Blok 5

Horror & Thriller Series 22056

Aku melalukan tangan di atas pokok bunga yang tertanam di hadapan bangunan fakulti. Baunya yang semerbak tetapi lembut memenuhi rengkung hidung aku. Pandangan aku halakan ke langit yang biru namun mulai menggelap menunggu kehadiran hujan.

"Kenapa kau nak jumpa aku lagi ni." Aku memeluk tubuh tanpa memandang ke arah. lelaki itu.

"Aku nak minta maaf?" Dia menggaru sikunya.

"Aku dah maafkan kau, kau tak faham ke?" Aku merenung wajahnya geram.

"Kau still marah aku, takkan la kau dah maafkan aku." Ujar Khalil.

"Aku dah maafkan kau, aku cuma tak nak dipergunakan dah. Kalau kau pun mesti kau tak nak kan?" Tanya aku sebelum ketawa sinis.

"Aku minta maaf,okay. Aku terlepas cakap." Khalil mengulang lagi.

"Kita akan cakap benda yang bermain dalam fikiran kita. There is no such thing as terlepas cakap." Aku tersenyum sebelum berlalu pergi.

Kali ini dia tidak menahan aku juga.

Aku berjalan laju ke arah perhentian bas dan waktu itu seorang gadis sedang bercangkung di bawah sebatang pokok rendang melindungi diri daripada terik matahari.

"Biru." Dia berbisik namun cukup kuat untuk aku dengar.

"Apa dia?" Dahiku berkerut.

"Perasaan kau. Warnanya biru." Dia berbisik lagi.

"Apa maksud kau?" Aku mendekati dan berdiri di bawah pohon itu.

"Kau rasa terpinggir. Kau sunyi. Warna perasaan kau biru." Dia mengulang lagi.

"Macam mana kau tahu?" Aku ikut bercangkung di sebelahnya.

"Macam kau, aku pun ada kebolehan juga." Ujarnya buat aku tersentak. Macam mana dia tahu?

"Sekarang perasaan kau warna kuning. Kau terasa ingin tahu. Macam mana aku boleh tahu?" Ibarat boleh membaca fikiran aku, dia mengulang.

"Macam mana kau boleh tahu?" Aku pula ulang.

"Aku dah jawab. Aku ada kebolehan macam kau. Ketua aku selalu ceritakan tentang kau." Jawabnya sambil menguis tanah dengan batang kayu.

"Himawari jadikan kau hamba dia juga?" Aku berbisik.

" Tak. Bukan dia. Tapi aku juga hamba kegelapan. Warna perasaan kau. Warna biru itu.."Dia menujuk ke arah dadaku dengan jari telunjuk.

"Apa?" Tanyaku ingin tahu.

"Kalau warna biru itu berubah ke warna hitam, itu maksudnya kau dalam keadaan lemah. Kegelapan boleh kacau kau waktu tulah." Dia menerangkan.

"Jadi kenapa kegelapan bagi kau kuasa ni?" Tanya aku.

"Bila perasaan mereka berwarna hitam, aku boleh panggil kegelapan untuk kacau mereka. Kalau aku tak jumpa mangsa dalam tempoh masa yang lama, mereka akan ambil aku." Dia tersenyum. Seperti berbual perkara biasa.

Aku terkesima. Bukan aku seorang sahaja di sini yang diambil 'bekerja' oleh kegelapan.

"Warna perasaan kau sekarang warna ungu. Kau gembira sebab kau bukan seorang diri." Dia tergelak.

Aku menelan liur, seram juga budak ini.

Budak perempuan itu berambut pendek paras bahu. Berbaju kemeja kotak kotak dan seluar panjang. Kulitnya sawo matang dan senyuman yang manis dengan gigi siong di kedua dua belah giginya. Barangkali pelajar junior.

"Ana." Jawabnya tiba tiba.

"Una." Jawab aku tanpa dia bertanyakan.

"Lawaklah nama kita berdua. Dekat dekat sama." Ana ketawa kecil.

"Kan?" Aku jawab sebelum ikut ketawa kecil.

"Kau mesti banyak cerita seram kan? Ceritalah pada aku." Ana menumbuk bahu aku lembut, cuba menjadi rapat dengan aku barangkali.

"Tak bosan ke? Kau yang panggil kegelapan untuk kacau orang. Kau yang cipta kisah seram ni." Aku memutar mataku.

"Benda yang kita suka takkan buatkan kita bosan." Jawabnya yakin.

"Kau nampak bangunan tu?" Aku menunjukkan bangunan yang terpampang nombor lima di tengah tengahnya.

Dia angguk sekali.

Aku ada cerita pasal bangunan tu.

Beberapa tahun lepas ada seorang pelajar jurusan kimia, yang ambil master buat projek tahun akhir di situ.

Jadi dia akan selalu balik lambat.

Nama dia Bella.

Bella bukanlah seorang yang pendiam tetapi dia seorang yang berdikari. Tidak suka menyusahkan orang.Jadi dia apa sahaja kerjanya, dia akan siapkan seorang diri tanpa pertolongan orang lain.

Bella akan keluar masuk tiga lab untuk ambil barang dan lakukan analysis untuk projeknya. Ketiga tiga lab ini selalunya kosong kerana kurang digunakan staff makmal lain.

"Aduh, penatnya." Gadis itu mengeluh sambil mengurut belakangnya yang sakit kerana menunduk terlalu lama.

Jam menunjukkan pukul 4 petang. Dia masih banyak kerja belum disiapkan. Pasti dia kena pulang lewat lagi.

Bella sejujurnya tidak kisah balik lambat kerana kemudahan telah disediakan semuanya. Tandas dan surau bersih dan sedia untuk digunakan.

Jikalau penat boleh sahaja dia berehat di surau sebentar sebelum menyambung kerja.

Hari ini dia memutuskan untuk pulang pukul 10 malam. Sebenarnya pihak universiti tidak membenarkan makmal digunakan selepas pukul 5.

Tetapi apa Bella kisah? Ini Bella lah, mana takut dengan undang undang.

Petang itu setelah selesai makan bekal, dia ke surau untuk solat asar dan berehat sebentar. Sewaktu dia masuk ke dalam surau, seseorang bertelekung putih sedang solat.

Bella mencuba untuk tidak membuat suasana terlalu bising dan segera mengambil wuduk.

Setelah dia keluar dari ruang wuduk, wanita tadi sudah tiada.

Wujud curiga dalam hati Bella. Cepat betul dia solat.

Bella mencuba berfikiran positif, mungkin dia sudah di rakaat terakhir. Dia kemudiannya memakai telekung dan mula bersolat.

Tiba tiba, dia rasa tidak sedap hati. Seperti seseorang memerhatikan dia.

Liur ditelan.

Kemudian dia sujud. Pada waktu itu, dia dengar bunyi kain diseret di atas lantai. Seperti seseorang yang berkain labuh sedang berjalan di sebelahnya.

Dia bangkit dari sujud. Tiada siapa.

Dia berusaha sedaya upaya menamatkan solatnya biarpun sukar. Dia mengingatkan dia sedang dijaga Allah. Allah ada untuk menjaganya.

Usai memberi salam kedua, dia menoleh melihat belakangnya. Tiada sesiapa pun.

Dia menunduk dan membaca ayat kursi menenangkan hati yang berbolak balik. Dia yakin itu cuma mainan perasaan.

Selepas menanggalkan telekung dia bersandar di dinding surau. Dia mahu menanti waktu maghrib masuk dalam 7 minit lagi.

Mata dipejam kepenatan.

Apabila mata dibuka, seorang gadis masuk ke dalam surau. Dia senyum.

"Eh, tak balik lagi?" Bella beramah tamah. Sedikit lega ada yang menemaninya.

"Ya, ada kerja." Jawabnya.

"Oh samalah dengan saya." Bella membalas. Dia sekadar senyum dan duduk bersandar di dinding surau itu.

Bella menutup matanya kembali untuk seketika. Tidak lama kemudian azan berkumandang.

Bella terus membuka mata untuk bersolat. Dia terus berdiri di sejadah dan berniat.

Saat itu, khusuknya diganggu-gugat. Mana gadis tadi? Bella tidak nampak pun dia tadi ketika dia terbangun.

Mungkin dia pergi ke tandas barangkali.

Bella meneruskan tiga rakaatnya dan memberi salam terakhir. Gadis tadi masih belum kembali.

Dia pun mengemas barang barangnya dan kembali ke makmal.

Dia memulakan analisis kimianya cepat cepat. Ingin pulang awal sedikit. Rasa tidak sedap hati pula.

Telefonnya dipasang ayat Al-Quran

Setelah dia menuang bahan kimia ke dalam bikar, dia menunduk untuk menyimpan semula botol ke dalam rak.

Apabila dia bangun semula, bikar tadi kosong.

Liur ditelan. Dia yakin dia sudah menuang asid sulfurik ke dalam bikar tersebut.

"Astaghfirullahalazim." Monolognya. Dia kemudiannya menuang semula bahan kimia itu dan berharap ia tidak berulang lagi.

Kali ini dia berjaya.

Setelah beberapa analisis dibuat, dia memutar tuil penunu bunsen untuk menutup apinya.

Pada waktu dia mengalihkan tangan dari tuil itu, penunu itu terbuka semula malah dengan api yang lebih marak.

Bella yakin, ini bukan khayalan lagi.

Sampai sini sajalah kerja dia hari ini. Dia menutup penunu bunsen itu sekali lagi dan mengemas barang barang untuk pulang.

Kot makmal yang putih dialihkan dari badan dan jeritan memenuhi makmal itu.

Jeritan Bella sendiri.

Kot makmalnya dilumuri darah merah.

Bella panik meneliti badannya sendiri, takut takut terluka. Tetapi dia tidak merasa sakit pun.

Mata kemudian melihat semula ke arah kot itu.

Ianya putih. Bersih. Tiada cela sedikit pun.

Bella hampir menangis.

Dia terus mengambil begnya dan berlari keluar tanpa mengambil kot tersebut. Biarlah dia ambil esok.

Dia berlari ke pintu depan makmal, dari sisi mata, dia nampak dua orang sedang berlari di cermin makmal itu.

Bayang seorang itu dia. Yang seorang lagi itu, bukan dia.

Seperti mahu terkeluar jantungnya dia berlari ke arah lif dan menekan butang berkali kali sebelum pintu lif terbuka.

Dia masuk dan menyeka air mata yang keluar sedikit.

Dia hampir menjerit kerana di setiap tingkat, pasti lif itu berhenti walaupun tiada siapa yang naik.

Bella sudah tidak tahan lagi jadi dia keluar dari lif dan menggunakan tangga.

Di tangga itu dia yakin bunyi derap kaki yang berlari turun bukan milik dia seorang. Ada yang mengikutinya dia belakang.

Sesampainya di bawah dia menelefon rakannya.

" Aliya, tolong aku. Tolong ambil aku kat perhentian bas.." Dia menangis sambil berlari ke perhentian bas. Dia tidak mahu lagi tunggu dia perhentian bas. Dia takut.

"Bella, aku okay ke tak ni?" Aliya risau.

"Kau datang jelah." Dia seakan akan merayu.

" Kau seorang je ke?" Aliya bertanya.

" Yelah." Jawab Bella, sedikit marah. Dia tidak mahu lagi menjawab panjang panjang.

Dia tidak tahu, Aliya tanya kerana Aliya dengar suara orang lain sedang ketawa berdekatan situ.

Bella meletakkan telefon dan berdiri di bawah bumbung perhentian bas itu. Dalam bibir digigit cemas.

Dia hanya ingin pulang. Badannya rasa seram sejuk. Nafasnya jadi pendek.

Ini tidak mungkin terjadi kepadanya. Bella sudah lama belajar di situ ini kali pertama dia dikacau.

Tidak lama kemudian Aliya sampai dengan kereta sewa yang digunakannya untuk dijadikan kereta tumpang.

Aliya diam sahaja apabila Bella masuk ke dalam keretanya.

"Aku dah cakap Bella. Jangan berani sangat." Aliya menggerakkan kereta.

"Apa maksud kau?" Bella merenungnya." Aliya… Aku takut." Bella mula menangis apabila Aliya tidak menjawab.

"Tidur rumah akulah malam ni. Esok aku hantar kau pergi kelas." Aliya menepuk belakangnya."Ada benda belakang kau tadi kat perhentian bas." Sambung Aliya.

"Ish,seram jugak ya." Ana merenung bangunan blok lima itu.

"Kan. Seram juga kan." Aku tersenyum senget.

"Aura bangunan ni pun lain dari bangunan lain. Aura dia warna hitam." Ana bersuara.

" Oh." Jawab aku pendek.

"Anyway, boleh tak nak nombor engkau?" Dia bangun dari posisi bercangkung. Aku pun ikut bangun.

" Untuk?" Tanya aku.

" Bukan senang jumpa kawan sekerja." Ujarnya sinis.

Aku tergelak lalu menyebut nombor telefonku dan dia memasukkannya ke dalam telefonnya.

"Kalau apa apa aku call engkau okay." Ana melambai sebelum menaiki bas yang menghala ke kolej kediaman luar kampus.

Langit yang tadinya gelap kini mulai runtuh. Hujan turun dengan lebatnya tanpa ada renyai renyai pada awalnya.

Ibarat seseorang yang menjerit tiba tiba. Aku berlari ke bawah bumbung perhentian bas.

Dari dalam kesamaran hujan, aku mengecilkan mata untuk melihat lebih jelas. Aku nampak gadis dalam memori gelap Bella sedang merenung aku di tingkap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience