4

Romance Completed 32079

"SERIOUSLAH!"

"Ya, sayang. I serius lah ni. Kenapa tak percaya ke? Ke...you yang taknak any commitment lagi dengan I?" Tebak Tengku Azry seraya mengenggam lagi tangan Dhya Alia, sang kekasih hati.

"Sayang, sampai hati you kata I macam itu. You pun tahukan ini yang I idam-idamkan selama ini. I just terkejut je..." Dhya Alia menyangkal pada kata berbau tuduhan tersebut.

Sengaja Tengku Azry berkata demikian dengan niat nak mengusik si dara pujaan.

"Why terkejut pula ni, sayang? Hmm..." Tutur Tengku Azry dengan wajah nakal dia mendekat. Dhya Alia spontan menampar bahu Tengku Azry.

"Takdelah. Hari tu kan you jugak cakap kat I... lambat lagi. Sekarang lain pula? Dengan semuanya tak ready..." Soal Dhya Alia berwajah antara percaya dengan tidak saja ni.

"Sebab I dah tak sabar-sabar lagi nak ikat you. I taknak, bila I dah ke sana nanti you terlepas ke tangan orang lain. Nak-nak lagi Tengku Syafiq tu. Jangan ingat I tak tahu dia nak masuk jarum, ya..." Ujar Tengku Azry seraya mencubit pipi Dhya Alia. Geram.

"Aouch!" Desah Dhya Alia tersenyum. Namun bila pandangannya ke alam nyata semula. Hilang terus rekahan senyumannya.

Jenuh berpusing keliling. Dan yang pasti, dia sememangnya berada semula dalam suite kondo miliknya. Seorang diri tanpa Tengku Azry.

"And now you tetap ke sana without me, kan?" Luahnya bernada sebak. Laju laman Fac ditutup.

"Tulah Dhya. Gatal lah lagi stalk orang. Kau juga makan nasi berulam jantung. Si dia tengah bahagia. Kau?" Soal serta marahnya pada jasad sendiri.

Biar pun, jari agak terketar-ketar dalam nak menekan namun hanya itu saja jalan terbaik. Jalan penghapusan semua kedukaan.

"Done block. Now his instagram pula. Kau jangan jadi bodoh Dhya kerana cinta lagi. Ingat, apa yang dah berlaku tu jadikan pengajaran. Tak ada perkataan setia dalam dunia ini."

Kini laman Instagram pula dituju. Mata memanah ke gambar profile buat kali terakhir sebelum membuat penyekatan pada akaun tersebut.

"Okay done. Now it's the time for the work Dhya Alia!" Ungkapnya dengan penuh tegas. Beberapa fail dibuka halaman pertama lalu meneliti.

Telefon pintar pula berdetakan di tepinya. Dia mengerling sekilas lalu tersenyum hambar. Ada mesej dari Ikmal Dato'Fais. Lelaki ini tidak pernah serik kut!

Malas nak melayan. Dhya Alia teruskan kerjanya. Malam juga kian lewat. Esok sudahlah kena bangun awal. Jika tak mahu hadap jam!

Asyik menyemak. Ada satu lagi mesej dari satu nombor asing. Dengan si penghantar di tempatnya sedang berkeluh-kesah sama ada dilayan atau pun tidak.

Dan orang itu adalah Engku Khalis. Itu pun, setelah didesak oleh mamanya.

"Agak-agak Dhya ni balas tak mesej aku tu, ya? Dhya ni ok ke? Dhya ni boleh ke terima diri aku? Dhya ni tak cerewet ke?" Dhya ini. Dhya itu...

Risau yang menyapa jiwa tak kurang-kurang malah makin menimbun adalah.

SEPERTI biasa seawal lima pagi Dain akan pergi membersihkan kandang ternakan kambingnya dahulu sebelum dia pulang semula untuk ke surau.

Kemudian barulah ke kandang lembu pula. Memandang jaraknya sedikit jauh dari rumah berbanding kandang kambing.

"Mak, Dain pergi dulu tau. Mak masak apa pagi ni?" Sempat lagi Dain yang sudah pun berkasut Phua Chu Kang menyoal bila nampak Mak Leha sibuk menyiang sesuatu.

Kembang-kempis hidungnya menghidu bau. Tapi yang pasti bau kopi memang hari-hari ada.

"Nasi goreng hati ayam. Petang semalam Mak Yam kamu bagi," sahut Mak Leha dari sinki saja. Pili dipulas setelah selesai memotong.

Hirisan hati ayam dalam bekas plastik bulat berlubang-lubang ala-ala penapis, digaul-gaul sewaktu berada di bawah terjunan air pili.

"Sedap tu. Dain pergi cuci kandang dulu!" Laung Dain dari luar pintu. Mak Leha sekadar mengangguk tanpa ingin berpaling. Takut lambat pula siapnya nanti.

Dain pula hanya berjalan kaki berpandukan suluhan torch light saja. Jarak memang tidak jauh sangat dari rumah papan mereka.

Tetapi kalau kandang lembu iya. Dia kenalah menaiki motor Honda pemberian arwah bapanya yang sudah lima tahun meninggalkan mereka berdua kerana serangan jantung.

Mbek..! Mbek..!

Mulalah riuh. Kambing-kambing peliharaan Dain seakan sudah mengerti akan tujuan kehadiran tuan mereka itu. Selain mencuci dan mengumpul sisa-sisa kumuh mereka untuk dijadikan baja organik.

Kambing-kambing itu akan di mandikan serta diberikan makanan seperti rumput dan bayam. Dedak kambing yang bercampur dengan vitamin seminggu, sekali.

Sampai saja. Dain terus menghidupkan pula lampu suluh yang terikat di dahinya. Lalu menaiki tangga kandang. Dan dia sudah biasa dengan bau-bauan yang ada dalam kandang.

Dain juga bersyukur dengan beberapa bantuan yang dihulurkan oleh penduduk kampung yang sudi. Selain daripada Risda dan Mardi.

Ketul-ketul hitam disapu sekumpul ke arah lantai berlubang, biar ia jatuh ke bawah lohong untuk disauk pula ke dalam plastik guni.

Setelah selesai dia turun kembali ke bawah untuk menyauk ketulan hitam kecil milik kambing ternakannya itu, yang berada di kolong bawah kandang memanjang itu.

Dada langit masih lagi kelam. Cuma ada sinaran cahaya kemerahan berlapis selain biru gelap. Beduk pun masih tak ditabuh lagi menandakan belum masuk waktu subuh.

Setelah siap mengikat guni-guni baja organik untuk dijual. Dain sekali lagi naik ke atas untuk proses pengaliran air di lantai selain memandikan kambing-kambingnya.

Mbek! Mbek! Mbek!

Riuh dan tidak sunyi. Sekurang-kurangnya dapatlah menjadi penghibur Dain di dalam kandang berbau itu.

Pili dipulas dengan besar. Hujung paip diangkat lalu dipancutkan pada kambing-kambing dan juga lantai.

"Mak ni bukannya apa Dain. Kesian pulak pada Lebai Dollah tu berharap sangat kamu dengan Laila tu jadi kahwinnya nanti. Dia pun tu jer lah satu-satunya. Mak pun sama."

Tidak semena-mena ingatannya terlayang seketika ke beberapa hari yang sudah dengan hadirnya suara si emak.

Imbas kembali...

"Laila tak kisah bang. Laila ikut jer kata bapak Laila tu," sahut Laila dengan lemah-lembut sambil sesekali jari menyelitkan juntaian rambut hadir ke muka tatkala disapa bayu dari arah sawah.

Dia memang tak kisah dah sekarang ini. Siapa saja yang Lebai Dollah pilih, itu lah pilihannya. Dia dah penat menanti cinta Zaki yang dah sah-sah menipunya.

Laila yakin Zaki sudah tidak menginginkan dia lagi. Oleh sebab itulah, Laila akur pada kehendak Lebai Dollah walaupun pada mulanya hati berat nak menerima Dain.

Bukan kerana dia tidak kenal. Tidak. Tetapi kerana luka yang Zaki torehkan itu baru nak menjadi parut setelah beberapa bulan ia membengkak!

Dain yang juga sama-sama menghayunkan kaki di atas pangkin di bawah saliran air itu, mendongak dan tersenyum pada Laila yang juga tersenyum.

"Kalau dah begitu kata Laila. Abang Dain nak datang bila? Lebai cakap minggu depanlah. Tapi dia juga ada cakap kat abang cubalah bertanya Laila takut..."

"Laila tak kisah bang. Betul. Rasanya abang pun dah tahu kan kenapa. Abang nak datang bagitahu je nanti bolehlah pihak Laila bersiap apa yang patut," jawab Laila dengan laju.

Dia tahu Dain masih lagi was-was pada penerimaan dirinya. Dari menyambung kata terus dia lontarkan pandangan ke petak-petak sawah nan terhampar luas.

"Nanti abang sedekahkan seekor lembu. Ikut suka pihak Laila nak masak apa time kenduri tunang ni nanti. Kalau begitu, nanti abang bagitahu pada mak abang..." Dain pun menyahut.

Dan Laila mengangguk. Namun jauh dalam lubuk hatinya, nama Zaki yang dah terukir bukan mudah nak memahat memadamnya.

Pun begitu, dia akan cuba untuk menerima huluran salam cinta Dain.

Dan kini, Dain tergeleng-geleng. Tidaklah dia sedar sudah berapa lama dalam keadaan mengelamun. Naik sejuk kambing-kambingnya yang kuyup janggut itu.

Pili dipulas semula. Lalu dia menapak penuh berwaspada di laluan becak untuk mengambil rumput dan sayur. Berdesit-desit bunyi bila tapak kasut Phua Chu Kang nya menghentam becak.

Rumput dan sayur bayam yang dia bawa naik ke atas kini sudah pun selesai dia bahagi-bahagikan ke dalam bekas. Air minuman mereka pun sudah bertakung penuh.

Beduk berbunyi menandakan subuh kian tiba. Dain pun bangun dari duduk mencangkungnya. Setelah mengitari sekeliling sambil terangguk-angguk.

Dain memusingkan tubuhnya dan dia mahu turun ke bawah. Untuk pulang ke rumah sebelum ke surau. Kemudian dia akan balik sekejap bersalin pakaian kerjanya dan mengambil bekal.

Turun-turun sahaja. Angin menyapa tubuh. Sejuk. Dan ayam-ayam dari peliharaan penduduk kampung riuh menggerakkan penduduk yang masih lagi tidur.

Dain memulakan langkahnya untuk pulang ke rumah. Dia pasti nasi goreng hati ayam emaknya buatkan itu dah siap dengan sambal belacan. Hmm...menyelerakan.

Di surau. Usai mengerjakan ibadah solah subuh. Ada yang masih menanti khutbah subuh. Ada yang sudah pulang kerana mahu cepat ke tempat kerja pula khasnya yang makan gajilah.

Dain ada ketikanya dia akan menanti sehingga khutbah tamat. Dan ada waktu-waktunya dia tidak hadirinya.

Langit semakin cerah barulah mereka-mereka yang menghadiri khutbah subuh itu pakat pulang. Dan ini termasuklah Dain.

"Assalamualaikum Dain," sapa satu suara memalingkan tubuh yang sedang menyarungkan selipar jepun itu. Lebai Dollah tersenyum dan Dain menyambut huluran salam itu. Juga tersenyum walau ada sejarah duka di antara mereka berdua.

"Lebai, ingatkan dah balik."

"Tadi ada mesyuarat sedikit dengan Siak Osman."

"Oh... bila Lebai balik sini? Dain ingatkan..."

"Sini tanah kelahiran Lebai, Dain. Tak biasa juga berlama di tempat orang walau anak Lebai mahukan Lebai duduk dengan dia. Bahaya katanya. Dia dahlah jarang dapat balik sini," jawab Lebai Dollah serba-salah pula.

Dia tidak mahu menggali semula tapi jika tidak bercerita pun susah juga. Dain tetap berwajah tenang. Sedikit pun dalam hatinya dia tak menyimpan rasa dendam.

"Okay jugak tu Lebai. Lama kami kat sini tak dengar ceramah Lebai. Tapi ada betulnya kata Laila tu Lebai. Lebai dah lah sorang lainlah kalau mak encik baru. Hihi..." Dain menerangkan dan cuba berjenaka.

Dia tak mahu Lebai Dollah anggap dirinya masih tak move on lagi. Terhinggut bahu orang tua berserban petak-petak putih merah itu kala mendengarnya.

"Ish! Kamu ni. Ke situ pula. Lebai ni dah tua. Dah takde sapa yang nak. Kambing betina kamu pun tak nak," sahut Lebai Dollah lalu meletuskan tawa buat kedua-dua lelaki di depan surau kampung itu.

"Sharmila Tagore ada tu Lebai. Dah lama kambing saya yang itu menjanda selepas lawannya, si Amitab tumbang dalam kawah kenduri Pak Chor hari itu," sahut Dain seraya mengingatkan wajah si kambing betina yang mula-mula dia bela itu.

Lagi sekali ketawa memecah kesepian kawasan yang kian kurang bunyi enjin motor serta kereta. Tertepuk-tepuk tapak tangan Lebai Dollah atas bahu anak muda yang pernah satu ketika dulu, dia inginkan jadi menantu.

Tapi benarlah, jika jodoh tiada buatlah macam mana sekalipun tetap tiada.

"Eh, moh lah kita pulang. Macam mana ternakan kamu? Harap-harap bertambah majulah," ujar Lebai Dollah tiba-tiba teringat sebelum mereka bergerak pulang.

"Alhamdulillah. Buat masa ini ok lah. Nak kata maju sangat tu pun... tak jugak, perniagaan kampung je Lebai tapi bolehlah nak buat beli jajan mak kat rumah tu," sahut Dain, merendah diri. Walau hakikatnya tak sebegitu. Memang maju.

Siapa kata kerja sendiri, ternak-ternak kambing dan lembu tak boleh berjaya?

Boleh saja selagi di mana ada kemahuan di situlah ada jalannya. Itulah yang Dain terapkan dalam moto kehidupannya.

"Yeker? Macam tak percaya pula? Sampai dah masuk majalah usahawan tani berjaya pun masih nak merendah diri? Dain. Dain. Beruntung tau mana-mana anak dara yang dapat..." Lebai Dollah berterus-terang kerana dia yakin pasti akan jodoh lain untuk pemuda itu nanti biar pun bukan dengan Laila.

"Uhuk! Uhuk!" Dain memang terbatuk. Sedikit terkejut mendengarnya. Bagi dia itu semua di bawah ketentuan Yang Maha Khaliq. Jika ada, adalah. Namun nak mencari ...

"Eheh, terbatuk-batuk pula dia," sindir Lebai Dollah. Akhirnya setelah meletus lagi tawa. Kedua-duanya beriringan ke parkir surau.

"Balik dulu. Assalamulaikum," pamit Lebai Dollah setelah kedua-dua sudah celapak atas motor masing-masing.

Dain mengangguk sambil dia menekan press minyak. Lalu motornya juga bergerak keluar dari kawasan surau.

Di rumah pula. Setelah selesai bersiap. Dain turun ke dapur. Dan dia akan terus keluar selepas bersarapan dan mengambil bekalan.

"Hah, ni Dain. Hampir lupa mak nak bagitahu," ujar Mak Leha sambil menyuakan piring berisi nasi goreng pada Dain.

"Apa dia mak?" Soal Dain sambil menerima huluran piring. Tangan dah pun dicelup dalam mangkuk air.

"Ni hah, tadi Haji Kemat datang sini dengan isterinya. Mereka nak beli dua ekor lembu dan tiga ekor kambing. Katanya nak buat kenduri untuk rumah anak yatim," sambung Mak Leha lalu dia pun duduk setelah kopi dia isikan ke dalam cawan putih berbunga hijau.

Dain yang sudah pun menyuap nasi bersambal ke dalam mulut, mengunyah dahulu barulah dia memberikan jawapan.

Sementara itu, Mak Leha mencedok sambal ke dalam piring. Tangan dicelup ke dalam bekas bulat.

"Boleh. Bila naknya mak?" Soal Dain sambil tangan kiri mengangkat cawan kopi. Meneguknya sedikit bagi mengurangkan rasa pedas. Maklumlah sambal cili padi kampung.

"Minggu depan," jawab Mak Leha lalu Dain mengangguk. Barulah Mak Leha menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience