BAB 3

Family Completed 447

FATIMAH ADAWIYAH terkedu apabila melihat sarapan pagi di meja langsung
tidak disentuh. Suaminya pergi berkerja awal-awal lagi, sedangkan
sarapan bagi Asha disiapkan kemudian. Namun apabila dia bangun – dia
tertidur selepas menyidai baju pagi tadi – dia melihat ikan rebus yang
dimasaknya masih sama sahaja. Dia menilik jam di dinding dapur. Sudahpun
hampir ke waktu Zuhur, apakah Asha masih tidak bangun dari lenanya?
Adawiyah tersenyum sendirian.

Dia melangkah perlahan-lahan ke ruang tamu. Asha sedang duduk di
lantai, sambil perhatiannya penuh pada buku di atas meja. Asha
nampaknya sedang menulis sesuatu, kerja rumah mungkin. Fatimah Adawiyah
merenung anak gadis itu. Kasihannya dia, terpaksa mengumpul barangan
dari rumahnya semalam untuk pindah ke sini tanpa relanya. Nasib baiklah
baju-baju untuk Asha telahpun dibeli olehnya kelmarin, oleh sebab itu
ada baju ganti bagi Asha yang menggeletar kesejukan semalam. Entah
mengapa dia basah lencun begitu tidak diketahui pula oleh Adawiyah . Namun
gadis itu harus juga pulang ke rumah, untuk mengambil buku-buku
kerjanya. Rasanya dia juga sempat mengambil baju asalnya di rumah,
kerana Asha Malika tidak memakai pakaian yang dibelinya itu hari ini.
Fatimah Adawiyah hanya tersenyum. Anak gadis seperti Malika ini, cukup
difahami olehnya. Ya, dia ingin memanggil ‘anak’nya itu Mardhiah.
Baginya, nama itu lagi manis bagi seorang wanita.

“Malika tak makan masakan umi tadi?” kata Fatimah Adawiyah tiba-tiba,
mengejutkan Asha di hadapan meja. Sengaja dia membahasakan diri sebagai
umi.

“Asha tak boleh makan ikan, makcik,” kata Asha perlahan sambil
memandang bukunya. Lalu dia sambung menulis.

Adawiyah langsung tidak terasa dengan sikap Asha Malika itu. Malahan
dia berasa gembira, kerana kini dia tahu akan apa makanan yang tidak
boleh dimakan oleh anak tirinya. Entah mengapa, rasa kasih sayang itu
timbul di hati sejak pertama kali melihat wajah gadis berwajah comel
itu. Syukur kepada tuhan, ulang Adawiyah dalam hati. Dia berlalu ke dapur,
tidak baik rezeki dibuang begitu sahaja. Lebih baik dia sahaja yang
makan ikan kukus yang terhidang di meja kaju jati itu.

--

“ALERGI IKAN?”soal Dzulkifli kepada isterinya di sisi katil.

“Ya, Malika yang kata begitu,” kata Fatimah Adawiyah yang baru usai
menunakan solat taubat di sebelah katil. Dia gemar melakukan solat sunat
sebelum tidur. Jika tidak dapat melakukan solat, dia hanya berwuduk
sahaja bagi menenangkan diri sebelum tidur. Dia kadang-kala takut
sekiranya dia tidak lagi bernyawa setelah dia bangun keesokan harinya.
Fatimah Adawiyah mengucap berulang kali. Sepatutnya dia tidak gentar akan
maut. Ia pasti akan tiba kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki
oleh-Nya. Tetapi peristiwa yang menimpa kepada Ain Ayumi dan anaknya
itu membuatkan dia taksub dengan kuasa sang pencipta. Sekali sahaja
nikmat ditarik olehnya, terus membuat satu nyawa terkorban. Dengan
kuasanya juga, Malika sempat diselamatkan. Dia bersyukur lagi sekali
kerana dapat bertemu dengan gadis itu.

“Bila masa pula si Asha tu alergi ikan,” kata suaminya, diiringi dengan
tawa kecil.

Adawiyah mengangkat kepalanya. Lalu dia menyapu mukanya, disambung dengan
senyuman kecil. Oh, dia tertipu rupanya. Mardhiah, tegar kamu berbuat
begini kepada ibu? seru hati kecilnya. Hati Fatimah Adawiyah redha dengan
apa yang berlaku. Mungkin dia tidak biasa dengan air tangan wanita
selain daripada ibunya. Tetapi bukankah dia tinggal di asrama? Gadis
kecil sudah pandai berbohong! Fatimah Adawiyah , hanya tubuhnya sahaja yang
kecil, bukan umurnya. Dia sudahpun berumur 14 tahun, ulang hatinya
sekali lagi.

Fatimah Adawiyah segera bangun, melipat sejadahnya. Dia tidak ingin
berfikir buruk mengenai anaknya itu. Ya, anak. Dia kerap mengulangi ayat
itu sehingga melekat di hati. Setelah membuka telekung dan melipatnya,
dia baring di sebelah katil bersama suami tercinta. Alhamdulillah, dia
tidak henti-henti bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan dia seorang
suami yang membimbingnya ke jalan yang lurus. Jika tidak kerana Ain
Ayumi , dia tidak akan merasa hidayah-Nya pada waktu ini. Garis jernih
timbul di mata Adawiyah . Segera dia menyapunya. Tatkala teringat akan
kisah lalu, dia terus bersedih tidak terhingga.

Setelah membaca ayat Kursi, surah tiga Qul dan doa sebelum tidur,
Fatimah Adawiyah menutup lampu sisi dan mula untuk tidur.

Baru sahaja dibuai mimpi, Adawiyah dikejutkan dengan bunyi tapak kaki di
tangga. Bunyi tersebut kedengaran jelas, mungkin kerana waktu malam yang
cukup sunyi. Fatimah Adawiyah bangun dan duduk di katil, namun tidak
membuka lampu. Dengkuran Dzulkifli bagai mengiringinya saat ini. Bunyi
tapak kaki itu perlahan-lahan menjadi senyap.

Fatimah Adawiyah bingkas bangun dari katil. Rasanya sesiapa sahaja yang
melangkah sebentar tadi sedang berada di tingkat bawah. Aduhai, siapa
pula ini? Dia membuka pintu bilik tidur perlahan-lahan, diiringi dengan
doa dalam hati. Kakinya menuruni anak tangga satu per satu, lalu
melangkah ke dapur.

Peti sejuk terbuka. Kelihatan lembaga kecil sedang mencari sesuatu dalam
peti sejuk itu. Cahaya dari peti sejuk membuatkan lembaga itu kelihatan
jelas. Baju itu, cukup dikenali oleh Adawiyah .

“Mardhiah?”

Kedengaran bunyi telur jatuh ke lantai. Lembaga itu terus memecut laju,
namun terdengar bunyi kerusi dilanggar. Fatimah Adawiyah segera membuka
lampu dapur di sebelahnya, dan alangkah terkejutnya dia apabila
mendapati tekaannya benar.

Asha Malika sedang terbaring di lantai, dengan kerusi kayu jati di
sebelahnya. Tangannya memegang roti yang telah digigit. Adawiyah menutup
mulutnya yang terbuka sekarang. Dia memang betul-betul terkejut.
Sangkanya pencuri, rupa-rupanya ‘pencuri’ makanan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience