Bab 1

Romance Completed 18105

Disember 2022

“DAH pukul berapa ni? Anak awak tak balik-balik lagi, dia pergi mana?”

Encik Adli marah. Pinggangnya dicekak sambil keningnya saling menolak satu sama lain. Berkerut wajahnya memandang si isteri yang sedang menanda kertas ujian kelasnya. Wajah Puan Salina juga turut menunjukkan ekspresi wajah yang sama. “Anak saya tu bukan anak awak jugak ke? Memang saya buat dia takde benih awak pun,” balas Puan Salina, geram.

Sudah hampir empat jam emosi suaminya begitu sehingga memberi tekanan kepadanya. Mana tak ternyala api kemarahannya. “Awak kan mak dia; awak tu yang lebih kenal anak awak tu,”

Puan Salina mengetap gigi, menahan marah tetapi tidak tertahan kemarahannya. “Bila dia buat masalah, anak saya? Macam tu?” Pen merah yang dipegang langsung dilempar ke atas kertas periksa yang baru ditanda setengah. Tangan kanannya mencekak pinggang kanan. “Awak jangan senang nak lepas tangan. Dia tu anak awak jugak!” Naik suara Puan Salina.

Hampir saja dia bangkit dan menepuk meja dengan telapak tangannya. “Tak payah naik suara. Awak kena ingat yang saya ni suami awak. Derhaka awak menjawab macam tu!” Pertelingkahan mereka jelas didengari dari bilik anak perempuan mereka.

“LIZ, dapat call tak?” soal Johan, rimas dengar suara ibu bapa mereka bertelingkah. Telefon Samsung A20 dilekap ke telinga. Liz mengharapkan panggilan itu dijawab tetapi betapa hampanya dia mendengar bunyi yang sama buat kali ke berapa.

“Joe, dia tak jawab,” ujar Liz, cemas.

Johan menumbuk dinding, mendengus. “Kakak kau ni bodoh! Sial! Menyusahkan orang je! Dah tau tak boleh balik malam, nak jugak balik lewat. Masuk uni pun bodoh macam tak belajar!” jerkah Johan, berang. Liz terus mendengus, melemparkan telefonnya ke atas katil.

“Kau boleh diam tak? Aku serabutlah.” Liz bersuara. Mukanya sedikit bengis, rimas dengan kemarahan yang sedang membuak-buak di bawah bumbung yang menjadi tempat berteduh mereka. Langsung tiada keamanan. Benarlah kata orang, tidak setiap rumah adalah ‘rumah’.

“Ha, kau backuplah kakak kau tu. Kau pun sama je macam dia, nak menyusahkan hidup mama dengan papa!” Johan merempan, suaranya dinaikkan lagi. Wajahnya tidak ada beza dengan Hulk yang menghijau. Tangannya digumpal ketat menjadi penumbuk sehingga bertukar pucat buku limanya.

Liz mengerang kemarahan. “Aku tak backup! Aku rimas! Kau keluar dari bilik aku sekarang!” Kini kemarahan Liz pula mencanak naik. “Mama nak mengamuk, papa macam tu, kau pulak macam ni! Keluar! Keluar!”

Liz yang jauh lebih kecil berbanding adiknya terus menolak adik lelakinya yang tinggi dan besar itu keluar dari biliknya.

Pintu bilik lantas ditutup dan dikunci. Tidak lama selepas itu, pintu terus ditendang kasar oleh Johan dari luar bilik Liz. Bergegar biliknya ketika pintu bilik ditendang. Liz terus memeluk tubuh, mencangkung. Anak matanya bergegar.

Dua jam sebelum itu, Liz masuk ke bilik kakaknya dan mendapati barang-barang penting milik kakaknya sudah pun hilang. Yang lebih merisaukan, bagasi yang sentiasa berada di sisi katil kakaknya juga kini hilang. Dia langsung tidak berani untuk merumuskan apa-apa.

Bukannya dia tidak tahu apa yang sedang berlaku tetapi mungkin disebabkan dia juga terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia berada dalam keadaan yang masih tidak boleh menerima apa-apa spekulasi yang muncul dalam kepalanya.

Dalam pada masa yang sama, sebuah kereta e-hailing sedang bergerak menghala ke arah lapangan terbang KLIA 2. Di bahagian belakang pemandu, duduk seorang wanita yang berada dalam awal 20-an sedang duduk bersandar. Matanya merenung ke luar tingkap tanpa menunjukkan sebarang emosi.

Radio hanya memainkan lagu-lagu rancak yang tidak selari dengan emosinya yang hilang entah ke mana. Tangannya hanya memeluk tubuh yang kesejukkan disebabkan pemandu menetapkan aircond ke suhu yang agak tinggi. Matanya merenung bintang yang tak berapa ada di langit. Bulan pun entah tidak kelihatan.

Sekali-sekala si pemandu mengerling ke cermin, melihat keadaan si penumpang. Risau kalau-kalau penumpang yang dibawanya sebenarnya tidak wujud. Semua disebabkan betapa senyapnya di gadis itu di tempat duduk belakang.

Wajahnya sendu merenung ke luar tingkap, risau si pemandu ingin ajak berborak. Mujurlah destinasi yang ingin dituju pun sudah kurang satu kilometer. Si pemandu pun sebenarnya tidak berapa selesa dengan kesenyapan dalam keretanya.

Selepas diturunkan, Aria menyandang begnya dan menarik bagasinya yang berwarna hitam masuk ke dalam bangunan itu. Rambutnya pendek paras leher, wajahnya pucat dan matanya seperti mayat.

Jam menunjukkan jam 12:45 pagi. Kapal terbangnya akan berlepas dalam tempoh dua jam lagi. Aria mengeluarkan passport dan tiket penerbangannya. Telefonnya langsung tidak dipegang. Kad simnya telah pun dikeluarkan dan dihancurkan sebelum menaiki kereta e-hailing tadi.

Semua jejak sosialnya telah dipadam. Akaun Instagram, Fac, Twitter… segalanya telah pun dipadam. Tiada siapa mampu cuba untuk menjejak atau mencari di mana keberadaannya.

Hatinya remuk, terlalu lelah dengan apa yang telah dihadapinya selama 22 tahun hidup. Mungkin dia tidak ingat akan tahun-tahun awal kelahirannya tetapi sakit memikirkan apa yang diingatinya.

Dia cuba mencari tempat atau orang yang benar-benar menerima dirinya tetapi mungkin ekspektasinya terlalu tinggi sehingga dirinya sendiri tersakiti dengan apa yang diharapkan. Berkali-kali dia cuba membuang segala memori, tetapi setiap kali dia cuba untuk melupakan, semakin diingat.

Setiap kali memori lamanya bermain, air matanya gugur membasahi pipi, tetapi kini tidak lagi. Mungkin disebabkan terlalu kerap menangis sebab perkara yang sama, dia menjadi penat. Sudah tentu, dia tidak berani melawan mereka. Bukannya dia reti melawan.

Jadi, pilihannya cuma ada satu, iaitu lari ke luar negara dan mulakan hidup baharu. Dia langsung tidak meninggalkan sebarang nota atau apa-apa jejak untuk dirinya dikesan. Tetapi biliknya yang bersepah dan tunggang langgang telahpun dikemaskan sebelum dia meninggalkan rumah.

Tentunya itu akan jadi satu petanda.

Cukuplah. Bukannya ada siapa yang cuba untuk memahami isi hatinya. Balik-balik semua menuding jari ke arahnya, tidak mahu menurunkan sifat egoistikal mereka. Akhirnya, dia hidup dalam ketakutan dan fitnah. Balik-balik, salahnya juga. Itulah yang dipandang oleh mereka yang ‘kenal’ dengan Aria.

Lengang kawasan menunggu pada waktu itu. Tidaklah sesibuk pada waktu pagi. Aria hanya merenung ke luar tingkap kaca gergasi. Satu kapal terbang sedang berlepas ke udara.

Tidak lama lagi gilirannya untuk terbang, menggapai kebebasan untuk memulakan hidup baharu. Walaupun dia sudah dapat hidu kebebasan itu, Aria masih lagi kelihatan sedih.

Dia tidak mahu mengubah fikirannya. Bukan sekali ini dia bertindak untuk melarikan diri. Selalunya dia memilih waktu pagi kerana lebih berani tetapi kini usianya sudah mencecah 22 dan hampir 23, dia rasa eloklah untuknya pergi.

Dia bukan lagi seorang kanak-kanak yang perlu dimarah dan dicubit. Dia mampu membuat keputusan sendiri dan keputusannya adalah untuk meninggalkan tanah air, keluarga serta kenalan. Segalanya ditinggalkan tanpa sebarang ‘tapi’.

Yang dibawa hanyalah dokumen penting dan beberapa helai baju sahaja. Perancangannya adalah untuk menetap di sebuah hotel atau rumah tumpangan sehingga tahun baru. Urusan sewa menyewa rumah mungkin agak sukar pada waktu itu disebabkan sambutan Krismas juga sudah hampir dan majoriti penduduk Jepun pula menyambut Krismas.

Jadi dia akan menunggu sehingga tahun baru untuk mencari rumah sewa. Dalam tempoh kurang sepuluh hari itu, dia akan mencari kerja secara atas talian.

“Hmm…” Aria mengeluh lembut, kedengaran agak serak suaranya. Matanya berkali-kali mengerling jam. Hampir satu jam sudah pun berlalu. Maka sudah satu jam dia telah berdiri di situ, termenung memandang langit malam. Kapal terbang yang ditenungnya tadi sudah hilang ditelan langit malam.

Dagunya direhatkan di atas telapak tangan kanannya. Tangan kirinya memegang passport dan tiket rapi, khuatir tersalah letak dan hilang. Sekali lagi dia mengeluh sebelum mengorak langkah ke pagar untuk ke kapal terbangnya. Pagar telah pun dibuka dua jam yang lalu tetapi entah kenapa dia pilih untuk berdiri di situ.

Dia tidak mahu berfikir tentang masa lalunya. Dia langsung tidak ada keinginan untuk berubah fikiran. Hatinya sudah tawar untuk memberi harapan dan berharap segalanya akan berubah antara dirinya dan yang lain.

KERTAS yang ada di atas mejanya dihempas ke lantai. Bersepah lantai pejabatnya yang bertutup dengan karpet baldu biru tua. Tiga orang staf bawahan berdiri kaku. Rin memicit-micit batang hidungnya dan matanya dipejam rapat.

Giginya diketap keras sehingga urat di lehernya timbul. “Macam mana korang buat kerja? Hmm?” soalnya, mencekak pinggang. Kakinya dijarakkan sedikit. Nada suaranya dingin, tidak dinaikkan.

Matanya yang berwarna coklat tua kemerahan seperti menyala dengan kemarahan. Taringnya seperti mengintai dari sebalik bibir. Terketar-ketar pekerja bawahannya apabila disoal. Tiada satu pun yang berani menjawab.

“This behavior shall be taken seriously. The three of you has taken this job lightly,” ujarnya sambil menendang perlahan kertas yang dilempar ke lantai. Kertas-kertas itu adalah dokumen beberapa artis yang sedang dilatih dan laporan tentang status dan perangai mereka. “Clearly, none of you ever think of the consequences that is coming your way. Is this company a joke to you?” Matanya memandang tajam ketiga-tiga pekerja yang sedang berdiri kaku di hadapannya.

“Maafkan kami, tuan. Kami…” jawab salah seorang daripada mereka. Ayatnya tergantung. Untuk beberapa saat, Rin hanya mendiamkan diri tetapi ayat si pekerja itu tergantung tanpa penyambung.

Bang!

Tangannya dihempas kuat ke atas meja. Tersentak tubuh mereka bertiga. Betapa sunyinya bilik itu selepas tangannya dipukul ke atas permukaan meja. Telinga mereka berdesing, termasuklah Rin. “Kalau kau rasa nak cari alasan, lupakan.” Tangannya yang berada di atas meja ditarik. Tubuhnya dipeluk semula. Baran di wajahnya tidak pudar.

“Atau…” Aura wajah Rin berubah lebih menakutkan. “Mungkin kau bertiga ni sebenarnya nak cabar kesabaran aku? Nak cabar kuasa besar orang atasan? Hmm?” Tergeleng-geleng kepala mereka menafikan tetapi tiada satu bunyi pun daripada mereka untuk mempertahankan diri. Ah, kalau ada pun, alasan.

Bukti semua sudah dikumpulkan. Apa juga yang mereka cuba jawabkan adalah sia-sia. “Jawablah semua ni dengan Waka.” Wajah mereka bertukar sepucat-pucatnya. Segala warna-warna kehidupan di wajah mereka hilang bagai air yang disalur ke dalam longkang. “Let’s see if you can try challenge our positions.” Rin menyandarkan punggungnya ke meja.

Senyuman sinisnya cukup untuk melemahkan hati dan lutut mereka. “Berambus.” Tidak ada apa lagi yang boleh mereka lakukan. Bila nama Waka disebut, maka tidak ada harapan lagi untuk mereka terus ‘hidup’ dalam Cherry Lime Entertainment.

Pintu pejabatnya tertutup rapi. Senyuman sinisnya hilang dan matanya memandang kertas-kertas yang dilemparkan awalnya tadi. Sedikit penyesalan muncul di sudut hatinya.

“Kalau aku baling atas meja tadi tak adalah kena kutip satu-satu. Sial betul…” bebelnya sendiri sebelum menunduk mengutip kertas-kertas yang berselerak di atas lantai. Satu per satu biodata artis yang masih dalam latihan. Masih belum bergelar artis pun, sudah banyak masalah yang mereka timbulkan.

“Eh…” Rin meluat memandang gambar mereka yang terselit pada setiap dokumen data peribadi mereka.

Pintu biliknya dikuak luas. Rin mendongak dan terus berdiri tegak. Kertas yang dikutip dipegang. “Rin…”

“Waka…” Deham Rin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience