Bab 2

Romance Completed 799970

Bab 2

Kamilia melopong sambil melihat kasut jenama Christian Louboutin bertapak merah itu sudah berada di tangan Faris. Faris tersengih penuh sinis dengan matanya melekat di kasut yang berada di tangannya.

“Jangan! Kau boleh tampar aku tapi jangan rosakkan kasut tu! Kau akan menyesal!” Kamilia memberi amaran sambil menggenggam tangan erat.

Pelanggan yang berada di situ sudah memanjangkan kepala untuk melihat drama yang jarang-jarang berlaku secara live seperti itu.

Jejaka muda tadi terus mengundurkan diri lalu kembali ke mejanya. Dia menarik tangan kekasihnya untuk keluar dari restoran itu. Mungkin moodnya turut terganggu melihat pergaduhan di depan mata seperti itu.

Kamilia melihat dengan ekor mata lelaki muda itu berlalu pergi. Dia ketawa sinis secara tiba-tiba.

Faris mengerutkan dahi melihat tawa yang seperti seorang psiko itu. Seperti ketawa si Joker! Tiba-tiba bulu roma Faris merinding sehingga terlepas kasut itu dari tangannya.

Dia cuba berlagak selamba. “Ermm... Anggaplah aku masih ada simpati kepada kau! Lain kali jangan muncul lagi depan aku, perempuan gila!” kata Faris sambil mencemuh. Dia terus membuka langkah menuju ke pintu utama restoran.

Manakala Kamilia masih ketawa. Tawa yang penuh rasa sakit. Dia menunduk lalu mengambil kasutnya yang berada di lantai. Dia memakai semula kasut itu di kaki kanannya. Tiada siapa yang berani bersuara melihat situasi itu sama ada ingin berbisik mahupun ketawa. Wajah sejuk yang ketawa seperti orang tiada jiwa itu kelihatan begitu menakutkan! Apatah lagi apabila dia berhenti ketawa secara tiba-tiba dan wajahnya terus berubah serius.

****

“I'm sorry... Sepatutnya kita sambut Ayu dapat confirmation kerja kat sana. Tapi, ada orang buat spoil pula...” kata lelaki itu sambil berjalan memimpin tangan si gadis.

“Adrian... Boleh Ayu tanya?”

Adrian mengangguk. “Tanya apa?” katanya sambil membuka pintu kereta untuk kekasih hati.

Ayu Imani melangkah satu kaki masuk ke dalam kereta sport itu.

“Masuk kereta dulu...” sambungnya.

Adrian bersetuju lalu menutup pintu kereta. Dia berlari anak ke sebelah pintu pemandu. Setelah masuk ke dalam kereta dia menghidupkan enjin lalu kenderaan itu bergerak perlahan-lahan keluar dari parkir.

“Kenapa... tiba-tiba masuk campur urusan orang yang tidak dikenali?” soal Ayu Imani sambil memandang wajah teman lelakinya itu.

“Huh?” Adrian agak terkejut dengan soalan itu. Wajah Ayu Imani dipandang sekilas.

“Owh... Tadi tu?” Adrian sempat ketawa kecil.

“Kebetulan dia berdiri dekat meja kita kan? I pun tak tahu semuanya spontan je... Kenapa?” soalnya kembali.

Ayu Imani hanya tersenyum hambar sambil menggeleng perlahan.

“Tujuan awak... Memang nak selamatkan perempuan tu dari ditampar teman lelaki dia kan?”

Adrian terus ketawa. “Teman lelaki?”

Adrian tidak berniat untuk menceritakan hal yang tidak diketahui oleh Ayu Imani.

“Kenapa ni... Ayu cemburu ke?” tanyanya kemudian. Tangan Ayu Imani disentuh lembut lalu di bawa ke atas pahanya.

“Cemburu? Dengan mak cik tadi?” Ayu Imani terpaksa ketawa untuk menutup rasa hatinya.

“Kenapa Ayu nak cemburu dengan mak cik tu?” Ayu Imani menjuih bibirnya.

Namun, dalam hatinya sedikit cemburu juga melihat penampilan mewah wanita sebentar tadi yang kelihatan sangat bongkak. Dia sengaja memanggil mak cik walaupun dia tahu wanita itu mungkin baru awal 30-an. Wanita kaya selalunya sombong dengan apa yang mereka ada.

“Sudahlah. Kita lupakan hal tadi. Hari ni kan Ayu dah dapat work confirmation. Dah jadi pekerja tetap kat hotel tu... Lepas ni Ayu kena lebih komited kerja.”

Ayu Imani terus tersenyum lalu melentokkan kepala di bahu lelaki itu.

“Terima kasih Tuan Pengarah.”

Adrian ketawa bersahaja. “Kenapa nak terima kasih kat I... I bukan selalu buat kerja pun.”

“Untunglah anak jadi anak pengerusi... Tidak perlu bersusah payah.”

“Nanti kalau hotel tu jadi milik I... I akan bagi you jawatan tinggi.”

“Mana boleh... Ayu bukan ada ijazah pun. Ayu cuma bercinta dengan anak chairman yang suka mengelat kerja!”

kata-kata Ayu Imani membuatkan Adrian ketawa bahagia.

“Satu masa I akan buat semua orang tahu pasal kita. Tak perlu nak bercinta secara senyap lagi. Tiga tahun ni sangat memenatkan kerana terpaksa bersembunyi. Tapi, I tetap bahagia dengan Ayu...”

Ayu Imani tersenyum. Ya, mereka sudah bercinta selama tiga tahun tanpa pengetahuan sesiapa. Lelaki di sebelahnya adalah anak pengerusi Hotel Sri Andaman yang mempunyai rangkaian di seluruh negeri dan juga luar negara, dan dia pula hanya seorang pekerja kontrak yang baru mendapat confirmation. Tiga tahun lalu dia hanya menjadi seorang pekerja room service. Ketika dia membersihkan suite milik lelaki itu, mereka bertembung secara tidak sengaja.

“Awak masih ingat kali pertama kita bertemu tiga tahun lalu?” Tiba-tiba Ayu Imani menyoal mengenai kenangan lalu.

“Mana boleh I lupa... Ayu masuk cuci suite I masa tu I tengah mandi...” Adrian terus tersengih nakal apabila wajah cuak Ayu Imani ketika itu bermain di mata.

“Ayu jatuh cinta pandang pertama...”

“Siapa yang tidak jatuh cinta pandang pertama dengan I?” Adrian berseloroh.

Ayu Imani terus mengangkat kepalanya lalu memberi tamparan manja di bahu sasa lelaki itu.

“I drive ni...” Adrian ketawa melihat kelakuan manja sang kekasih.

“Entah-entah mak cik diva tadi tu pun jatuh cinta pandang pertama dengan awak!”

Adrian ketawa lagi sehingga susah untuk behenti kali ini.

“Excuse me... I pun ada taste, okay. Memang ada je kawan-kawan I yang kahwin dengan perempuan lebih berusia, but not me. I baru 27 tahun dan Ayu pula 23 tahun baru nampak sweet kan?”

“Sweet sangat kalau jadi suami isteri...” komen Ayu Imani.

“Well...” Wajah Adrian sedikit berubah apabila isu itu timbul. Namun, dia cuba untuk mengawal riaksi wajahnya dengan senyuman. Bukannya dia tidak mahu memikirkan hal perkahwinan, tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan ketika ini untuk memperkenalkan Ayu Imani kepada keluarganya.

Ayu Imani sangat faham dengan riaksi wajah itu. Dia terus melemparkan pandangan ke luar cermin kereta. Hatinya terusik ketika perkataan 'kahwin' di sebut. Dia sedar dirinya tiada tempat dalam kalangan keluarga VVIP. Kenapa dia teruskan juga? Ini kerana dia sudah terlanjur mencintai lelaki ini. Hatinya bernafas hanya kerana lelaki ini. Tidak semena-mena air matanya bergenang.

****

Kenderaan yang dinaiki oleh Kamilia memasuki pintu pagar rumah agam milik Tan Sri Mokhtar. Dia memandu melalui jalan yang dikelilingi pokok renek hiasan sehingga tiba di bulatan fountain di hadapan rumah besar itu. Dia berhentikan kereta dengan mengejut sehingga berdecit bunyi tayar kenderaan mahal tersebut.

Kamilia keluar lalu memberikan kunci kereta kepada pengawal yang akan memarkir kenderaannya di garaj belakang. Langkah kaki Kamilia di atur satu persatu ketika memasuki pintu utama. Dia tiba tepat pada waktu makan malam keluarga pada hari itu.

“Selamat malam, madam.” tegur seorang maid yang berusia 40-an. Dia mengambil kot di tangan Kamilia.

“Semua orang sudah sampai?” soal Kamilia.

“Ya, madam. Silakan...” Puan Laila terus memberi laluan kepada Kamilia. Dia sudah 20 tahun bekerja untuk keluarga besar ini. Dia sangat mengenali mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Kamilia mengambil tempat di sebelah kanan Tan Sri Mokhtar yang sedang menjamu selera. Nampaknya dia berjaya timing masa yang betul. Lagi cepat habis makan, lagi cepat dia boleh keluar dari sangkar yang begitu melemaskan.

“Kay... Kenapa nampak kurus sangat ni?” soal Puan Ruhaida, ibu saudaranya.

Kamilia mengambil garfu dan pisau untuk memotong stik yang sudah terhidang di depan mata. Dia tidak memberi sebarang jawapan. Tidak perlu sebenarnya.

“Kay kan sedang handle projek besar sekarang ni. Nampaknya Kay kena berehat sehari dua... Muka Kay nampak lesu. Apa kata ikut Aunty Ju pergi spa?” ujar Puan Junita pula.

Mereka semua memberi perhatian kepada Kamilia yang hanya fokus kepada makanannya.

“Jangan ganggu dia makan. Kamu semua yang kata dia nampak kurus kan.” tegur Tan Sri Mokhtar selamba.

Mereka semua di meja makan terus terdiam dan tidak lagi berani bersuara. Di meja makan itu terdapat 8 ahli keluarga selain Kamilia dan Tan Sri Mokthar. Puan Ruhaida bersama suaminya, Tuan Alias dan anak mereka Taufik dan Zafran. Puan Junita bersama suaminya Tuan Adam dan anak mereka Faiz dan Fazlina. Puan Ruhaida dan Puan Junita merupakan adik perempuan arwah ayahnya Tuan Zainal. Tan Sri Mokthar hanya mempunyai seorang anak lelaki iaitu arwah ayahnya, dan dia adalah satu-satunya anak arwah ayahnya. Ibu? Ibunya sudah lama berkahwin lain sejak ayahnya meninggal dunia.

“Makan banyak sikit. Kalau jatuh sakit nanti susah nak buat kerja. Atuk hanya percayakan kay seorang sahaja yang boleh menerajui AZANI...”

Kata-kata Tan Sri Mokhtar itu sedikit sebanyak telah mengguris perasaan ahli keluarga yang lain terutamanya Puan Ruhaida dan Puan Junita. Mereka saling memandang antara satu sama lain tetapi harus mengawal riaksi muka agar tidak ketara. Tan Sri Mokhtar dan memilih kasih berpisah tiada. Sejak dahulu lagi sehinga berbekas di hati ahli keluarga yang lain.

“Kay sudah kenyang... Atuk, Kay letih. Boleh Kay naik ke bilik dulu?” ujar Kamilia sambil meletakkan garfu dan pisau di atas meja.

Tan Sri Mokhtar mengangguk perlahan.

“Laila, bawakan pencuci mulut ke bilik madam.”

“Baik, Tan Sri.” jawab Puan Laila.

“Kay naik dulu.” Kamilia terus bangun berdiri.

“Oh ya... Kay sudah bertemu dengan beberapa orang lelaki kebelakangan ni. Jadi, tak perlu sesiapa nak tolong recommend sesiapa kepada Kay lagi. Kay boleh uruskan sendiri.” ujar Kamilia sambil menjeling kepada kedua ibu saudara yang berlumba untuk mencari jodoh untuknya itu.

Sudah pastilah kerana mahukan benefits di atas semua itu jika salah seorang mereka berjaya mencari jodoh untuknya. Kalau ikhlas tidak apalah juga, tetapi Kamilia tahu setiap isi perut ahli keluarga yang bermuka plastik itu. Termasuklah semua sepupunya itu. Fake! Oleh itu biarlah dia berbohong daripada orang-orang fake seperti itu mahu masuk campur urusan peribadinya.

“Lagipun... Baik uruskan masalah diri sendiri daripada masuk campur urusan orang lain.”

Mereka semua terpempan mendengar kata-kata Kamilia sehingga ada yang hampir tercekik stik lembu.

“Ahh... Kay boleh pergi rehat dulu. Lain kali kita bincang hal itu. Atuk gembira dengar Kay sudah berjumpa dengan beberapa orang calon...” kata Tan Sri Mokhtar sambil tersenyum.

“Baiklah. Good night.” Kamilia terus melangkah meninggalkan meja makan yang boleh memuatkan 12 orang itu.

Puan Ruhaida dan Puan Junita terpaksa berpura-pura senyum di hadapan ayah mereka. Anak-anak mereka pula terasa dipulaukan sebagai cucu yang tidak dipandang. Kenapa Tan Sri Mokhtar hanya nampak Kamilia seorang? Ini kerana Kamilia mewarisi kredibiliti arwah ayahnya yang merupakan anak sulung dan anak lelaki tunggal Tan Sri Mokhtar.

*****

Share this novel

jwsj
2020-06-23 07:56:29 

wow bestt lah puteri


NovelPlus Premium

The best ads free experience