BERAT sebenarnya Damia mahu melangkah masuk ke dalam rumah. Kena marah itu satu hal. Kalau lepas ni dia dah tak boleh keluar rumah, macam mana pulak?
"Assalamualaikum," ucap Damia usai melangkah melepasi pintu.
Seperti biasa, pasti dua beranak yakni ibu dan kakaknya sudah menunggu di ruang tamu. Mulalah nak berperang dengan mereka berdua itu.
"Waalaikumussalam. Ha, angah. Balik pun kamu. Ingat kamu dah lupa jalan balik rumah." Mak Siti mulakan serangan dengan perlian.
Damia julingkan mata ke atas. Telan ajelah apa yang mahu dihamburkan ibunya tu.
"Kamu pergi mana ni, ha? Seharian tak balik rumah. Mak ingat dah lari kahwin kat Siam sana tu."
"Angah tahu had angah lagilah, mak. Angah takkan buat semua tu," balas Damia. "Angah pergi rumah Syafiq semalam," sambungnya.
Ternganga mulut Mak Siti. Walaupun jawapan itu dalam jangkaannya, masih saja ia mengejutkan dirinya.
"Ka ... kamu tinggal kat rumah penjual sate tu? Berdua-duaan?" Mak Siti sudah fikir bukan-bukan.
"Mana ada, mak. Ada adik dia. Tu yang angah berani tinggal dengan dia. Lagipun dia baik, dia tak pernah apa-apakan angah," ujar Damia.
Mak Siti tersengih sinis. "Eleh, baik konon. Sebab ada adik dialah dia tak ambil kesempatan kat kamu. Kalau adik dia tak ada, entah kekal dara ke tidaklah kamu ni."
"Mak! Mak sedar tak apa yang mak cakap ni? Angah ni anak mak tau. Mak sanggup eh cakap benda macam tu?" bentak Damia dengan kerasnya.
"Ala, mak cakap je. Bukannya doa pun." Sengaja Mak Siti tekankan perkataan 'doa' itu.
Damia hela dan hembus nafasnya perlahan. Dia cuba bertenang menghadap ibunya.
Relaks, Damia. Ni bukan pertama kali kau berperang mulut dengan mak kau. Hati Damia cuba menyuntik ketenangan dalam diri.
"Mak memang tak suka angah berkawan dengan Syafiq tu?" Perlahan sahaja suara Damia bertanya.
Mak Siti memandang sekilas muka Nadia, sebelum dialihkan semula pada Damia.
"Mak tak kata mak tak suka pun. Tapi mak benci! Faham tak? Benci."
"Mak tak serik lagi, kan? Kenapa mak ni suka memilih orang untuk angah berkawan? Dari angah sekolah lagi perangai mak tak pernah berubah." Damia meninggi suara. Dia beranikan jua luahkan rasa yang terbuku di hati selama ini.
"Sebab mak nak yang terbaik untuk kamulah! Sebab tu kamu kena berkawan dengan orang yang berada ja," jawab Mak Siti tak mahu kalah.
Damia picit pelipis kepalanya. Pening nak melayan ibunya yang satu ini.
"Habis tu? Kita ni kaya sangatlah sampai nak memilih itu ini? Mak sedar tak yang kita ni biasa-biasa je mak. Tanah arwah abah pun mak dah jual. Yang kita ada pun, kedai runcit tu je la," bidas Damia.
"Hoi, angah! Kau tak tahu yang mak..." Nadia cuba menyampuk, tetapi Damia segera potong.
"Kau diam! Aku tak cakap pun dengan kau, along!" marah Damia.
Nadia terus senyap. Dia menarik mukanya kerana geram. Nak melawan tapi tak berani. Yang dia tahu, hanya melawan secara senyap-senyap sahaja. Itulah Nadia.
"Ha, tahu kita orang biasa-biasa je dan sebab tu la kita kena cari orang kaya untuk kita berkawan. Dan lagi bagus, kahwin terus pun tak apa," jawab Mak Siti lagi.
Damia geleng kepala. Nak berdebat dengan ibunya sampai berbuih mulut pun, tak ada gunanya langsung.
"Angah tak fahamlah dengan mak ni. Syafiq yang baik tu pun mak benci. Kebaikan dia semua terbukti bila Damia duduk kat rumah dia semalam," kata Damia.
"Mak tak kenal dia tapi mak dah benci dia hanya sebab dia penjual sate. Angah serius tak faham," sambung Damia lalu dia terus menyambung langkahnya menuju ke bilik. Malas bertekak dengan ibunya.
"Sebab tu la kamu kena kenalkan dia kat mak. Mana tahu mak berkenan dengan dia ke? Sebab kamu kata dia baik, kan?" Pernyataan Mak Siti itu tiba-tiba membuatkan langkah kaki Damia segera terhenti.
Tiba-tiba je bertukar 180 darjah ibunya ni? Pelik.
"A ... apa maksud mak?"
"Maksudnya, mak nak jumpak Syafiq tulah. Mak nak berkenalan dengan dia. Mak tengok kamu macam dah tak boleh berenggang dengan Syafiq tu biarpun kamu baru berkawan dengan dia. Mana tahu mak boleh terima dia jadi kawan kamu ke?" terang Mak Siti panjang lebar sambil menjongketkan bahunya.
Terkebil-kebil mata Damia. Betul ke apa yang dia dengar tadi? Macam tak percaya aje ibunya tu berlembut hati nak berjumpa dengan seorang lelaki yang tak diiktiraf olehnya tu.
"Mak nak jumpa Syafiq ke? Bila?"
"Hmm ... hari Sabtu ni? Ya, hari Sabtu. Kalau dia tak datang rumah ni hari Sabtu, secara automatik kamu dilarang jumpa lelaki tu dah. Faham?"
"Fa ... faham!" jawab Damia yang menggelabah. Tetapi dalam hatinya sudah mekar dengan bunga-bungaan.
Ini bermakna, ibunya dapat menerima Syafiqlah, kan? Tak disangka kata-katanya tadi mampu menggerakkan hati ibunya yang keras macam batu itu.
"Mak, malam ni boleh angah pergi gerai sate tu tak?" Damia cuba meminta izin. Mana tahu ibunya benar-benar sudah lembut hati.
"Ha, yalah. Pergilah beli sate beratus cucuk pun. Janji tak guna duit mak."
"Okey, mak. Terima kasih." Damia tak mampu menyembunyikan lagi senyumnya. Segera dia naik ke tingkat atas menuju ke biliknya.
Angin Damia berubah serta-merta. Melihat ibunya yang kian berubah itu membuatkan amarah yang membelenggu diri segera lesap.
Sebaik sahaja Damia hilang dari pandangan, Mak Siti terus tersenyum sinis. Dia lalu memandang Nadia yang turut tersengih sama.
"Kamu yakin ke rancangan ni akan berhasil?" tanya Mak Siti.
"Mestilah mak. Rancangan ni je yang mampu pisahkan dia orang," jawab Nadia yang masih tak luntur juga dengan senyum sinisnya.
*****
Seperti rutin biasa, Syafiq kerah tenaganya setiap malam di gerai satenya tu. Demi sesuap nasi, bercucuk-cucuk sate dia jual.
Tatkala dia sedang mengelap meja makan, satu suara datang menyapa telinga.
"Assalamualaikum, awak."
"Waalaikumussalam ... Damia?" Membulat mata Syafiq apabila melihat gerangan yang memberi salam itu.
Damia tersenyum manis kepadanya. Baru tadi sahaja berpisah, sekarang dah jumpa semula? Memang pelik betul Damia ni.
Padahal sewaktu berpisah tadi, dia tak ucapkan pun kata selamat tinggal. Kelakuan gadis itu juga kelihatan macam sedang marah.
"Damia, awak lari rumah ke? Awak kata mak awak ..."
Damia segera memangkas, "Mana adalah awak. Saya keluar ni dapat izin mak saya tau."
Syafiq pasang muka pelik. Kelmarin Damia beritahu yang ibunya tak suka akan persahabatan mereka. Kali ini, mereka dapat keizinan untuk luangkan masa bersama pulak. Mana satu ni?
"Eh, jap! Mak awak tak marahlah kiranya?"
"Syafiq, kalau ye pun awak nak tanya, ajaklah duduk dulu. Kita borak kejap. Lagipun hari ni tak ramai kan pelanggan awak."
Betul juga! Terlalu nak tahu perkara sebenar sampai terlupa nak duduk.
Pantas je Syafiq pelawa Damia duduk. Syafiq seperti biasa memberi isyarat kepada Paan untuk jaga gerai seorang diri sebentar.
Nasib kaulah, Paan. Dapat kawan yang dah dilamun cinta, kau yang jadi mangsa.
"Awak nak order apa-apa, tak?" tanya Syafiq.
"Memandangkan tadi saya dah makan sate awak, saya tak nak order apa-apalah. Saya datang sini sebab nak bagitau awak berita baik je."
Syafiq jongketkan keningnya. "Berita baik? Kenapa awak tak mesej atau call saya je?"
"Berita baik tak best la kalau tak bagitahu berdepan macam ni. Sebab tu saya sanggup datang sini semata-mata nak sampaikan berita ni kat awak." Damia sudah semakin teruja.
Mata Syafiq melilau cuba memikirkan tekaan berita baik itu. Tetapi tekaan itu hanya disimpan dalam hatinya sahaja.
"Pasal apa eh?"
"Cuba teka," kata Damia.
"Umm ... pasal mak awak?"
"Okey. Berita baik ni memang ada kaitan dengan mak saya. Dan ... pasal kita."
Kening Syafiq hampir-hampir saja bertemu. Kenapalah kau suka berbasa-basi sangat ni, Damia? Tak boleh ke kalau bagitahu saja dengan terus dan terangnya?
Syafiq lalu telan liur. Jangan kata yang Damia nak luahkan ...
"Ala, awak ni. Janganlah buat muka macam tu." Damia merengek manja ketika dahi Syafiq masih berkerut seribu.
Syafiq tersengih. Ucapan maaf hanya digumamnya.
"Okeylah. Saya straight to the point. Sebenarnya, hari Sabtu ni ... mak saya ajak awak datang kat rumah saya," ujar Damia. Akhirnya berterus-terang jugak Si Damia ini.
Nafas terasa sesak? Semestinya ya. Otak terasa kosong? Semestinya benar. Kata-kata Damia membuatkan Syafiq membeku. Lah ... ingatkan nak luahkan perasaan tadi.
"Ke ... kejap. Mak awak nak saya datang rumah awak? Tapi kenapa? Bukan ke awak cerita yang dia tak suka saya?" Terkebil-kebil mata Syafiq bertanyakan itu.
"Yalah. Takkan saya nak tipu awak pulak. Mak saya yang ajak tau. Mak saya kata dia nak berkenalan dengan awak. Mungkin sebab dia cuba untuk berubah dan terima awak? Awak datanglah, ye? Hmm?" rayu Damia yang sudah muncungkan mulut.
Syafiq tak tahu mahu beri jawapan apa. Nak tolak, kesian pulak gadis di depannya ini. Nak terima, rasa malu pula. Ye la, mereka berkenalan pun baru je beberapa minggu.
"Awak ... seganlah saya. Lagipun saya ni kawan awak je buat apa saya nak pergi kat rumah awak tu."
Kawan? Kenapa terasa agak berat Syafiq sebut perkataan itu?
"Ala, awak. Memanglah kita kawan tapi tak salahkan kalau awak datang rumah saya. Lagipun seumur hidup saya, tak pernah pun saya bawak kawan saya datang ke rumah. Baik lelaki mahupun perempuan sebab saya tak rapat sangat dengan dia orang." Damia cuba memujuk.
"Jadi kalau awak datang Sabtu ni, awaklah kawan saya yang pertama yang datang rumah saya tu," sambung Damia.
Lihat Damia bermuka cemberut begitu, takkan Syafiq nak menolak. Ditambah dengan pujuk rayunya yang panjang lebar tadi, Syafiq telah buat keputusannya.
"Hmm ... baiklah. Saya pergi rumah awak."
"Betul ke, awak?" Reaksi Damia kelihatan teruja. Matanya bersinar-sinar.
"Iya, awak. Insya-Allah saya datang. Tapi ... jawab saya satu benda."
Garis senyuman di bibir Damia memudar. Eh? Ada syarat pulak dah.
"Benda apa?"
"Tadi kenapa awak merajuk?" Mata Syafiq dikecilkan menatap wajah Damia.
"Merajuk? Bila?"
Buat-buat tak tahu pula kau, Damia. Padahal sudah terang, waktu berpisah kat rumah Syafiq tadi, dia yang bertingkah macam tu.
"Masa awak nak balik rumah awak tadi. Awak tarik muka. Ucap 'bye' pun tak nak. Awak marah saya eh masa tu sebab saya gesa awak balik?"
Damia tak mampu menyembunyikan sengihnya. Perangai mengada tadi tu, semua dia dah tunjukkan depan Syafiq. Malunya!
"Yang tu ... bukan apa. Saya ingat lepas kita berpisah tadi, saya dah tak boleh jumpa awak. Tu saya buat perangai macam tu, sebab tak nak teringatkan awak nanti. Tapi balik-balik je rumah, mak saya cakap dia nak jumpa awak. Siap izinkan saya lagi jumpa awak. Tu yang saya rasa pelik dan ajaib tu," terang Damia dengan panjangnya tanpa jeda.
Syafiq tergelak kecil dengan cerita yang boleh tahan lucu tu. Bersungguh-sungguh betul Damia bercerita padahal Syafiq main-main aje.
"Saya dah jawab soalan awak, kan? Jadi janji eh awak datang rumah saya Sabtu ni?" Damia lalu keluarkan jari kelengkengnya.
Seperti kebiasaan, silangan jari kelengkeng sebagai tanda berjanji. Janji untuk ditunaikan. Janji untuk ditepati.
Syafiq angguk dan turuti jua permintaan Damia itu. Jari kelengkeng Syafiq kini bertaut dengan jari milik Damia.
Damia terus senyum lebar. Tak sia-sia merayu-rayu tadi. Siap ditambah pakej buat muka kesian lagi.
Syafiq hanya tersenyum sahaja dengan tingkah Si Damia tu. Dalam hatinya, dia berasa lega dan syukur juga kerana hubungan mereka berdua kini sudah rapat. Dan dia percaya, hubungan mereka bakal menjadi lebih lagi pada masa akan datang.
Pertemuan antaranya dan ibu Damia nanti, mungkin juga akan menjadi titik permulaan kepada hubungan mereka untuk berubah ke arah lebih serius.
Harap-haraplah begitu ...
*****
Seluruh pelosok rumah diperhati Mak Siti bagai nak mengimbas segala perabot kat situ. Sudah lama dia tak datang ke rumah ni, makin bertambah pulak perabot dalam rumah Mak Cik Zainab tu.
Nama aje duduk kat kampung, tetapi perabot-perabot di rumah itu kelihatan baru dan mahal belaka semua. Makin putih matalah Mak Siti dengan harta yang dimiliki oleh keluarga Mak Cik Zainab ni.
Setelah beberapa minit duduk menunggu di atas sofa, kelibat Mak Cik Zainab datang dari ruang dapur sambil menatang dulang yang berisi jag air berperisa oren itu.
"Jemputlah minum," pelawa Mak Cik Zainab.
"Ish, kau ni. Susah-susah jelah."
"Mana ada susah, Siti. Kau pun bukannya setiap hari pun datang sini."
Mak Siti tersengih. Lalu dia teguk jus oren yang sudah siap dituang di dalam cawan itu. Cuaca panas-panas macam ni minum jus oren, lega jugak rasa haus.
"Kau tak sunyi ke duduk sorang-sorang macam ni? Anak-anak kau tu tak balik sini ke?"
"Biasalah. Masing-masing dah kahwin. Azman dengan Rizman dia orang memang terus pindah ke bandar. Ikut bini masing-masinglah kan. Tapi syukurlah dia orang tak lupa aku yang kat kampung ni," ujar Mak Cik Zainab.
"Lagipun aku duduk sorang diri macam ni siang-siang hari je. Petang karang anak sulung aku, Lokman tu baliklah. Dialah yang teman aku, jadi taklah sunyi sangat," tambahnya lagi.
Lokman. Dengar nama itu saja membuatkan Mak Siti bersorak dalam hati. Nama yang jelas akan menjadi sasaran kepada rancangannya untuk menjodohkan jejaka itu dengan Damia.
"Oh, Lokman ... dia pensyarah kat UiTM tu lagi ke?" tanya Mak Siti.
Kerjaya, kerjaya dan kerjaya. Itu sajalah yang kau nak tahu saja kan, Siti.
"Ya. Dah tiga tahun dia mengajar. Dia selesa dahlah tu jadi lecturer."
Mak Siti angguk kepalanya berkali-kali. Masih bekerja sebagai pensyarah? Lulus untuk jadikan menantu!
"Lokman dia tak nak ikut jejak adik-adik dia ke? Adik-adik dia semua dah kahwin awal. Dia ke la yang membujang sampai sekarang." Mak Siti mulai menyibuk.
"Bukannya dia tak nak kahwin, tapi dia tu yang terlalu fokus sangat bekerja. Kalau diikutkan tahun lepas, dia dah ada girlfriend. Tapi last-last, putus tengah jalan. Lokman kata girlfriend dia tu duduk kat Pahang, memang jauhlah nak berjumpa selalu. Dan dia pernah kata sekali, dia nak bakal isteri dia duduk dekat-dekat sini je. Sebab senang nak jenguk saya lepas dia kahwin nanti." Mak Cik Zainab bercerita panjang lebar.
Nak calon isteri yang dekat saja? Macam bagi petunjuk menjurus ke Damia pulak. Dahlah Si Lokman tu bekerjaya. Anak misali pula tu. Mak Siti apa lagi, makin bersemangatlah dia.
"Sekarang ni, dia betul-betul single ke?"
"Single and available lagi," seloroh Mak Cik Zainab.
Seluruh rumah pecah dengan gelak tawa mereka berdua. Siap speaking English lagi Mak Cik Zainab tu. Ye la, nak jugak acah-acah macam mak datin.
Mereka lalu sama-sama meneguk air yang siap dihidang. Lalu tiba-tiba, Mak Cik Zainab henti dari minumnya seperti tersedar akan sesuatu.
"Kejap. Kenapa kau tanya pasal Lokman ni? Ada apa-apa ke?" Mak Cik Zainab lalu menikam pandangannya tepat ke arah Mak Siti dengan mata helangnya.
Soalan Mak Cik Zainab itu seolah-olah dia tahu pulak niat Mak Siti itu. Iyalah, tiba-tiba je bertanya perihal anaknya. Lagi pula, dia sudah lama berkawan dengan Mak Siti ini, jadi dia kenal sangat dengan perangai wanita itu.
Mak Siti tergelak kecil. Tiba-tiba terasa kekok pula. Sekaranglah masa yang tepat untuk beritahu perkara sebenar.
"Bukan apa, Zainab. Kau tahu kan kita dah berkawan dari kita budak-budak lagi, kan?" Mak Siti mulakan dengan ungkit cerita lama.
"Ha ... lepas tu?"
"Kau tak pernah terfikir atau pernah berharap tak kalau kita berbesan nanti?" Tanpa segan dan silunya Mak Siti tuturkan itu.
Terkebil-kebil mata Mak Cik Zainab. Dah kenapa dengan kawan baiknya ni.
"Oh ... jadi betullah apa yang aku fikir tadi. Mesti pasal benda ni."
Mak Siti tertawa besar. Dah tahulah pula Si Zainab ni. Macam sedang berkongsi daya fikiran yang sama pula dia orang ni. Tapi sekurang-kurangnya, Mak Siti berasa lega jugaklah sebab dia dah berterus-terang menyatakan hasratnya.
"Jadi kau nak jodohkan Lokman tu dengan Nadia la, ye?" Mak Cik Zainab meneka.
"Eh, bukan! Bukan Nadia, tapi Damia."
Mak Cik Zainab buntangkan mata. Bukannya dia tak sukakan Damia itu tapi tahu-tahulah sikap Damia tu macam mana. Dari Damia kecik lagi, Mak Cik Zainab itu dah tahu dengan perangainya.
Nasib baiklah Damia itu seseorang yang ceria dan ramah, jadi sekurang-kurangnya adalah sikap positif terselit dalam diri gadis tu.
"Kenapa Zainab? Kau tak suka ke?"
"Bukan tak suka. Aku okey je dengan anak-anak kau tu," balas Mak Cik Zainab. Kuntuman senyum dipaparkan di bibir.
"Eh jap! Jadi kau dah bagi lampu hijaulah ni?" Nada suara Mak Siti kedengaran teruja.
Mak Cik Zainab angguk dan senyum. "Aku nak tengok sangat Lokman tu kahwin, sebab tu aku dah tak kisah nak jodohkan dia dengan perempuan mana pun. Tapi ..."
Mak Cik Zainab gantungkan percakapannya sebelum menyambung, "Aku nak Lokman yang buat keputusan sama ada dia nak terima Damia atau tak. Sebab yang nak kahwin tu dia, bukan aku."
"Tak apa, aku faham. Aku tak paksa pun Lokman tu. Ini aku nak jodohkan Lokman dengan Damia ni pun sebab dia orang dah saling kenal. Jadi tak perlulah nak buat sesi suai kenal ni, kan?"
Mak Cik Zainab mampu mengangguk setuju. Semasa kecil, memang keluarganya dan keluarga Mak Siti agak rapat. Bahkan anak-anak mereka juga saling kenal dan rapat bagaikan saudara sendiri.
Tetapi itu dululah sewaktu mereka semua masih kanak-kanak. Sekarang apabila sudah meningkat dewasa, masing-masing sudah tak bersua muka lagi. Masing-masing sibuk.
"Siti, pasal kahwin ni, Damia dah tahu semuanya ke? Ke kau tak bagitahu dia lagi?"
Mak Siti lalu lepaskan ketawa. Nampak jelas kepura-puraannya.
"Aduh kau ni, Zainab. Mestilah Damia tu dah tahu. Sebab tu lah aku datang sini nak survey-survey dulu. Aku ni taklah kejam sangat nak paksa-paksa orang, kan?" bohong Mak Siti.
"Baguslah kalau macam tu. Tapi aku tak sangka kau nak jugak berbesan dengan aku, ye."
Mak Siti membalas sengih sebelum perlahan-lahan ia memudar.
Aku tunggu jawapan kau, Lokman. Aku yakin kau akan terima. Hati Mak Siti berdesis sendiri.
Bersambung...
Makin geram eh dgn perangai Mak Siti ni. Ada je benda nak dibuatnye. Anyway Lokman tu siapa lak? Maybe next new character... (nak tau baik ke jahat, teruskan membaca hahahha) Anyway tq sudi baca dn tunggu story saya ni. Walaupun kdg gaya penulisan masih lemah tp sy cuba perbaiki dan edited ke lebih baik.
Share this novel