PROLOG

Drama Completed 41002

Iris Qarissa menyelak langsir di bilik,namun bayangan anaknya langsung tidak kelihatan.Dicari pula di ruang tamu hingga ke ruang dapur,masih juga kelibat anaknya tiada di situ.Nama anaknya dilaung beberapa kali.Tetapi suasana di dalam rumah sunyi tanpa balasan.Terbit kerisauan dalam hati Iris Qarissa.Kaki melangkah ke arah luar rumah.Kelihatan Badri dan Suraya sedang duduk di pangkin menikmati minum petang mereka.Selipar disarung ke kaki sebelum melangkah mendekati ibu dan bapa saudaranya.

"Pak su,mak su!"

Kedua mereka menoleh memandang Iris Qarissa.

"Awatnya ni,Iris.Teriaq lagu orang sasau.Pasai apa?"Soal Suraya sambil menggeleng kecil.

"Mak su dan pak su ada nampak Izz tak?Satu rumah Iris dah cari.Tapi batang hidung dia langsung tak nampak."Ujar Iris Qarissa cemas.

"Hang ni kalut sungguh.Mungkin dia pi main dengan kawan-kawan dia la tu.Awat hang risau sangat.Selalu waktu nikan memang waktu dia pi ikut kawan dia main dekat bendang.Tak pun depa pi tangkap ikan dekat tali ayaq.Dia tak mau bagitahu hang la tu.Takut hang tak bagi dia pi sana."Balas Badri sambil menikmati pisang goreng di dalam mulut.

"Mana Iris tak risau,pak su.Tadi lepas dia balik sekolah,muka dia monyok je.Bila Iris tanya dia tak nak jawab.Dia diamkan diri je.Balik rumah terus terperap dalam bilik.Tapi bila panggil nak ajak dia makan,dia tak menyahut.Kalau dia betul pergi main dengan kawan-kawan dia,tak apalah.Kalau dia pergi mana-mana yang kita tak tahu macam mana?Dahlah banyak kes culik budak sekarang ni."Luah Iris Qarissa.

"Iris,buat bersabaq.Cuba hang jangan pikiaq yang bukan-bukan.Doa yang baik-baik ja.Mak su rasa Izz tak pi mana-mana tu.Macam ni,apa kata Iris pi cari dia kat pondok tepi bendang tu.Kalau tak pun cari dia kat tali ayaq sana tu.Tapi kalau tak dak juga baru kita pi cari satu kampung."Celah Suraya pula.

Mendengar kata-kata Suraya itu,Iris Qarissa mengangguk setuju.Dia terus melangkahkan kaki ke arah sawah padi yang tidak jauh dari rumah Badri.Matanya meliar mencari susuk tubuh anak lelakinya yang baru berusia lima tahun itu.Membawa langkah ke tengah sawah matanya mengitari sekeliling.

"Izz,mana Izz pergi ni.Tolong...lah jangan buat mama risau."Luah Iris Qarissa di dalam hati.

Saat dia ingin mengatur langkah keluar dari kawasan sawah,telinganya mula menangkap bunyi suara seseorang.Dia mengamati suara itu.Kakinya pantas dibawa mendekati suara tersebut.Hilang segala resah di hati saat melihat apa yang dicari berada di hadapan mata.Iris Qarissa menapak mendekati sang anak.Punggungnya dilabuhkan di sisi Izz Harith.Bahu si anak disentuh lembut.

"Izz,buat apa dekat sini sorang-sorang?Izz tahu tak mama risaukan Izz.Mama dah tak ada sesiapa selain Izz.Izz je harta yang mama ada.Tolonglah jangan buat macam ni lagi.Kecut perut mama bila tengok Izz tak ada dekat rumah tadi."Luah Iris Qarissa dengan nada yang sedikit bergetar.

Izz Harith menoleh memandang wajah Iris Qarissa yang sudah basah dengan air mata.Wajah si ibu ditatap sayu.

"Izz minta maaf sebab dah buat mama risau.Izz cuma nak ambil angin je.Sorry,mama...."Ujar si anak dengan mata yang berkedip-kedip.

Lantas tubuh kecil Izz Harith dirangkul ke dalam dakapan Iris Qarissa.Kepala si anak dikucup beberapa kali.Rasa syukur tak putus-putus di dalam hati saat dapat peluang mendakap anaknya semula.

"Mama maafkan Izz.Tapi tolong jangan buat mama risau lagi ya sayang."

Iris Qarissa meleraikan pelukan pada tubuh kecil anak lelakinya.Wajah Izz Harith ditatap redup.Rambut pendek Izz Harith diusap lembut.Menyalurkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bagi pada sang anak.

"Jom kita balik.Opah Su ada buat pisang goreng.Nanti kalau Izz lambat balik rumah,alamatnya tak dapatlah Izz rasa.Tok Bad makan sampai habis."Seloroh Iris Qarissa pada Izz Harith.

Wajah Izz Harith berubah mendung tiba-tiba.Iris Qarissa berkerut kening melihat tingkah si anak.

"Izz,kenapa ni?Mama melawak je tadi.Tok Bad mestilah akan tinggalkan pisang goreng tu untuk Izz.Tok Bad tak larat pun nak makan semua."Iris Qarissa cuba memujuk.

Namun wajah Izz Harith masih lagi masam mencuka seakan langsung tidak terpujuk dengan kata-kata Iris Qarissa itu.

"Izz tak kisah pun pasal pisang goreng tu.Izz tak ada selera pun nak makan."Ujar Izz Harith hiba.

"La....Kenapa anak mama ni?Tak pernah lagi anak mama ni tak berselera bila dengar pisang goreng opah Su.Izz ada apa-apa nak beritahu dekat mama?Ke ada orang buli anak mama dekat sekolah?Cuba Izz beritahu mama.Kenapa Izz monyok tiba-tiba?"Soal Iris Qarissa dalam kerisauan.

Izz Harith bermain-main dengan jari-jemarinya.Wajahnya menunduk ke bawah.Iris Qarissa gelisah.Dia masih cuba memujuk supaya Izz Harith meluahkan apa yang terpendam di hatinya.

"Izz sayang mama tak?"Soal Iris Qarissa.

Dengan pantas Izz Harith menganggukkan kepala.Melihat anggukan si anak Iris Qarissa melengkung senyum.

"Kalau betul Izz sayang mama,Izz kena beritahu mama apa yang jadi sampai anak mama ni nampak sedih sangat.Kalau Izz tak beritahu mama,mama merajuk.Mama tak nak bercakap dengan Izz."

Iris Qarissa terus menarik muka.Tubuhnya berpaling dari memandang Izz Harith.Izz Harith mula rasa bersalah.Cepat-cepat dia mengangkat punggung,lalu berdiri menghadap Iris Qarissa.Kedua tapak tangan kecilnya dibawa menyentuh pipi sang ibu.

"Ok...Ok...Izz beritahu mama.Tapi mama janji jangan merajuk tau.Nanti Izz tak ada kawan..."Giliran Izz Harith pula memujuk.

Cair hati Iris Qarissa saat mendengar pujukan si anak.Lantas tubuh Izz Harith diangkat,lalu didudukkan di atas ribanya.

"Mama janji mama tak merajuk.Sekarang masa untuk anak mama luahkan apa yang terbuku dekat hati tu.Izz beritahu mama kenapa Izz nampak sedih?"

Terdengar keluhan kecil dari bibir Izz Harith.Nafasnya dihela dalam sebelum menyambung bicara.

"Tadi masa dekat school cikgu suruh Izz dengan kawan-kawan buat kad ucapan.Tapi...Izz tak boleh nak buat.Cikgu suruh Izz siapkan dekat rumah.Esok nak kena hantar.Izz tak tahu nak buat apa.Kalau tak siap mesti cikgu marah."Luah Izz Harith.

Mendengar luahan anaknya,Iris Qarissa senyum segaris.

"La...kenapa Izz tak boleh buat?Mama kan ada ajar nak buat kad ucapan sebelum ni.Izz buat jelah kad macam Izz bagi mama dulu."

"Tak sama,mama..."

Kening Iris Qarissa berkerut.Tubuh Izz Harith dipusing menghadap ke arahnya.

"Apa yang tak sama,sayang?"

"Itu ucapan untuk hari ibu dan harijadi.Tapi ini untuk hari bapa.Izz tak ada ayah macam kawan-kawan lain.Muka ayah pun Izz tak tahu.Macam mana Izz nak buat untuk ayah Izz...Mama,mana papa Izz?"

Kali ini Iris Qarissa yang termati kata saat mendengar bicara Izz Harith.Wajah si anak ditatap dengan sayu.Terbit rasa bersalah dalam hatinya saat melihat kesedihan di dalam mata Izz Harith.Bukan dia tidak mahu berterus-terang tentang Harraz pada Izz Harith,tetapi bagi Iris Qarissa bukan masanya untuk Izz Harith tahu mengenai bapa kandungnya.Izz Harith terlalu kecil untuk mengambil tahu tentang peristiwa yang pernah menimpa diri Iris Qarissa sebelum ini.Bagi Iris Qarissa sejarah dia bersama Harraz lebih banyak duka daripada bahagia.

"Izz...Mama...Mm...Macam ni,kita balik rumah dulu.Nanti mama ajar Izz macam mana nak buat kad hari bapa tu.Izz kan ada atok Bad.Izz anggap je atok Bad tu macam ayah juga.Sebab ayah tukan orang lelaki dewasa yang jaga kita.Atok Bad tu dah macam ayah bagi mama dan atok bagi Izz.Apa yang atok Bad dah bagi pada kita selama ni sama je macam seorang ayah bagi pada anak-anak dia."

Izz Harith terkebil-kebil mendengar penjelasan ibunya.Kedua bahunya dijongketkan sebelum dia turun dari riba Iris Qarissa.Tangan Iris Qarissa dicapai,lalu ditarik supaya Iris Qarissa berdiri.Iris Qarissa hanya menurut.

"Jomlah kita balik.Izz lapar.Nak makan pisang goreng.Lepas tu baru kita buat kad ucapan tu ye mama."

Iris Qarissa tarik senyum.Dia menghela nafas lega kerana Izz Harith tidak memanjangkan isu mengenai bapa kandungnya.Seraya itu,Iris Qarissa mengekori langkah Izz Harith pulang ke rumah.

"Uncle!"

Izz Harith berlari anak mendapatkan lelaki yang sedang berbual bersama Badri di pangkin rumah.Lelaki itu menoleh ke arah Izz Harith sebelum tangannya didepa luas.Pantas Izz Harith terus mendakap erat tubuh kekar lelaki itu.Lelaki itu membalas pelukan tubuh kecil Izz Harith.Iris Qarissa yang melihat hanya tersenyum nipis.

"Izz pergi mana?Lama tau uncle tunggu."Ujar lelaki itu setelah meleraikan pelukannya pada Izz Harith.

"Izz pergi bendang dengan mama.Saja je ambil angin.Kan mama?"

Lelaki itu menoleh ke arah Iris Qarissa yang berdiri tidak jauh dari mereka sambil mengukir senyuman manis.Iris Qarissa membalas senyuman itu sebelum kepalanya diangguk kecil.

"Mm...Aniq,hang duduklah berborak dulu dengan Iris ni.Pak cik nak masuk sat.Mak cik hang minta pak cik tolong dia masak tadi.Iris,hang layan Aniq ni na.Pak su masuk sat.Izz,hang tak mau nakai pulak ngan uncle Aniq.Sat lagi hang mintak bukan-bukan pulak.Sian kat uncle tu."Ujar Badri sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Melihat bayangan Badri yang sudah hilang dari pandangan mata,Aniq mempelawa Iris Qarissa duduk.Iris Qarissa hanya menurut.Dia melabuhkan punggung di sebelah Izz Harith yang duduk bertentangan dengan Aniq.

"Awak tak bertugas ke hari ni,Aniq?"Soal Iris Qarissa ramah.

"Tak...Kebetulan semalam saya gantikan doktor lain bertugas.So hari ni saya off.Cuma pagi tadi busy sikit kemas barang-barang saya.Petang ni baru saya ada masa singgah sini tengok budak hensem ni."Ujar Aniq sambil mengusap kepala Izz Harith.Izz Harith tersenyum senang saat dimanjakan oleh Aniq.

"Kemas?Maksud awak barang rumah ke?Awak nak pindah?"

Perlahan-lahan Aniq menganggukkan kepalanya.

"A'ah.Saya kena posting ke Kuala Lumpur.Sebab tu sibuk sikit beberapa hari ni."

Riak wajah Iris Qarissa berubah.Nampaknya sahabat yang sudah banyak membantu dia selama ini tidak akan bersamanya lagi.Hatinya terasa sedih.Namun,Iris Qarissa harus pasrah.Setiap pertemuan pasti ada perpisahan.Iris Qarissa perlu memahami tugas lelaki yang sudah dianggap sahabat olehnya itu.Dia cuba memujuk hati untuk mengikhlaskan pemergian Aniq.

"Ooh...Bila awak akan bertolak ke sana?Nampaknya Izz dah tak dapatlah jumpa uncle kesayangan dia ni lagi lepas ni.Mesti dia rindu dengan awak."Ujar Iris Qarissa menutup perasaan hibanya.

"Izz je...Awak pula tak rindukan saya ke,Iris?Kalau tak ada apa-apa mungkin lusa saya dah bertolak."Duga Aniq.

"Ish awak ni,Aniq.Sebagai sahabat yang dah banyak bantu saya selama ni mestilah saya akan rindu bila awak tak ada nanti.Tapi...Izz lagi lah rindu awak berbanding saya.Nampaknya pak su pun tak dapat jadi pesakit awak lagilah lepas ni kan?"

"Sahabat?Awak masih anggap saya sahabat ke,Iris?Mm... Pasal pak su awak tu,awak jangan risau.Ramai je doktor yang akan merawat pak su awak dengan baik.Silap-silap lebih baik daripada saya."

"Yelah...Saya dah lama anggap awak sahabat saya.Awak satu-satu sahabat lelaki yang saya rapat tau.Tapi tulah...Awak dah nak pindah.Tapi tak apa,itu semua pun untuk masa depan awak.Saya doakan awak berjaya dan mungkin dapat jodoh dekat sana nanti."Ujar Iris Qarissa sambil tertawa kecil.

Mendengar bicara wanita di hadapannya itu,Aniq hanya mampu mengukir senyuman tawar.Tidakkah Iris Qarissa tahu akan isi hatinya selama ini?Rupanya hingga ke hari ini,dia tetap tiada tempat istimewa di hati Iris Qarissa.Aniq mengeluh kecil.

"Aniq?Awak ok ke?"Soal Iris Qarissa saat mendengar keluhan dari bibir lelaki itu.

"Ok.Cuma letih je.Izz,banyaknya Izz makan.Sedap sangat ke?Sampai uncle berbual dengan mama pun Izz tak mencelah.Selalu ada je yang Izz nak borak.Hari ni dia senyap pula."

Aniq beralih memandang Izz Harith yang sedang leka menjamu pisang goreng.Bibir kecil yang sedikit comot dikesat dengan hujung ibu jarinya.

"Biasalah kalau Izz dah dapat pisang goreng kesukaan dia,dia dah tak pandang orang sekeliling.Er...Bukan tadi mama dengar Izz tak ada selera ke?"Sindir Iris Qarissa.

"Itu tadi.Lepas mama janji nak tolong Izz,perut Izz terus jadi lapar.Mm...uncle boleh tak uncle tolong Izz sekali?Ramai-ramai tolong lagi bagus.Cepat kad tu siap."Pinta Izz Harith sambil tersengeh menampakkan sebaris giginya.

"Kad?Kad apa?Boleh je.Lagi pun uncle free."

"Eh,tak apalah awak.Izz,mama dah janji nak tolong buatkan.Buat apa nak susahkan uncle?"Tolak Iris Qarissa.

"Tak apalah,Iris.Saya tak ada buat apa-apa pun lepas ni.Kalau macam tu,Izz cepat makan.Nanti kita buat kad tu sama-sama.Tapi uncle nak tahu juga kad untuk apa?"Soal Aniq sambil memandang Iris Qarissa dan Izz Harith silih berganti.

"Kad ucapan hari bapa.Uncle pandai buat?"

Mendengar balasan Izz Harith,pandangan Aniq terus ke arah wajah Iris Qarissa yang seakan terkunci mulut saat mendengar bicara anak lelakinya.Iris Qarissa cuba melakar senyuman walaupun hanya senyuman pahit.

"Iris,awak ok ke?"

Iris Qarissa menggali nafas dalam sebelum dia menganggukkan kepala.

"Saya ok.Awak...Boleh tolong temankan Izz sekejap.Saya nak masuk ambil barang untuk buat kad ucapan Izz."Pinta Iris Qarissa.

"Boleh.Saya tunggu dekat sini dengan Izz.Take your time."Balas Aniq yang seakan dapat meneka perasaan Iris Qarissa saat ini.

Mendengar balasan Aniq,Iris Qarissa terus mengangkat punggung,lalu kakinya dibawa melangkah masuk ke dalam rumah.

"Yey,dah siap pun!"Sorak Izz Harith riang saat melihat kad ucapannya yang sudah siap sepenuhnya.

Wajah Aniq dan Iris Qarissa dipandang silih berganti sebelum pipi Aniq dan Iris Qarissa dikucup lembut.

"Terima kasih mama,terima kasih uncle.Izz sayang mama dengan uncle."Ucap Izz Harith dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Sama-sama.Oklah...Dah lewat ni.Uncle nak balik.Izz lepas ni uncle kena pindah jauh.Uncle dah tak dapat selalu jumpa Izz.Izz janji dengan uncle jaga mama elok-elok.Jangan buat mama sedih.Jadi anak yang baik.Kalau ada jodoh kita berjumpa lagi.Uncle sayang Izz tau."

Wajah Izz Harith yang riang berubah mendung saat mendengar kata-kata Aniq.

"Uncle pun nak tinggalkan Izz macam papa ke?"

"Izz,kenapa cakap macam tu?Uncle nak pergi kerja bukan suka-suka dia nak pergi tinggalkan Izz.Tak baik cakap uncle macam tu."Iris Qarissa mula tidak merasa senang dengan bicara Izz Harith.

"Iris,tak apa.Dia cuma luahkan apa yang dia rasa je."

"Awak terlalu manjakan dia,Aniq."Ujar Iris Qarissa.

"Tak salahkan.Lagi pun saya dah anggap Izz macam anak saya.Saya yang tengok dia membesar depan mata saya,Iris.Macam mana saya tak manjakan dia?"

Iris Qarissa terdiam saat mendengar kata-kata Aniq.Dia hanya membiarkan Aniq memujuk Izz Harith.Aniq memegang kedua bahu Izz Harith sambil menatap redup wajah kanak-kanak itu.

"Uncle sayang Izz.Kalau uncle ada masa nanti uncle datang sini lagi jumpa Izz.Kalau Izz rindu uncle,Izz boleh je telefon uncle.Nanti kalau cuti sekolah,Izz boleh ajak mama,atok Bad dengan opah Su datang KL.Uncle bawa Izz jalan-jalan.Sekarang ni uncle tak nak Izz sedih-sedih.Izz kan lelaki macam uncle.Kena kuat.Tak boleh nangis tau."Pujuk Aniq.

Air mata Izz Harith yang mengalir pantas diseka Aniq.Tubuh kecil itu didakap erat melepaskan kerinduan yang akan ditanggung kelak.Melihat adengan yang menyentuh perasaan itu,Iris Qarissa turut dirundung hiba.

"Oklah.Uncle balik dulu.Ingat pesan uncle,ya sayang. Apa kata Izz masuk,simpan kad ni dalam beg.Izz kena tidur awal.Esokkan sekolah."

"Ok,uncle.Izz sayang uncle.Nanti bila uncle dah pergi KL,uncle jangan lupakan Izz dengan mama tau.Janji?"

Jari kelingking kecilnya disua ke arah Aniq.Melihat tingkah Izz Harith itu membuatkan Aniq dan Iris Qarissa tertawa kecil.

"Ok,uncle janji.Good night handsome boy."

"Good night uncle..."

Pipi Aniq dikucup sekilas sebelum Izz Harith berlari anak masuk ke dalam rumah.Iris Qarissa pula menemani Aniq hingga ke kereta.

"Awak terima kasih untuk semuanya.Hati-hati memandu."

"Sama-sama.Nanti kalau Iris terjentik hati nak ke KL,jangan segan-segan beritahu saya.Kalau ada apa-apa call saya terus.Saya akan ada sentiasa untuk jadi pendengar awak walaupun saya jauh beribu batu sekali pun."

"In Syaa Allah...Terima kasih lagi sekali,Aniq."Ucap Iris Qarissa tatkala mendengar bicara Aniq.

"Saya balik dulu.Kalau ada jodoh kita akan bertemu lagi,Iris.Selamat malam."Ucap Aniq sebelum masuk ke dalam perut kereta.

"Selamat malam."Balas Iris Qarissa sambil tersenyum nipis.

Kereta yang dipandu Aniq terus bergerak meninggalkan perkarangan rumah Badri.Iris Qarissa mengangkat tangan membalas lambaian tangan Aniq.Dia hanya mampu memandang hingga bayangan kereta itu hilang dari pandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience