“HAJI Mizhan ni biar betul? Ada nampak ke diorang bergaduh semalam?” seorang pemuda yang duduk di warung kopi itu menyoal.
Lelaki bernama Haji Mizhan itu meraup muka banyak kali. “Astaghfirullah, mana ada aku cakap diorang bergaduh. Aku cuma cakap yang aku nampak Kasyaf datang rumah Hadi semalam. Tak ada bergaduh pun. Yang bising-bising cuma bini dia si Masyitah tu aje… Kau ni lupa korek telinga ke?”
Pemuda itu menggaru kepala. “Jadi siapa yang buat?”
“Haisy, kau tanya aku ke Majid? Ada nampak muka aku ni macam polis ke? Itu aku tak tahu. Kita serahkan siasatan kepada polis. Biar diorang je buat kerja.” sambung Haji Mizhan lalu menghirup kopi.
“Haji rasa, Kasyaf ke yang buat? Haji tak rasa ke yang kita patut bagitahu pasal ni dekat polis?” Majid menyoal lagi.
“Entahlah, aku malas nak masuk campur. Aku pun sebenarnya bukan suka sangat dengan si Hadi tu…” suara Haji Mizhan perlahan tapi cukup kedengaran.
“Eleh, senanglah hati haji. Tak ada dah orang nak kacau haji masa bertanding jawatan ketua kampung nanti. Betul tak?” Majid memerli orang tua itu.
“Kau cakap elok sikit. Kau ingat aku syaitan ke apa, nak meraikan kematian orang?” Haji Mizhan menyiku Majid yang mulut lepas.
“Tapikan haji, apa yang digaduhkan si Kasyaf dengan Hadi tu? Haji ada dengar ke?” Majid menyoal sekali lagi. Nampak sangat busy bodynya. Belum sempat Haji Mizhan menyambung, Kasyaf tiba-tiba melintasi hadapan meja mereka.
“Minum Majid, minum. Order air lagi kalau kau nak. Aku belanja,” spontan Haji Mizhan ubah topik kerana cuak.
“Sihat haji??” Kasyaf ramah menegur.
“Alhamdulillah sihat,” Haji Mizhan membalas dengan senyum janggal. Terkejut dia dibuatnya.
AMELIA asyik dengan aiskrimnya. Dia duduk di kerusi, menghayun-hayun kaki sambil mendengar perbualan Kasyaf di telefon.
“Berapa lama saya boleh dapat kunci rumah ya? Boleh pindah masuk secepat mungkin tak? Saya nak dalam minggu ni kalau boleh.”
Perbualan ayahnya kedengaran serius, namun tidak satu pun Amelia faham.
“Baik. Terima kasih ya.” Kasyaf mematikan panggilan. Sesaat dia menoleh, dia terpandang Amelia di belakangnya.
“Amy, ayah ada benda nak bagitahu ni.” Kasyaf mendekati dan mengambil tempat duduk bersebelah Amelia.
“Ada apa ayah?”
“Kita kena pindah.”
Amelia hanya mengangguk.
“Amy kena tukar sekolah baru.” tambah Kasyaf lagi.
“Okay,” balas Amelia bersahaja.
“Hm, Amy okay ke ni? Tak sedih ke pindah?” Kasyaf menyoal hairan kerana Amelia begitu tenang dengan perkhabaran itu. Jarang kanak-kanak seumurnya setenang itu apabila mahu berpindah rumah.
“Tak pun ayah. Lagipun, Amy tak pernah ada kawan dekat sini. Sunyi,”
Kasyaf memaut bahu Amelia yang nampak agak sedih. Dia faham anaknya kesunyian. “Ayah bukan kawan Amy?” usiknya.
“Eh, mestilah!” Amelia tersenyum. Mereka berpelukan.
KELAS yang hingar-bingar bertukar sunyi ketika Cikgu Fateha melangkah masuk.
“Selamat pagi semua pelajar. Hari ini, kita akan menerima seorang pelajar baru.” Cikgu Fateha menoleh ke arah Amelia, tetapi Kasyaf masih menemani.
“Er, encik. Kalau pendaftaran dah selesai, encik boleh pulang dulu ya.”
“Saya tunggu sini sekejap je. Nanti saya balik.” Kasyaf hanya bersandar di pintu kelas tak mahu berganjak.
“Oh okay, tak apa.” Janggal, Cikgu Fateha mengalih perhatian kepada Amelia pula. “Awak boleh perkenalkan diri kepada kawan-kawan.”
Amelia mengukir senyuman manis. Dia berdiri di hadapan kelas barunya. “Hai semua. Nama saya Amelia, boleh panggil saya Amy.” ucapnya sambil melambai.
Seorang pelajar lelaki memandangnya begitu tertarik. “Tak nak. Saya tak nak panggil dia Amy.” dia tiba-tiba bersuara.
Seisi kelas termasuk Amelia memandang pelajar lelaki itu. Cikgu Fateha turut tercengang. “Kenapa Taqif? Ada masalah ke?” soalnya.
Taqif hanya tertawa kecil. “Kalau saya nak panggil awak sayang boleh?”
Amelia dah kerutkan muka, jijik dengan apa yang didengarnya. Pelajar lain pula bergelak ketawa dengan gurauan Taqif. Kasyaf bulat mata kerana terkejut.
“Diam semua! Tak reti nak hormat orang ke nak cakap macam tu?” Cikgu Fateha mula membebel, geram dengan gelagat pelajarnya. Risau juga kerana Kasyaf masih di situ. “Amelia jangan ambil hati ya. Silakan duduk.”
Amelia hanya mengangguk. “Encik, minta maaf ya perangai pelajar saya macam tu.” Cikgu Fateha cepat-cepat meminta maaf. Dia bertukar cuak ketika Kasyaf hanya tajam merenung Taqif.
“Encik?”
Tanpa memandang, Kasyaf terus berlalu pergi.
“Garangnya bapak kau,” Taqif hanya ketawa mengekek dan terus mengusik Amelia, tapi gadis itu malas melayan.
Berpindah jauh daripada tempat tinggal lamanya banyak mengubah sikap Amelia. Daripada pendiam dan suka menyendiri, dia kini mampu membuat kawan baharu walaupun sedikit.
“Ayah belikan telefon ni untuk bantu Amy belajar ya. Bukan untuk berkenalan dengan orang bukan-bukan.”
Amelia dah menginjak remaja. Banyak perkara yang merisaukan Kasyaf memaksanya mengawal pergaulan gadis itu.
“Isy ayah ni, saya tahulah!” Amelia hanya mengeluh. “Malu je dengan kawan-kawan lain, diorang semua dah ada telefon dari sekolah rendah. Saya je baru ayah belikan.”
“Ayah cuma nak Amy fokus belajar, itu je.”
“Hidup ni bukan segalanya tentang belajar pun.” Amelia menjuih bibir.
“Tapi dengan belajarlah Amy tahu segalanya untuk hidup…” Kasyaf cuba menasihati, tapi Amelia hanya tutup telinga.
“Bosanlah ayah ni…” Dia bangun dan terus menuju ke bilik.
Tahun demi tahun berselang…
“SELAMAT pagi, ini cik Amelia binti Kasyaf ke?”
Seorang posmen berhenti di pagar rumah. Amelia mendekati lelaki itu dengan perasaan berdebar.
“Ya saya. Ada surat untuk saya ke?”
Posmen tersebut menghulurkan sepucuk surat dan menyerahkannya kepada Amelia.
“Terima kasih!” teruja, terus dia berlari ke dalam rumah bersama surat itu. Kelam-kabut dia mengoyakkan hujung sampul dan membaca isi dalamnya. Sesaat, wajahnya yang tadi senyum bertukar hampa.
“Kena reject lagi?” dia menepuk dahi. Masuk kali ini, dah lima syarikat penerbitan menolak manuskrip novelnya. Kasyaf yang kebetulan melintasi ruang tamu memandang Amelia penuh tanda tanya. “Kenapa sayang?”
“Ayaaahhh…” Amelia menghampiri dan memeluk ayahnya. “Saya kena reject lagi. Penatlah macam ni…”
Kasyaf ikut mengeluh. Kalau Amelia sedih, hatinya rasa lebih kecewa.
“Apa feedback diorang?”
“Hmmm… Diorang kata, cerita saya ni kurang ‘kick’ dan tak cukup baik untuk diterbit. Saya rasa sebab saya kurang pengalamanlah ayah. Asyik terperap dekat sini je. Tak berkembang langsung.”
Kasyaf diam tiada jawapan.
“Ayah, sayakan teringin nak keluar ke bandar. Nak menyewa rumah dekat sana. Boleh timba pengalaman, berkenalan dengan orang baru. Dekat sini tak ada inspirasilah. Taman perumahan ni tenang sangat, tak ada mood nak menulis horror.” Amelia meluahkan segala yang terbuku di dadanya. Dah lama dia ingin keluar, tetapi Kasyaf sering melarang.
“Tak perlulah sampai berpindah. Dekat internet pun banyak inspirasi. Tak pun, beli je novel-novel yang bagus.” Kasyaf memberi alasan. Dia hakikatnya sudah tidak senang hati. “Minta je, nanti ayah bagi duit.”
“Isy ayah ni. Tak memahami langsung.” Amelia melepaskan pelukan. “Orang cakap pasal pengalaman sebenar, suasana sebenar, orang yang sebenar. Sampai bila nak membaca dan tengok dalam skrin je. Tepu otak.”
“Tapi Amy…”
“Tapi apa ayah? Ayah dari dulu macam ni. Tak pernah nak bagi saya tengok dunia luar pun. Nak berkawan pun ayah tak bagi. Kawan setakat dua tiga ketul, itu pun ayah tak bagi saya lepak dengan diorang selalu. Jumpa dekat sekolah je. Ni dah habis sekolah, langsung tak jumpa. Diorang pulak dapat masuk universiti. Saya kat sini? Terperap je.” Amelia mula berleter panjang. Dia dah bosan hidup begitu, asyik dikongkong ayahnya.
“Ayah tak percaya Amy keluar. Amy mentah lagi.” ringkas jawapan Kasyaf.
“Mentah? Ayah sedar tak umur saya berapa sekarang? Saya dah 20 tahun tau! Ayah ingat saya budak-budak lagi ke?” Amelia mula membentak.
“Kalau ayah cakap tak boleh, tak bolehlah! Ayah cakap sekali je. Tak boleh!”
“Hm, apa-apa jelah! Malas nak bercakap dengan ayah lagi.” rajuknya memeluk tubuh.
“Amy…” Panggilan Kasyaf tidak diendah. Dia memandang anaknya meluru masuk ke dalam bilik meninggalkannya sendiri.
“Kalaulah Amy faham apa yang ayah rasa.”
SEKUMPULAN pemuda termasuk Taqif berbual ketika berada di parkir motorsikal.
“Jo. Race malam ni, on tak on?”
Jo yang menyalakan rokoknya hanya mengangguk. Dia lebih fokus kepada paparan Whatsapp di skrin telefonnya.
“Chat awek hari tu lagi ke? Kata dah move on.” Taqif sempat memerli.
“Tunang aku bro, bukan awek.” balas Jo acuh tak acuh.
“Untunglah ada orang sangkut. Aku ni sendu lagi.” Taqif tertawa mengenang kesunyiannya. Wajah tampan, tapi tak ada yang berkenan. Maklumlah, belajar pun kurang pandai, asyik nak melepak sahaja.
“Kau tak ada kawan-kawan sekolah lama ke yang kau contact? Tak try sesiapa? Manalah tahu lekat.” Jo memberi cadangan.
“Kawan sekolah eh? Hm, ada ke yang lawa?” Taqif mengurut dagu, cuba mengingati setiap wajah yang pernah dikenalinya. Tiba-tiba, dia mengukir senyum.
“Aku ada teringat sorang budak perempuan ni. Masa darjah enam, dia baru pindah sini. Putih comel budaknya. Dah masuk sekolah menengah, fulamak… Cun betul.”
“Siapa ni? Macam kenal je… Tapi aku tak ingat nama.” Jo memandang Taqif menanti jawapan.
“Amy. Yang free hair, mata bulat tu. Ingat tak?”
Jo berfikir sejenak. “Macam ingat. Kau tak ada nombor phone dia ke? Cuba la contact balik.”
“Ada, tapi aku rasa dia block akulah masa sekolah dulu. Sebab aku suka kacau dia. Hahah, menyesal pulak aku kacau lebih-lebih.” Taqif tergelak sendiri mengenang perangai kanak-kanaknya.
“Kalau dari dulu kau layan dia elok, mesti lekat dah.”
“Tak jugak bro. Bapak dia garang nak mampus. Dengan Amy je dia baik, dengan aku jeling-jeling je.”
“Sumpahlah? Hahahah, tak ada chance la kalau macam tu. Membujanglah kau sampai mati.” Jo gurau kasar lalu kepalanya ditujal. Terpelanting rokok di bibir jatuh ke tanah.
“Siallah kau ni. Ganti balik rokok aku. Tu batang last tu.”
Dua rakan itu berjalan ke dalam kedai runcit berdekatan untuk membeli rokok.
“Pasal Amy tadikan, aku teringat satu cerita masa aku sekolah menengah dulu. Kau pun kenal nakal aku macam manakan?” Taqif menyua sebatang rokok ke bibir sebelum sambung bercerita.
“Apa dia?”
“Dulu masa sekolah, aku pernah intip bilik sukan tau. Masa tu, budak-budak perempuan kelas aku sedang salin baju sukan.”
“Uish! Nampak apa-apa yang best ke?” soal Jo penuh minat. Segar-bugar matanya.
“Mestilah… Masa tu, budak Amy tu pun ada sekali tau dalam tu.” Taqif mengangkat kening.
“Lepas tu apa? Kau nampak apa? Cepatlah…” Jo terus mendesak.
“Aku nampak, jeng jeng jeng…”
“Kau nampak apa sial? Geram pulak aku.”
Taqif ketawa mengekek.
“Aku nampak…” sambil membisikkan suaranya, dia merapati Jo. “Aku nampak Amy pakai baju dalam je tau. Lawa gila weh kulit dia, badan dia. Sampai tegak ‘barang’ aku.”
Pop!
Plastik tepung yang dipegang Kasyaf meletup kerana dikepal terlalu kuat, sampai bertaburan isinya di lantai kedai runcit tersebut.
Hati Kasyaf terbakar mendengar segalanya.
Share this novel