Bab 6

Romance Series 72307

HARI ke hari, kesihatan Hayyan semakin baik. Kini dia sudah boleh berjalan tanpa perlu menggunakan tongkat lagi. Dia juga bercadang selepas ini ingin mencari kerja. Sampai bila dia mahu bergantung pada Rhea?

Hayyan melabuhkan duduknya di atas sofa. Pagi-pagi lagi Rhea sudah keluar. Katanya mahu menghantar pesanan kek pada pelanggannya. Hayyan tak kisah pun. Rhea ada ke, Rhea tak ada ke, sama saja baginya.

Matanya terpandangkan album gambar yang terletak di atas meja kopi. Seingatnya, Rhea ada memberikan dia album gambar itu tempoh hari tapi dia langsung tidak membuka album gambar itu.

Perlahan tangannya mencapai album gambar berwarna krim itu. Tertera namanya dan Rhea pada kulit album. Jantungnya berdetak laju saat tangan menyelak halaman album.

Gambar-gambar sewaktu pernikahan mereka menyapa ruang mata. Lama Hayyan menatap gambar itu. Ada satu perasaan asing yang dia rasakan waktu ini.

Wajahnya nampak begitu bahagia. Tapi mengapa dia langsung tidak mengingati detik ini? Rasa macam bukan dirinya yang berada di dalam foto itu.

Ada satu gambar dia mencempung tubuh Rhea. Gambar itu menarik perhatiannya. Tanpa sedar bibirnya tersenyum sendiri.

“Ayah!”

Hayyan tersentak. Dia terus menutup album gambar itu lalu diletakkan kembali ke meja kopi.

“Mana ibu?” soal Armel yang baru bangun daripada tidur itu. Riak wajahnya seperti mahu menangis. Mana tidaknya, selalunya bila bangun tidur dia terus cari Rhea.

“Keluar hantar kek,” balas Hayyan ringkas. Matanya masih tak lepas daripada memandang wajah anak kecil itu.

Bila tengok betul-betul muka Armel, baru dia perasan yang muka anaknya itu sedikit sebanyak hampir seiras dengan wajahnya. Terutamanya bentuk hidung dan bibir Armel. Mirip sekali dengannya.

“Armel nak ibu...” Bibir sudah tercebik-cebik mahu menangis.

Terus tegak tubuh Hayyan bila dia nampak Armel seperti mahu menangis. “Sekejap lagi ibu baliklah tu,” ujarnya seakan memujuk. Dia pun tak pasti sekejap atau lama Rhea keluar. Tak ada pula dia tanya pada wanita itu tadi.

“Ibu...” Armel mula menangis. Dia benar-benar mahukan Rhea sekarang ni.

“Armel, janganlah menangis.” Hayyan tak tahu bagaimana mahu memujuk. Tapi bila tengok tangisan Armel semakin kuat, terus dicempung tubuh kecil itu ke dalam dukungannya.

“Armel, ayah kan ada. Armel duduk dengan ayah dulu okey?” pujuknya sambil mengesat pipi Armel yang basah dengan air mata.

Tangisan Armel mula reda. Wajah Hayyan dipandang tanpa sepatah kata. Bukan mudah sebenarnya dia nak menerima Hayyan. Nak pula selama ini dia sudah terbiasa hidup berdua dengan Rhea saja.

Tapi Rhea berulan kali mengingatinya
siapa Hayyan kepadanya. Walaupun masih susah untuk dia terima tapi lama-lama dia mula terbiasa dengan kehadiran Hayyan di dalam rumah ini. Dia sudah mula faham yang kini mereka hidup bertiga. Bukan lagi berdua seperti dahulu.

“Bila ibu nak balik?” soal Armel.

Hayyan senyum segaris. Dia mengusap lembut rambut panjang Armel. “Sekejap lagi mesti ibu balik.”

“Armel bosan kalau ibu tak ada.”

“Kalau macam tu, kita main lukis-lukis nak tak?” soal Hayyan. Cuma idea itu yang terlintas di fikirannya sekarang ni. Dia selalu nampak Armel dan Rhea melukis sama-sama di atas kertas lukisan. Daripada situ dia tahu yang Armel suka melukis.

“Nak.” Laju Armel mengangguk.

“Okey, jom!”

LANGKAH kaki Trisha langsung terhenti saat melihat susuk tubuh yang sudah terpacak di hadapannya itu.

Rhea.

“Excuse me?” Trisha jungkit kening.

“Saya nak cakap dengan awak sikit.”

Trisha pura-pura melihat jam di pergelangan tangannya. “5 minutes.”

“Trisha, apa tujuan awak sebenarnya? Kenapa awak datang semula dalam hidup Hayyan?”

“Kalau aku tak datang cari Hayyan pun, Hayyan tetap akan cari aku kan?” balasnya sinis.

“Trisha, tolonglah jangan ganggu Hayyan lagi. Saya tak minta awak putuskan hubungan dengan mak mertua saya. Tapi tolong, jangan ganggu keluarga kami lagi. Tolong hormati saya sebagai isteri Hayyan.”

Trisha ketawa sinis. “Hormati you? I tak boleh nak hormat dengan orang bawahan macam you. Apa je yang you ada sampai I perlu hormat you?”

Rhea mengetap kuat bibirnya. Cuba menahan perasaannya. Banyak kali dia istighfar supaya kata-kata yang keluar daripada bibirnya tidak menyakitkan hati wanita itu.

“Kalau awak tak kesiankan saya, tolong kesiankan anak saya. Dia perlukan Hayyan.”

“Dah empat tahun I lepaskan Hayyan pada you. Sekarang ni, Tuhan dah pulangkan semula Hayyan pada I. Sebab tu lah dia cuma ingat pada I. Bukannya you. Jadi you kenalah belajar terima hakikat yang Hayyan bukan lagi untuk you.”

Tubir mata Rhea bergenang. Dadanya terasa sesak. Penumbuknya dikepal kuat. “Mungkin Hayyan dah tak ingat apa yang awak pernah buat pada dia dulu. Tapi saya tak lupa dan saya boleh ingatkan Hayyan semula kalau saya nak.”

Riak wajah Trisha langsung berubah. Dia tak akan biarkan Rhea melakukan hal itu. “Kalau kau berani, kau beritahulah! Itupun kalau dia nak percayakan kau. Rhea, sedarlah diri kau tu. Kau bukan saingan aku. Tengok diri kau, lepas tu kau tengok aku. Kita tak setara!” herdiknya geram.

“Yang penting sekarang ni, aku dah menang. Yang ada dalam fikiran Hayyan, aku. Bukan lagi kau! Kau dah tak wujud dalam kehidupan dia.” Usai menghabiskan bicaranya, Trisha langsung pergi daripada situ.

Rhea menghela nafas berat. Trisha benar-benar menguji kesabarannya.

“ASSALAMMUALAIKUM.” Pintu utama dibuka daripada luar. Saat Rhea melangkah ke dalam rumah, pandangan matanya jatuh pada Hayyan dan Armel yang sedang tertidur pulas di hadapan televisyen.

Kertas lukisan dan pensel warna bertaburan di sekeliling mereka. Patutlah sunyi je rumah. Tidur rupanya.

Tanpa sedar bibir Rhea tersenyum sendiri. Hatinya jadi sayu melihat pemandangan yang terhidang di hadapan mata.

Perlahan dia merapati mereka. Kertas-kertas lukisan yang bertaburan dikutip kembali lalu disusun di atas meja. Begitu juga dengan pensel warna. Dimasukkan kembali ke dalam kotaknya.

Wajah Hayyan dan Armel dipandang silih berganti. Sayangnya dia pada dua manusia ini melebihi sayangnya kepada diri sendiri. Rhea sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan mereka.

Rhea tersentak bila Hayyan tiba-tiba membuka matanya saat dia ralit merenung wajah suaminya itu.

“Bila awak balik?” soal Hayyan. Dia terus bangun daripada pembaringannya. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Armel. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

“Rhea baru je balik. Armel okey?”

“Dia menangis cari awak tadi. Tapi sekejap je.”

Rhea mengangguk lega. “Terima kasih abang tolong jagakan Armel waktu Rhea tak ada,” ucapnya.

“Hmm.” Hayyan angguk perlahan.

Masing-masing diam buat seketika.

“Awak hantar kek dekat mana tadi?” soal Hayyan. Boleh tahan lama juga Rhea keluar tadi.

Rhea terdiam. Hayyan tahu ke yang dia jumpa Trisha tadi? Entah-entah Trisha mengadu pada Hayyan?

“Dekat Taman Kemboja.” Lebih kurang 45 minit daripada rumah mereka. Kebetulan, taman perumahan itu dekat dengan syarikat milik keluarga Trisha. Itu yang membuatkan Rhea nekad untuk berjumpa dengan Trisha tadi.

Rhea lega kerana selepas itu Hayyan dah tak tanya lebih-lebih lagi. Perbualan mereka pun terhenti di situ bila Armel terjaga daripada tidurnya.

PETANG itu Rhea mula berniaga seperti biasa. Hari ini lewat sikit dia membuka kedainya kerana sibuk menyiapkan tempahan kek daripada pelanggan yang lain.

Hayyan pula pagi-pagi lagi sudah keluar. Katanya mahu cari kerja. Rhea berat hati juga nak lepaskan lelaki itu pergi. Dia bimbang jika Hayyan keluar dan bertemu dengan Trisha lagi. Tapi siapalah dia untuk menghalang lelaki itu daripada keluar rumah. Hayyan bukan budak-budak lagi. Rhea hanya mampu tawakal.

Tiba-tiba ada sebuah motosikal berhenti di hadapan rumahnya. Dahi Rhea berkerut halus melihat lelaki itu. Dia tak nampak melihat dengan jelas wajah lelaki itu kerana lelaki itu memakai topi keledar.

“Ya encik, nak beli apa?” soal Rhea ramah.

Lelaki itu turun daripada motosikalnya. Tiba-tiba dia menendang meja jualan Rhea. Habis bertaburan kek dan dessert di atas meja itu.

“Ya ALLAH!” Rhea tergamam melihat kek dan dessert jualannya habis bertaburan di jalan.

Tak cukup dengan itu, lelaki itu memijak-mijak kek dan dessert yang sudah jatuh ke tanah. Usai itu dia cepat-cepat menaiki motosikalnya kembali lalu beredar daripada situ.

Rhea terduduk lemah di situ. Tubir matanya bergenang. Dia tak tahu apa yang perlu dia lakukan saat ini. Semua yang berlaku terlalu cepat.

“Rhea!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience