BAB 3

Romance Completed 238194

BANGUNAN pihak berkuasa tempatan yang terletak di Petaling Jaya dikunjungi.  Sebaik selesai urusan di pejabat berkenaan, Zafril melangkah keluar sambil membawa gulungan kertas pelan yang baru sahaja mendapat kelulusan.  Setelah berbulan dia terpaksa menghadap berbagai isu melibatkan kertas kerja tersebut, akhirnya kelulusan berjaya diperoleh.  Lega dan gembira dalam satu masa.
 
 
Ketika berjalan menghampiri ruangan menempatkan lif, terdengar satu bunyi menandakan ada mesej yang masuk ke telefon pintar.  Pantas Zafril mengalihkan pandangan ke skrin telefon sebelum dibaca ke mesej yang diterima.
 
 
‘Zaf, tolong pick-up Tania di airport in half an hour.  Aku tak sempat.  Ada urgent meeting.’ -Faliq
 
 
Spontan keluhan terhembus.  Dia mengetap bibir.  Sebetulnya ini bukan kali pertama.  Sudah sering dan selalu.  Si teman baik pasti akan meminta pertolongannya apabila melibatkan hal berkaitan kekasih hati.
 
 
‘Zaf, tolong teman Tania ke fashion show.’
 
 
‘Zaf, tolong belikan food dan hantar ke rumah Tania.’
 
 
‘Zaf, tolong ambil Tania dari dentist.’
 
 
‘Zaf, tolong bawa Tania ke agency.’
 
 
Zaf itu, Zaf ini.  Haish, sudah dia pula yang menjadi seperti supir ke sana ke mari perlu menguruskan perihal kekasih orang lain.
 
 
Namun, entah mengapa seringkali itu juga Zafril tidak pernah menolak permintaan berkenaan.  Bukan kerana dia punya banyak waktu lapang dan terluang.  Bukan juga kerana persahabatannya yang sudah lama terjalin dengan si teman baik.  Tapi, mungkin kerana rasa cinta yang masih mengisi di ruang sanubari terhadap gadis idaman.  Gadis yang hanya mampu dipuja dari kejauhan.  Lantas dia sanggup melakukan apa sahaja demi gadis itu.
 
 
Beberapa bulan telah berlalu sedari pertemuan pertama bersama sang pemilik cintanya, Tania Imelda.  Berbulan itu juga dia memendam rasa sendirian.  Mahu dipadam perasaan yang bertandang.  Namun perasaan itu bagaikan tidak mahu pergi.  Melihat Tania tersenyum bahagia di samping sahabat baiknya sendiri mengundang duka.  Mungkin seiring waktu yang kian berlalu nanti dia pantas dapat melupakan semua itu.
 
 
Zafril melirik pandang ke arah jam di lengan kiri.  Jika diikutkan dalam jadual kerja hari ini, setengah jam lagi dia perlu menghadiri satu sesi temujanji bersama seorang klien penting.  Kalau tak pergi memang melepaslah nak dapat projek besar yang sudah lama diidam-idamkan.  Namun, permintaan teman baik waktu ini membuatkan Zafril serba salah.
 
 
Lantas jari ditekan ke butang lif.  Zafril menuju ke tingkat bawah sebelum keluar dari bangunan berkenaan.  Dia berjalan menapak ke petak parkir.  Sebuah kenderaan dihampiri lalu dibuka pintunya.  Kertas pelan binaan yang mendapat kelulusan tadi dicampak begitu sahaja ke ruang belakang tempat duduk sebelum enjin kenderaan dihidupkan.
 
 
Sambil menyentuh ke stereng, Zafril masih berura-ura dengan dua keputusan yang harus diambil.  Klien atau gadis idaman?  Hurm seharusnya gadis idaman tidak berada di dalam senarai pilihan tersebut kerana orang yang dipuja itu sudah pun menjadi kekasih orang lain.
 
 
‘Apa yang kau tunggu lagi, Zaf?  Lepaskan sahaja dia pergi.  Kau tak mungkin akan memiliki cinta dia.’
 
 
Tanpa sedar Zafril bagai terdengar suara hatinya berbisik begitu.  Dia mendengus nafas.  Meraup jemari ke kepala.  Lantas mengangguk pasti.  Satu keputusan diambil.  Lalu stereng kenderaan diputar memacu menuju ke destinasi yang terbayang di ruang fikiran.
 
 
 
 
 
 
 
 
BALAI ketibaan KLIA 1 kelihatan sedikit sibuk dengan kelompok para manusia yang keluar dari ruangan berkenaan.  Tidak jauh dari pintu cermin yang terbuka secara automatik, Tania sedang berdiri bersama beg bagasi sambil menyilang kedua belah tangan ke dada.  Sesekali dia mengibas tangannya ke muka mahu menghilangkan rasa panas berbahang yang dirasai.
 
 
Setelah bosan melakukan begitu, dia mengeluarkan telefon pintar dari tas tangan lalu menyentuh ke skrin.  Lantas sebuah keluhan terhembus.  Mesej yang dihantar kepada si kekasih hati lebih setengah jam yang lalu tidak berbalas.  Hanya muncul dua garis ‘tanda rait’ bermaksud mesej tersebut berjaya dihantar, namun belum dibaca.
 
 
Urgh!  Mana dia ni?  Kenapa belum sampai?  Takkan terlupa kot.  Semalam sudah berulang kali ditulis dalam mesej bahawa dia akan tiba di sini jam 1:30 petang.
 
 
“T, kau betul ni tak nak tumpang aku balik?”  Seorang lelaki berperawakan sedikit ‘lembut’ itu menegur.
 
 
Spontan Tania mengalihkan pandangan ke arah pengurusnya.  Gelengan diberikan.  Mereka berdua bersama kumpulan beberapa orang model yang lain baru tiba di tanah air setelah menghadiri satu acara peragaan di negara jiran sejak beberapa hari yang lalu.  Seorang demi seorang dalam kumpulan itu sudah meninggalkan ruang balai ketibaan lapangan terbang.  Hanya tinggal dirinya dan si pengurus sahaja.
 
 
“It’s okay, I tunggu my boyfriend datang ambil kejap lagi,” jawab Tania dalam senyuman.
 
 
“Kau sure ke laki kau datang ambil?  Kalau tak kau balik dengan aku je.  Laki kau tu kan busy memanjang.”  Si pengurus membalas.
 
 
Tania menggaru kepalanya dengan hujung jari telunjuk yang runcing.  Memang dia akui rata-rata yang mengenali sudah maklum dengan kisah percintaannya bersama seorang lelaki VIP.  Malah, mereka juga tahu bahawa lelaki yang bergelar kekasihnya itu tersangat sibuk dengan berbagai urusan dan seringkali tidak punya waktu untuk dirinya.  Namun, Tania masih optimis serta percaya bahawa jejaka pujaannya itu setia dan tulus mencintainya sepenuh hati.
 
 
“Takpe, Jay.  Kalau dia tak datang I naik ‘Grab’ je.”
 
 
“Laki kau tu punyalah kaya, tapi tak mampu hire personal driver untuk kau ke?  Hish, kedekut betullah mamat tu.”  Selamba si Jay memerli.  Mulutnya memang termasuk dalam kategori ‘laser’.
 
 
“Dia tak kedekutlah.  Aku je yang tak nak.”  Cepat-cepat Tania menutur alasan mahu membela nama baik sang kekasih biar pun terpaksa berbohong.
 
 
“Hurm okeylah, nyah.  Aku balik dulu.  Daaa.”  Si pengurus itu memasuki kenderaannya sambil meliuk lentok melambai tangan ala ‘Miss Universe’.
 
 
Tania sempat tertawa dengan aksi selamba pengurusnya sambil membalas lambaian berkenaan sehingga kenderaan yang dipandu lelaki itu hilang dari pandangan.  Setelah itu, Tania melepas keluhan sekali lagi.  Matanya memandang ke waktu yang tertera di skrin telefon pintar.  Penuh berharap wajah yang ditunggu-tunggu akan muncul.
 
 
Sebaliknya kurang lima minit kemudian, sebuah Ford Mustang berwarna merah kelihatan memasuki laluan kenderaan di hadapan pintu balai ketibaan sebelum berhenti betul-betul di depan Tania.  Melangkah keluar dari ruang pemanduan kenderaan berkenaan adalah seorang jejaka bertubuh tegap, tinggi dan tampan dalam gaya kasual berjalan menghampiri Tania sambil menanggalkan kaca mata hitam.
 
 
Serta-merta mimik muka Tania bertukar muram serta monyok.  Bibir mungilnya dicebirkan mengukir raut yang benar-benar kecewa.  Lain yang dinantikan lain pula yang muncul.
 
 
“Kenapa you yang datang jemput I?  Where is he?”  Tania terus bertanya tanpa menanti.
 
 
“Dia ada urgent meeting.  Tak sempat datang.  Dia minta I datang ambil you.”  Dalam nada bersahaja Zafril menjawab.
 
 
“Meeting lagi?  Asyik meeting je tak habis-habis.  You sure ke dia pergi meeting?  Or dia pergi jumpa perempuan lain?  You tolong ‘cover’ dia kan?”  Tania masih mempamerkan raut yang  tidak berpuas hati.
 
 
Zafril malas ingin berbicara lanjut.  Tidak mahu membuang masa.  Beg bagasi yang berada di sisi Tania diangkat masuk ke bonet keretanya.  Kemudian, dia membuka pintu di sebelah penumpang mempersilakan gadis itu masuk.
 
 
Dengan riak muka yang mencuka Tania akur melangkah ke dalam kenderaan.  Sementelah dia juga sudah penat menunggu.  Ditambah lagi dengan cuaca yang panas.  Bertambah panas dan sakit hatinya saat ini.  Sebaik melihat Zafril masuk ke ruang pemanduan, terus diajukan soalan yang sama kepada lelaki itu.
 
 
“You belum jawab soalan I, Zaf.  Dia pergi jumpa perempuan lain kan?”  Perasaan cemburunya memang sukar dibendung.
 
 
Zafril meraup jemari ke kepala seketika.  Pening pula tak tahu nak jawab apa.  Seringkali dia perlu melalui situasi yang sama.  Gelagat Tania yang mudah emosi apabila tidak dapat bertemu sang kekasih hati bagaikan rutin yang perlu dihadap oleh Zafril.  Nak tak nak dia terpaksa bertindak menenangkan keadaan.  Tidak mahu menambah kekusutan.
 
 
“Betul, dia ada meeting.  You boleh check dengan PA dia kalau tak percaya.” Tutur Zafril.
 
 
Tania tetap melakarkan riak muka yang mencerun.  Bibirnya muncung sedepa.  Tanda tidak percaya dengan jawapan yang diberikan Zafril.  Sudah selalu menerima alasan sedemikian membuatkan dia berasa sangsi.
 
 
“PA dia tu sama je.  Penyimpan rahsia terbesar.  Bila I call tanya my boyfriend kat mana, dia mesti akan bagi alasan yang sama.  Meeting, meeting, meeting.  Even waktu malam sekali pun.  Logiklah sikit.  Meeting apa malam-malam?”  Tania terus-menerus merungut.
 
 
Zafril mengeluh perlahan.  Sudah seringkali dia terpaksa menjadi tempat mendengar luahan perasaan Tania.  Telinganya juga seakan sudah lali dan tuli.  Lantas tangan Zafril mencapai sesuatu yang berada di ruang belakang kenderaan lalu diberikan kepada Tania.
 
 
“Nah.  From your boyfriend,” ujar Zafril mahu melenyapkan kekecewaan dari wajah gadis di sisinya.
 
 
Saat melihat sahaja jambangan mawar merah segar yang berada di hadapannya, perlahan-lahan raut mencuka yang menghiasi wajah Tania terganti dengan senyuman manis.
 
 
“Aww so sweet.  Cantik.  I suka sangat.”  Tania menghidu bau wangi dari mawar merah berkenaan.  Senang rasa hatinya saat ini.  Hilang semua kedukaan yang melanda sebentar tadi.
 
 
Sementara Zafril yang berada di kerusi sebelah menarik nafas lega.  Walau hakikat sebenar dia yang membelikan jambangan bunga itu ketika di dalam perjalanan tadi.  Kerana dia tahu kegemaran Tania yang satu itu.  Kalau tak buat begini mahu si Tania membebel tanpa henti.  Telinga dia juga yang nak kena dengar.
 
 
Saat kereta yang dikendarai Zafril bergerak meninggalkan bangunan lapangan terbang, kedengaran satu panggilan masuk ke telefon pintar Tania.  Dengan pantas jemarinya menyentuh ke skrin untuk menjawab.  Nama yang tertera membuatkan wajahnya bercahaya bagai mentari pagi.
 
 
“Sayang!” ucap Tania menyapa dalam nada ceria.  “You kat mana?  Meeting lagi ke?”
 
 
“Hey, baby.  How’s your flight?  Sorry I tak sempat ambil you.  I baru habis meeting.  Lepas ni ada satu lagi meeting lain nak kena attend.” Kedengaran suara si kekasih hati membalas di hujung talian.
 
 
“Flight I okey je.  Tapi, I ingat you akan datang jemput I.  Rindulah kat you, sayang.  Dah berapa minggu kita tak jumpa.”  Tania terus merengek dalam nada suaranya yang manja dan mendayu.
 
 
“I rindu you juga.  Sorry sangat sebab I betul-betul tengah busy sekarang.  Nanti kita jumpa ye, baby.”  Si kekasih hati cuba memujuk.
 
 
“Kalau macam tu kita jumpa esok ye?  Kat tempat biasa.  Okey?”  Tania menuturkan cadangan.
 
 
“Err baby, actually esok I kena pergi outstation.  I takde di Malaysia.”
 
 
“Alaa… you outstation ke mana, sayang?” Tania terus mencerunkan wajah.
 
 
“London.”  Sepatah perkataan itu terdengar.
 
 
“London?  I nak ikut!” ucap Tania penuh teruja.
 
 
“Tak boleh, baby.  I ada conference kat sana.  Next time I bawa you okey?”
 
 
“Emph… bosanlah I bila you takde nanti.”  Tania memuncungkan bibir mungilnya.
 
 
“I pergi kejap je, baby.  Tak lama pun.  Dalam seminggu macam tu.  Next week lepas I balik kita jumpa k.  Nanti I belikan something dari London untuk you.  You nak apa?”
 
 
“Urm I nak set jewellery.  Atau handbag limited edition.  Make sure design tu ada satu je dalam dunia ni tau, sayang,” ucap Tania bersama senyuman meleret.  Tahu bahawa sang kekasih pasti tidak akan menghampakan permintaannya.
 
 
“Okay, anything for you.  Nanti I call you lagi ye.  I nak masuk meeting ni.  Take care, baby.”
 
 
“Erm okay, sayang.  I love you,” ucap Tania dalam nada ceria yang kian mengendur.
 
 
“I love you too, baby.”
 
 
Seusai panggilan yang diterima tamat, Tania menghembus keluhan disulami rasa kecewa.  Dia merenung kosong ke arah jambangan mawar merah yang berada di ribaan.  Sudahlah tak dapat bertemu, panggilan telefon juga dalam tempoh yang amat singkat dan tergesa-gesa.  Seraya Tania mengalihkan pandangan ke arah Zafril. 
 
 
“See?  You tengok kawan baik you ni.  Dia tak kisah pun pasal I.  Ni nak pergi ke London pulak.  Tak sempat lansung datang jumpa I.  Haish.”  Tania menggumam sendiri.
 
 
Zafril sekadar mengerling melalui ekor mata.  Sepanjang Tania berbicara di telefon tadi, dia hanya memasang telinga mendengar perbualan berkenaan tanpa sebarang niat untuk masuk campur.  Berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja biar pun jauh di dasar hati mengandungi luka yang amat dalam.
 
 
“Zaf, kadang-kadang I rasa macam I sebenarnya bercinta dengan you pulak.  You yang selalu ada untuk I.  Even, waktu event fashion show I, you juga yang selalu datang bagi support.  Dia tak pernah ada masa untuk I.  Hurm kenapa dia tak sama macam you…?”  Tanpa sedar Tania meluahkan gejolak yang terbuku di hati.
 
 
Zafril terkedu.  Luahan Tania menyentap perasaannya.  Andai sahaja Tania tahu bahawa sejujurnya dia selalu ingin berada dekat dengan gadis ini.  Biar pun tidak termiliki sebagai kekasih, namun dapat melihat senyuman gembira yang menghiasi raut jelita Tania sudah cukup membuatkan dia bahagia.  Dan apabila melihat wajah yang sama digenangi kesuraman, Zafril turut dapat merasai kekecewaan itu.
 
 
Benar dia sakit hati kerana teman baik terlebih dahulu melamar Tania.  Malah, menjadi yang pertama dicintai Tania sebelum dirinya.  Jika tidak difikirkan nilai persahabatan yang telah lama terjalin mungkin dia sudah merampas Tania.  Sementelah si teman baik juga selalu kesibukan tidak punya waktu untuk kekasih sendiri.  Tetapi, dia tidak sejahat itu.  Tidak tergamak mahu merosakkan perhubungan yang sedia terjalin.
 
 
“Tania, jom I bawa you pergi satu tempat nak?”  Zafril menutur cadangan.
 
 
“Erm ke mana?”
 
 
“Tempat yang akan buat you happy dan lupa semua masalah.  Tempat yang dapat buat you tersenyum kembali,” ujar Zafril.
 
 
Spontan Tania mengerutkan dahi bersama reaksi yang sedikit curiga.  “Hurm?  Seriuslah, Zaf.  Kat mana tu?”
 
 
“Kejap lagi you tahu,” balas Zafril dalam senyuman sambil memutar stereng kenderaan yang dipandu memasuki susur keluar ke lebuhraya.
 
 
 
 
 
 
 
HAMPIR satu jam empat puluh lima minit kemudian, mereka tiba di hadapan bangunan yang mempunyai logo besar berwarna merah.  Logo itu dapat dilihat dari jarak berpuluh kilometer jauhnya.  Di mana lagi kalau bukan puncak Genting Highlands.  Dari ketinggian tersebut, mereka dapat merasai suasana dingin berkabus yang menyeliputi seluruh kawasan berbukit berkenaan.
 
 
Tania spontan mengalihkan pandangan ke arah Zafril bersama kerutan di hujung kening sebaik melihat lelaki itu menarik brek tangan ketika kenderaan yang dinaiki mereka masuk ke petak parkir.
 
 
“So, kita nak buat apa kat sini?”
 
 
“Buat apa?  Erm maybe kita boleh jalan-jalan, makan, minum, main games.  I dengar ‘outdoor theme park’ kat sini menarik.  Ada ‘the highest’ roller-coaster in Malaysia,” ujar Zafril dalam nada ceria.
 
 
“You bawa I ke sini sebab nak ajak I main games kat theme park?  No, no.  I tak nak.  I bukan budak kecil nak main semua permainan tu.”  Dengan pantas Tania menolak cadangan Zafril sambil menyilang kedua belah tangannya.
 
 
“Kita pergi sekejap je.  I nak bagi you happy.  Supaya you dapat tersenyum kembali.  Tak nak tengok muka you masam macam ni.  You tahu tak?  Bila kita senyum otot-otot muka akan naik ke atas.  Automatik akan buatkan wajah you nampak muda.  Tapi, kalau otot tu melengkung ke bawah, muka you akan jadi tua.”  Sengaja Zafril berkata begitu untuk memancing Tania.
 
 
Mendengar bicara Zafril serta-merta raut Tania yang tadi mengendur terus bertukar.  Garisan bibirnya dilengkungkan ke atas mempamer sebuah senyuman.  Menghilangkan reaksi masam bak cuka yang terlukis seketika tadi.
 
 
“Ha, kan cantik senyum macam tu.  ‘Kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali.  Kalau kita senyum, semua orang berjangkit.  Bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit.  Senyum tak perlu kata apa-apa...’  Erm sedap tak I nyanyi?  Haha.” Soal Zafril sambil ketawa bercanda.
 

Spontan Tania menghamburkan tawa dengan gelagat selamba Zafril.  Siap menyanyi-nyanyi pula lelaki ini semata-mata sebab nak pujuk dia.  Nasib baik suara sedap.
 

“Kelakarlah you ni, Zaf.  Suka buat lawak tau.  Okey, sebab you dah berjaya buat I tersenyum semula, then I akan follow you main kat theme park ni.”
 

“Yes, that’s my girl.  Jom.”
 

Zafril lantas melangkah keluar lalu menuju ke bahagian kiri kenderaan sebelum membukakan pintu untuk Tania.  Gadis itu menuruti langkah Zafril bersama senyuman yang terlorek di bibir.  Mereka berdua kemudian berjalan bersama menuju ke dalam bangunan Genting Grand Complex.
 

Tania sedikit teruja berada di tempat itu kerana sudah agak lama tidak berkunjung ke sini.  Kali terakhir mungkin beberapa tahun yang lalu ketika dia masih bergelar pelajar di sebuah kolej swasta ternama.  Waktu itu dia datang berlibur bersama teman-teman sepengajian untuk melepaskan tekanan sebaik tamat sesi peperiksaan.  Tidak sedar begitu cepat masa berlalu.
 

Mereka berdua masuk ke ruang arked yang terletak di aras pertama bangunan berkenaan.  Hampir kesemua permainan yang terdapat di situ dicuba.  Dan benarlah seperti kata Zafril, tempat ini dapat membuatkan dia tertawa ceria dan tersenyum kembali.  Terasa seolah semua masalah yang dihadapi bagai terbang pergi seketika.
 

“Zaf, I nak ‘teddy bear’ tu.  Kalau you berjaya dapatkan teddy bear tu untuk I, I akan sayang you sampai bila-bila.”  Dalam nada bersahaja Tania berkata begitu sambil mengarahkan jari telunjuknya ke ruang permainan ‘dart’ di hadapan mereka.
 

Zafril memerhati ke arah permainan yang dimaksudkan oleh Tania.  Keningnya sedikit terjongket.
 

“You sure you akan sayang I sampai bila-bila?” Zafril menyoal ingin menguji jawapan Tania.
 

Pantas Tania mengangguk dalam tawa.  Hakikatnya dia cuma bergurau kerana inginkan patung beruang comel berwarna merah jambu yang terpamer di dinding ruang permainan tersebut.  Sebaliknya Zafril pula mengambil serius akan kata-kata gadis itu.  Dengan segera dia membeli token lalu menghampiri tempat permainan ‘dart’ demi untuk mendapatkan hadiah patung beruang yang diminta oleh Tania.
 
 
Satu lontaran.  Dua lontaran.  Tiga lontaran.  Sehingga lontaran yang penghabisan kesemuanya menuju ke tengah bulatan sasaran.  Aksi dipamerkan Zafril itu membuatkan para pengunjung yang berdiri berhampiran mereka bersorak dan bertepuk tangan.  Manakala Tania yang melihat kehebatan lelaki itu dari sisi melopong dengan mimik muka yang terkejut bercampur kagum.
 
 
“Wow, Zaf!  Wohoo!!”  Tania bertepuk tangan sama seperti para pengunjung lain.
 
 
Zafril tersengih gembira kerana berjaya memenangi permainan tersebut.  Ikutkan ‘kacang’ aje.  Dia dah main permainan itu sedari kecil.  Patung beruang berwarna merah jambu yang diberikan oleh seorang pekerja arked kemudian diserah kepada Tania.
 
 
“Nah, special untuk you.”
 
 
Dalam raut yang penuh teruja Tania menyambut patung beruang berwarna merah jambu itu lalu dipeluk erat.  Telatahnya seakan anak kecil yang baru dihadiahkan mainan.
 
 
“Aww comel sangat teddy bear ni.  Thank you so much.  I sayang you, Zaf.  Forever!  Haha.”  Tania tertawa ceria.
 
 
Mendengar perkataan ‘sayang’ diucapkan Tania membuatkan hati Zafril berbunga-bunga.  Siapa yang tidak gembira apabila menerima ucapan sebegitu.  Tambahan lagi diucapkan oleh gadis yang menjadi pujaan hati.  Dan melihat senyuman manis yang terlukis di wajah Tania saat ini benar-benar membuatkan Zafril bahagia.
 
 
 
 
 
 
 
PUAS menghabiskan masa bermain beberapa permainan di ruang ‘indoor theme park’, Zafril dan Tania berjalan bersama melihat-lihat ke lot-lot kedai yang terdapat di dalam bangunan berkenaan.  Setelah itu mereka bergerak naik ke aras ‘rooftop’ untuk melihat pemandangan waktu senja dari dek tinjau.  Kelihatan cahaya matahari sudah turun dan semakin tenggelam di hujung kaki langit.
 
 
“So, you selalu datang sini?”  Tania menyoal sambil membuang pandang menyaksikan panorama indah dari puncak bukit itu.
 
 
“Tak pernah.  Ini first time.”  Zafril menjawab ringkas sambil ikut sama melihat pemandangan yang terbentang di hadapan mereka.
 
 
“Seriously?  You dah 30 tahun hidup baru first time datang Genting?  Hahaha.”  Tania tertawa kerana merasakan perkara itu sesuatu yang melucukan.
 
 
“Kenapa?  Teruk sangat ke kalau tak pernah datang Genting?”  Zafril bertanya bersama kerutan di dahi.
 
 
Tania menghabiskan sisa tawanya sebelum menjawab soalan lelaki itu.  “No, no.  Maksud I semua orang mesti pernah datang ke sini at least sekali seumur hidup.  I dah banyak kali datang sini.  Dulu pernah datang dengan family masa kecil.  Then, datang dengan kawan-kawan masa belajar.  And kali ketiga inilah, datang dengan you.”
 
 
Zafril sekadar tersenyum memahami maksud bicara Tania.  “Well, I takde sebab nak datang ke sini.  Lagipun, nak buat apa datang seorang-seorang ke sini?”
 
 
“How about your girlfriend?  Girlfriend you tak ajak you datang sini ke?  For sure dia suka shopping di ‘premium outlet’ dekat bawah tu kan.”
 
 
Zafril berdesis perlahan.  Gelengan dipamerkan.  “I takde girlfriend.”
 
 
Tania menoleh ke arah Zafril sebelum menghambur tawa lagi.  Tidak percaya dengan apa yang lelaki itu ucapkan.
 
 
“Zaf, lelaki kacak macam you ni kalau takde girlfriend ada dua sebab je.  Pertama dia mungkin ‘tak normal’.  Kedua dia mungkin ‘frustrated’ sangat-sangat dengan gadis yang dia suka sampai dia rasa tak nak bercinta lagi.  Hurm, so you yang mana satu?”
 
 
Zafril menelan ludah.  Ternyata kata-kata Tania benar dan tepat.  Bagaimana gadis ini dapat membaca apa yang sedang berada di fikirannya? Lantas diraup anak rambut yang jatuh di dahi ke belakang.  Mempamerkan bahasa tubuh mengandungi sebuah kedukaan yang terpendam.
 
 
“Erm mungkin sebab yang kedua.  Takkan sebab pertama pulak.  I lelaki normal.  Haha.” Zafril berpura-pura tertawa.
 
 
“Hah.  Jadi, betullah sebab yang kedua?  Pandai I teka.  Haha.  So, siapa gadis yang you suka sampai buat you ‘frust’ sangat-sangat tu?  Mind to share with me?”  Tania bertanya dalam nada bersahaja.  Lansung tidak mengesyaki apa-apa.
 
 
Serba salah perasaan Zafril waktu ini.  Apa yang harus dijawab?  Adakah dia dapat berterus-terang terhadap Tania?
 
 
‘Gadis itu berada di depan I.  Nama dia Tania Imelda.  I mencintai dia sebelum dia menjadi milik lelaki lain.  I mencintai dia sedari hari pertama pertemuan kami.  Dan saat ini I masih terus mencintai dia.’
 
 
Argh!  Hati Zafril menjerit lantang.  Andai semudah itu dia dapat mengakui perasaannya terhadap Tania.  Andai semudah itu dia dapat mengucapkan kata cinta kepada gadis yang dipuja.  Namun, dia tidak punya kekuatan untuk melakukan semua itu.  Tania terlihat dekat di depan mata, namun hakikatnya terlalu jauh untuk digapai.
 
 
“Gadis tu… dia bukan milik I.  Dia milik orang lain.”
 
 
Saat itu raut muka Tania sedikit berubah.  Kata-kata Zafril mengundang persoalan di mindanya.  “Maksud you?  Gadis tu dah kahwin?  Dia isteri orang?”
 
 
Zafril menggeleng perlahan dalam keluhan.  “Nope.  Dia sebenarnya…”
 
 
Bagaimana pun, belum habis Zafril berbicara kedengaran telefon pintar Tania berbunyi.  Lantas menghentikan seketika topik yang sedang dibualkan.  Dengan segera gadis itu menjawab panggilan tersebut dalam raut penuh ceria.  Sebaik panggilan pendek yang diterima tamat, Tania mengalihkan pandangan ke arah Zafril semula. 
 
 
“Zaf, hantar I balik sekarang.”
 
 
“Kenapa?”  Zafril sedikit tertanya-tanya berkaitan panggilan yang diterima Tania tadi.
 
 
“Faliq nak jumpa I sebelum dia terbang ke London esok.  Dia tunggu I dekat kondo.  Jom, cepat!”
 
 
Tanpa sempat Zafril menyoal lebih lanjut, Tania terlebih dahulu menarik tangannya mendorong langkah kakinya menuruti gadis itu turun dari ruangan dek di puncak Genting Highlands.  Riak wajah Tania saat ini benar-benar teruja.  Tersenyum lebar hingga ke telinga.  Tidak sabar-sabar mahu bertemu sang kekasih hati yang dirindui.
 
 
Sedangkan Zafril yang berjalan di sisi Tania menghembus sebuah keluhan berat.  Adakah dia sebenarnya cuma bergelar ‘penjaga’ jodoh orang lain?  Sadis.
 
 
 
 
 
 
 
 

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-08-22 19:00:18 

sory sory tertekan byk kli

DHIA AMIRA
2022-08-22 18:59:54 

done ...zafril pnya sikp sama mcm kwan i ..dhla nm pon sama

DHIA AMIRA
2022-08-22 18:59:53 

done ...zafril pnya sikp sama mcm kwan i ..dhla nm pon sama


NovelPlus Premium

The best ads free experience