SEAKAN tak percaya dengan apa yang telah diungkapkannya siang tadi. Dia telah meluahkan perasaannya kepada seorang lelaki. Sesuatu yang tidak pernah dia lakukan. Itupun kepada bekas gurunya! Aduhh! Araa..apa yang kau dah buat?
Malu tak habis lagi ni! Ni pulak si Eirfan pagi-pagi lagi dah terpacak setia di hadapan rumahnya. Lengkap dengan baju Melayu berwarna ungu dan bersongkok bagai. Dia nak ajak aku kahwin jugak ke hari ni?
Sempat lagi Natrah bermonolog sambil matanya tak lepas memandang Eirfan yang sedang bermain dengan Ayish dari halaman rumah. Dia sengaja bersembunyi di sebalik dinding dapur kerana masih segan dengan apa yang berlaku semalam.
Pipinya merona merah dan hatinya tak berhenti berdegup sepanjang perjalanan pulang semalam. Eirfan yang setia memandu di sisi tersenyum sahaja tanpa sebarang bicara. Mereka berdua senyap sehinggalah mereka tiba di hadapan rumah Natrah. Ketika itulah Eirfan bersuara romantis, mengucapkan selamat malam sebelum pamitan.
Dan dia, semalaman tak mampu lelapkan mata kerana asyik teringat akan peristiwa tersebut. Otaknya asyik berfikir cara untuk berhadapan dengan Eirfan nanti.
"Yang kau tercegat kat sini apasal?"
Teguran Nabihah menyentakkan Natrah. Cepat-cepat dia meluruskan badannya yang dari tadi terbongkok-bongkok mengintip Eirfan.
"Terkejut aku! Kau ni lah kak.." rungut Natrah. Pura-pura buat wajah terkejut.
"Tak payah nak terkejut sangat! Nah.." Nabihah aju sebuah kotak segi empat kepada Natrah. Wajahnya tersenyum-senyum sahaja.
"Apa ni?" tanya Natrah seraya menyambut huluran tersebut.
"Hadiah dari boyfriend kau"
Terjegil biji mata Natrah dengan jawapan kakaknya itu.
"Woii seriuslah!"
Nabihah tergelak. "Bukaklah sendiri! Manalah aku tahu apa benda dalam tu. Haaa cepat sikit berkemas tu. Orang kat depan tu dah lama menunggu. Jangan buat orang menunggu lama. Tak baik tau"
Serentak itu, Nabihah berlalu meninggalkan Natrah. Dia sudah mengetahui segala-galanya melalui Eirfan. Dan sebagai seorang kakak, dia bersyukur dengan apa yang berlaku. Semoga setelah dia bergelar isteri kepada Azrul nanti, kebajikan dan keselamatan Natrah akan terjamin di tangan Eirfan.
NATRAH pusing badan kiri kanan. Kemudian, dia memandang dirinya sendiri di dalam pantulan cermin. Dia seolah-olah tak percaya melihat insan di dalam pantulan cermin itu. Wajahnya yang tanpa secalit mekap itu disentuh perlahan.
"Ini aku ke?" Hampir berkaca matanya melihat dirinya yang seperti seorang wanita seutuhnya. Dia kelihatan cantik berbaju kurung berwarna ungu dengan mengenakan tudung berwarna putih. Tampak elok sahaja gamaknya.
"Ya Allah! Bidadari ke yang datang berkunjung ke rumah aku ni?" tegur Nabihah. Dia sudah melabuhkan punggung di atas katil. Menatap tampang Natrah yang kelihatan manis bertudung.
"Tak payah nak sindir-sindir akulah kak!" omel Natrah, lebih kepada malu kerana dipuji Nabihah. Dia bukannya apa, jarang-jarang Nabihah tu puji dia! Kalau ada pun, 6 7 tahun lepas kot!
"Laaa bila pulak aku sindir kau? Aku puji kaulah! Betul apa. Cantik adik aku ni. Tak heranlah Eirfan tu nak melekat je dengan kau"
"Akakk!!"
Nabihah tertawa kecil. Dia bergerak mendekati Natrah dan berdiri di hadapannya.
"Wajah kau tak ubah macam arwah mak. Lagi-lagi kalau dia senyum. Terubat rindu aku pada arwah"
Omongan Nabihah menyebakkan sekeping hati Natrah. Dia melayan perasaan seketika, teringatkan wajah arwah emak, sungguh dia juga dipukul rindu yang bukan sedikit.
"Kan cantik kalau kau terus macam ni. Bertudung dan jadi macam sebetulnya seorang perempuan. Aku akan jadi orang pertama yang bangga dengan kau" Nabihah seakan memujuk. Dia bukannya tidak suka dengan penampilan Natrah sekarang, namun dia risau sekiranya adiknya itu tidak pandai membawa diri.
Natrah telan liur. Ekor matanya mencuri pandang ke dalam pantulan cermin. Memandang dirinya sekali lagi. Dia memang suka berpakaian seperti itu dan dia juga ingin berubah tetapi dia perlukan masa. Dan dia yakin masanya akan tiba.
"In shaa Allah kak. Doakan aku. Beri aku masa"
Nabihah terangguk-angguk.
"Dah, keluar cepat. Eirfan dah lama menunggu tu" gesa Nabihah. Sempat juga dia betulkan tudung Natrah sebelum melepaskan adiknya pergi.
Natrah berdiri di depan pintu. Melihat kemesraan Eirfan melayan Ayish, bibirnya mengulum senyuman tanpa sedar. Salah satu sikap Eirfan yang baru dia temui hari itu. Eirfan sukakan budak-budak!
"Maksu!" jerit Ayish lantas berlari mendapatkan Natrah. Tersentak Natrah dengan jeritan itu. Apatah lagi setelah anak mata Eirfan tak berkedip memandangnya.
Bagaikan tak percaya dengan apa yang dilihatnya, ingin saja dia tampar pipi sendiri. Natrah yang berdiri di hadapannya saat ini bukanlah Natrah yang selalu dia lihat. Natrah yang ini seakan berlainan sangat. Bermimpikah dia? Natrah cantik sangat mengenakan baju kurung dan tudung pemberiannya.
"Cantiknya maksu. Sama kaler dengan paksu. Maksu nak kahwin dengan paksu ke?" Laju saja mulut itu menyoal sehingga berbahang pipi Natrah dibuatnya.
"Dia ni kan..." Pipi Ayish dicuit. "Sejak bila pandai nak panggil paksu ni?"
"Sejak pagi tadi"
Natrah membulatkan matanya. Dia menjeling ke arah Eirfan yang sudah tertawa kecil di sana. Tubuh Ayish dicempung. Langkah kakinya laju menghampiri Eirfan. Hmm.. Segak pulak Eirfan hari ni! Baju mereka pula matching.
"Siapa ajar Ayish ni?"
"Paksu lah!" jawab Ayish lalu mendepakan tangannya ke arah Eirfan, minta dibawa oleh lelaki itu.
"Pandailah Ayish ni! Mesti ambik kepandaian maksu ni kan?" seloroh Eirfan. Tubuh Eirfan sudah dibawanya.
"Ayish memang pandai! Tapi bukan dari kepandaian maksu. Ayish pandai sendirilah" sahut Ayish. Tergelak Eirfan dibuatnya.
"Maksu pandai cari gaduh dengan umi je" sambung Ayish lagi. Eirfan sambung gelak lagi, namun dengan lebih kuat.
"Ayishhhh..." Natrah geram dengan anak saudaranya itu. Dia menjegilkan matanya ke arah Ayish.
"Dengan budak-budak pun nak marah awak ni!" kutuk Eirfan. Pipi Ayish dikucup.
"Itu pun kepandaian maksu jugak. Suka marah-marah Ayish" Ayish sudah pandai komplen. Macam saja nak cari pasal dengan ibu saudaranya itu.
Eirfan gelak lagi.
"Ayishhh!! Pandai erkk" marah Natrah namun hanya dibuat-buat saja.
"Dah-dah. Kita kena gerak ni. Nanti lambat pulak"
"Kita nak pergi mana sebenarnya ni?" Natrah masih keliru. Dia disuruh berpakaian kurung seperti itu. Tetapi takde pulak penjelasan. Eirfan ni memang suka buat dia tertanya-tanya.
"Maksu nak kahwin dengan paksulah. Apalah maksu ni!" sampuk Ayish pula.
Wajah Natrah sudah memerah. Dari tadi asyik saja kena dengan budak kecik tu! Eirfan pula senang hati je tengok dia kena buli. Dari tadi gelak tak habis-habis. Eeeee lahhh dorang ni!
"Ni mesti awak yang ajar anak saudara saya cakap macam tu kan?" Natrah marahkan Eirfan. Dia mengecilkan matanya memandang Eirfan.
"Laaaa apa saya pulak? Budak mana pandai menipu. Betullah tu!" Eirfan mengerdipkan matanya dengan senyuman.
"Eirfan!! Janganlah main-main" Radang Natrah dengan jawapan selamba Eirfan itu. Gila apa nak kahwin macam tu je? Walaupun dia tak macam perempuan sangat, tetapi dia masih juga mengimpikan perkahwinan yang sempurna dan penuh adab.
"Ha ha ha!! Kita nak pergi majlis kahwin Aliya dan Mikaellah! Hari ni kan majlis dorang. Awak dah lupa ke? Aliya ada jemput awak sekali"
Terkebil-kebil Natrah dibuatnya. Baru dia teringat yang Aliya ada memberinya kad undangan tempoh hari. Sakit hati sangat dengan nama pengantin lelaki membuatkan dia alpa akan tarikh persandingan tersebut. Hishh, itulah kau Natrah! Haaa buruk sangka lagi! Kan dah mendapat!
"Tapi kalau awak nak majlis kita dilangsungkan sekali, saya on je..." Eirfan senyum nakal.
"Jangan nak mengada-ngada!"
Eirfan tergelak. Rasa macam nak kahwin terus je dengan Natrah. Tak nak tunggu-tunggu dah! Tapi dia harus sabar. Tak boleh nak gelojoh sangat. Karang Natrah lari, gigit jarilah dia nanti!
SELESAI sudah majlis akad, para tetamu dihidangkan dengan jamuan buffet. Sepadan sungguh pasangan mempelai mengenakan sepersalinan berwarna kuning keemasan. Pelamin juga tampak gah dan mewah dengan kelopak daun yang berwarna keemasan. Bahkan hiasan sepenuhnya juga bertemakan warna keemasan.
Natrah dan Eirfan mengambil tempat di hujung sekali. Mereka sedang menikmati makanan masing-masing.
"Cantiklah pelamin dorang" komen Natrah, jujur.
"Memanglah cantik sebab Aliya tu pereka fesyen. Semua hiasan kat sini termasuk baju pengantin semuanya Aliya yang pilih dan gubah"
Natrah terkesima dan mengagumi wanita itu dalam diam. Bertuah sungguh dia. Dahlah cantik, pandai bergaya pulak tu! Kerja pun okey.
"Awak nak pelamin macam mana kalau kahwin nanti?" Eirfan sengaja bertanya. Manalah tahu, senang pulak dia nak atur bajet nanti. Kih kih kih...
"Saya?" Natrah tersenyum. "Tak naklah yang mewah sangat. Janji penuh adab dan keluarga saya ada bersama. Tu dah cukup"
Eirfan mengulum senyuman. Sifat Natrah yang sederhana membuatkan dia semakin sayang akan gadis itu. Tetapi dia pasti akan usahakan untuk buat yang terbaik nanti.
"Awak pulak?" Natrah pulang soalan kepada Eirfan.
"Sama macam awak" sahut Eirfan. Namun dia tahu semua itu takkan pernah jadi kenyataan kerana dia sudah dibuang keluarga.
Terdiam Natrah dengan jawapan Eirfan. Dia tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki itu. Dan dia dapat merasakan kesedihan Eirfan kala itu. Kerana itulah, dia ingin terus menemani Eirfan kerana itu sudah janjinya.
"In Shaa Allah. Banyakkan berdoa supaya semuanya dipermudahkan"
Mendengar kata-kata Natrah, sebuah senyuman terjuntai pada wajah Eirfan. Dia tidak merasa terlalu sedih kerana Natrah ada di sisi dan sedia memberi kekuatan penuh kepadanya. Dan dia dapat merasakan semua itu.
"Eirfan! Tak sangka jumpa you kat sini"
Eirfan dan Natrah menoleh ke arah suara itu. Dahi Natrah mengerut melihat gadis itu. Cantik sungguh! Kulitnya putih dan wajahnya langsung tiada cacat cela. Macam model pun ada! Tubuh langsing dan ramping saja.
Senyuman di wajah Eirfan mati. Matanya melilar melihat sekeliling. Masakan Ehsan juga dijemput ke majlis perkahwinan Aliya dan Mikael?
"Soraya!" Itu saja respon Eirfan. Teringat pulak dia akan pertunangan Soraya dan Ehsan yang putus gara-gara sikap Ehsan yang seakan sengaja mempermainkan Soraya. Soraya merupakan dua pupu kepada Aliya. Jadi tidak hairanlah jika Soraya juga dijemput sama. Tetapi melihat ketiadaan Ehsan, dia yakin berita pertunangan itu benar belaka.
"I nampak you dari tadi. Tapi tak sempat nak tegur" Soraya berlagak ramah sambil melabuh duduk di sebelah Eirfan.Tangannya sudah hinggap di atas lengan lelaki itu.
Melihatkan kemesraan Soraya terhadap Eirfan, hati Natrah tiba-tiba berasa kurang senang. Dia sengaja pamer wajah masam, biar
Eirfan sedar dan tahu yang dia tidak sukakan sikap gedik Soraya!
"Ye. I datang dengan someone" kata Eirfan lantas menepis tangan Soraya. Dia tidak selesa diperlakukan Soraya seperti itu apatah lagi setelah perasan akan wajah cemberut Natrah.
"Oh I see" Nada suara Soraya mengendur. Semacam kecewa saja. Dia pandang Natrah. Hmmm, not bad! Baby face!
"She is?" Soraya maksudkan Natrah.
"Ohh she is Natrah. My future wife"
Mendengarkan omongan Eirfan, Natrah rasa hampir nak terkejut. Namun dia kawal riak wajahnya kerana tak mahu Soraya berfikir yang bukan-bukan. Dan sesungguhnya dia bangga kerana diperkenalkan sebagai bakal isteri Eirfan.
Berbeza pula dengan respon Soraya. Wajahnya tampak kecewa kerana dia berharap masih memiliki peluang bersama Eirfan setelah putus dari Ehsan. Namun peluang itu juga sudah hilang kerana Eirfan sudah menemui soulmate nya!
"Love, this is Soraya. Bekas tunang Ehsan"
Tersentak Natrah dengan panggilan 'love' itu. Hishhh, Eirfan memang suka buat jantung dia jatuh tiba-tiba! Tapi dia suka pulak.. Hi hi hi
"Bekas tunang encik Ehsan?" Berita itu pula mengejutkan Natrah. Tak disangka yang Ehsan pernah bertunang dan putus tunang. Sebelum ini ada juga dia mendengar berita itu melalui Hasma dan Azizah namun tidak pula dia menyangka tunangan Ehsan ternyata cantik orangnya. Sama padan dengan Ehsan. Tetapi kenapa mereka putus?
"Aaaa.. Lets not talk about that guy! Nanti I lost my appetite! By the way, I nak sapa Aliya dan El. Natrah, nice to meet you!"
Natrah mengangguk kepala.
"Okeylah Eirfan" Soraya sengaja meletakkan tangannya di atas paha Eirfan. Natrah cemburu dan pamer riak kurang senang. Eirfan tersentap seraya mengalihkan tangan Soraya dari situ.
"Got to go. Ada masa, we catch up later yeah? Bye. See you soon"
"Okay, bye. And see you soon too" sahut Eirfan. Langkah Soraya dihantar dengan pandangan mata dengan senyuman. Lega akhirnya kerana Soraya sudah berlalu. Naik rimas dia dengan perilaku Soraya itu. Apatah di hadapan Natrah. Pasti gadis itu berfikir yang bukan-bukan.
"Okey bye. See you soon too!" Natrah mengejek cara percakapan Eirfan. Wajahnya meluat dengan aksi mereka sebentar tadi. Makanan di atas pinggan sudah habis dihancurkan dengan sudu dan garpu. Geram punya pasal! Eeeee!!
Laju saja Eirfan menoleh. Mulai tidak mengerti dengan sikap Natrah. Namun sesaat kemudian, bibirnya menipis dengan senyuman. Natrah cemburu! Dia senang! Cemburu tandanya sayang. Dan itu bermaksud Natrah sayangkan dia. Ohh dunia! Indahnya...
"Seronoklah kan kena pegang dengan perempuan cantik! Naik bululah kan?!" tempelak Natrah dengan radangnya. Namun dia masih mampu mengawal suaranya. Tiba-tiba hilang pula seleranya!
"Ehhh seronoklah! Tapi lagi seronok kalau awak yang pegang. Macam ni..." Tangan Natrah dia genggam erat.
Natrah cuba melepaskan diri dari genggaman Eirfan. Namun kudrat Eirfan terlalu kuat sehingga dia mengalah pada akhirnya.
"Kenapa ni? Hmmm?"
"Tak suka!" sahut Natrah. Genggaman Eirfan dapat juga dia leraikan. Perasaan geram masih bersisa.
"Tak suka apa?"
"Tak suka makanan ni!" bohong Natrah. Takkan nak cakap yang dia tak suka tengok Soraya manja semacam dengan Eirfan? Eeee, malu semalam lagi tak habis. Jangan nak buat hal ye kau hati!
"Ohhh tak suka makanan. Tak suka makanan takpe. Tapi jangan tak suka saya pulak. Sedih saya nanti"
Natrah diam. Penatlah dia nak layan karenah Eirfan. Tak faham ke yang dia sedang cemburu? Atau buat-buat tak faham?
"Tapi kenapa saya rasa yang love saya ni macam cemburu? Dengan Soraya?" teka Eirfan. Wajahnya penuh dengan senyuman.
Natrah diam lagi. Faham pun... Hu hu hu. Ni yang dia tak suka kalau jatuh cinta. Sakitnya perasaan tu!
"Orang tua-tua kata, kalau diam maksudnya ya. Jadi betullah kan awak cemburu?"
"Tak tahulah! Malas nak ambik tahu!" Natrah silang tangan ke dada. Wajah dialihkan dari memandang lelaki itu. Saat itu, anak matanya menangkap wajah cantik Soraya sedang tersenyum bersama Aliya dan Mikael di pelaminan. Mereka berswafoto bersama. Memang tak dinafikan betapa sempurnanya wajah milik Soraya. Dan dia tidak terkejut jika Eirfan pernah menyimpan perasaan kepada gadis itu. Nama pun dah orang cantik, yang suka pun mesti banyak!
"Awak tahu tak, Soraya tu dua pupu Aliya. Kita orang memang satu universiti dulu. Tapi saya tak rapat dengan Soraya sebab masa tu dia sedang hangat bercinta dengan Ehsan. Satu u tahu dorang bercinta bagai nak rak!"
Eirfan membuka cerita agar Natrah tak terus-menerus salah faham.
"Lama jugaklah dorang bercinta. Rasa-rasanya dalam lima ke enam tahun. Lepas tu bertunang. Tapi bertunang pulak tak lama. Tak sampai setahun dah putus. Puncanya? Takde siapa yang tahu. Dia memang cantik tapi untuk kategori cantik dalam senarai saya, itu belum cantik lagi. Kalau awak rasa saya akan jatuh cinta pada dia, awak dah salah faham. Saya tak sukakan sikap dia yang sama sekali bertentangan dengan sikap saya"
"Saya tak mencari dan mencintai kecantikan luaran seseorang melainkan dari hati dia saja. Dan semua tu ada pada awak. Saya tak sekaya Ehsan yang mampu beri awak apa saja tapi percayalah saya ada hati yang kaya untuk jatuh cinta pada awak saja!"
"So please ,jangan fikir yang bukan-bukan pasal saya dan Soraya sebab memang takde apa-apa yang istimewa pun pasal kami"
Omongan Eirfan membuatkan hati Natrah berbunga-bunga. Dia sembunyi senyum kerana risau dilirik oleh Eirfan dan takut diusik lelaki itu.
"Takkan nak pandang pakcik kat depan tu je? Hensem sangat ke pakcik tu dari saya?" Eirfan menyakat tatkala pandangan Natrah tidak berkalih dari tadi.
Laju saja tangan Natrah menampar lembut lengan Eirfan. Serentak itu, dia menoleh ke arah Eirfan. Tersenyum-senyum Eirfan meliriknya.
"Jangan buat lagi! Jangan dekat-dekat dengan Soraya. Jangan nak baik dengan dia" Natrah memberi amaran dengan wajah seriusnya.
Tergelak Eirfan melihat wajah Natrah itu. Nampak sangat tak natural! Tapi dia suka..
"Aye aye captain!"
Share this novel