SEMINGGU sebelum tarikh perkahwinanku…
Kenapa hari ini aku rasa seperti ada yang tidak kena? Rasa tak sedap hati sahaja sejak bangun pagi tadi. Kini aku sudah berada di Kolej Nadi Sains Malaysia. Melakukan tugas rutin seperti biasa.
“Fiona, jom kita pergi ke rumah arwah Puan Khadijah! Semua staf dah berkumpul tu, nak pergi sama-sama,” ajak Kak Maya.
Hah?! Telinga aku ini tersalah dengarkah?
“Apa Kak Maya cakap? Ar… arwah Puan Khadijah?” Aku menyoal Kak Maya dengan tergagap-gagap.
“Yalah. Takkan Fiona tak tahu lagi. Satu kolej ni dah heboh tentang kemalangan maut yang menimpa arwah Puan Khadijah sekeluarga.
Innalillahiwainnailaihirojiun….
Kemalangan maut? Sekeluarga? Habis tu macam mana dengan… Fahrin?! Macam mana aku boleh tak tahu apa-apa ni?
“Semua ahli keluarga arwah? Termasuk suami dan anak-anak arwah ke?” Bertubi-tubi soalan aku lemparkan kepada Kak Maya.
Sudahlah Kak Maya itu mahu cepat, aku pula sibuk bertanya itu dan ini. Melambat-lambatkan waktu sahaja. Haisy!
“Kalau Fiona nak tahu dengan lebih jelas, nah… ambil surat khabar ni. Baca nanti. Sekarang jom cepat!” gesa Kak Maya.
***
Di dalam bas milik Kolej Nadi Sains Malaysia, menuju ke rumah arwah Puan Khadijah ….
Aku mengambil kesempatan itu untuk membaca isi surat khabar yang telah diberikan oleh Kak Maya Tadi.
“…Kemalangan maut itu telah mengorbankan seluruh ahli keluarga mangsa iaitu Khadijah, 46, Muhammad Aizudin, 48, Muhammad Fahrin Aizudin, 25, dan Ros Ameera, 20….”
Seperti mahu pengsan aku membaca petikan berita tersebut. Dan gambar wanita muda di di surat khabar itu menarik perhatianku. Ya-Allah! Inilah wajah wanita yang aku sangka teman wanita Fahrin itu. Rupa-rupanya dia ialah adik perempuan Fahrin yang baru pulang dari luar negara! Sejak kecil adiknya itu telah tinggal di sana. Kenapa Fahrin tidak pernah menceritakannya kepada aku? Jika tidak, tentu salah faham ini tidak akan terjadi. Ya-Allah… aku sungguh menyesal!
Fahrin! Maafkan aku… aku belum sempat meminta maaf kepadamu.
Aku sudah menangis teresak-esak. Air mataku mengalir dengan laju seakan tidak mahu berhenti lagi. Kak Maya hairan melihat aku yang sedang menangis bersungguh-sungguh. Pastinya Kak Maya pelik melihat reaksiku. Masakan tidak pelik, tak akanlah aku yang tidak mempunyai apa-apa pertalian saudara dengan keluarga mangsa akan menangis seteruk itu?
Tetapi aku tidak hairan dengan reaksi Kak Maya itu kerana sememangnya tiada seorang pun di kolej ini yang tahu bahawa aku dan anak arwah Puan Khadijah pernah menjalinkan hubungan cinta. Biarlah ia tetap menjadi rahsia buat selama-lamanya. Berkubur bersama jasad mereka yang sudah kaku.
Selepas ini aku benar-benar akan memulakan hidup baru bersama Encik Zack. Insan yang sudah pergi, biarkanlah pergi. Aku yang masih hidup ini akan meneruskan kehidupan… seadanya. Aku redha dengan segalanya.
Share this novel