Bab 1

Mature Content Series 167

Jam sudah menunjukkan pukul 5:30 petang. Suasana di Syam Burger Corner agak lengang — tidak seperti kebiasaan. Angin petang bertiup malas, membawa sekali aroma daging burger yang masih berbaki di atas gril panas.
“Aiman, nampaknya rezeki kita setakat ni je hari ni. Dah, kemas barang. Balik awal sikit.” arah Syam sambil mengelap peluh di dahi.
“Ala Syam, rileklah. Awal lagi ni. Budak-budak kolej depan tu belum keluar kelas pun. Kita tunggulah diorang habis kuliah. Cuba kau tengok bekas duit ni — baru dua puluh ringgit. Nak bayar gaji aku pun tak lepas.” balas Aiman, separuh merayu.
Syam memandang Aiman tajam. “Hei, siapa bos kat sini? Aku ke kau? Aku dah cakap kemas, kau kemas jelah. Nanti aku bagi siku, baru tahu.”
Nada suara Syam yang lantang dan nyaring itu buat Aiman terus angkat kaki ke bahagian belakang, mula mengemas. Dia cukup masak dengan perangai Syam — kalau dah naik angin, mahu spatula hinggap di mukanya.
Syam bukan besar mana, tapi tenaga dia boleh tahan. Silap gaya, gerai burger boleh terbalik.
“Assalamualaikum bang, burger ada lagi tak?” tegur satu suara lelaki dari sisi gerai.
Syam segera ke depan, senyum lebar.
“Waalaikumsalam. Ada, bang. Nak burger apa?”
“Daging double special satu, Coke satu.”
Syam perhati lelaki itu — wajahnya bersih, bergaya kemas macam eksekutif pejabat, tapi bajunya dibasahi peluh.
“Abang dari mana ni? Kereta rosak ke?” soal Syam curiga.
“Eh, tak... saya baru balik kerja. Train lambat tadi. Saya baru pindah ke taman depan tu. Jalan kaki je, rumah pun dekat.” Lelaki itu — Alif Najmi — menuding ke arah taman perumahan kira-kira 300 meter dari gerai.
“Macam ni bang, saya minta budak saya hantar abang balik dulu. Nanti burger siap, kami hantar ke rumah. Free service dari SBC — Syam Burger Corner.” ujar Syam sambil beri isyarat pada Aiman.
“Eh, tak apalah... saya tunggu sini je.”
Belum sempat Alif habiskan ayat, sebuah motosikal Kawasaki Ninja berhenti di depan gerai. Aiman muncul dengan helmet di tangan.
“Ikut je la bang. Ni memang sebahagian servis kami — 'Burger Delivery Bersama Pelanggan'. Tahun depan insya-Allah masuk carta ‘Gerai Burger Paling Mesra Pelanggan’.” usik Aiman sambil hulur helmet.
Alif tergelak kecil. Dia capai helmet dan menunggang bersama Aiman.
________________________________________
Sesampainya di rumah sewa, Alif turun dan hulur semula helmet.
“Nanti burger siap, saya hantar. Relaks je bang.” kata Aiman lalu berlalu sebelum sempat Alif ucap terima kasih.
________________________________________
Di gerai, Syam melambai-lambai sebaik nampak Aiman kembali.
“Aiman! Burger brother tadi dah siap. Cepat hantar.”
Aiman tarik nafas panjang. “Adoi Syam… sebiji burger je pun. Tak boleh suruh dia tunggu? Penat la aku.”
“Hei, siapa bos? Aku ke kau? Ini strategi pemasaran, faham tak? Dulu mak ayah kau hantar sekolah, kau ponteng. Sekarang tengok — aku rasa keldai dekat zoo tu pun lebih bijak dari kau.” bebel Syam panjang lebar.
“Ye lah, aku bodoh. Tapi at least aku tak bazir duit mak ayah belajar sampai Australia, balik-balik jual burger tepi jalan. Master business konon, isi minyak motor pun tak lepas.” balas Aiman sambil sengaja membakar Syam.
“Apa kau cakap?! Ada juga yang kena spatula hari ni.” gertak Syam sambil angkat spatula macam senjata kungfu.
Aiman cepat-cepat beredar, tinggalkan gerai sebelum ada yang melecur kena logam panas.
________________________________________
Sesampainya di rumah Alif, Aiman ketuk pintu dan melaung:
“Assalamualaikum bro! Ni burger yang abang order tadi.”
“Waalaikumsalam. Eh, cepat siap? Kalau macam ni baik saya tunggu tadi je.” Alif sambut burger dengan senyuman.
“Berapa semua?” tanya Alif sambil keluarkan dompet.
“Burger RM3.80, Coke RM1.50, SST 6%. Jumlah RM5.30 lepas diskaun.” Aiman jawab penuh gaya, berseloroh.
“Amboi, gerai burger pun ada SST sekarang?” Alif terkejut sambil mata membulat.
“Kalau KFC, McD, Pizza Hut ada SST — takkan kami tak boleh? Ini la masalah orang Melayu, baru kena cukai sikit dah bising. Mana nak maju.” Aiman sambung gurauan dengan wajah serius palsu.
Alif tergelak.
“Ni kad kami. Nak order lain kali, call je bos saya. Pasal SST tadi tu, aku gurau je. Kalau sedap, beli lagi. Kalau tak sedap, esok bakar je gerai kami.” ujar Aiman, bersahaja.
“Baiklah. Thanks bro.” balas Alif sambil menggeleng kepala, terhibur dengan perangai pelayan burger yang satu itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience