Terasa penat melangkah membuatkan aku berhenti sejenak. Nafas dihirup berulang kali bagi menstabilkan laluan pernafasan. Aku duduk terbongkok sambil memegang kedua belah lutut aku. Pada ketika itu, aku terpandang salah satu batu nisan di sebuah kubur. Terdapat nama dan sekeping gambar di atas batu nisan tersebut. Apabila diamati wajah di batu nisan itu saling tidak tumpah dengan wajah pekerja wanita berambut perang di Hotel Ludwig.
Aku beralih ke kubur yang lain. Batu nisan itu memaparkan pula sekeping gambar kusam. Dia juga merupakan pekerja wanita yang pernah aku lihat sebelum ini. Aku meraup wajah berulang kali. Rambut disibakkan ke belakang. Fikiran aku terbejat dan benar-benar kusut. Bukan dua buah kubur itu sahaja, bahkan hampir kesemua kubur itu mengandungi gambar-gambar pekerja hotel tersebut.
“Psst!”
Suara itu membuatkan aku berkalih. Aku lihat kanak-kanak perempuan yang aku langgar tempoh hari sedang berdiri di sebuah pokok rending. Dia menggamit tangan memanggil aku ke arahnya. Aku melangkah menuju ke arahnya. Entah mengapa rasa takut aku hilang. Mungkin dibius oleh persoalan demi persoalan yang mengasak minda.
Aku berdiri di hadapan kanak-kanak perempuan itu. Dia merenung ke arah aku. Anak matanya jelas terpamer ketakutan. Dia tertoleh-toleh ke arah kiri dan kanan. Dia memanggil aku supaya lebih dekat lagi ke arahnya. Aku hanya menurut. Wajah aku didekatkan dengan wajahnya.
“Larikan diri dari Hotel Ludwig.”bisiknya perlahan.
Aku merenung wajah kanak-kanak itu. Aku mengharapkan jawapan darinya bagaimana cara aku dapat melepaskan diri dari hotel itu.
“Cari bilik itu. Tapi jangan sampai kapten tahu.”bisiknya lagi.
“Bilik apa?”tanya aku pantas.
Dia tertoleh lagi ke arah kanan dan kiri di belakangnya.
“Bilik jasad-jasad tersimpan.”
Kening aku berkerut mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Baru sahaja aku ingin bertanya lagi, kanak-kanak itu berlari. Dia memegang tangan aku dan menarik aku supaya turut sama berlari. Aku berkeras tidak mengikutnya.
“Kenapa ni?”soal aku.
“Dia dah sampai. Cepat lari!”suaranya kedengaran cemas.
“Siapa dia?”tanya aku ingin tahu.
“Dia yang….”
Tidak sempat kanak-kanak itu menyudahkan ayatnya, tubuhnya terpelanting secara tiba-tiba. Berputar beberapa kali di angkasa lalu menghentam sebatang pokok sebelum terhempas ke tanah. Dia menjerit kesakitan. Tubuhnya mengeluarkan bilah-bilah cahaya kebiruan sebelum terus lenyap.
Aku tergamam seketika. Sebaik aku berkalih, satu susuk wajah buruk yang bertanduk dua melengkung di bahagian dahi muncul secara mendadak di hadapan aku. Dia menderam dengan buaran nafas yang ganas. Satu tempikan dahsyat dilakukan membuatkan aku terpaksa menutup telinga menahan kebingitan. Aku terduduk di atas tanah.
“May God have mercy on your soul!!!”
Aku terjaga mendadak daripada tidur. Mimpi sebentar tadi berkecai. Nafas aku turun naik seolah-olah pelari pecut 100 meter yang baru sahaja menamatkan larian. Sekujur tubuh aku dibasahi keringat. Aku meraup wajah berulang kali, Rambut aku sibakkan ke belakang.
Mimpi yang aku alami sebentar tadi dirasakan seolah-olah benar-benar berlaku. Aku dapat merasakan ketakutan saat makhluk bertanduk tadi muncul. Namun persoalan besar bermain di fikiran aku kini. Siapa sebenarnya budak perempuan itu? Apa yang pasti aku dapat melihat dia seolah-olah bersungguh-sungguh cuba menyelamatkan aku dari lingkaran misteri yang membelenggu aku kala ini. Aku mengeluh kasar dan keras. Sungguh aku tidak faham dengan perkara yang melanda aku ini.
Share this novel