BAB 3

Horror & Thriller Completed 2427

Wanita ayu beranak satu itu mendekati Safar tanpa banyak soal. Senyuman manis dihadiahkan buat insan yang sering bertahta di hati. Nora melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan Safar.

Safar menarik pergelangan tangan Nora lalu dikucup lembut. Itu tanda kasihnya pada Nora. Tanda sayangnya yang tidak bertepi. Hanya satu yang berlainan dalam diri Nora. Perfume yang digunakan setiap malam agak aneh baunya. Seperti haruman pandan wangi. Setiap kali Safar mahu bertanya, mulutnya terasa berat. Terkunci. Akhirnya dia membiarkan saja tanda-tanya itu berlalu dari fikirannya.

“Abang, Nora sayang abang” ucap Nora lalu melentukkan tubuhnya, bersandar pada bahu Safar. Safar senang sekali. Ada damai di kolam hati kedua insan yang saling bercinta itu. Kegusaran dan kekeliruan Safar ketika berhadapan dengan Mostafa sebentar tadi hilang begitu saja.

“Abang tau. Sebab tu Nora kahwin dengan abang, kan?” usik Safar bersahaja.

“Nora dah jatuh cinta pada abang.” Nora memang nakal. Safar ketawa kecil sambil membelai anak rambut Nora yang menutupi dahi.

Tubuh Safar terasa di awangan. Setiap kali dia mendengar suara Nora, jiwanya menjadi sedingin salju. Damai, aman dan menyenangkan. Ditambah lagi dengan wajah Nora yang putih mulus dan ayu pada pandangan mata. Segala yang ada pada Nora telah menjadi sebahagian dari dirinya.

“Ermmm, saja je abang ni tau!” Nora menyandarkan tubuhnya pada sofa empuk yang dibeli oleh Safar dua tahun lalu. Mereka masih lagi berpegangan tangan. Tayangan di skrin TV sedang beraksi. Safar menonton dengan rasa teruja. Lebih-lebih lagi yang tersayang ada di sisi menemani.

Nora tidak faham hujung pangkal cerita yang ditonton. Kelopak mata Nora semakin berat. Cuba untuk bertahan namun ia semakin layu. Nora memaksa diri untuk terus berjaga demi untuk menggembirakan sang suami. Sayangnya, ia terus tertutup rapat. Akhirnya Nora terkulai di bahu Safar. Safar segera menoleh lalu lebar senyumnya.

“Tidur lena ya sayang,” bisik Safar sebaik sahaja merebahkan tubuh Nora di atas tilam empuk. Biarpun bisikannya tidak lagi didengari oleh Nora, Safar puas hati kerana dia masih bisa mengucapkan sesuatu yang bermakna buat Nora.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience