Una (2)

Horror & Thriller Series 22056

"Kau dah cakap apa?" Suatu suara membisik di telinga kami.

Kami menoleh dan Khalil sedang berdiri di belakang kami. Lelaki itu kemudiannya menarik kami dengan kasar untuk keluar dari balik itu.

Aku berusaha untuk melepaskan genggaman tangannya dari pergelangan tangan aku. "Lepaskan aku, pengkhianat." Aku meludah wajahnya sebelum aku ditampar kuat dan jatuh ke tanah.

Aku menggunakan peluang itu untuk melarikan diri sebelum seseorang menarik rambutku dan aku jatuh sekali lagi. Aku mengerang kesakitan.

Aku angkat kepala dan kelihatan seorang gadis di depan aku. Dia mengangkat aku bangun dan aku ditarik ke bawah lubang awan yang terbuka itu.

Aku dijatuhkan melutut. Tangan aku diikat dia belakang.

" Oh, jadi inilah pengikut kegemaran Himawari tu?" Gadis tersebut tersenyum sinis di hadapan aku. Tahu yang aku sudah tiada tenaga untuk lari lagi.

"Bodohnya kau ni Una. Aku tak sangka kau sebodoh ni." Khalil ketawa sekuat hatinya. "Kau percaya yang aku perlukan pertolongan kau?" Dia menyambung lagi. " Aku Khalil lah. Aku tak perlukan sesiapa pun." Dia menunjal dahi aku.

"Kau panggil aku pengkhianat?" Khalil bertanya sewaktu dia menunduk supaya wajahnya dekat dengan wajah aku. "Ya, kau pengkhianat. Kau tipu aku." Aku merenung tepat ke matanya.

"Lawaklah kau ni. Kau tahu tak siapa pengkhianat yang sebenarnya dekat sini?" Khalil ketawa lagi. Aku diam.

"Dia ni sebenarnya pengkhianat paling besar dekat sini." Khalil menolak Ana jatuh di depan aku.

"Pengikut Maha tapi tolong pengikut Himawari. Kau sepatutnya tolong kami, bodoh." Dia menyepak perut Ana dan Ana kini tertiarap menahan sakit. "Tak mengenang budi. Kau tahu tak Maha yang selamatkan kau selama ni?"

"Lepaskan dia. Aku yang paksa dia tolong aku." Aku menipu.

"Kau ingat aku tak kenal kau ke, Una? Una takkan pernah paksa orang lain untuk tolong dia." Khalil mengingatkan membuat aku tersentak. Dia betul.

Khalil kenal aku. Betul betul kenal aku. Sehingga dia boleh mempergunakan aku seperti ini. Air mata aku mengalir. Takut, sedih, kecewa dan marah memenuhi kotak perasaan aku sehingga semuanya meluncur keluar dalam bentuk air mata.

"Jangan nak mintak belas kasihan pulak." Gadis tadi ketawa sinis di sebelah Khalil. "Ya. Jangan nak mintak belas kasihan pulak." Khalil mengulang apa yang dikatakannya semata mata untuk menyakitkan hati aku lagi.

"Kalau kita bunuh dia, aku yakin Himawari akan sangat sedih." Gadis itu berbicara semula. Mata merenung ke atas portal yang terbuka.

"Apa kata kita cuba." Khalil tersenyum dan menarik keluar pisau daripada sarung yang diletakkan di tali pinggang seluarnya.

"Jangan apa apakan dia. Kau nak ke perang ni berlarutan?" Ana bangun dari posisi berbaring dan merenung ke arah Khalil dan gadis itu.

"Kami tak kisah. Himawari dah bunuh Maha. Dia kena terima padahnya." Khalil menolak Ana dengan kakinya.

Gadis tadi kemudian mengeluarkan pisau dari dalam beg sandangnya. Tangannya dengan laju mengelar leher Ana. Ana menjerit sekuat hati sebelum jeritannya menjadi semakin senyap. Dunia seakan diam.

Aku terpaku. Tidak percaya yang Ana sudah tiada lagi.

"Mia, pegang dia." Khalil mengarah. Dia meletakkan pisaunya di leher aku sementara gadis bernama Mia itu memegang aku dari belakang.

"Hoi Himawari! Kau tak takut ke pengikut kau yang paling kau sayang ni mati?? Turun sekarang!" Khalil menjerit ke langit.

Beberapa minit berlalu. Dan aku tidak mahu memohon untuk Himawari turun pun. Aku tidak mahu dia selamatkan aku. Dia sudah banyak merosakkan kehidupan aku. Aku tidak akan memohon bantuan dari dia.

"Nampaknya dia tak kisah pun pasal kau." Mia berbisik di telinga aku. Kejahatan kedengaran dari ton suaranya.

"Okay." Khalil mendekatkan pisau itu ke leher aku dan aku merasa cecair meluncur turun dari tengkuk aku. Barangkali darah.

Dia akan menekan pisaunya lebih dalam dan aku akan mati. Meninggalkan semua ini.

Aku tidak pernah suka dengan kehidupan aku. Kadang kadang aku berfikir tentang membunuh diri. Tetapi entah kenapa. Saat ini, aku benar benar takut.

Aku benar-benar akan mati. "Selamat tinggal, Una." Khalil ketawa sinis.

Pada waktu itu, guruh berdentum dan kilat memancar dari atas langit. Dan semua makhluk kegelapan di sekeliling aku jatuh ke tanah. Mereka kemudiannya berubah menjadi abu dan terbang dibawa angin laju.

Dalam kekalutan itu, muncul satu lembaga budak kecil berbaju gaun putih. Himawari.

"Oh, dia dah sampai." Khalil menarik pisau itu jauh daripada leher aku.

"Lepaskan dia." Himawari membuka mulut. Bulu romaku meremang. Himawari sememangnya makhluk yang menakutkan. Bila dia bercakap sahaja sudah boleh membuatkan semua merasa resah.

"Oh, pengikut kesayangan kau ni. Penyebar kegelapan ni yang kau sayang sangat." Mia memeluk tubuh.

"Kami akan lepaskan dia. Tapi kau..kena hapuskan diri kau dulu. Cara sama kau bunuh Maha." Senyum di wajah Khalil hilang. Wajahnya kelihatan nekad.

Nekad yang mereka tidak akan mengalah selagi Himawari tidak mati.

"Kalau kau buat apa apa, perempuan ni mati." Mia bijak meletakkan pisau di leher aku.

"Lepaskan dia. Maha dah mati. Tak ada apa yang kamu semua boleh buat. Kamu semua dah bebas. Berterima kasihlah pada aku sebab dah tolong kamu semua." Himawari memutar mata ke atas.

"Sebab Maha mati, kau pun kena mati jugak!!" Wajah Khalil memerah dalam amarah yang membuak buak dan dia berlari dengan pisau di tangan untuk membunuh Himawari.

Pada saat itu Himawari menggerakkan jari jemarinya membentuk sesuatu di udara dan Khalil terhenti berlari.

"Kau ingat kau boleh tewaskan aku begitu mudah? Tuan kau pun mati di tangan aku, Khalil. Maha mati dengan hina di tangan aku." Dia berbisik di telinga Khalil.

Perkara seterusnya yang aku nampak ialah badan Khalil yang terputus dua dan jatuh ke tanah dengan darah membuak buak.

Mia menjerit sekuat hatinya sebelum badannya terapung di udara dan dia dibaling ke dinding. Kepalanya pecah.

Aku tergamam. Ini semua bukan realiti. Ini semua gila. Gila!

Himawari mendekati aku dan aku mengesot badan ke belakang. Aku cuba untuk bangun namun tidak mampu.

Aku berhenti bergerak kerana aku tidak boleh menggerakkan sendi sendi aku lagi. Saat itu Himawari memegang kepala aku.

Lantas dia berbisik, "Cik Una dah makan ubat hari ni?"

Saat itu aku menutup mata rapat rapat dan air mata berguguran jatuh dengan laju. Kepala aku digeleng berkali kali. Apa semua ini? Apa semua ini???

Semua ini gila.

Aku membuka mata dan seorang gadis berbaju putih memegang bahu aku. "Bertenang, Una. Bertenang." Dia memujuk aku yang bergelut untuk melepaskan diri. Aku merenung wajahnya dan dia kelihatan seperti Mia. Betul betul macam Mia.

"Dr Khalil, Una mengamuk lagi!"

Aku tergamam. Khalil?

Khalil datang namun dia berpakaian seperti seorang doktor. "Una, bertenang." Dia berbicara dengan lembut dan menolak aku supaya berbaring di atas katil yang entah dari mana datangnya.

Seorang gadis datang lagi, bajunya sama seperti Mia. Dia datang menolak trolley yang di atasnya terdapat dulang tersusun picagari.

Aku merenung wajahnya dan aku merasa tenang semula. Ana… Ana hidup? "Ana!!" Aku menjerit dan terus mendepangkan tangan untuk memeluknya. Wajahnya nampak keliru dan semua di situ terdiam. Melihat reaksi aku yang tiba tiba tenang.

Ana kemudian menyambut pelukan aku dan aku menangis dalam pelukannya. Ana masih hidup. Ana tak mati.

"Baguslah, dia dah ada orang yang boleh tenangkan dia." Doktor Khalil tersenyum. Dia kemuadian mencucuk picagari ke dalam tangan aku ketika aku masih memeluk Ana. Terasa sakit sedikit tetapi Ana menenangkan aku. Tidak lama selepas itu mereka pun beredar.

Perlahan lahan aku mula kembali ke alam realiti semula. Rupanya aku bukanlah pelajar universiti. Aku seorang pesakit di Hospital Sakit Jiwa. Khalil ialah Doktor aku. Mia dan Ana ialah jururawat aku. Dan cerita hantu itu semua..Ana yang selalu cerita pada aku. Sebab aku tidak boleh tidur tanpa mendengar cerita hantu.

Di tepi kepala aku, terdapat dua anak patung. Satu kanak kanak perempuan dan satu lagi lelaki dewasa. Himawari..dan Maha.

Aku membuang pandang ke sebelah aku lagi. Terdapat sebuah buku di mana aku selalu menulis cerita hantu yang aku dengar.

Ya, buku yang kau sedang baca inilah.

Dan semuanya seperti kembali senyap. Seperti kenopsia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience