Kasih Yang Terbagi 1

Short Story Series 2756

Suasana petang itu seredup hatinya. Angin bertiup perlahan bagai memberi ketenangan pada jiwanya. Dia mendongak melihat langit ciptaan-Nya. Biarpun kepul-kepul awan putih yang tebal berlegar, namun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk hujan. Didada langit itu cerah dan biru. Pandangan dibuang jauh ke penghujung lautan. Garisan berwarna keunguan pertemuan antara biru lautan dan jingga mentari petang diperhati bagai mencari penghujungnya. Sesekali rambut yang keperangan semula jadi beralun tanpa rentak disapa angin itu diselit kebelakang telinga. Lantas kaki diatur menuju batu besar sebelum punggung di letak perlahan. Disisinya kelihatan balang kaca sebesar pemeluk dan kertas memo kecil berwarna biru dan ungu. Balang kaca itu separuh terisi dengan hasil kerja tangannya. Dia tersenyum.

***

“ Sarah tak mahu!” Petang itu, banglo putih seakan bergegar dengan jeritan nyaring Sarah Inani. Tergamam Suraya mendengar suara nyaring anak sulungnya.

“ Sarah, sampai bila Sarah nak jadi begini? Setiap kali cuti sekolah Sarah balik ke rumah Mak Pah. Jarang sekali Sarah mahu pulang ke rumah. Kalau balik Penang pun setakat dua tiga hari saja.” Sarah Inani hanya membungkam mendengar suara lirih ibunya. Bukan dia tidak mahu pulang ke rumah, tapi dia tidak betah berlama-lama di sini. Semua kerana insan itu.

“ Sarah janji Sarah akan balik ke rumah setiap kali cuti sekolah. Tapi mama tak perlulah sampai suruh Sarah tukar sekolah. Sarah suka sekolah tu.” Suraya menggeleng kepala sebelum melepaskan nafas berat.
“ Baiklah, mama anggap itu sebagai satu janji.” Tutur Suraya sebelum berlalu pergi. Sarah Inani berdengus kasar.

Baru sahaja dia mengangkat punggung kelihatan Sihran Iftiqar berlari anak menuju ke pintu utama. Selang beberapa saat kedengaran bunyi motosikal memasuki perkarangan rumah.

“ Abang Reza ada belikan benda tu itu Iqqy tak?” Mendengar suara manja Sihran Iftiqar membuatkan Sarah Inani berdengus kasar buat sekian kalinya. Ini antara sebab kenapa aku tak gemar balik rumah. Kalau dengan aku tak pula Si Iqqy tu berkejar ke pintu. Dengan Hamba Allah tu boleh pula sampai tak cukup tanah berlari. Sarah Inani berlalu masuk ke biliknya.

***

Sarah Inani menngheret kaki menyusur pantai Teluk Bahang dengan malas. Suasana pantai yang sibuk itu langsung tidak menarik perhatiannya. Lantas kaki diatur menuju ke batu besar dipersisiran pantai. Sambil kakinya menyepak perlahan air laut, lagu Here Comes The Rain-A1 sengaja dikuatkan volum sehingga memekakkan pancainderanya. Ralit dengan lagunya sehingga konsetransinya diganggu dengan cuitan di bahu kanannya. Sarah Inani berdengus melihat Reza tersenyum manis kepadanya sebelum meletakkan punggung berdekatan dengannya.

Sarah Inani langsung tidak mengambil peduli insan disebelahnya itu, terus melayan lagu-lagu dalam iPodnya. Namun, alunan lagu yang sayup-sayup menjengah telinganya membuatkan dia memperlahankan suara iPodnya itu. Alunan biola menyanyikan lagu perlahan meruntun jiwa pada sesiapa yang mendengarnya. Seketika kemudian kelihatan beberapa orang mengerumuni batu besar itu. Sarah Inani mencabut earphone dari telinganya. Pandangan yang bersulam rasa tidak percaya dituju khas buat Reza yang sedang asyik menggesek biolanya. Bunyi tepukan mematikan lamunan Sarah Inani. Sementara Reza tersenyum.

“ Macam mana? Terpikat?” Sarah Inani berdengus kasar.

“ Mama cakap, Sarah suka lepak di sini.” Sarah Inani hanya membatukan diri. Sekali lagi dia terpaku apabila Reza kembali mengalunkan biolanya. Lagu yang tidak diketahui tajuknya itu menyentuh hatinya. Sayup dan gemersik pada pendengarannya.
“ Ada apa cari saya sampai ke sini?” Reza tersenyum. Pertanyaan Sarah Inani tidak dijawap sebaliknya gesekan biola menjadi semakin rancak.

“ Abang tahu Sarah benci abang dangan ayah.” Tutur Reza yang perlahan itu membuatkan Sarah Inani berpaling laju.

“ Siapa cakap?” Reza hanya tersenyum. Biola ditangan diletakkan ketepi.

“ Orang cakap, hati dan perasaan kita tidak boleh pertikaikan. Perasaan itu terlalu luas untuk disorok dalam hati manusia yang kecil.” Tutur Reza tanpa memandang Sarah Inani.

“ Saya tak benci siapa-siapa pun.”

“ Tak benci, tapi sentiasa mengelak dari kami?” Reza masih tidak mengalihkan tumpuan pada biolanya menutur tenang. Sarah Inani menjeling. Sibuk je orang tua ni.

“ Orang tua-tua cakap, kalau kita asyik menjeling, nanti kita jatuh sayang pada orang yang dijeling.” Sarah Inani mengepam pipi, geram dengan sikap Reza yang dirasakan tidak tahu malu itu. Muka tembok, getus hatinya.

“ Abang suka lagu tadi. Dan abang rasa Sarah pun macam tu juga, kan?” Eh? Apa motif orang tua ni bagitahu aku dia suka lagu tu ke tak. Ada ke aku ambil kisah?

“ Bukan masalah saya.” Tutur Sarah Inani dingin. Reza hanya tersengih sebelum mengangkat punggung dari duduknya.

“ Jom la balik. Dah nak maghrib ni.” Tuturnya tenang sambil menghulurkan tangan pada Sarah Inani.

“ Saya boleh bangun sendiri.” Sarah Inani menepis kasar tangan Reza. Biarpun pelbagai tindak-tanduk, tutur kata yang kasar dilemparkan pada insan yang bernama Reza ini, hanya senyuman dan tawa kecil yang diterima sebagai balasan. Sarah Inani buntu. Apa tidak punya perasaankah dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience