*AKU* berbadan gemuk! Ramai orang mengata aku macam-macam. Kolesterol
tinggilah dan lebih berat badan ini mengundang penyakitlah. Aku tahu
semua itu membawa padah pada diriku. Apa boleh buat sudah pun badan aku
begini. Cuma apa yang aku harapkan adalah aku bahagia.
Aku bukan minta jadi seorang yang gemuk gedempol. Memang selera makan
aku tinggi. Kenapa kerana mahu kurus aku mesti berlaparkah? Yang
penting! Aku tidak meminta sedekah dengan sesiapa.
Ya! /I know about/ diet! Jangan cakap fasal diet. Aku jenuh
mendengarnya. Dulu aku kurus. Ramai awek kiri kanan. Tapi apa mereka
mahukan dari aku? Duit! Kalau aku taburkan duit saja, bersepah datang.
Amboi hebatnya mereka.
Cuma aku ada seorang kawan perempuan yang sangat bagus. Setiap kali aku
ada masalah dia pasti mendengar dan bagi pendapat pada aku. Tania ! Dia
seorang gadis yang sangat baik, peramah dan tinggi budi pekerti. Aku
akui bahawa aku sayang dia. /Always/ kata orang putih.
Siapalah aku untuk memiliki gadis secantik dia. Muslimah dan menjaga
tingkah laku. Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Hari-hari aku
nampak dia. Memang dikatakan hampir setiap kalinya aku akan menatap
wajahnya. Sungguh! Bila sehari aku tidak lihat dirinya, aku akan
kerinduan. Apakah maknanya ini? Adakah ini C-I-N-T-A? Ah! Ada apa dengan
cinta? Aku sendiri pun tidak mengerti.
Aku belek fail di atas meja aku. Fail yang dihantarkan oleh Tania
kepada aku. Hasil kerjanya sungguh baik. Aku suka bila dia hantar kerja
secepat ini. Tania memberikan penuh komitmennya pada kerja. Untuk aku
ada setiausaha sepertinya.
“Bos! Apa yang bos menungkan? Jauh terbang…” tiba-tiba lamunanku
terhenti sebaik sahaja Tania menyapa. Rupanya dia masih berdiri di
depan aku. Sungguh aku tidak perasan. He He He. Buat malu saja.
“Tania …” panggilku.
Tania tertunduk-tunduk malu. Apakah maknanya tanda malu itu? Aku mahu
tahu. Belum apa-apa lagi aku sudah kuat berangan. Adakah orang gemuk
sepertiku ini kuat berangan? Hakikatnya memang ya. Hurm…
“Ada apa bos?” soalnya Tania melihat aku yang terpinga-pinga sendiri
dan cuba menyembunyikan perasaan sendiri.
‘Kalaulah kau tahu aku sayangkan kau, adakah kau sudi menerima aku?’
desis hatiku sendiri sambil menatap wajah ayunya. Aku geram tengok
lesung pipit dia itu. Sangat manis dipandang.
“Bos…” aku dipanggil lagi bersama lambaian di depan mataku. Nampaknya
aku belum menjawab pertanyaan Tania .
Apa sudah jadi terhadap diriku ini? Aduhai.
“Malam ini awak lapang tak?” cuba bertanya semoga mendapat jawapan yang
memberangsangkan. Kalau sebaliknya mungkin aku sedikit hampa.
‘Aku berharap sangat kau free malam ni, Tania ,’ tidak henti-henti
hatiku berbisik mengharapkannya.
Aku lihat Tania ketap bibir sahaja. Seperti berfikir jawapan yang mahu
diberikan padaku. Aku dengar dia mengemam perlahan. Cepat pula dia telan
air liur. Bagaimana pula dengan aku? Aku sudah berkerdip-kerdip mata
mengharapkan maklum balas darinya.
Semoga aku tidak pernah lupa protokol kerjaku dan aku berharap dia tidak
menuduh diriku gatal. Tapi aku yakin dia tidak seperti itu. Sengaja aku
membatukkan diri menandakan aku tidak sabar lagi ingin tahu.
“Lapang…”
“/Yes/!” aku benar-benar gembira.
Jawapan yang aku tunggu-tunggu. Tapi aku lupa satu perkara. Adakah masa
lapangnya itu untuk aku? Ini yang aku takutkan takut sangat kalau dia
ada hal lain pula pada penghujungnya. Aku bermain-main dengan
jari-jemari menahan debaran di hati. Saat ini terasa berdetak kencang.
Mala lebih deras dari biasa. Dub Dab! Dub Dab! Aku rasakan. Alahai!
“Tapi…” ini yang tidak sedap dengar. Masih ada tapinya lagi.
“Tapi apa?” cepat aku menyoalnya.
Tania mengalihkan pandangannya pada jari-jemarinya. Kemudian dia
memintal hujung selendangnya. Apakah maknanya? Tania kena terangkan.
“Jawablah pertanyaan saya,” kataku.
Tergagap-gagap Tania mahu menjawabnya. Aku tunggu dengan penuh
kesabaran tatkala aku menaruh harapan. Oh! Aku mahukan perubahan dalam
episod cinta sekali ini. Aku sengaja bukakan kembali hati ini pada ruang
yang kekosongan dan kesepian. Aku tidak sanggup membujang selamanya.
“Bos hendak ajak saya keluarkan?” duganya pasti setelah menoleh ke
arahku lagi.
Sememangnya ini yang aku bangga. Dia memang bijak membaca isi hatiku.
Aku mahu ajak dia keluar makan malam.
Aku mengangguk perlahan. Terketap-ketap bibirku dan begitu juga pada
bibir Tania bak delima merekah.
“Saya memang lapang… saya punya orang tua, jadi…” kata-katanya terhenti
di situ lalu mengalih lagi pandangannya. Malu agaknya.
Aku mengerti! Sungguh! Kalau hendak bawa keluar anak dara orang mesti
dengan keizinan dari orang tuanya. Alahai mesti mak ayah dia akan cakap
aku gatal. Tapi tidak salah rasanya. Aku punya hati dan perasaan. Aku
manusia juga. Ingin bercinta. Kenapa? Orang seperti aku tidak layak
untuk bercintakah?
Share this novel