kat Mia ni. Jom Mia, kita bersiap.” Ibu menarik tanganku untuk
ke atas.
Sampai saja di bilik ibu, aku mengekori ibu ke bilik mandi
untuk mengambil wuduk. Usai mengambil wuduk dan memakai telekung, aku
mengekori ibu turun ke bawah, mendapatkan ayah dan along di ruang tamu.
“Jom kita bertolak,” ajak ibu.
Ayah dan along mula bangkit lalu mengatur langkah ke luar rumah.
Share this novel