MASUK sahaja ke dalam rumah, kelibat Syafiqah yang Najihah dekati dahulu. Mujurlah dengan lakonan selambanya, Syafiq tidak terperasan apa-apa yang dia tu baru je menangis tadi.
"Syafiqah, demam kamu dah kebah ke?"
"Ustazah! Ya Syafiqah dah sihat dah. Syafiqah kan kuat."
Tersenyum Najihah dengan celoteh budak di depannya itu. Kepala Syafiqah dia usap perlahan.
"Datang pun ustazah. Ingat ustazah dah lupa dah janji semalam." Syafiqah muncungkan mulut.
"Ustazah takkan mungkir janji tau. Lagi-lagi janji dengan kamu. Ingat tu."
Syafiqah angguk laju. Dia kalau bersama Najihah, pasti jadi lain sedikit. Syafiqah akan menjadi susuk yang ceria dan mudah senyum.
"Dari tadi Syafiqah cari awak Najihah. Nasib baiklah awak datang sini." Damia pula mencelah.
Najihah hanya mengukirkan senyum di hujung bibir.
"Ha, ni Syafiqah. Ustazah ada bawak lauk sup ayam untuk kamu. Ustazah tahu, kamu suka sup ayam. Ustazah hidangkan ye." Belum sempat Najihah melangkah ke dapur, Syafiqah pegang tangan ustazahnya untuk menghalang.
"Ustazah ... Syafiqah dah kenyang. Ni along buatkan sate. Tu pun Kak Damia yang suruh along bakarkan sate tadi," pangkas Syafiqah.
Najihah terus turunkan pandangannya. Hatinya umpama remuk dihempas. Selalunya Syafiqah tak pernah menolak untuk menjamah makanan masakannya tetapi hari ini, lain pula yang berlaku.
"Ya, Najihah. Tadi saya yang suruh Syafiq bakarkan sate. Tiba-tiba rasa teringin pulak nak makan sate dia tu." Damia lalu tersengih kepada Syafiq yang duduk di sebelahnya.
"Najihah, tak nak makan sate sekali ke?" pelawa Damia selepas itu.
"Awak ni, sate tu tinggal sikit je. Takkanlah nak bagi Najihah makan yang tu." Syafiq pula membidas. Tahu sangat Damia itu hanya ajak-ajak ayam aje.
Mana taknya, sate di atas pinggan yang tersisa hanya dua cucuk sahaja. Memang nampak jelaslah niat Damia itu.
Damia terus memberi jelingan. Syafiq pun terus ketawa dengan tingkahnya.
Najihah berusaha senyum. "Tak apa. Habiskan je la sate tu. Lagipun, saya dah sarapan siap-siap kat rumah tadi."
"Najihah, sup ayam tu awak letaklah atas meja ni dulu. Petang karang, kita orang makan," cadang Syafiq.
Najihah angguk. Nafas dihela dan dihembus perlahan-lahan. Dia termenung seketika sebelum suara Syafiqah menyedarkannya.
"Ustazah!"
"Ya, Syafiqah. Ada apa?"
"Kejap lagi, ustazah ajar Syafiqah mengaji boleh tak? Lagipun kelmarin kan Syafiqah tak datang kelas mengaji."
Najihah lalu pandang sekilas muka Syafiq. Syafiq pun hanya mengangguk perlahan tanda memberi izin. Orang nak mengaji takkan nak menghalang pulak.
"Hmm ... yalah. Ambil air sembahyang dulu. Lepas tu salin baju tu. Pakai baju dan tudung elok sikit tau. Nak baca al-Quran, kena tutup aurat elok-elok," tegur Najihah tatkala Syafiqah bangun untuk bersiap-siap mengambil wuduk.
Damia tersentak seketika. Dia terasa bagaikan dirinya ditembak. Kata-kata Najihah itu ditujukan kepada Syafiqah tetapi kenapa dia pulak nak terasa.
"Okey, ustazah cantik!" Syafiqah terus pergi menunaikan niatnya.
Najihah pula tersenyum dan tergeleng-geleng kepala dengan tingkah Syafiqah tu. Mujurlah Syafiqah sedikit sebanyak mampu mengembirakan hati yang sedikit tercalar tadi.
*****
"Baca ayat ni sampai habis." Najihah memberi tunjuk ajar.
Syafiqah turuti sahaja. Lidi kayu tak lepas dari tangan masing-masing. Lidi yang digunakan sebagai penunjuk bacaan ayat al-Quran.
"Innallaha'ala Kulli Syai In Wailaihi Turja'un ..."
Damia hanya mengintai saja Najihah dan Syafiqah dari celahan bukaan pintu yang terbuka. Mendengar bacaan Syafiqah tadi, membuatkan dirinya terbuai.
Sedapnya Syafiqah baca Quran. Aku baca pun masih tergagap-gagap. Getus hati Damia yang sedar diri.
"Kak Damia!"
Panggilan Syafiqah di dalam bilik segera menyedarkan lamunan Damia. Baru je dia nak mengintai, mereka dah perasan keberadaan dia.
Damia hanya sengih. Kantoilah pulak.
"Kak Damia kenapa tercegat kat situ? Marilah masuk bilik ni," sambung Syafiqah memanggil masuk.
Damia tanpa pilihan hanya akur dengan permintaan Syafiqah. Najihah di sebelah Syafiqah hanya memandang Damia dengan pandangan kosong. Tanpa reaksi langsung.
"Ya, Syafiqah? Kamu kan tengah mengaji, kenapa nak panggil akak?" tanya Damia lalu dia duduk bersimpuh di sebelah Syafiqah.
Sengaja dia bertanya sebegitu padahal dirinya mahu beredar segera dari situ. Cepat-cepat.
"Kak Damia nak mengaji sekali tak? Kita boleh mengaji sama-sama," ajak Syafiqah selamba. Niatnya baik sahaja tetapi terasa macam dia tu nak pekena Damia pulak.
Satu das tembakan! Diri Damia bagaikan ditembak dengan soalan Syafiqah itu.
"Err ... tak bolehlah, Syafiqah. Akak cuti hari ni," jawab Damia sedikit panik. Hanya jawapan itulah yang mampu diulang-ulangnya dari semalam.
"Ooo ..." Syafiqah angguk laju.
Najihah di satu sudut hanya pasang saja telinga mendengar perbualan antara Damia dan Syafiqah. Tak tahu mahu menyampuk apa.
"Kak Damia, Kak khatam al-Quran dah berapa kali?" soal Syafiqah lagi yang belum selesai dengan soalan 'aras tinggi' yang diajukannya.
Damia telan liur. Matanya sudah terkebil-kebil memikirkan jawapan. Mana taknya, dia mana pernah khatam al-Quran dalam seumur hidupnya. Nak menipu atau tidak? Kalau jujur, malulah dia!
"Aaa ... umm ... " Tergagap-gagap Damia mahu menjawab.
"Syafiqah dah khatam dua kali tau. Tu pun Ustazah Najihah ajar," sambung Syafiqah lagi tatkala Damia masih terkelu lidahnya.
"Aip! Syafiqah. Tak baik tau menunjuk-nunjuk pencapaian kita kat orang. Boleh jatuh riak tahu tak? Allah tak suka tu." Najihah mulai bersuara dengan teguran.
"Syafiqah mintak maaf."
"Lepas ni, jangan buat lagi tau," pesan Najihah lagi.
Itulah Najihah, walaupun dia seorang yang lemah-lembut, tetapi jika pelajar-pelajarnya melakukan kesalahan, pasti dia akan tegur dan perbetulkan.
"Baik, ustazah."
Damia hanya senyum kelat. Tak tahu nak bagi reaksi apa.
Tapi sekurang-kurangnya, kebenaran tentang dia belum khatam tadi, tak terbongkarlah kiranya. Fuh! Nasib baik.
"Ustazah," panggil Syafiqah lagi.
"Ya. Ada apa, Syafiqah?"
"Syafiqah nak pergi toilet dulu boleh tak? Tak tahanlah ni." Syafiqah lalu menekan perutnya yang tiba-tiba memulas. Mahu menunaikan hajatlah tu.
Pantas Najihah memberi kebenaran. Tergeleng-geleng kepala Najihah dengan telatah Syafiqah itu. Padahal ini rumah Syafiqah sendiri, tapi dia pulak yang meminta kebenaran dari dirinya.
Keluarnya Syafiqah dari bilik, kini hanya tinggal Damia dan Najihah berdua. Tawa mereka tadi perlahan-lahan menghilang sebelum suasana kekok menjelma.
Damia mahu sahaja bangun dan beredar keluar dari situ tetapi nanti dianggap dia tak sukakan Najihah pulak. Terpaksalah dia mulakan perbualan demi kurangkan suasana kekok itu.
"Najihah, awak ajar Syafiqah mengaji dari dia umur berapa?"
"Dari dia enam tahun lagi."
"Patutlah dia pandai mengaji. Belajar dari enam tahun rupanya. Tambah pulak awak yang ajar dia mengaji, lagilah lancar bacaan dia," puji Damia.
"Ish, mana adalah," nafi Najihah.
"Betullah. Dari luar bilik saya dengar Syafiqah mengaji tadi. Lancar. Sedap pulak tu. Kalaulah saya boleh lancar baca macam Syafiqah tu." Suara Damia kedengaran semakin perlahan. Pandangannya ditundukkan.
Najihah tatap dalam-dalam wajah Damia itu. Menilik dari ucapan dan riak wajah Damia, dia tahu sangat tentang maksud di sebalik itu. Segera Najihah pegang tangan Damia yang sudah hilang keyakinan diri itu.
"Damia, awak tak perlu malu tau. Lancar mengaji ke tak, itu tak penting. Yang penting niat. Kalau betul niat awak nak berubah ke arah baik, insya-Allah, Allah akan permudahkan segalanya. Pasal mengaji ni insya-Allah saya boleh bantu."
Damia tersentuh dengan kata-kata Najihah. Bukannya memperlekehkan bahkan dia memberi semangat untuknya agar tidak terlalu merendah diri.
Najihah lalu ambil sekeping kad di dalam purse miliknya, dan segera dia serahkan kad itu kepada Damia.
"Nah! Ambik kad ni. Kalau awak nak saya tolong apa-apa. Awak nak refresh balik tentang al-Quran, tajwid apa semua, boleh contact saya. Saya akan bantu selagi mampu."
Damia ambil kad tu. Kad nipis berwarna hijau yang terpapar nombor telefon Najihah.
"Tapi ni kad untuk bisnes menjahit awak."
"Ala, sama je. Saya guna nombor telefon tu jugak," balas Najihah ukir segaris senyum.
Damia angguk perlahan. Tetapi hatinya masih terasa berat dan maju mundur.
"Tapi, awak ajar budak-budak. Saya malulah kalau nak belajar dengan dia orang."
"Nak belajar agama tak perlu malu, Damia. Semua orang mula dari bawah. Tak ada pun peraturan mengatakan hanya budak-budak je boleh belajar mengaji," ujar Najihah.
Damia angguk dan mula pancarkan senyuman. Tidak mampu membalas kata dengan hujah Najihah tadi.
"Terima kasih tau, Najihah. Awak baik sangat. Tapi saya tak janji saya boleh belajar semua ni. Lepas ni saya dah nak balik ke rumah. Entah bila pulak saya dapat datang sini lagi," ujar Damia yang sedaya upaya tersenyum. Jelas hanya senyuman yang penuh keterpaksaan.
Ya, benar. Ibunya. Tiba-tiba gerangan itu muncul di layar fikiran.
Sekejap lagi Damia dah nak balik rumah dan tentu-tentu ibunya akan menegah keras untuk datang ke kampung ini lagi. Lebih-lebih lagi di rumah Syafiq.
Dahi Najihah berkerut seribu. Macam ada maksud yang tersirat pulak yang cuba disampaikan Damia.
"Apa maksud awak, Damia?"
Damia terdiam seketika sebelum menggeleng perlahan.
"Tak ada apalah. Sekejap lagi saya dah nak balik dah. Tu je," kata Damia yang masih tak mahu berterus-terang.
Najihah hanya angguk tanda faham.
"Kalau macam tu, saya keluar dulu tau. Takut-takut ada tertinggal barang." Damia lalu bangun dari duduknya sebelum langkahnya dihentikan. "Terima kasih untuk kad ni," ucapnya.
Kad yang diberi Najihah itu segera Damia simpan dalam poket. Najihah membalas dengan simpulan senyuman.
Damia beredar pergi. Pantas Najihah memasang muka pelik. Sepertinya ada benda yang Damia sembunyikan darinya.
Tengok dari tingkah dia, macam tak nak balik rumah je. Hati Najihah berbisik sendiri.
*****
Damia kelek helmet berwarna jingga itu. Syafiq, Syafiqah dan Najihah sudah tercegat berdiri di luar rumah untuk ucapkan selamat tinggal.
"Najihah, terima kasih tau sebab bagi saya semangat tadi. Tenang sikit hati saya," ucap Damia usai berpeluk dengan Najihah.
"Tak ada apalah, Damia. Saya sentiasa ada untuk membantu."
Damia balas senyuman. Damia lalu beralih kepada Syafiqah yang berada di sisi Najihah. Segera Damia bertinggung separas ketinggian Syafiqah itu.
"Kak Damia balik dulu. Syafiqah jangan nakal-nakal tau," pesan Damia sambil pancarkan senyuman manis.
"Ala, Kak Damia. Nanti bila lagi Kak Damia nak datang sini?" Syafiqah mencemik.
Damia tertunduk. Tak tahu nak bagi jawapan apa.
"Tak tahulah bila. Tapi akak janji satu hari nanti, kita jumpak lagi tau," jawab Damia terpaksa.
Damia lalu usap lembut kepala Syafiqah sebelum kakinya perlahan-lahan melangkah mendekati Syafiq pula. Riak muka lelaki itu terlihat tenang, tapi macam mana pula rasa isi hatinya?
"Awak, saya balik dulu. Terima kasih sebab tumpangkan saya semalaman kat rumah ni. Saya mintak maaf kalau saya mengganggu atau buat awak tak selesa." Damia utarakan pernyataan hatinya.
"Sama-sama awak. Tak ada apalah. Saya sebenarnya seronok awak ada kat sini, walaupun macam-macam jugaklah peristiwa berlaku sepanjang satu malam ni." Syafiq tertawa kecil mengingat kembali kelakuan Damia kelmarin.
Damia senyum. Tapi jelas senyuman antara mereka berdua kelihatan pahit. Senyuman yang jelas terpaksa menahan keperitan sebelum berlakunya perpisahan sebentar lagi.
Damia mengatur langkahnya untuk naik atas motosikal. Entah mengapa, langkahnya benar-benar berat. Macam ada sesuatu yang menghalang langkahnya.
Damia lalu bertindak mematah balik langkahnya. Sekarang dia benar-benar menghadap kembali Syafiq.
Ya, dia tak boleh mengalah!
"Awak, jom ikut saya balik. Kita jumpak mak saya dan bincang pasal hubungan kita elok-elok dengan dia." Damia buat keputusan gila sekali lagi kerana rasa risau makin membuak-buak.
Syafiq sedikit terkejut. Dia menggeleng laju. Dia mesti pujuk Damia agar gadis itu bertenang.
Najihah yang menyaksikan itu pastinya sedikit tercengang dengan mereka berdua tu.
"Damia. Awak tak boleh macam ni. Awak balik dan mintak maaf dengan mak awak. Lagipun kita ni kawan je tau. Tak lebih."
Pernyataan yang diberikan Syafiq umpama menusuk Damia. Ya benar, mereka berdua hanya kawan. Tetapi entah kenapa diri merasa hubungan mereka lebih daripada itu?
"Awak tak kenal mak saya. Kalau dia tak benarkan kita berkawan, sampai bila-bila kita tak boleh berjumpa dah. Lepas ni, confirm dia dah tak bagi saya keluar rumah." Air mata Damia hampir menitis tetapi dia cuba tahan dari mengalir.
Itulah, Damia. Nak sangat tinggal kat rumah Syafiq sehinggakan tak fikirkan akibatnya. Betullah apa yang Syafiq katakan, kelakuan kau tu hanya memburukkan keadaan sahaja.
"Kalau ada rezeki, kita boleh jumpa lagi, Damia. Kalau rindu, kalau sunyi, awak boleh call dan mesej saya. Saya sentiasa ada. Awak baliklah dulu. Mak awak lebih penting."
Damia kesat air matanya. Segera dia tepis kedua-dua belah tangan Syafiq yang cuba meraih tangannya tadi. Tiada lagi kata yang mampu dia lafazkan. Motosikal terus dia tunggang dan membelah jalan tanpa ucapan selamat tinggal.
Maafkan aku, Damia ... Hati Syafiq semakin ditimpa rasa bersalah.
*****
Ke hulu dan ke hilir Mak Siti berjalan dengan telefon dilekap di telinganya. Berkali-kali jugalah dia cuba menelefon anaknya dari kelmarin, tetapi tiada respons langsung.
"Mak tak payahlah call angah tu. Dah sah-sahlah dia ikut si penjual sate kesayangan dia tu," celah Nadia mengapi-apikan keadaan.
"Kalau betul dia kena culik macam mana?"
"Ala, mak. Macamlah tak kenal angah tu. Dua hari lepas kan mak marah dia jumpak penjual sate tu. Jadi memang sahlah dia ikut laki tu, sebab nak tunjuk protes kat mak."
Mak Siti mengeluh kuat. Rahang ditegangkan kerana geram.
"Ni yang buat mak naik angin ni. Kalau dia balik nanti, memang siap kamu, angah," gumam Mak Siti mengetap gigi.
"Mak yakin ke angah tu balik sini? Entah-entah dia dah kahwin dah pun dengan laki tu kat Siam. Kalau dia kahwin kat sana, mak boleh buat apa? Putih mata je la." Nadia tak habis mencucuk.
Mak Siti terus menatap tajam anaknya itu. Kahwin kat Siam? Tak boleh jadi!
"Along! Kalau angah tu nak kahwin kat Siam, kenapa dia tak angkut segala baju dengan beg-beg dia pergi sana? Mak tak rasa dia ikut jantan tu."
"Baju boleh beli kan kat sana."
"Habis? Kamu ingat jantan penjual sate tu ada duit nak beli baju kat angah? Tak, kan?"
Nadia terdiam. Betul juga apa yang dikatakan ibunya tu.
"Itulah mak. Kelmarin percaya sangat cakap angah tu. Dia kata nak ambik motorlah, apalah. Entah-entah, kena tipu hidup-hidup," kritik Nadia tak mahu kalah.
Berdesing aje telinga Mak Siti mendengar anaknya memerli dirinya. Tapi dia cuba tahan jua dari hamburkan segala sumpah seranah. Yalah, takkan nak maki anak kesayangan pula.
"Hmm ... macam ni lah mak. Kalaulah sekejap lagi angah tu balik sini, mak tak payahlah biar dia merayau mana-mana," sambung Nadia beri cadangan.
"Itu kamu tak suruh pun mak memang akan buat," bidas Mak Siti.
"Eleh, tapi ada satu benda yang mak tak terfikir nak buat, kan?" Nadia jongketkan sebelah kening.
Mak Siti mengerutkan dahi. Tak dapat apa yang cuba disampaikan Nadia.
"Satu benda? Apa dia?"
Nadia menyeringai. "Kahwinkan je angah tu dengan sesiapa. Janji bukan penjual sate tu."
Membuntang mata Mak Siti? Paksa kahwin anaknya sendiri? Sejahat-jahat dia, dia tak pernah pun terfikir nak buat benda tu.
"Hoi, along! Kamu cakap apa ni? Kahwin paksa? Manalah nak relevan kahwin paksa semua tu. Zaman dulu kut lah."
"Mak, tapi untuk situasi angah tu lain tau. Kalau dia tak kahwin dengan sesiapa, mak nak ke dia kahwin dengan penjual sate tu?" Sengaja Nadia memberi serangan secara psikologi.
Mak Siti apa lagi, telan air liur dia. Apabila difikirkan, tak naklah dapat menantu macam Syafiq tu, biarpun dia belum kenal lagi gerangan lelaki tu.
Melihat Mak Siti yang terdiam seribu bahasa itu, Nadia menyambung, "Ha ... tak nak, kan? Jadi kahwinkan je angah tu cepat-cepat. Asalkan bukan dengan penjual sate." Nadia sempat tayang sengih kerana strategi berjaya.
"Tapi nak kahwinkan dengan siapa?"
"Ala, mak ni. Mak kan ada ramai kawan. Kawan mak pun ada anak laki. Jadi jodohkan je la angah tu dengan anak kawan mak. Lagi seronok kan berbesan dengan kawan sendiri." Nadia mulai mempengaruhi ibunya.
Mak Siti terkaku sejenak. Cuba memikirkan kembali kata-kata anaknya. "Kawan? Hmm ..."
Pantas saja Mak Siti memasang reaksi terkejut dan teruja.
"Mak dapat dah target! Anak Mak Cik Zainab tu." Membulat mata Mak Siti.
Nadia apa lagi, posisi duduknya terus menegak mahu memberi tumpuan.
"Mak Cik Zainab kawan mak yang buat bisnes homestay tu?"
"Ye la, siapa lagi Mak Cik Zainab dalam kampung ni. Dia ja kawan mak yang rapat dengan keluarga kita."
Nadia sengih. "Bukan ke Mak Cik Zainab tu ada lagi sorang anak dia yang masih single? Rasanya Lokman tu, kan?"
"Ha! Ingat pun kamu. Ya, Si Lokman tu lah. Seingat mak, Lokman tu pensyarah kat UiTM. Entahlah sekarang dia kerja apa."
"Sebab tu la nanti mak kena survey dulu. Esok mak pergi rumah Mak Cik Zainab tu, lepas tu teruskan dengan rancangan kita," kata Nadia yang sudah tayang muka bangga.
"Tapi kalau rancangan tak menjadi? Kalau dia tak nak angah tu jadi keluarga diorang macam mana?" Mak Siti kegusaran.
"Ala, mak. Belum cuba belum tahu. Janji kita dah ada calon untuk si angah tu. Lebih baik dapat menantu pensyarah dari penjual sate kan, mak?"
Mak Siti hanya mampu bersetuju dalam hati. Sebenarnya dia amat berat untuk buat semua ini tetapi kerana tidak mahu Damia buat hal lagi, dia terpaksa lakukannya.
Ya, jangan biarkan hubungan Damia dengan penjual sate tu menjadi semakin serius. Dia mesti halang.
"Okeylah. Esok mak pergi rumah Mak Cik Zainab tu."
Bersambung...
Mak Siti ni dgn anak sendiri pn sanggup buat macam tu. Ish3. Nadia tu mencucuk je kerjanya. Batu api betol hahah
Share this novel