BAB 1

Romance Completed 9878

Angin bayu berhembus sedikit kuat menerbangkan sekeping nota merah jambu melayang-layang dari hadapan dan jatuh betul-betul di kakinya. Danish mengutip nota tersebut lalu membacanya sekali lalu. Pemilik nota tersebut terus melangkah tidak perasan nota pelekatnya itu ditiup angina.

“Miss!” Laung Danish. Tiada balasan. Orang yang dipanggil tidak langsung menyahut. Dia melepaskan keluhan. Dia berdehem sekali lalu menjerit lebih kuat, “Cik Senah!”

Gadis berpakaian serba merah, dari kepala hinggalah ke kaki, berhenti menapak. Secepat kilat gadis itu menoleh ke belakang dengan renungan tajam.

Danish tersengih seraya berkata, “Ha, Cik Senah, ini nota awak. Terjatuh tadi.” Dia mengunjuk nota merah jambu di tangannya sambil melangkah ke arah gadis tersebut.

“Kenapa awak panggil saya Cik Senah?” Gadis serba merah itu bertanya dengan garang. Ternyata dia tidak senang dipanggil ‘Senah’.

“Dah saya panggil awak cik adik, awak tak dengar. Saya panggillah Cik Senah. Yang awak berpaling ke belakang tu, kenapa? Nampak sangat nama awak tu Senah, kan?” Danish membalas lalu menghulurkan nota tersebut.

“Yalah. Eh, bukan! Nama saya bukan Senah! Tetapi, kalau saya tak dengar, tak boleh ulang panggil cik adik? Kenapa mesti Cik Senah?” Gadis serba merah itu masih tidak berpuas hati. Nota tersebut masih belum bertukar tangan.

“Eh eh, awak ni… Dah saya tengok nama Senah yang tertulis di atas nota tu, saya panggillah Senah. Takkan saya nak panggil Timah pulak. Nampak sangat saya ni tak reti membaca.”

“Mana?” Segera gadis serba merah itu merampas nota tersebut dari tangan Danish. Sebenarnya, dia pun masih belum membaca nota tersebut. Sebaik terpandangkan nama pengirim nota tersebut, dia mengeluh lemah. Mira Idora konon! Nama Amirah tetapi mahu dipanggil Mira Idora. Nama dia yang sedap itu pula dipanggil Senah! Entah bila si Amirah menyelitkan nota merah jambu itu di celah-celah failnya tadi, tidak pula dia sedar.

Tanpa mempedulikan Danish, dia terus membuka langkah untuk berlalu dari situ. Dia mahu pulang ke rumah. Kata emaknya, ada tetamu istimewa mahu berkunjung ke rumah.

“Eh, Cik Senah! Pergi macam itu saja ke?” Danish bersuara.

Gadis serba merah berpaling. “Awak nak apa? Takkan tolong kutipkan nota ni pun nak saya belanja awak minum kut?”

“Awak ingat saya ni sengkek sangat ke sampai perkara kecil macam tu pun nak minta orang belanja? Saya tak nak apa-apa pun. Cuma, ucaplah terima kasih.” Danish menggeleng-geleng. Haih, budak-budak zaman sekarang… Orang sudah tolong pun, masih sukar hendak mengucapkan terima kasih. Bukan rugi wang ringgit pun mahu mengucapkan dua perkataan itu.

“Oh ya!” Gadis serba merah menepuk dahi. “Terima kasih,” ucapnya. Dia menyambung langkah kaki.

Danish tercengang. Aik? Begitu sahajakah? Dia mengejar gadis serba merah itu. “Cik Senah, sekejaplah,” ujarnya apabila dia dapat menyaingi gadis tersebut.

“Awak nak apa lagi? Saya dah ucap terima kasih, kan?” Hayunan kaki gadis serba merah tersebut sekali lagi terhenti. Dia merenung Danish atas dan bawah. Lelaki itu mahu menguratnyakah?

“Errr… saya sedang mencari seseorang ni.”

“Awak, saya ni bukan kaunter pertanyaan mahupun kaunter mencari orang yang hilang!” Gadis serba merah mula mencekak pinggang.

“Saya tahu. Tapi, mungkin awak kenal dia. Saya nak cari seseorang yang bernama Izyan.” Danish menyatakan nama orang yang dicarinya.

Gadis serba merah itu terkebil-kebil mendengar nama yang disebutkan itu. “Izyan mana? Izyan pendek? Izyan tinggi? Izyan debab?”

“Wah, ramai Izyan di sini, ya?”

“Awak, ini universiti. Besar! Macamlah ada seorang sahaja di dalam dunia ni yang bernama Izyan.”

“Oh, kalau macam tu, saya cari Izyan Ibrahim. Saya tak tahu nama penuh dia. Sekurang-kurangnya, saya tahu nama ayah dia. Pasti ada seorang sahaja Izyan Ibrahim, kan?”

“Errr… awak, apa kata awak pergi tanya orang lain? Saya… saya tak kenallah dengan orang yang awak cari tu. Saya dah lewat ni.”

“Oh, ya ke? Maaflah kalau saya dah ambil banyak masa awak. Apa-apa pun, ambil ni.” Danish menarik keluar dan meletakkan sebiji trufel jenama Lindt di atas tapak tangan gadis serba merah tersebut.

“Apa ni?” Gadis serba merah terkebil-kebil.

“Upah. Terima kasih.”

“Hah? Tapi, saya tak tolong apa-apa pun….” Gadis serba merah kelihatan keliru.

“Tak apa. Ambil saja. Nanti bila Cik Senah makan, untung-untung teringat pada saya.” Danish mengenyit mata nakal.

Tanpa membalas sepatah perkataan pun, gadis serba merah itu terus memecut pergi. Gila! Terperanjat dia apabila Danish berbuat begitu.

Danish tergelak. Macam kartun Cik Senah ni…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience