Rate

LAPANGAN TERBANG

Crime Series 765

"Wei, jom kita singgah Tesco lah, tak perlu singgah kedai kecil ni. Lagipun, aku nak kena beli makanan dan beberapa barang juga untuk keluarga aku", kata Ijoi.

Aku lihat jam, ada lebih kurang sejam sebelum pasaraya besar itu tutup serta mengangguk bersetuju. Aku meneruskan pemanduan ke Tesco, dan meletakkan kenderaan di bawah bumbung kerana aku perasan, hujan masih tidak henti-henti lagi.

Masuk sahaja ke pasaraya, aku lihat Ijoi mengambil troli yang diletakkan di hadapan pasaraya tersebut.

"Wah, nak berbelanja banyak ya kau". aku berkata.

"Takdelah, alah, aku pun dah lama tak balik, nak juga beli barang-barang dapur untuk rumahku nanti", katanya sambil tersengih.

Aku menuruti dia dari belakang. Aku segera mengambil roti dan kaya, takut-takut nanti terlupa. Aku lihat Ijoi bukan main banyak lagi barang diambilnya, sampaikan penuh troli tersebut.

"Woi, kau nak apa-apa ambil lah, aku belanja", katanya.

"Banyak duit kau Ijoi", aku bertanya dengan nada sindiran.

"Mana ada, alahai, sekali sekali, belanja lah kau sedikit" katanya.

Kata-katanya membuatkan aku terfikir dan memori lama ketika di sekolah mula bermain-main di dalam otakku.

"Hek eleh, 5 ringgit pun nak berkira", aku mengherdik Ijoi.

"5 ringgit pun duit juga. Cepatlah bayar balik, semalam kau kata nak bayar hari ni", katanya.

Bengang juga aku dengan sifat kedekut dan bakhilnya itu. Semua kawan-kawan aku cukup kenal dengan perangainya yang tak reti berlebih kurang serta tak sabar-sabar meminta wangnya kembali kalau berhutang.

"Nah, ambil lah balik, kau ni, duit bukan boleh masuk kubur pun", kataku.

Dia mengambil duit tersebut dengan pantas. Aku faham juga, itu hak dia, duit dia. Memanglah hutang wajib dibayar, tetapi aku cuma tak faham sahaja dengan perangainya itu. Pak Tam, ayahnya aku kira lebih berada daripada keluargaku. Tapi Ijoi ni memang pantanglah nak-nak bab duit. Memang terserlah kebakhilannya.

RM215.50 merupakan jumlah belanjanya malam itu. Segera dia tolak tangan aku ketika aku ingin mengambil wang daripada poketku. Dia bayarkan segalanya untuk aku.

Sambil dia membuat bayaran, sempat aku mengintai beg duitnya. Terperanjat aku apabila aku lihat bersusun not-not RM50. Kaya sungguh dia, kerja apa agaknya yang dia buat sampai jadi kaya sebegitu. Aku mulai nak bertanya, tetapi aku batalkan sahaja hasratku. Lagipun esok masa masih panjang, bolehlah aku ke rumahnya melepak dan berborak-borak kosong. 

Aku tiba di perkarangan rumah Ijoi sekitar jam 10.30 malam. Aku harus pulang cepat, kerana aku tahu, bapaku amat suka makan pada waktu-waktu sebegini. Roti dan kaya yang dikirim tadi perlu aku hantar secepat mungkin.

Terkial-kial aku lihat Ijoi mengangkat barangnya keluar daripada kereta. Aku turut menolongnya membawa masuk beg-beg plastik Tesco yang berisi dengan macam-macam benda. Makanan, sabun basuh baju, tisu dan pelbagai keperluan rumah yang lain. Aku bersalam dengannya sebelum masuk ke dalam kereta.

"Esok kita lepak wei, pukul 11 macam tu datang lah rumah aku", katanya sambil menutup pintu pagar di depan rumahnya itu.

"Beres, jumpa esok woi", aku berkata sambil memandu kereta aku selang dua rumah.

"Farid! Awak ada tetamu nak jumpa!", tiba-tiba sahaja suara warden penjara menjengah masuk mematikan lamunanku.

Tanpa aku perasan, hari sudahpun tengah hari. Aku tahu, aku bangkit sejak waktu Subuh tadi lagi, tetapi fikiranku mengelamun sehingga ke tahap aku tidak pasti apa yang aku lakukan. Otakku bukan main ligat memikirkan mengenai kenangan-kenangan lalu yang sedikit sebanyak membuatkan aku tidak fokus mengenai perkara yang aku lakukan.

Di balik pintu yang memisahkan aku dengan dunia luar, aku dapat lihat Puan Rahimah, peguambela aku masuk. Aku merapatinya dengan muka yang kosong.

"Encik Farid, saya nak bertahu bahawa saya sudah berusaha untuk meletakkan awak sebagai salah seorang yang diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, saya juga cuba meyakinkan supaya mahkamah memberi peluang untuk kes awak dibicarakan sekali lagi" katanya sejurus aku duduk di meja hadapannya dengan tanganku yang bergari.

"Terima kasih", aku menjawab dengan nada yang begitu lemah.

"Saya tahu awak tak bersalah, saya tahu awak masih nak berusaha untuk mengelakkan diri awak daripada menerima hukuman ini. Demi ibu ayah dan adik beradik awak" dia berkata.

Aku melihat mukanya dalam dalam. Ibu, ayah, adik-adik, bagaimana keadaan mereka. Aku teringat semasa pertemuan aku dengan ibu, ayah dan adik-adikku melawat aku di penjara.

"Ibu! Saya tak buat bu, saya tak buat. Saya minta maaf ibu, tapi memang saya tak buat perkara-perkara terkutuk ini", aku terjelepok di kaki ibu.

Aku tak bermaya, keadaan aku ibarat ditekan. Ditekan oleh air mata ibu yang kian luruh. Seluruh kekesalan terhimpun di pangkuan kaki ibu. Aku kucup pipi ibu yang lusuh dengan penuh kepiluan, Aku memegang erat kedua belah tangan ibu dan kucium-cium. Tangan yang membesarkan aku.

Di belakang ibu, aku dapat lihat muka ayahku. Mukanya yang berkedut-kedut dan lusuh itu terpaku melihat keadaan aku. Matanya berair dan renungannya tepat ke arah mukaku dengan penuh kesayuan. Aku dakap tubuh ayahku.

Ayah terdiam. Mulutnya ibarat terkunci.

"Ayah! Ampunkan dosa Aid. Halalkan segala makan minum dan pemberian ayah sewaktu ayah membesarkan Aid. Ampunkan Aid ayah. Aid tahu, ayah nak sangat melihat Aid berjaya. Aid tahu ayah nak sangat menghadiri konvokesyen Aid, dan melihat Aid membawa balik segulung ijazah. Maafkan Aid ayah. Maafkan AId kerana inilah pengakhiran dunia buat Aid"

Muka ayah dan ibu yang memandang aku dengan penuh sayu itu tak sanggup aku tatapi lama-lama. Aku rapati adik-adikku, aku pelut erat tubuh kecil itu, yang aku kira tertanya-tanya dan langsung tak memahami apa yang berlaku.

"Maafkan abang. Abang sumpah abang tak buat perkara terkutuk sebegitu. Nanti bila abang...bila abang dah tak ada...bila abang dah tak ada, adik janji adik belajar bersungguh-sungguh dan dapat memegang ijazah ya. Adik janji ya" aku menyambung.

"Kenapa bu...kenapa Aid dianiayai sebegini bu, kenapa?", aku ibarat nak menjerit mempersoalkan takdirku.

Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain? Aku terlalu berdukacita. Aku terlalu kecewa. Sahabatku Ijoi, sahabat yang aku sangka merupakan sahabat dunia akhirat. Sahabat yang membesar bersamaku. Beginikah kau akhirnya? Beginikah sifat sebenar kau? Kau memang sial Ijoi. Kau memang sial!

"Kau nak ikut aku ke Kuala Lumpur? Jomlah", Ijoi berkata kepadaku, di pagi hari sebelum dia bertolak semula ke Kuala Lumpur.

"Alah, susah nanti, aku nak tidur mana. Makan minum semua", aku berseloroh. Dalam hatiku, teringin juga aku nak ke Kuala Lumpur. Di sana pasti ada banyak benda dan tempat-tempat menarik aku dapat kunjungi.

"Alah, jangan risaulah. Aku tanggung semuanya", kata Ijoi.

"Eh? Betul ke?, boleh sahaja sebenarnya. Aku tanya mak aku dulu sekejap", aku menjawab.

Ibuku memberi kebenaran untuk diriku ini ke Kuala Lumpur. Aku sedikit teruja, kerana perjalanan ke Kuala Lumpur ini telah Ijoi rancang dengan menaiki pesawat. Aku tak pernah menaiki pesawat. Dalam hidupku, itulah kali pertama aku dapat naik.

Ijoi menekan-nekan skrin telefon bimbitnya yang bewarna merah itu. Katanya, dia perlu menempah tiket dan mengubah sedikit jadual memandangkan aku ingin mengikutinya bersama. Penerbangan ke Subang itu ditempah menaiki pesawat Firefly.

Ijoi juga sudah pun membeli tiket untuk aku seorang pulang ke Kedah semula. Aku berasa sangat seronok, dan sangat bertuah kerana mempunyai sahabat seperti Ijoi. Bukan mudah untuk seseorang itu belanja aku ke sana dan ke mari.

Kata Ijoi, dia juga telah menempah hotel bagi aku bermalam di sana, dan mengikutnya, malam nanti dia perlu pulang ke apartment nya yang terletak di Damansara. Aku segera mengemas beg aku, membawa pakaian untuk disalin serta keperluan-keperluan lain. Cukup satu beg aku bawa untuk ke sana.

Penerbangan kami dijadualkan pada pukul 4.30 petang. Aku meminta pertolongan ayahku untuk menghantar aku dan Ijoi ke lapangan terbang, yang terletak lebih kurang 30 minit daripada rumahku.

Setibanya aku di situ, aku bersalam dengan ayah dan mengucapkan selamat tinggal. Bukan lama pun perjalanan aku kali ini. 2 hari kemudian aku boleh pulang semula ke Kedah, juga menaiki pesawat. Ayah tersenyum melihat gelagat aku yang teruja.

Setelah memasukkan beg aku melalui tempat pengesanan X-ray, aku menuruti Ijoi ke kaunter penerbangan untuk check-in. Setelah beg milik Ijoi ditimbang, beratnya melebihi had limit. Dia perlu membuat bayaran mengenai begnya yang berat itu.

Aku terus berkata "Eh, tak boleh ke biar aku yang bawak beg tu. Beg aku dah check-in, lagipun aku bawa barang sedikit sahaja"

"Haa, yalah. Bagus juga tu, kau bawak lah beg ni ke dalam kapal terbang", dia berkata.

Segera aku capai beg Ijoi yang bewarna hijau itu, dan aku sandangkan ke bahuku. Aku agak kekok pada awalnya apabila aku perlu melalui dua pintu yang dilengkapi dengan metal detector setelah aku meletakkan beg milik Ijoi itu.

Tiba-tiba salah seorang pegawai menuding jari ke arahku.

"Encik!", keras nada suaranya menyebabkan aku sedikit cuak.

"Ya tuan", aku menjawab.

"Tolong tanggalkan topi dan tali pinggang, dan letak di dalam bakul ya untuk kita scan", katanya.

Bersambung

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience