"HAH? Pak Ya jatuh?"
Berkerut-kerut dahi Damia tengok suaminya tu. Mulut melopong. Mata meluas. Tangan yang menggenggam telefon pun, nampak ketara menggigilnya.
Damia dan Syafiq tu baru aje bersiap-siap nak pergi klinik. Nak scan baby kat klinik yang Kak Riana recommend tu. Walaupun bergaduh sikit pun, tapi tak adalah sampai tak bercakap terus. Setakat nak pergi klinik bersama-sama, bolehlah diterima lagi. Lagipun, mereka tak naklah biar semua benda yang berlaku ni menjadi terlalu melarat. Nanti susah nak perbaiki pula hubungan dia orang tu.
Dan tadi, sewaktu mereka berdua baru aje nak melepasi pintu rumah, telefon pintar Syafiq berdering. Dan disebabkan panggilan itulah, muka Syafiq nampak keruh semacam.
Dah tadi Damia dengar Syafiq tu sebut nama Pak Ya, jadinya mestilah Najihah yang call, kan? Benda apa jadi kat Pak Ya tu? Mulalah Damia rasa tak sedap hati. Damia pun rasa macam tu, apatah lagi Syafiq.
"Kejap lagi saya datang rumah. Awak tunggu, saya on the way pergi sana sekarang." Usai memberi salam, nafas Syafiq jelas turun naik dengan laju. Liur diteguk payah. Nampak mukanya pun, tak senang duduk.
"Kenapa, bang? Ada apa-apa yang tak kena ke?" Damia terus menyoal.
"Najihah call tadi. Dia cakap yang Pak Ya jatuh kat bilik air. Kaki tak boleh gerak." Mundar-mandir Syafiq menjawab sambil-sambil menyeluk kunci kereta Proton Saga di dalam poketnya.
Allahuakbar ... terkejut juga Damia mendengarnya. Pak Ya ditimpa musibah lagi. Padahal sejak beberapa bulan kebelakangan ni, kesihatan Pak Ya tu dah bertambah baik. Berjalan pun dah okey sikit. Nampak memuaskan jugalah kesihatannya tu. Tapi tetap saja, pemeriksaan dan pengambilan ubat setiap hari tak boleh ditinggalkan.
Hari ni, Pak Ya tu jatuh tangga pula. Melibatkan kaki lagi pula tu. Harap tak ada kecederaan yang seriuslah. Risau juga dibuatnya.
"Habis tu, macam mana, bang? Najihah dah call ambulans ke?"
Syafiq geleng. "Tak. Dia call abang dulu sebab dia nak minta tolong abang bawakan Pak Ya kat hospital. Ni abang nak terus pergi kat rumah Najihah, hantar Pak Ya pergi hospital."
Nasib baiklah Syafiq tu sekarang dah ada lesen memandu dan kereta sendiri, jadi tak ada masalahlah kalau nak tolong Najihah tu. Walaupun tu kereta terpakai yang perlu dibayar secara ansuran, tapi sebenarnya itu sudah cukup bagi Syafiq. Asalkan dia ada pengangkutan bukan untuk dirinya tapi untuk keluarganya juga.
Kalau ada hal kecemasan, tak adalah nak tergopoh-gapah sangat. Kena pulak dengan situasi yang berlaku sekarang ni.
Damia kekal statik. Reaksi wajahnya nampak betul-betul tergamam. Macam dia tak terkesan pula dengan apa yang Syafiq tu beritahu tadi.
"Sayang, cepatlah masuk kereta," arah Syafiq yang berura-ura mahu menutup pintu rumah. Tapi tengok Damia masih berdiri kaku macam tu, tindakannya terbantut.
"Habis tu, nak scan kat klinik tu macam mana?" Damia terus luahkan isi hatinya. Dia memang kasihankan Pak Ya tu, dan dia harap sangat Pak Ya tu tak apa-apa tapi dia perlu pentingkan dirinya juga. Pasal kandungannya.
Bila Syafiq nampak kalut-malut nak tolong Pak Ya tu, mulalah Damia rasa terkilan. Macam Syafiq tu mahu lupakan janjinya pula untuk bawa Damia sekali ke klinik.
"Tak boleh ke kalau kita pergi hari lain?"
"Mana boleh, bang. Kita dah buat appointment dah untuk hari ni. Kalau cancel, habis burn la duit yang kita bayar tu." Senang-senang aje Syafiq suruh cancel. Dia ingat semua tu bayar pakai daun ke?
Yang Najihah tu pun, tak boleh ke call ambulans daripada call suami aku ni? Kalau tak nak call ambulans pun, minta tolonglah jiran-jiran terdekat. Kalau minta tolong orang kampung, confirm mereka sudi tolong mengingatkan tentang Pak Ya yang merupakan bekas ketua kampung yang paling disegani kat sana. Mulalah Damia tak puas hati.
Syafiq terus jadi tak tentu arah. Sudahlah dia kena kejar masa untuk pergi tolong Pak Ya, lepas tu kena fikirkan pasal masalah dengan isterinya ni pula. Memang kusutlah fikirannya.
Takkanlah dia nak biarkan Pak Ya macam tu aje setelah berjanji nak tolong dengan Najihah tadi? Dan takkan pulak dia nak tinggalkan isterinya juga? Dia pun kena juga jaga hati isterinya tu.
Allah ... tapi dia terpaksa. Sudahlah appointment kat klinik tu pukul 11:00 pagi yang bermaksud, masih berbaki lagi sejam. Dia takkan mampu buat dua kerja dalam satu masa. Jadi, dia memang terpaksa.
Sungguh, dia harap sangat idea yang muncul dalam kepalanya ni tak timbul dari tadi. Tapi, dia kena juga buat keputusan walaupun dia sendiri tahu yang idea ni bukan pilihannya dan bukan apa yang dia mahu. Hanya terpaksa aje!
Zaid Zaffran. Hanya nama tu yang berlegar-legar dalam otak Syafiq. Syafiq kalau boleh memang nak elak dari minta tolong daripada lelaki tu tapi kalau bukan Zaid, siapa lagi nak tolong hantarkan Damia ni? Takkan nak biarkan Damia pergi sendiri?
Zaid aje yang Syafiq percayakan sekarang ni walaupun dia tak berapa suka lelaki tu dekat dengan isterinya. Tapi Syafiq masih lagi berfikiran wajar. Mereka berdua dekat atas urusan kerja.
Sekarang ni hari Sabtu dan cuti umum, jadi mestilah Zaid tu tak buat apa, kan? Aduh, mulalah rasa gelisah membelit hati. Nak minta tolong lelaki lain lagi demi isterinya. Dan lagi merunsingkan, lelaki tu pula merupakan bos kepada isterinya tu.
"Sayang, macam ni. Apa kata kalau sayang pergi klinik tu dengan Zaid? Kejap lagi abang call, mintak tolong dia." Tu pun kalau Zaid setuju nak tolong. Kalau tak, kena fikir idea lainlah jawabnya.
Zaid nak tolak untuk membantu orang lain? Macam pelik lagi-lagi bantuan tu berkait dengan Syafiq dan Damia. Jadi sebab tu Syafiq agak berani menyuarakan ideanya ni, sebab dia tahu Zaid tu jarang menolak.
Mata Damia terus terbuka luas. Terkedu dan tergamam. Tak terkata-kata dia.
Biar betul! Jadi suaminya ni lebih memilih Pak Ya dari dirinya? Sampai sanggup tu minta tolong daripada majikan isteri.
"Hah? Mintak tolong Encik Zaffran?"
*****
Badai, taufan, ribut, semua Damia tunjuk sepanjang berada kat dalam kereta Zaid tu. Pandang ke luar dengan bermodalkan muka masam, dan mulut pun muncung sedepa.
Tu cukup menunjukkan yang anginnya tak baik sekarang ni. Rasa geram dan marah kat suaminya tu masih menyala marak. Takkan mampu ia terpadam dengan sendiri.
Dia terkilan suaminya tu lebih memilih untuk hantar Pak Ya ke hospital berbanding tengok sekali perkembangan kandungannya kat klinik bersama-sama. Waktu hubungan mereka nak berbaik sikit, ada je hal yang datang menerpa. Dan Damia salahkan Syafiq yang menjadi punca masalah ini timbul.
Tahu Pak Ya tu dah macam ahli keluarga Syafiq, dan Damia pun tak adalah rasa meluat kalau suaminya nak tolong Pak Ya tu, tapi untuk konteks dan kejadian hari ni, lain ceritalah. Suaminya tu patut utamakan dirinya. Damia tu isteri Syafiq!
Hish! Sebal pula dia sekarang ni. Ingat nak scan baby kat klinik tu, bolehlah fikir yang elok-elok dan rasa seronok sikit tapi lain pula jadinya hari ni. Ingat nak rapatkanlah balik hubungan mereka suami isteri yang renggang tu tapi macam makin menjauh pula mereka sekarang ni.
Lepas tu, suaminya tu memandai-mandai aje minta tolong Zaid untuk hantar dan temankan Damia ke klinik. Damia pulak yang rasa malu. Nasib baiklah Zaid tu okey. Kalau orang lain, mesti dah kena perli Si Damia tu.
Zaid pun hanya kerling sekilas aje Damia tu dari tepi. Tak nak ganggu Damia yang tengah melayan perasaan tu. Sepanjang memandu pun, dia memilih untuk senyap aje. Tahu Damia tu tengah marah kat Syafiq.
Tadi sewaktu Zaid tu ambil Damia kat rumah Syafiq, bukan main kasar lagi Damia tu tunjuk protes kat suaminya tu. Siap merengus dan hentak kaki lagi sebelum masuk ke perut kereta milik Zaid. Nampak Syafiq pun geleng kepala aje dengan tingkah Damia tu.
Jadi dari situ, Zaid buat kesimpulan yang Damia tu tengah merajuk kat suaminya. Merajuklah sebab suami sendiri tak dapat saksikan perkembangan baby kat klinik kejap lagi. Hmm ... Zaid pun tak tahu nak memihak kat siapa. Tapi Zaid rasa, apa yang Syafiq buat ni agak keterlaluan.
Kalau ye pun nak tolong orang lain, tengoklah keadaan bini sendiri. Bini tengah sarat mengandung, tapi orang lain yang dapat perhatian. Dia ingat Damia ni tunggul kayu yang tak ada perasaan? Kritik Zaid dalam hati.
Kereta diberhentikan tepat di hadapan jajaran bangunan premis. Hand brake ditarik dan volume radio diperlahankan. Dia pandang ke sisi sekali lagi, tapi Damia masih menongkat dagu termenung menghadap ke luar.
"Kita dah sampai." Tiada respons daripada Damia. "Damia, are you okay?" tanyanya.
Damia perlahan-lahan alihkan pandangannya. Mukanya nampak murung aje. Sedih dan kecewa terpancar di wajahnya walaupun tak sampai ke tahap menangis lagi.
Damia pantas menggeleng. Jujur. Dia tak okey sekarang ni. Bukan tak okey kena hantar dengan bos sendiri, tapi tak okey dengan suaminya tu.
"Saya terkilan sangat sebab Syafiq tu macam abaikan saya. Kami dah cuba nak berbaik, tapi dia pulak yang buat spoil semua benda." Sambil membebel, tangan Damia ligat memperbetulkan tudungnya. Tanpa diminta, dia luahkan segala yang terkumpul dalam hati.
Zaid betulkan posisi duduknya. Bila Damia dah buka mulut ni, maka mulalah dia nak ambil port, nak tahu segala benda. Ye la, mana tahu dia boleh 'tolong', kan?
"Saya tahu awak kecewa dengan suami awak tu tapi janganlah tarik muka macam ni. Lagipun kita sama-sama nak scan baby kat klinik tu, kan? Senyumlah sikit." Zaid cuba memujuk tetapi gagal. Damia masih ketatkan mukanya macam baru kena skru.
Panas relung hati Damia yang masih meluap-luap membuatkan pujuk rayu Zaid itu dia biarkan aje. Rasa marah, kecewa, sedih yang dilontarkan kepada suaminya makin merusuh. Dia tak ada mood nak buat semua benda sekarang ni.
Hatinya terasa bagaikan disiat-siat. Jiwanya macam dipijak-pijak. Semuanya disebabkan suaminya tu.
"Damia, jangan macam ni. Awak tahu kan yang Syafiq tu terpaksa? Lagipun dia pilih untuk bantu Pak Ya tu bukan bermaksud yang dia abaikan awak sebagai isteri, tau."
Damia gulingkan bebola matanya ke atas. Meluat. Menyampah. Tak ada namanya terpaksa kalau benda tu ada pilihan. Dan kalau ada pilihan, mestilah dirinya perlu diutamakan! Pandai aje Zaid ni nak kasi kata-kata motivasi. Damia pun buat-buat pekak ajelah.
"Awak sendiri pernah cerita, yang Pak Ya tu dah macam keluarga Syafiq walaupun dia orang tak ada pertalian darah. Jadi tak salah kan kalau dia tolong Pak Ya tu. Awak kena fahamlah dengan suami awak tu." Zaid tanggalkan tali pinggang keledarnya. Bersedia untuk keluar. "Lagipun awak tak payah risaulah. Saya kan ada." Enjin kereta terus dimatikan.
Tak boleh dibiarkan lama-lama bersembang dalam kereta. Damia tu jenis keras kepala sikit. Pujuk suruh keluar kereta, apa yang Damia buat, dia tu termenung dan melayan perasaan aje. Jadi lebih baik Zaid suruh Damia keluar kereta secara paksa. Nak berpanas dalam kereta? Ikut suka.
Damia jegilkan matanya. Bukan sebab enjin kereta mati tu tapi dengan ayat last yang Zaid tu sebut. Macam ada makna pula encik bosnya tu.
Ah! Jangan nak merepek, Damia. Jangan nak fikir jauh sangat. Encik Zaffran kata macam tu untuk tenangkan aku aje. Jadi tak payahlah nak menggelabah. Damia tenangkan hatinya sendiri.
Tali pinggang keledar ditanggalkan, dan dia keluar dari perut kereta. Akhirnya perancangan Zaid menjadi juga. Damia ikut langkah Zaid tu perlahan-lahan menuju ke klinik di hadapan mereka. Klinik yang berpapan tanda, 'Klinik Dr. Azman & Rakan'.
Masuk aje ke dalam klinik, bau ubat-ubatan segera menerpa rongga hidung. Automatik Damia tahan kejap pernafasannya. Entahlah, sejak mengandung ni, dia agak tak suka bau kat hospital mahupun klinik. Rasa mual pula.
Zaid mendahului langkah, diikuti Damia dari belakang. Bahagian kaunter dituju dan ada seorang jururawat wanita segera bangun melayan pelanggan.
"Kami datang nak scan baby." beritahu Zaid sambil melirik ke arah Damia di belakangnya.
"Okey. Dah buat oppointment dengan doktor dah ke?" tanya jururawat itu.
"Ye, dah."
"Nama apa ye?"
Zaid tak tahu tentang butiran yang perlu dinyatakan, jadi dia biarkan Damia yang menjawab pertanyaan jururawat tu.
"Err ... temu janji bawah nama Nur Damia Qistina Hassan. Untuk pemeriksaan detailed scan 3D dengan Doktor Azman pukul 11:00 pagi kejap lagi."
Jari jemari jururawat itu menari-nari di atas papan kekunci. Tetapi, tiba-tiba tingkah lakunya terhenti. Jemarinya kaku.
Semasa dia menaip tadi, dia ada dengar nama seseorang. Seseorang yang dia kenal. Ya, tak salah lagi. Nur Damia Qistina. Siapa lagi kalau bukan wanita tu.
Pantas kepala diangkat dan mata dituju ke arah wanita yang sedang menjawab tadi. Memang tak salah lagi. Dialah Damia!
"Damia?" Nampak mata jururawat itu terbuka luas sedikit. Mulutnya pun dah macam nak terkoyak menahan senyum.
Damia kecilkan matanya, cuba mengamati wajah jururawat tu. Dari atas sampai bawah dia imbas. Siapa ni? Dia kenal aku?
"Kau tak ingat aku ke? Ni akulah, Hanim. Dulu kita belajar Form 6 sama-sama," umum jururawat itu. Penuh teruja dan penuh berharap agar Damia masih mengingatinya.
Dahi Damia berkerut-kerut cuba mengimbas kembali nama tu. Hanim...
Dan, ya. Mata Damia turut bertukar jegil. Akhirnya dia berjaya juga menangkap siapa gerangan Hanim di hadapannya ni.
Dialah salah seorang kawan yang belajar sama-sama sewaktu menempuh peperiksaan STPM dengan Damia dulu. Boleh dikatakan agak rapatlah kalau nak dibandingkan dengan classmate lain, sebab Hanim dan Damia ni duduk bersebelahan masa sekolah dulu.
Lepas aje dapat result STPM, katanya Hanim sambung belajar kat salah satu universiti swasta. Damia pula? Memilih untuk terbongkang kat rumah. Sejak dari tu, hubungan mereka menjadi renggang dan akhirnya, lost contact.
Tak sampai lima tahun berlalu, takkanlah Damia boleh terlupa pasal semua tu. Dia ingat lagi siapa itu Hanim.
Suaranya, sama aje. Kecil dan halus, persis tuan badan. Kalau Damia tu boleh masuk kategori rendah, Hanim tu lagi rendah daripada Damia. Cumanya sekarang ni Hanim sedang pakai cermin mata bulat. Sebab tu Damia agak tak cam Hanim tu masa mula-mula masuk ke klinik ni tadi.
"Lah ... kau ke, Hanim? Tak sangka boleh terjumpa kat sini," ucap Damia perlahan lalu dia paut erat tangan milik Hanim. Kena cakap perlahan-lahan la walaupun teruja tahap maksimum sekalipun. Kat sini klinik. Orang lain pun tengah duduk menunggu giliran walaupun tak ramai mana.
Nak berpelukan, tapi tak boleh. Meja kaunter menjadi penghadang. Hanim nak keluar ikut pintu belakang, tapi segera Damia kata tak payah. Kesian pula Hanim tu nak keluar masuk bahagian kaunter tu. Dahlah dia tengah bekerja sekarang ni. Damia pun sekadar nak menyapa aje.
"Itulah, ingat kita dah tak berjumpa lagi dah." Hanim mengeyakan. Sambil tersenyum, matanya lalu dituju ke arah perut Damia. Perut dia ada isilah!
Bila dia teringat tentang details yang Damia bagitahu untuk pemeriksaan tadi, makin melebarlah senyuman Hanim tu. Damia dah lama kahwin ke?
"Kau banyak betul buat kejutan kat aku hari ni. Mula-mula, jumpa dalam keadaan tak dirancang. Lepas tu, aku jumpa kau dalam keadaan pregnant pulak. Memang aku terkejut weh. Kau ni bila kahwin? Tak sangka aku kau dah nak jadi mak budak dah." Hanim terus buka bual. Waktu customer tak ramai dan lenggang ni, bolehlah dia nak berborak sekejap dengan Damia tu. Ye la, nak tanya khabar katakan.
Damia tertawa kecil aje dengan seloroh Hanim tu. Hanimlah ... dari dulu sampai sekarang sama aje. Kalau dah bersembang tu, memang bersemangat sungguh. Tak tengok kiri kanan. Kalah mak cik bawang.
"Aku kahwin bulan Julai tahun lepas."
Kepala Hanim terangguk-angguk. Ooo ... kahwin dah nak dekat setahun tu. Hanim pun tak tahu tentang berita perkahwinan Damia.
Nak tahu macam mana, dah dia orang tu lost contact. Lagipun Hanim ni bukannya 'media social person' sangat. Kalau ada akaun media sosial macam Instagram dan Fac pun, mesti tak aktif. Nak stalk orang lain? Itu bukan Hanim namanya.
"Ye ke? Congrats, Damia. Sorry la aku tak datang masa kau kahwin. Aku tak tahu. Dan congrats jugak sebab bakal dapat baby."
"Thank you, Hanim. Lepas ni mana tahu, giliran kau? Ke kau pun dah kahwin jugak ni?"
"Ish, mana ada. Batang hidung bakal suami aku pun tak nampak lagi. Belum lahir lagi, kut." Terus bersabung gelak tawa dua wanita tu. Tadi beria kawal suara sangat. Bila gelak, terus punah niat mereka tadi tu.
Zaid pun simpan senyum menyaksikan kemesraan dua sekawan tu. Haih ... plan asal tadi, nak teman Damia ni pergi ke klinik aje. Ni, tak pasal-pasal kena jadi pengiring untuk reunion yang berlaku mengejut ni.
Tak apalah, demi Damia dia sanggup jadi nyamuk dan patung kat situ. Berdiri dengan senyap dari tadi.
Tanpa sedar, senyumnya semakin melebar. Bukan kerana melihat kemesraan dua sekawan tu, tapi apabila matanya memanah ke arah Damia.
Damia tu tadi, muka masam mencuka. Marahkan suami punya pasal. Tapi lepas jumpa aje kawan lama, terus berubah manis muka tu. Manis macam tu kan cantik. Tak adalah Zaid nak susah-susah memujuk lagi.
Bertuah betul Syafiq dapat kau, Damia. Perangai kau, rupa kau, semua perfect kat mata aku. Sempat lagi Zaid memuji dalam hati. Mata masih tak lepas memandang Damia.
Ketika itu juga, Hanim pandang lelaki di sebelah Damia tu. Siapa lagi kalau bukan Zaid. Lelaki yang nampak segak. Tinggi pun tinggi. Muka pun putih serlah. Tanpa seinci parut mahupun jerawat. Licin aje. Jealous Hanim tengok muka flawless laki tu.
Tengok baju, kemeja-T berjenama Levi. Itu tak menarik perhatian sangat. Yang membuatkan Hanim teguk liur sekarang ni, bila matanya melorot ke arah pergelangan kiri lelaki itu.
Ada seutas jam tangan berwarna gold! Silau. Merelap. Berkilat. Memang sah jam mahal. Mesti mencecah puluhan ribu ringgit juga tu.
Oh, ya. Lelaki ni teman Damia datang ke sini ke? Damia tu kan dah berkahwin, jadi mestilah lelaki tu ... suami Damia, kan?
"Siapa tu?" Mulut Hanim terjuih-juih memuncung ke arah Zaid.
Aduh! Macam manalah dia boleh terlupa yang Zaid tu ada dengannya dari tadi. Bersembang dengan Hanim tak ingat dunia sampaikan Zaid kat sebelahnya pun dia lupa. Punya excited tu berjumpa dengan kawan yang dah lama terpisah.
Damia terus berubah gopoh dan gugup. Mulutnya buka tutup nak menjawab tapi tak terkeluar suara. Dia kerling ke arah Zaid dan Hanim bersilih ganti.
Dia tu bos aku. Cuma jawapan tu aje yang perlu dia paculkan tapi kenapa rasa berat sangat eh nak suarakan? Kalau dia bagitahu yang Zaid tu bos Damia, nanti Hanim kata apa pula, kan?
Suami kau mana? Takkan suami kau biarkan je kau datang klinik ni sorang-sorang? Kau dengan bos kau, ada apa-apa ke? Ha ... waktu tu tahu gelisah nak menjawab. Jadi apa salahnya untuk kali ni ... dia menipu? Tipu yang terpaksa.
"Oh ... dia ni suami aku." Tanpa memandang sedikit pun wajah Zaid, Damia menjawab. Mengaku bos sendiri tu suami kau? Memang tak tahu malu!
Lagi memalukan apabila Damia rasakan yang kepala Zaid tu terarah sedikit menghadap dirinya. Mesti Zaid tu terkejut beruk, kan? Tak payah tengok reaksi Zaid pun Damia dah dapat agak.
Maaf, Encik Zaffran. Lepas aje keluar dari klinik ni, saya explain la. Harap encik faham. Damia sempat tu berbalah dengan hatinya sendiri. Mulut digumam menahan malu.
Zaid pula yang terpinga-pinga. Riaknya jelas mahukan penjelasan. Tapi tak pula dia membenarkan mahupun menidakkan. Follow the flow aje dia tu.
"Amboi, bukan main segak suami kau. Memang padanlah kau orang kahwin. Bila-bila, mesej la aku kat Fb. Kalau-kalau kau nak jumpa aku lagi. Nanti bolehlah aku jemput kau orang suami isteri datang rumah nanti ke. Kan?" ujar Hanim berjela.
Bertambah 100 peratus rasa awkward. Nak berikan senyum tapi rasa tak kena pula. Jadi, senyum kelat aje yang dilemparkan.
"In ... insya Allah. Bila-bila, aku contact kau lagi." Damia pun 'haa' kan ajelah. Rasa janggal sebab nak contact balik kawan yang dah lama terpisah. Lepas tu, rasa bersalah pula sebab menipu yang Zaid ni suaminya.
Padahal suami sebenar dia tu tengah bersusah payah teman Pak Ya kat hospital sekarang ni. Boleh pula Damia mengaku yang Zaid tu suami dia.
"Okeylah. Kalau tak ada apa-apa, kau boleh masuk jumpa doktor sekarang. Memandangkan kau datang dengan suami kau, bolehlah dia teman masuk sekali."
Damia angguk sekali. Sekarang ni, langkahnya dah memang laju tertuju ke bilik rawatan. Tak nak berlama-lama kat kaunter tu. Nanti kalau Hanim tu tanya banyak benda, lebih-lebih lagi pasal suaminya, jenuh nak memikir jawapan.
Zaid pun ikut ajelah langkah Damia tu. Secara tak langsung, dia tu dah berkomplot sekali dengan tembelang Damia tu. Mengaku dirinya sebagai seorang suami.
Damia, Damia. Entah benda apalah yang boleh buat kau mengaku yang Zaid tu suami kau. Takkan marah kat suami punya pasal, sanggup buat macam tu?
Damia geleng kepala. Tak. Dia terpaksa aje. Kalau Hanim tu banyak tanya nanti, takut dia buka aib suaminya. Jadi Damia fikir, dia tu dah cukup baik dah menjaga air muka suaminya tu.
Damia bergaduh dengan suami dia ke?
Suami Damia tu tak sayangkan dia ke?
Tak naklah persoalan tu muncul dalam benak Hanim kalau dia bagitahu kebenaran. Harapnya, tembelangnya ni tak pecahlah. Damia pun tak adalah nak berjumpa Hanim lagi buat masa akan datang walaupun tadi Hanim beria-ia ajak bertemu lagi. Kalau nak berjumpa, mungkin lambat lagilah jawabnya.
Harap apa yang dia buat tadi tak memakan dirinya. Sungguh, apa yang dia kata tadi, macam automatik terpacul. Dia sendiri pun terkejut, apatah lagi Zaid tu.
Bersambung...
New update :-) TQ for the support ^^
Share this novel