BAB 7

Romance Completed 11420

“Ingat Najla Arissa binti Abdullah. Mulai hari ini, kau bukan lagi anak kami. Jangan kau jejakkan kaki kau ke sini lagi. Mati hidup kau aku takkan ambil peduli dah. Berambus!”

Tegarnya seorang ayah tatkala menuturkan kata-kata itu. Malah dengan sendirinya meletakkan ‘binti Abdullah’ kepada zuriatnya. Najla merenung sayu ke arah Tan Sri Badlisham dan Puan Sri Hasnida. Wajah papa dan mamanya beku sahaja. Tidak langsung bersimpati dengan diri Najla. Sayang? Lagilah tak nampak pada raut wajah mereka.

Najla sudah tidak ternangiskan lagi nasib dirinya. Sedar saat ini pasti akan tiba jua setelah dia berkahwin dengan Elman Putra. Elman awal-awal lagi sudah menyusupkan diri ke dalam Audi A4. Selepas bersalaman ala kadar dengan mertuanya, suaminya itu terus meninggalkan mereka anak-beranak di kawasan ruang tamu mewah itu, langsung tidak menoleh lagi.

‘Papa, sedarkah Papa? Walaupun Papa membuang Najla dari hidup Papa dan Mama, darah yang mengalir di dalam diri Najla ini tetap ada darah Papa dan Mama? Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku Ya Allah. Lembutkanlah hati Papa dan Mama. Aku sayangkan mereka Ya Allah. Kuatkanlah semangatku Ya Allah!’

“Mak Yam!” Jerit Tan Sri Badlisham. Beberapa saat kemudian, muncul seorang wanita berbaju kurung lusuh terkedek-kedek membawa dua buah beg besar dari bilik di bawah tangga.

“Ya, Tan Sri.” Tanya wanita tua yang dikenali sebagai Mak Yam itu. Tan Sri Badlisham mencampakkan satu sampul surat ke kaki Mak Yam. Terkedu Mak Yam melihat perilaku majikannya. Matanya melekat kepada sampul surat berwarna coklat yang terdampar di atas lantai.

“Itu gaji terakhir Mak Yam. Mulai hari ini, Mak Yam saya berhentikan. Mak Yam boleh berambus, ikut budak tak guna depan saya ni. Jangan pernah balik-balik ke sini lagi. Faham?”

Sakit hati Tan Sri Badlisham mengenangkan peristiwa ketika dia melibas Najla dengan tali pinggang. Wanita tua inilah yang berusaha melindungi Najla dari teruk dikerjakannya. Tak semena-mena Mak Yam pun turut mendapat habuan libasan sama.

“Mak Yam tak perlukan duit gaji ini Tan Sri, Puan Sri. Terima kasih sebab pernah menerima Mak Yam bekerja di sini dulu. Satu saja pesanan Mak Yam kepada Tan Sri dan Puan Sri. Jangan terlalu angkuh dengan status yang kalian pegang ini. Sekelip mata kalau Allah nak tarik nikmat itu, tanpa amaran, Dia akan tarik.

Dan lagi satu Tan Sri. Jangan pernah menidakkan zuriat yang lahir dari rahim Puan Sri dengan meletakkan binti orang lain ke atasnya. Kalau Najla itu ber‘binti Abdullah’ dan bukannya ‘binti Badlisham’, bukankah itu bermakna Puan Sri telah melakukan zina dengan lelaki lain sehingga melahirkan anak? Kata-kata kita merupakan satu doa Tan Sri. Wallahualam. Mak Yam pergi dulu. Terima kasih atas jasa Tan Sri dan Puan Sri memberi Mak Yam menumpang di rumah ini dulu. Assalammualaikum.”

Mak Yam terus menarik tangan Najla meninggalkan kedua-dua bekas majikannya yang masih terlopong dengan kata-kata berbisa Mak Yam. Najla memandang Tan Sri Badlisham dan Puan Sri Hasnida buat kali terakhir. Hatinya sayu tapi dia sudah bertekad untuk tidak menitiskan air mata lagi. Doa dititip semoga papa dan mamanya akan memaafkan kesalahannya suatu hari nanti. Sebaik memboloskan diri, Audi A4 milik Elman terus bergerak meninggalkan kawasan perumahan elit itu menuju ke rumah keluarga Elman di Putrajaya

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience