Ustaz Adam duduk berteleku di atas sejadah setelah menunaikan solat Maghrib. Bibirnya terkumat-kamit memuja-muji nama Allah SWT. Tidak cukup dengan itu, dia turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Tangannya tidak berhenti memegang tasbih kepunyaan arwah ibunya yang telah menemui Penciptanya lima tahun yang lalu disebabkan ‘kesilapan’ yang dilakukannya suatu ketika dahulu. Dia kemudian menghela nafasnya apabila teringat akan berita yang diterimanya tengahari tadi.
Dia terkejut apabila menerima berita tentang kematian Sofea yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu dalam perjalanan ke balai polis. Dia juga diberitahu oleh pihak polis bahawa ujian DNA yang dilakukan menunjukkan rangka yang ditemui di bangunan usang tersebut adalah milik Nur Hanim binti Johan, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang hampir 10 tahun yang lalu. Ustaz Adam melepaskan keluhan.
Saat dia mula membaca beberapa potongan ayat suci Al-Quran, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi asing yang disertai dengan bunyi seakan beberapa biji guli jatuh di atas lantai. Dia menghela nafas panjang dan beristighfar di dalam hati.
“Adam….” kedengaran satu suara memanggil namanya dengan nada sayu sekali. Bulu romanya menegak seketika. Dia mengumpul kekuatan untuk menoleh ke belakang. Saat dia menoleh, matanya membulat.
TAMAT
The end! Thank you for reading and supporting me!❤
Share this novel