BELLA duduk bersantai di atas kerusi panjang yang terletak cantik di bawah pokok rambutan yang sedang memerah berbuah lebat. Dari tadi mulut wanita itu tidak berhenti mengunyah. Sesekali gelak tawanya pecah setiap kali ada topik lucu yang mendatangi perkumpulan mereka. Sememangnya suasana seperti itu yang paling dirindukan, berkumpul, bergurau senda dengan para saudara kerana bukan selalu suasana indah itu dapat dirasai.
Mak Imah yang terlihat sedang sibuk mengupas bawang sesekali meliarkan pandangannya ke arah susuk kecil Danial yang kelihatan sangat gembira dan teruja berlari ke sana sini bersama tawanya yang riang. Biar baru pertama kali menjejakkan kaki ke kampung, namun anak itu langsung tidak kekoh sama sekali.
"Comel kan anak bos Mak Imah tu. Suka pula Sya tengok..." Bella mengalihkan topik komedi yang sudah lama memerangkap perkumpulan mereka sedari tadi. Kini tawa hantu mereka mula diganti dengan sebaris senyuman. Nipis namun memiliki makna yang sangat mendalam. Ketika itu, semua mata ikutan ralit memandang ke arah Danial. Anak comel itu benar-benar menarik perhatian Bella, entah kenapa. Tertarik juga tersentuh dengan kata-kata Bella, Mak Imah kemudiannya juga ikutan tersenyum. Kerja mengupas bawang yang sedang dilakukan lantas dihentikan sementara kerana ketika itu, dia turut seronok memerhatikan telatah Danial.
"Comel. Budak Danial tu tak nakal sangat, dengar kata. Senang je dijaga. Tapi tu la... Mak Ngah cuma kesian dengan... "
Aaaa!!
Bicara Mak Imah langsung bernoktah saat telinga mereka diserang dengan bunyi tangisan yang sangat nyaring. Insan-insan di situ sama-sama terpaku untuk beberapa saat tatkala terpandang akan susuk kecil Danial yang sedang terjelopok jatuh di atas rumput hijau. Semua itu sudah semestinya berlalu sepantas kilat tanpa dijangka kerana gerakan lincah seorang kanak-kanak sememangnya terlalu sukar untuk dijangka.
"Danial tak apa-apa ke? Sakit kat mana ?" Soal Mak Imah cemas sesudah mendapatkan tubuh Danial.
"Darah... " Anak kecil itu menangis teresak-esak sambil menunjuk ke arah kepala lututnya yang sedikit tercalar. Raungannya menjadi semakin keras, barangkali sampai ke hujung kampung tatkala melihat sedikit cairan darah merah mula mengalir pada bahagian yang terluka.
"Jangan nangis sayang, sini kakak letak ubat." Bella memujuk lembut lalu mencempung tubuh kecil itu dan dilabuhkan di atas kerusi panjang tempat duduk mereka sebenar tadi.
Setelah itu, dia kemudiannya berlari ke arah kereta BMW X3 miliknya untuk mengambil kotak pertolongan cemas yang sememangnya sentiasa tersedia di dalam kereta itu.
Jangan hairan bagaimana seorang tukang cuci seperti Bella mampu memiliki kereta semewah itu. Gaji yang dibayar oleh Tengku Faizal bukan sedikit. Tambahan pula, ayah Bella pula bukanlah calang-calang manusia, jutawan dalam diam. Manakala mama Bella pula merupakan seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi yang terkenal di Sarawak.
Bella berlari semula mendapatkan Danial dengan membawa kotak peti kecemasan bersama. Peluh yang membasahi wajah anak kecil itu diseka lembut menggunakan tisu sebelum menggigihkan diri untuk mengubati luka kecil Danial.
Mak Imah yang menjadi pemerhati di sisi Danial hanya tersenyum. Kepala Danial diusap dengan penuh kasih dan rasa simpati.
Selesai menampalkan plaster, Bella kembali menghantar matanya ke arah Danial yang sudah kelihatan tenang dan tidak lagi menangis ketika itu.
"Dah, kakak dah letak ubat. Danial jangan nangis lagi ya." Pujukan lunak Bella terluah sebelum membawa tubuh kecil itu ke dalam pelukannya. Diam-diam, bibir anak manja itu spontan melorek senyum, pelukan Bella juga dibalas dengan perasaan senang.
'Mama... '
"Pandai kau melayan budak tu Sya. Ada ciri-ciri seorang ibu... "Mak Zu tiba-tiba bersuara sambil membawa besen besar di tangannya. Entah apa yang ada
di dalam besen yang dibawa, Bella malas hendak ambil tahu. Yang dia tahu cuma satu iaitu mengelak diri dari mendengar bebelan wanita itu yang pasti akan bermula sebentar lagi nanti.
Ayu dan Rusdi yang merupakan pasangan adik beradik, juga yang sememangnya sehati dan seotak lantas ketawa mengekeh tatkala menyedari wajah gugup Bella kerana mereka sudah juga sedia maklum, Mak Zu sudah tentu akan mendesak kakak sepupu mereka itu agar lekas berkahwin.
Bella yang sekadar tersenyum kambing lantas melepaskan pelukan Danial. Ketika itu, otaknya sedang ligat memikirkan cara bagaimana hendak menyelamatkan diri. Namun tidak berlama memerah otak, senyuman manis Bella kembali terukir saat telefon bimbit yang sedang tersimpan di dalam kantung seluarnya tiba-tiba berbunyi nyaring. Makan tidak usahlah dia untuk bersusah payah mengorek keluar akal kancil.
Dengan bersahaja, dia langsung bangkit dari posisi duduknya sebelum mengangkat telefon bimbitnya meninggi ke arah Mak Zu tanda harus meminta diri untuk menjawab panggilan. Bella sempat mengeluh saat membaca nama pemanggil yang terpampang pada skrin telefon. Bagai keluar dari mulut harimau, termasuk pula ke dalam mulut buaya.
"Ya bos?" Bella memulakan bicara dalam keluhan sambil melangkah sedikit jauh dari perkumpulan saudara maranya yang agak riuh berbicara.
"You kat mana?!" Satu suara keras kedengaran membuatkan Bella sempat menjauhkan telefon dari tekapan telinganya untuk seketika lalu menggosok cuping pendengarannya sendiri berkali-kali.
"Kan saya dah minta cuti, dah kena approve dah pun. Saya kat kampungla ni, nak kat mana lagi? Takkanlah kat hati bos pula!" Bella memerli dengan nada yang bersahaja seraya berjuling mata ke atas tanda sebal.
"Ada-ada je kan jawapan you ni. Jentik mulut tu baru tahu!"
"Dah bos tanya, saya jawablah. Ni dah kenapa pula nak telefon bagai? Bangunan syarikat besar bos tu kotor balik ke? Semalam rasanya putih bersih dah saya cuci. Sampaikan client yang datang pun hampir tak kenal syarikat bos yang mana satu."
"Kalau setakat nak lap sikit-sikit macam tu, baik tak payah! Gaji je besar, kerja malas."
"Amboi mulut, macam parit tersumbat. Benci!" hambur Bella sambil mendengus geram. Bibirnya terherot menyenget tanda tidak berpuas hati, sedang sebelah tangannya pula disilangkan sempurna pada tubuh. Jika Tengku Faizal ada di hadapan mata, sudah lama lelaki itu menjadi santapan tangannya.
"Allaaa Bella, i saja je call sebab nak pastikan cleaner i yang hebat ni sampai dengan selamat. Zaman sekarang, susah nak cari cleaner yang rajin macam you tau.." Ujar Tengku Faizal selamba bersama alunan tawa yang nyaring memecah.
"Ye la tu, saja je nak kenakan orang." rajuk Bella namun tetap sahaja bibirnya terkoyak penuh kemanisan.
"Ok lah Bell, i kena pergi meeting kejap lagi. Jaga diri kat sana and... Selasa jangan lupa pula nak masuk office. Jangan nak memandai tambah cuti, bukan you pun yang kahwin."
"I tahulah Faizal, tak payah nak membebel. Apapun, selamat maju jaya menghadap Puan Sri Zaila yang cerewet tu nanti." ujar Bella seraya tergelak jahat, dan tawanya iti semakin menjadi-jadi tatkala mendengar Tengku Faizal mengeluh dalam di hujung talian. Siapa tidak kenal dengan Puan Sri Zalia, satu-satunya klien yang sangat menyebalkan. Oleh kerana itu, setiap hal yang berkaitan dengan Puan Sri Zalia, memang akan dikendalikan oleh Tengku Faizal sendiri kerana tidak ada seorang pun kaki tangannya yang sanggup menadahkan diri.
_
_
_
"ALANG tak balik ke Ngah?" pertanyaan Mak Zu terlontar tiba-tiba dengan mata tetap memandang ke arah Mak Imah yang sedang sedari tadi leka mengupas kulit bawang merah.
"Sya kata tak. Alaaa... sibuklah tu Long." ujar Mak Imah sambil menyeka air matanya yang mengalir akibat kepedihan oleh bisa bawang merah.
"Along bukan apa, Ngah. Lama dah kita adik beradik ni tak berkumpul bersama-sama. Sejak Alang tu kahwin lagi, sekali dua je dia datang menjenguk. Along rindu dengan dia tu." luah Mak Zu sedikit sayu. Air mata yang tiba-tiba sahaja bercucuran diseka lembut.
Perasaan rindu untuk bersua muka dengan adik ketiganya semakin kuat terasa, apa lagi setiap kali melihat wajah Bella yang benar-benar mengikuti kecantikan ibunya.
"Sabarlah Long, ada masa nanti baliklah dia tu. Lagipun, Alang tu bukan dekat-dekat sini. Kena merentas lautan biru barulah boleh sampai."
"Jauh apanya, dalam-dalam Malaysia juga kan? Lainlah kalau kat Paris ke, London ke, bolehlah kata jauh!" Bidas Mak Zu seraya mencebik rajuk.
"Amboi Along ni, makin pandai pulak sampai disebut nama-nama negara orang putih tu. Dahlah, jangan nangis. Angah yang kupas bawang, Along pula berair mata!"
"Sinilah, biar Along yang buat." ujar Mak Zu sambil menarik bakul bawang daripada pangkuan Mak Imah. Sedikitpun Mak Imah tidak berkecil hati malah semakin menjadi-jadi pula alunan tawanya memecah tatkala melihat riak masam kakak sulungnya itu. Walau terlihat garang, namun kebaikan dan sikap penyayang wanita itu hanya mereka adik beradik yang tahu.
***********
MAJLIS perkahwinan Akiff, anak bongsu Mak Imah berjalan dengan lancar dan meriah. Tidak menang tangan Mak Imah dan keluarganya melayan para tetamu yang datang. Mujur sahaja ada saudara- mara yang setia menolong tanpa mengeluh sedikitpun.
Petang hari, sesudah tetamu-tetamu yang datang mula beransur pulang, tugasan dan kerja mengemas mula dilakukan oleh Bella bersama beberapa orang sepupunya yang lain. Tidak usah orang luar ikut camput tangan, keramaian ahli keluarga besar mereka sendiri sahaja sudah lebih daripada mencukupi.
Bella yang sedari tadi gigih menggosok kuali besar tercungap-cungap menahan nafasnya sedang yang lain pula asyik bercuci pinggan bersama gelak tawa nyaring mereka.
"Hahh Sya, tugas gosok kuali tu bagi kat pengantin. Kamu pegi buat yang lain. Kalau nak sangat gosok kuali besar tu, cari bakal suami tu cepat-cepat, lepas tu lekas-lekaslah kahwin. Nanti Mak Long sediakan dua kuali besar untuk kamu dengan suami kamu." kata-kata perlian Mak Zu yang tiba-tiba sahaja bertandang langsung membuat pergerakan tangan Bella kaku seketika. Saat otak mula memahami penuh maksud kata-kata wanita tua itu, riak Bella spontan berubah drastik. Berus dawai halus yang berada di tangan dilontarkan dengan rajukan manja sebelum bangkit dari duduknya untuk mencuci tangan.
"Betul kak. Nanti kalau kakak kahwin, biar Ayu yang ambil tugas kupas-mengupas bawang. Rusdi potong ayam." Ayu mencelah nakal.
"Abang Bakri pula ambil tugas cuci pinggan mangkuk."
"Kak Leha masak rendang... "
Semakin menjadi-jadi sahaja usikan para insan di situ terhadap Bella. Bahkan, kesemuanya sedap tertawa bagai tidak ingat hari khiamat.
"Bella nak masuklah, malas nak melayan korang semua. Mak Long ni lah!" hambur Bella kegeraman seraya berhentak kaki untuk memasuki dalaman rumah meninggalkan para manusia yang masih sahaja seronok ketawa. Namun niat hendak mendatangi kamar beradu terbatal taktala melihat Mak Imah yang sibuk melayan karenah Danial. Jelas terpancar keikhlasan Mak Imah dalam memperlakukam anak kecil itu kerana seperti apa kebaikan Mak Imah sememangnya Bella sudah sedia tahu.
"Danial sayang, buat apa tu?" Bella menyoal lembut bersama tangan yang spontan dibawa untuk mengusapi kepala anak kecil itu.
"Danial tengah colour. Ni daddy, ni Danial dan yang ni Mak Imah. Mama nak tak? Kalau mama nak, nanti Danial lukis gambar mama juga." Kepolosan kata Danial yang terungkap langsung membuatkan Bella ternganga dalam beberapa saat. Wajah Mak Imah juga dilirik hairan.
"Mama??" perkataan itu keluar serentak dari mulut Mak Imah dan Bella. Kedua-duanya juga saling berpandangan dengan kecengangan.
"Panggil kakak je. Kakak belum kahwin lagi tahu tak, masih muda dan lebih sesuai jadi kakak Danial." Terang Bella bersungguh-sungguh sambil tetap meneruskan usapan lembutnya pada kepala anak comel itu.
"Mama baik, macam mama kawan Danial. Danial nak panggil mama juga! Lagipun, mama bukannya kakak Danial. Danial seorang je anak daddy" petah anak itu menjawab membuat tawa Mak Imah langsung meledak kuat.
'Adoilah adik, apa-apa je la. Jangan mak kandung kau serang aku sudah!'
Bella sekadar mengukir sebaris senyuman kelat sambil bercurian menjeling tajam ke arah Mak Imah yang kelihatan bukan main seronok menghambur tawa.
"Amboi, seronok ye ketawa Mak Ngah?" Bella memerli sinis, bibirnya juga dimiringnya tanda mahu memberontak.
Ketika itu, hanya tersisa mereka berdua di situ. Danial pula sudah duluan berlari ke arah Tiya, cucu sulung Mak Imah untuk menunjukkan hasil karyanya.
"Kesian Danial Sya, dari kecil tak rasa kasih sayang ibu." Mak Imah memulakan bicara pilu, biar masih tersisa kemanisan di hujung bibir.
"Tak rasa kasih sayang ibu? Ibu Danial tu mana Mak Ngah? Meninggal ke?" Lancang Bella bertanya. Wajah mendung Mak Imah ditatap penuh. Entah mengapa hatinya mula tertarik untuk mengetahui kisah anak itu. Tubuhnya dipusing menghadap tepat ke arah Mak Imah sambil kedua-dua tangan kuat menongkat dagu.
"Bukan meninggal, tapi bercerai masa Danial kecil lagi. Ibu dia memang dah tak pedulikan Danial lepas bercerai. Sebelum bercerai pun sama je, Mak Imah dan bos Mak Imah tu yang selalu uruskan Danial. Bapa Danial tu baik sangat, cuma tu lah... kuat sangat bekerja sampai tak ambil kisah keadaan sekeliling. Mungkin disebabkan tu lah ibu Danial cepat bosan. Tapi lepas bercerai, bos Mak Imah tu dah banyak berubah. Masa lebih banyak diluangkan dengan Danial, sampailah sekarang."
Terangguk-angguk Bella menghayati cerita Mak Imah. Tanpa sedar, setitis demi setitis air matanya jatuh ke pipi.
'Kita sama je Danial. Ibu bapa bercerai masa masih kecil, cuma nasib kakak baik sikit. Mama dengan papa kakak tak pernah abaikan aku kakak.'
Kaya berharta tidak semestinya menguntungkan. Kadang kala yang miskin harta itulah jauh lebih bahagia.
"Berapa lama Mak Ngah ambil cuti?" Bella kembali bersuara sekaligus menghalau pergi topik gundah Mak Imah.
"Seminggu. Sya pula bila balik KL?"
"Isnin depan Mak ngah. Selasa dah kena masuk kerja balik dah. Bos Sya tu awal-awal lagi dah pesan, jangan tambah cuti katanya sebab bukan Sya pun yang kahwin." Bella mengadu polos sambil membuat riak menyampah dan sayu. Namun, bukan simpati yang dia dapat melainkan tawa ejekan daripada bibir Mak Imah.
"Betullah tu. Kalau Sya nak cuti lama sikit, cepat-cepatlah bawakan calon suami." ujar Mak Imah bersahaja.
"Bella nak masuk biliklah. Malas pula nak dengar kalau dah bab-bab kahwin ni." Bella menarik muka ketat sebelum bangkit dari duduknya. Kakinya diayunkan untuk dibawa menuju ke bilik sepupunya yang juga sudah rasmi menjadi biliknya setiap kalu bermalam di situ.
Share this novel
Sudh top up coins tp tk bolh baca.. Next chapter
2 tahun dah pandai bercakap