13 Saya Ikhlaskan

Family Series 57531

“Amirul, tunggu!!!”

Semakin laju Deila mengejar, semakin pula laju Amirul melarikan diri. Mereka dah macam dalam scene filem Hindustan, lari berkejar-kejaran di kawasan lapang berekar-ekar luasnya. Bezanya, dalam filem selalunya hero yang mengejar, cuba memujuk heroin yang tengah merajuk. Mereka berdua pulak?

“Amirul, berhenti!!! Saya dah tak larat nak kejar kaulah, adoi!!!” Hampir satu kampung Amirul round, semata-mata mahu larikan diri dari Deila. Gila betul mamat ni kan. Kalau saja dia tau bertapa penatnya mahu kejar Amirul, lebih baik dia naik kereta saja tadi.

“Blahlah! Yang kau nak jugak kejar pehal?!” Amirul yang juga sudah tercungap-cungap menjerit tetapi tetap mahu teruskan larian.

Deila sudah tidak larat. Hampir mahu putus salur pernafasan akibat terlalu lama berlari.

“Mirul! Saya kata berhenti sebelum saya kerjakan kau!” Deila mula mengugut bila tiada tanda Amirul mahu berhenti.

“Kerjakan jangan alang-alang, Del! Biar sampai masuk kubur!”

Kurang asam! Berani Amirul jawab dia macam tu? Bergerak-gerak tulang pipi Deila menahan marah.

“Kau masih tak nak berhenti, Mirul?!” Deila jerit sekuat hati. Amirul sudah beberapa meter jauhnya meninggalkan Deila.

“Tak nak!!!” Berani lagi Amirul meneriak dia yang sudah separuh mati kepenatan? Baiklah, jangan salahkan dia! Deila mendengus lalu menanggalkan sebelah kasut sneaker yang dia pakai.

Deila mengayun tangan ke belakang sambil menggenggam sebelah kasutnya itu. Satu mata ditutup untuk lebih fokus supaya balingan tidak tersasar.

Buk!

“Aduh!” Hampir meletup tawa Deila bila lihat Amirul jatuh tergolek di atas tanah. Padan muka!

“Deila Araferro, I hate you! I hate you! I hate youuu!!!” Amirul terjerit-jerit sambil berguling-guling di atas tanah. Macam anak kecil tantrum tak dibelikan mainan.

Amboi, berapa punya banyaklah I hate you Amirul ni. Ada dia kisah? Nanti-nanti datanglah Amirul ni dengan muka seposen merayu-rayu nak tarik balik kata-kata kesat tu. Siapa lagi yang paling memahami perangai Amirul anak Ketua Kampung ni selain dari dia? Deila mencebik ketika berlari anak mendapatkan Amirul.

“Mirul!” Deila yang sedang termengah-mengah duduk bertinggung di sebelah Amirul. Dengan kasar, Amirul memusing tubuh, mengiring dalam keadaan masih berbaring di atas tanah membelakangi Deila. Amboi!

“Mirul, janganlah macam ni. Dengar dulu apa yang…”

“Tak nak! Kau tipu saya, Del! Hati saya dah hancur jadi berkeping-keping. Macam mana saya nak teruskan hidup? Kau mungkir janji! Janji yang termeterai antara kita sejak kecil! I hate you! Macam ni tak guna saya hidup, lebih baik saya pergi mati saja!”

Hah, nila perangai Amirul. Kalau opah sikit-sikit nak lari. Lelaki ni pulak sikit-sikit nak pergi mati! Ni bukan sekali dua Deila hadap perangai dua ketul ni. Dah masak dah!

“Janganlah macam tu, Mirul. Perjalanan saya dan Rhett masih jauh dan samar. Kami kenal pun tak sampai sebulan. Saya tak letak harapan yang tinggi, Mirul. Kan saya dah kata semuanya saya serahkan pada jodoh. Andai ada jodoh, saya terima dengan hati yang terbuka. Macam saya dengan kau jugak. Janji tu saya masih ingat, Mirul. Saya masih simpan elok-elok dalam hati saya ni.”

Terpujuk dengan kata-kata bernada lembut itu, perlahan Amirul memusingkan tubuh. Deila merenung sepasang mata yang sudah merah dan basah itu. Amirul bingkas bangun dan duduk di atas tanah.

“Kau suka lelaki tu?” Tanya Amirul. Deila jeda. Nafas dilepaskan perlahan-lahan.

“Ya, saya mengaku saya suka Rhett.”

Wajah tampan Amirul kembali jadi kelat.

“Tak boleh Del, saya tak benarkan kau jatuh cinta dengan lelaki itu! Kau akan dikecewakan, kau faham tak? Lelaki seperti itu susah dipercayai. Kau tak tahu bagaimana kehidupan dia di bandar sana. Dunia kita dan lelaki itu terlalu jauh berbeza, Del. Mengerti tak kau?”

Deila diam lagi. Dia akui ada benarnya kata-kata Amirul tentang Rhett. Sebulan saja tak cukup untuk dia kenal hati budi seorang Rhett. Sebab itu dia tak letak harapan yang tinggi. Dia sedar kedudukan dia dan Rhett. Mereka berdua berasal dari dunia yang berbeza.

“Sebab itu saya kata tadi yang saya tak letak harapan yang tinggi. Jangan risau, Mirul. Saya tahu jaga diri.”

Amirul merenung Deila dengan tajam. Masih jelas garis ketidakpuasan di wajah Amirul.

“Saya boleh terima yang kau secara tidak sengaja tersuka lelaki itu. Yela, dah hari-hari si perfect ten tu kau hadap kan? Tapi saya yakin, rasa itu pasti cuma sementara. Nanti lelaki itu pergi, rasa tu akan hilang. Lelaki itu pasti akan lupakan kau. Dan kau pasti akan lupakan lelaki tu. Saya doakan korang tak berjodoh!”

“Mirul!”

“Apa yang saya kata betul! Kau tak pernah layan cerita novel cinta ke? Tak pernah layan drama cinta? Selalunya macam tula dalam kisah novel, lelaki dari bandar datang dan jatuh cinta dengan gadis kampung. Puas bercinta cintun, balik ke bandar kahwin dengan perempuan lain. Tinggallah gadis kampung tu menangis sampai berkedut. Nanti jumpa balik, masing-masing dah beranak pinak. Macam tula, tiada kejadiannya. Hanya buang masa!” Usai berleter panjang, Amirul bingkas bangun sambil membersihkan punggung dari kotoran yang melekat.

“Kau nak nasihatkan saya ke nak kutuk saya ni?” Deila tanya kasar.

“Dua-dua. Harap kau sedar diri!”

“Mirul!” Mahu saja Deila tendang punggung Amirul biar dia jatuh tergolek balik. Deila kelam kabut menyarung kembali sebelah kasutnya lalu mengejar Amirul yang sudah berada jauh di hadapan.

“Mirul! Kau dah okay? Dah tak nak pergi terjun dari atas jambatan? Kau pergilah. Saya akan sorak dari bawah jambatan!” Perli sebenarnya tu. Deila geram dengan kata-kata Amirul tadi.

“Tak nak! Saya kena hidup untuk pastikan kau kotakan kata-kata kau!”

Cis! Kalau dia tau, baik awal-awal tadi tak payah sibuk dia mengejar. Deila mengeluh dalam hati. Selain opah, Amirul adalah orang kedua yang paling dia sayang. Hubungan mereka terlalu akrab. Kemunculan Rhett buat susunan orang kesayangan Deila jadi berantakan. Kalau opah yang pertama dan Amirul yang kedua, lalu Rhett yang ke berapa? Takkan ketiga? Ada ke orang letak teman lelaki di tempat yang ketiga?

“Del! Apa ni?” Deila tersentak lalu menghampiri Amirul. Terkejut dia bila lihat kedai runcitnya sudah ditutup. Jam di tangan dikerling. Belum pun pukul empat petang. Mengapa Rhett pandai-pandai tutup kedai seawal itu? Nak terberak ke?

“Apa tu?” Tanya Deila hairan bila lihat Amirul menarik secebis kertas yang disisip di celah pintu.

“Del, balik ke rumah sekarang!” Amirul baca isi kandungan kertas itu dengan kuat. Deila merampas kertas tersebut dari tangan Amirul lalu dia ulang baca.

Hati tiba-tiba jadi tidak tenteram. Kenapa Rhett suruh dia pulang? Apa terjadi di rumah? Opah! Kelam kabut Deila lari mendapatkan keretanya.

“Mirul, saya balik dulu. Saya risaukan opah!”

“Del, tunggu!”

Amirul mengeluh bila lihat Deila memecut pergi. Dia juga risaukan opah. Berkira-kira mahu mengejar tetapi bila teringatkan Rhett, dia jadi malas. Ah, pasti Rhett yang terpaling mahu tunjuk hero di situ nanti. Buat sakit hati dia je kalau datang.

Hampir bertaut kening Deila ketika kereta kancilnya memasuki perkarangan rumah. Di sebelah kereta Rhett, ada sebuah kereta besar terparkir. Deila tidak pernah nampak kereta itu di kampung sebelum ini. Dia semakin rasa tidak sedap hati.

“Opah! Op… urgh!” Hampir tercabut jantung Deila bila sebuah tangan menekup mulutnya lalu menarik tubuhnya secara tergesa-gesa menuju ke belakang rumah.

“Urg! Urghhh!” Deila meronta sambil cuba menjerit panik.

“Del, it’s me!”

Again?!

“Aduh!” Rhett menarik tangan dari mulut Deila bila kulit tapak tangannya digigit kuat. Apa ni? Bulat mata Rhett memandang Deila. Minah ni nak jadi drakula ke?

“Kau ni dah kenapa?!” Deila menempelak.

“Psyt!” Rhett kelam kabut memberi isyarat supaya Deila diam. Laju Rhett pandang sekeliling.

“Saya nak beritahu kau sesuatu, Del.”

“Nak beritahu je kan? Tak perlu buat aksi macam nak menculik orang.”

Rhett tersengih sumbang lalu dia gosok belakang tengkuk dengan rasa serba salah.

“Sorry.”

Deila memandang Rhett sejenak.

“Opah… tak apa-apa kan?” Kalau Rhett tidak tunjukkan rasa cemas, Deila yakin tujuan Rhett suruh dia balik cepat-cepat bukan kerana opah. Rhett menggeleng perlahan.

“Kenapa? Kau ada masalah ke?” Deila tanya lagi bila lihat air muka Rhett berubah jadi suram.

“Del…” Rhett jeda. Nafas ditarik sebanyaknya. “saya kena balik sekarang.”

Buat beberapa saat, Deila hanya merenung Rhett tanpa bersuara. Dalam hati dia sedang menyumpah seseorang. Celaka Amirul! Baru je tadi lelaki itu tantrum dan mencarut, takkan doanya dah dimakbulkan? Tak percaya betul!

“Del?” Melihat Deila diam membisu, Rhett memanggil lembut. “Saya janji…”

“Tak perlu berjanji apa-apa! Kau baliklah. Saya doakan perjalanan kau dilindungi dan selamat sampai ke destinasi.” Deila berpaling, mahu cepat-cepat pergi dari situ.

“Del!” Pantas Rhett menangkap pergelangan tangan Deila. “Please jangan macam ni. Saya akan mati merindu kau nanti!”

Deila ditarik masuk ke dalam pelukan Rhett. Tubuh auto mengeras. Tubir mata jadi panas saat air mata mulai berkumpul di kawasan itu.

“Del… saya kena balik. Saya kena tinggalkan kau dan opah. Saya macam tak sanggup Del. Saya tak sanggup tinggalkan kau. Apa harus saya buat?” Lirih Rhett berkata lalu wajah dibenam di tulang bahu Deila.

Buat seketika, Deila hanya membisu. Kata-kata Amirul kembali terngiang-ngiang di telinga. Mungkinkah dia bakal jadi seperti yang dikata? Ditinggalkan dan menangis sampai berkedut? Tapi, semua itu kan sudah dia jangka. Rhett bukan selamanya akan ada di sisi dia. Mereka dari dua dunia yang berbeza. Lalu, mengapa dia rasa sedih teramat? Mengapa dia tidak mahu Rhett pergi? Dia sudah gila agaknya!

“Baliklah, Rhett. Walau pun kita baru hendak bercinta, saya tahu saya tiada hak mahu tahan kau untuk terus tinggal di sini. Dunia kita berbeza. Seperti mana opah perlukan saya, begitu juga dengan keluarga kau yang pastinya sedang menunggu kau pulang. Kita serahkan semuanya kepada-Nya. Andai ada jodoh, kita pasti bertemu lagi.”

Rhett pantas mengangkat wajah. Dia pandang Deila dengan tajam.

“What do you mean, Deila? Kau nak putus dengan saya ke?”

“Putus?!” Deila tanya kebingungan. Putus apa?

“Tak, Del! Saya tak setuju. Biar pun kita terpisah beribu batu jauhnya, hubungan kita tetap diteruskan. Kau adalah teman wanita saya dan saya teman lelaki kau. Janji dengan saya, setia itu harus! Saya akan cuba cari masa untuk kembali berjumpa dengan kau. Itu janji saya!”

Deila terkesima. Oh, jadi maksud Rhett tentang putus itu adalah mengenai hubungan cinta mereka. Dia terangguk-angguk. Baru dia faham. Tak semena-mena, Rhett menggenggam kedua-dua tangan Deila. Tersentak Deila dibuatnya. Rhett menarik tangan Deila ke bibir lalu dikucup lembut. Deila cepat-cepat menarik nafas. Dada dipukul debar dengan tindakan Rhett itu.

“Rhett, where are you?! We need to go now!” Suara memanggil dari halaman rumah itu buat mereka berdua tersentak. Rhett semakin mengeratkan genggaman saat pandangan mereka kembali bertaut.

Melihat bebola mata Deila mulai berkaca, Rhett tidak mampu mengawal rasa sebak. Deila ditarik masuk semula ke dalam pelukan.

“Saya tak mampu Del, hati saya di sini… bersama kau.” Menitis air mata Deila mendengar suara sayu Rhett. Ya, tiada siapa merelakan perpisahan. Tapi apakan daya, di mana ada pertemuan pasti ada perpisahan. Hanya cepat atau lambat yang membezakan sesebuah situasi.

“Rhett!” Suara garau pembantu Tok Teh bergema lagi, lebih kuat berbanding yang pertama tadi. Jelas kedengaran sudah mulai hilang sabar. Rhett melepaskan keluhan berat bila Deila menarik tubuh menjauhinya. Deila mendongak, memandang Rhett dengan mata merah basah.

“Pergilah, Rhett. Saya ikhlaskan pemergian kau.” Deila bersuara dengan rasa sebak.

“Janganlah nangis Del, melihat air mata kau…” Rhett hampir tidak mampu meneruskan kata bila bebola mata sendiri sudah dipenuhi air mata. “buat saya semakin tak nak pergi!” Rhett tarik semula Deila ke dalam pelukan. Dia tak mahu menangis. Dia tak pernah menangis depan orang. Egonya terlalu tinggi untuk biarkan orang lain lihat air mata lelakinya.

Tapi, entah mengapa di depan Deila dia tidak mampu berbuat demikian. Melihat air mata gadis itu, dia tewas tanpa sempat mahu melawan. Air mata Deila buat dia ikut sebak. Buat dia ikut mahu menangis. Buat dia mahu berkongsi rasa dengan gadis itu.

“Kau harus pergi, Rhett. Tak baik buat orang tu tertunggu-tunggu.” Deila kembali menarik tubuhnya menjauh. Kalau dia terus melayan, sampai ke sudah Rhett tidak akan berganjak dari situ.

“Del, saya…”

“Opah dah tahu?” Deila cepat-cepat melarikan topik. Dia sudah berusaha untuk tampak tabah di depan Rhett. Dia tidak mahu kata-kata yang bakal Rhett tuturkan menghancurkan ketabahan yang senipis kulit bawang itu.

“Lepas saya beritahu tadi, opah masuk dan berkurung dalam bilik.”

Deila mengeluh. Merajuklah tu! Opah memang macam tu. Sebab itu berkali-kali dia cuba ingatkan opah yang Rhett cuma singgah sementara di kampung mereka.

“Kau kena jumpa opah sebelum balik. Jom!” Deila terus tarik tangan Rhett menuju ke pintu belakang. Rhett menurut sambil kesat sisa air mata sehingga kering. Malu dia kalau opah nampak dia menangis.

“Opah! Buka pintu ni. Saya dah nak balik ke bandar opah. Saya nak jumpa opah, nak peluk opah, nak minta maaf, minta halalkan makan minum saya sebelum saya pergi, opah!”

Tiada respon dari penghuni di dalam bilik. Rhett mengeluh sebelum memandang Deila di sebelah.

“Opah, keluarlah. Rhett dah nak balik dah ni. Lepas ni opah dah tak jumpa Rhett lagi tau. Entah bila lagi kita dapat jumpa dia, opah.” Rhett mengerling ke arah Deila sebaik sahaja Deila selesai berkata. Tersentuh sekaligus buat dia rasa semakin sebak.

“Pergilah Rhett. Opah maafkan, opah halalkan semuanya. Opah doakan keselamatan kau. Opah harap kau tak lupakan kami di sini.”

Hanya suara opah menyahut dari dalam bilik. Nekadnya opah tidak mahu bertemu dengan Rhett untuk terakhir kalinya kan? Tergeleng Deila bila memikirkan bertapa kerasnya hati opah dia. Rhett mengalah dan melangkah keluar dengan berat hati bila pembantu Tok Tehnya itu sudah terpekik-pekik memanggil.

Memandang sebak ke arah Deila buat kali terakhir. Banyak lagi yang mahu Rhett katakan. Dia masih belum puas merasai kehangatan gadis itu. Tetapi memandangkan mereka kini berada di halaman rumah bersama pembantu Tok Teh, Rhett terpaksa tahan hati. Menitis air mata lelakinya saat dia melambai Deila. Air mata mengalir laju ketika kereta single cab dia perlahan-lahan bergerak meninggalkan perkarangan rumah opah.

Bab 14 akn menyusul lewat sikit ya korang, enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience