8 Ogos 2012
“ANGAH! Bangun angah. Nanti lambat pula ke sekolah.” Jerit Puan Fatiha mengejutkan anak keduanya. Seperti biasa anak keduanya, Fawwaz amat liat untuk bangkit awal pagi. Sikap Fawwaz tidak seperti 3 orang lagi anaknya yang sentiasa bangkit seawal 5.30 pagi untuk bersiap – siap pergi ke sekolah. Anak sulungnya, Amirah sentiasa meringankan tulang empat keratnya menolongnya ibunya membungkus nasi lemak untuk dijual di sekolah dan diletakkan di warung Pak Aji. 2 orang adiknya yang lain Sakinah dan Diyana juga turut membantu ibu mereka menyediakan sarapan mereka setiap pagi.
“Angah! Bangun, dah pukul 6 lebih ni. Nanti kamu lambat pergi ke sekolah.” Puan Fatiha mengejutkan anaknya itu dengan berhemah agar anaknya tidak memberontak. Puan Fatiha sentiasa berhati – hati dalam menegur dan mendidik anak – anaknya agar mereka menjadi anak yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia.
“Urm… Kejap lagi angah bangunlah ibu.” Jawab Fawwaz dalam nada yang keras. Sebetulnya dia sudah bangkit dari tidurnya seawal jam 6 pagi tetapi dia sengaja melambatkan dirinya untuk bangkit awal agar dia tidak bertembung dengan ibunya di awal pagi. Begitulah rutin hariannya. Setiap pagi Fawwaz pasti menunggu ibunya keluar berkerja di warung Pak Aji barulah dia akan bangkit dari tidurnya dan bergegas mempersiapkan diri untuk peri ke sekolah.
“Angah bangun ye nak. Ibu dah nak pergi kerja ni. Ibu dah siapkan sarapan angah kat atas meja. Nanti angah jangan lupa jamah sikit sarapan tu. Assalamualaikum.” Puan Fatiha berlalu meninggalkan Fawwaz yang masih menutupi badannya dengan kain selimut usang pemberian ibunya 3 tahun dahulu sempena kejayaan dia dalam peperiksaan UPSR.
Fawwaz membuka selimut yang menutupi wajahnya dan melihat ibunya berlalu meninggalkannya. Dalam hatinya terasa kecewa kerana dia sering melukakan hati ibunya. Sejak sebulan yang lalu, Fawwaz lebih suka berseorangan dan mengelakkan diri daripada bercakap dengan ibunya. Walaupun dia amat merindui pelukan dan ciuman kasih sayang ibunya di setiap pagi namun hatinya masih memendam perasaan kecewa terhadap ibunya.
Tanpa melengahkan waktunya, Fawwaz bangkit dari tilamnya dan menuju ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk. Dia tidak akan lupakan tanggungjawabnya pada Yang Esa meskipun dia tahu kini dia telah terlambat untuk ke sekolah. Sarapan yang di sediakan oleh ibunya dibungkuskan dan di bawanya olehnya ke sekolah.
Jarak antara sekolah dan rumahnya yang hanya memakan masa 15 minit perjalanan membuatkan Fawwaz tidak terlambat ke sekolah seperti biasa meskipun pada hari itu dia terlewat sedikit dari sebelumnya.
Seperti biasa kelas 3 Ilham sentiasa riuh rendah dengan gelak tawa penghuninya. Meskipun mereka tahu PMR sudah menghampiri mereka namun mereka tetap ceria bergelak ketawa dan yakin dengan usaha mereka sendiri. Fawwaz lebih suka menyendiri daripada bergelak tawa dengan rakan – rakannya. Kebetulan pada saat itu semua guru – guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Golok menghadiri mesyuarat, maka semua kelas-kelas pastinya ketiadaan guru.
*7 Julai 2012*
**
“IBU, kenapa ayah sudah lama tidak pulang?” tanya Fawwaz. Ketika itu Fawwaz melihat ibunya sedang menatap album kenangan keluarga mereka di dalam biliknya. Album ketika mereka tinggal bersama-sama ayah mereka di Bandar. Rumah tersebut terletak 5 km daripada rumahnya yang mereka huni sejak seminggu lalu.
Share this novel