Bab 11

Romance Series 72307

BERKERUT dahi Trisha sambil memerhatikan Hayyan. Sejak daripada tadi dia nampak lelaki itu seperti tidak senang duduk. Entah apa yang sedang menganggu fikiran Hayyan.

“Hayyan tak makan ke?” soal Jauriah.

Hayyan menggeleng perlahan. Makanan di dalam pinggannya langsung tidak menarik perhatian. Fikirannya sarat memikirkan Rhea saat ini.

Selepas membawa Jauriah je klinik tadi, ibunya itu mengajak mereka makan di restoran.

“Hayyan you okey ke?” soal Trisha pula.

Hayyan mengangguk kecil. “Okey,” balasnya ringkas.

Jauriah dan Trisha saling berpandangan sesama sendiri.

“Mak, lepas ni Hayyan nak balik ofis semula,” ujar Hayyan. Lagipun sekarang baru pukul dua petang. Masih waktu bekerja lagi.

Jauriah tarik muka. Baru ingat nak ajak Trisha keluar membeli-belah selepas ini.

“Tak payahlah balik ofis, Hayyan. Ambil je cuti hari ni. Nanti I beritahu papa.” Trisha seperti dapat memahami apa yang Jauriah tengah fikirkan sekarang ni.

Lebar senyuman Jauriah sampai ke telinga. “Bolehlah kita pergi jalan-jalan ya?” soalnya.

“Boleh mak.” Trisha mengangguk. Letih juga nak melayan perangai orang tua ni. Nasib baiklah aku nak anak kau. Kalau tidak, jangan haraplah aku nak layan perangai kaki kikis kau tu!

“Bukan kaki mak sakit ke? Mak patut berehat dekat rumah dulu. Nanti je lah kita keluar jalan-jalan,” balas Hayyan.

“Takpalah Hayyan. Sekali-sekala. Bukan selalu kita ada masa macam ni.” Trisha cuba memujuk.

Akhirnya Hayyan terpaksa akur. Kalau tak diturutkan nanti, merajuk pula maknya. Jauriah apa lagi, senyum sampai ke telingalah dia. Inilah masa untuk dia mengikis duit Trisha.

“IBU sakit ke?” soal Armel. Mukanya nampak risau melihat Rhea terbaring lemah di atas katil.

Hari ini Rhea tutup kedai. Banyak tempahan kek yang terpaksa dia tolak kerana dia betul-betul tak larat.

“Ibu sakit sikit je,” balas Rhea. Mujurlah ada Armel. Anaknya itulah yang jadi penemannya di rumah.

“Ibu tak makan ubat?”

Rhea menggeleng perlahan. Stok ubat demam di rumahnya sudah habis. Begitu juga dengan Panadol. Nak keluar beli, dia betul-betul tak larat. Sudahnya dia hanya mampu terbaring di atas katil. Harap-harap selepas ini kebahlah demamnya.

Tangan kecil Armel naik menyentuh dahi Rhea. Panas. Bibirnya tercebik-cebik seperti mahu menangis.

“Ibu...”

“Kenapa sayang?” soal Rhea lemah. Tangannya mengusap perlahan rambut Armel.

“Armel takut. Ibu janganlah sakit.”

Rhea tersenyum nipis. “Ibu okey. Nanti ibu sihatlah. Ibu cuma perlu rehat sekejap je.”

“Mana ayah?” soal Armel.

Rhea terdiam. Sempat dia mengerling jam di dinding. Sudah pukul enam petang. Selalunya Hayyan dah balik waktu-waktu begini. Tapi dia baru teringat suaminya itu membawa Jauriah ke klinik tadi. Mungkin sekarang suaminya berada di rumah mertuanya itu.

“Sekejap lagi ayah balik. Ibu nak tidur sekejap. Armel jangan pergi mana-mana ya.” Rhea betul-betul dah tak larat sekarang ni. Dia jarang sakit. Tapi kalau dah sakit, macam ni lah. Mampu terbaring je. Nak buat apa-apa pun tak larat.

HAYYAN melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi je? Selalunya Rhea akan menyambut kepulangannya. Adakah wanita itu marah tentang kejadian tadi? Tapi... Tak mungkin.

“Ayah!”

Hayyan tersentak bila Armel tiba-tiba muncul daripada bawah meja kopi.

“Armel, buat apa kat bawah tu? Ibu mana?” soalnya.

“Ibu sakit,” balas Armel.

“Sakit?”

Armel mengangguk. “Badan ibu panas.”

Tanpa menunggu lama, Hayyan terus melangkah ke bilik Armel. Sebaik pintu dibuka, dia nampak sekujur tubuh berselimut sedang terbaring di atas katil.

Dia menghampiri Rhea. Wajah pucat Rhea buatkan hatinya dibelit risau. Kenapa Rhea langsung tak menelefonnya? Jika tidak, dia boleh terus pulang ke rumah dengan segera. Tak adalah dia duduk di rumah Jauriah lama-lama tadi.

“Rhea,” panggilnya. Tangannya naik menyentuh dahi Rhea. Panas!

“Rhea,” panggilnya lagi bila Rhea masih belum sedarkan diri.

Perlahan-lahan mata yang terpejam rapat itu terbuka. Rhea nampak terkejut bila wajah Hayyan menyapa pandangan matanya.

“Abang?” Lemah saja kedengaran suaranya.

“Badan awak panas ni. Awak demam. Dah makan ubat?”

Rhea menggeleng perlahan.

“Awak dah makan?” soal Hayyan lagi.

Sekali lagi Rhea menggeleng. Dia betul-betul tak ada selera nak makan.

“Jom, kita pergi klinik,” ajak Hayyan.

“Takpa. Rhea okey. Abang dah makan? Kalau abang nak makan, Rhea boleh panaskan lauk.”

Hayyan mengeluh perlahan. Tengah sakit macam ni pun Rhea masih sibuk fikirkan tentangnya. Rhea sendiri masih belum makan tapi sibuk ingin menyediakan makanan untuknya.

“Rhea, awak sedar tak awak tengah sakit ni?” tegas Hayyan bertanya.

Rhea ketap bibirnya. Rasa sebak bertandang di hati. Wajah Hayyan dipandang sayu.

“Jom, kita pergi klinik,” pujuk Hayyan lembut. Dia tidak mahu berkeras dengan Rhea. Tahu emosi wanita itu tidak stabil sekarang ni. Biasalah, orang sakit ni mudah beremosi.

Akhirnya Rhea terpaksa akur. Hayyan membantunya bangun daripada katil. Kemudian dia mencapai cardigan Rhea yang tergantung di dalam almari. Dia membantu Rhea menyarungkan cardigan ke tubuh. Tudung sarung yang tergantung dicapai lalu disarungkan ke kepala Rhea. Siap!

“Larat ke nak jalan?” soal Hayyan bila nampak Rhea mahu melangkah keluar daripada bilik.

Belum sempat Rhea buka mulut menjawab, tubuhnya terasa melayang. Tahu-tahu dia sudah selamat berada di dalam dukungan Hayyan.

“Abang...” Rhea terkejut.

“Awak tak larat nak jalan,” ujar Hayyan tegas. Tak beri peluang untuk Rhea membantah lagi. Sudahnya Rhea hanya akur.

“PUAN Rhea Azra.”

Tak sempat Rhea nak bangun, Hayyan sudah meminta dia duduk kembali. “Awak duduk je. Biar saya yang ambil ubat awak,” ujarnya.

Rhea mengangguk perlahan. Sorotan matanya menghantar langkah Hayyan ke kaunter untuk mengambil ubatnya.

“Rhea, jom.” Beberapa minit kemudian Hayyan datang kembali padanya.

“Larat tak nak jalan?” soal Hayyan.

Laju Rhea mengangguk. Tipulah kalau dia cakap dia tak suka bila Hayyan dukung dia tadi. Tapi sekarang dekat dalam klinik ni tengah ramai orang. Takkanlah Hayyan nak dukung dia lagi. Malu oi!

“Jom.” Hayyan memimpin tangannya keluar daripada klinik.

“TERIMA kasih abang.” Gelas yang sudah kosong dipulangkan kembali kepada Hayyan.

Hayyan senyum segaris seraya mengangguk kecil.

“Kenapa tak telefon saya, beritahu yang awak tak sihat?” soal Hayyan.

“Rhea tak nak ganggu kerja abang.”

“Saya tak masuk ofis tadi.”

Rhea terdiam seketika. Dia sudah agak.

“Saya ada dekat rumah mak.”

“Macam mana dengan kaki mak?” soal Rhea prihatin.

“Kaki mak okey. Doktor cakap cuma terseliuh sikit je.” Hayyan rasa lepas membeli-belah di Mall tadi, sakit kaki Jauriah terus hilang!

“Rhea...” panggil Hayyan.

“Hmm?”

“Siang tadi tu... Saya...” Hayyan tak tahu macam mana susun ayat.

Rhea hanya senyum. Memang pedih hatinya apabila mengenangkan kejadian siang tadi tapi dia tidak mahu mengingatnya lagi.

“Rhea nak tidur,” ujar Rhea. Kalau boleh dia tidak mahu bercakap soal Trisha lagi.

Hayyan mengangguk. “Awak tidurlah dulu. Saya nak pergi basuh mangkuk bubur ni dulu.”

Rhea terus membaringkan tubuhnya di atas katil. Hayyan membantu menarik selimut menutupi tubuhnya.

“Selamat malam.”

Bibir Rhea melengkung senyum. “Selamat malam, abang.”

Hayyan terus berlalu keluar meninggalkan bilik. Rhea memejamkan matanya perlahan. Kesan daripada ubat yang dia makan buatkan dia mula mengantuk.

Hatinya senang dengan keprihatinan Hayyan. Rhea percaya rasa sakit yang dia alami ketika ini akan terbayar dengan kebahagiaan yang tak disangka-sangka suatu hari nanti. Dan moga hari itu akan segera tiba...

TELEFON bimbitnya dicampak kasar ke atas lantai. Skrin telefonnya habis retak. Trisha tak peduli. Kalau rosak, dia boleh beli yang baru. Yang penting hatinya puas!

Sakit hatinya apabila Hayyan langsung tidak membalas pesanannya. Panggilannya juga tidak dijawab. Naik lenguh jarinya mendail nombor lelaki itu.

Entah kemana Hayyan pergi sampai tak sempat nak balas pesanan dan menjawab panggilan telefonnya. Ikutkan rasa hatinya, mahu saja dia pergi ke rumah Hayyan sekarang ini.

Namun akal warasnya menghalangnya daripada buat begitu. Dia tidak mahu Hayyan nampak yang dia terlalu mengejar lelaki itu. Kalau boleh dia mahu Hayyan yang mengejarnya.

Cukuplah tiga tahun dia melepaskan Hayyan pergi. Kali ini dia tidak mahu kehilangan lelaki itu lagi. Trisha tidak peduli jika dia terpaksa menggunakan cara kotor untuk mendapatkan Hayyan.

“I tak akan lepaskan you lagi kali ni, Hayyan. I akan pastikan you jadi milik I,” gumamnya sendiri.

Ada yang terbakar tapi bukan api :p

Share this novel

norsila
2023-11-22 09:07:38 

hisss ppuan tk sdar diri ...huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience