AI 2 - DUDA KALI KE-SEMBILAN

Romance Completed 783763

10 tahun kemudian...

TUAN MUKHRIZ termenung di gazebo milik keluarganya. Sesekali itu, dia berdecit perlahan.

“Riz, buat apa tu? Termenung jauh nampak. Ada apa-apa yang buat Riz susah hati ke?” tegur Baiyah, sambil melabuhkan punggungnya di sebelah cucunya.

Tuan Mukhriz memandang wajah neneknya sekilas. “Entahlah nek. Sampai bilalah Riz nak macam ni? Entah bilalah, wajah Riz ni nak kembali normal? Dah 10 tahun wajah Riz macam ni nek. Umur pun dah 25 tahun dah. Kadang-kadang tu, dah rasa putus asa dah nak hidup.”

“Tak elok cakap macam tu Riz. Hidup kena diteruskan. Takkan sebab wajah Riz macam ni, Riz dah putus asa nak hidup lagi?”

“Nek cakap senanglah. Yang menanggung tu Riz. Nek bayangkan, dah 10 tahun wajah Riz macam ni. Sampaikan Riz tak berdaya nak bertemu dengan semua orang. Bila ada meeting aje, Riz suruh Suzana yang attend. Tapi sampai bila nek? Sampai bila?  Tak tahulah, bila sumpahan ni nak habis. Ingatkan dah masuk umur 25 tahun ni, sumpahan tu terus hilang. Rupanya tak juga.”

“Riz kena nikah,” ujar Baiyah.

“Ya, nikah. Tapi nek tahu kan, dah lapan wanita Riz nikah. Semuanya takut nak bersama dengan Riz, bila tibanya malam pertama. Dan berapa kali juga, Riz nak jadi duda? Sampaikan pihak jabatan agama pun dah pelik dengan Riz. Nikah cerai, nikah cerai. Riz malu tahu tak, nek?”

“Kan, nek dah explain pada pihak jabatan agama, bukannya saje-saje Riz nak ceraikan  isteri Riz. Dan kesemua bekas isteri Riz, yang paksa Riz ceraikan dia orang. Dan pihak jabatan agama pun dah faham, apa yang dah berlaku kepada Riz. Dan mereka juga percaya, sumpahan tu memang wujud.”

“Malas dah Riz nak cakap lagi dah. Lebih baik Riz mati aje nek.”

“Riz! Nek tak suka tahu tak, Riz asyik ulang benda yang sama aje! Cuba bawa mengucap!”

“Riz dah putus asa dah nek. Dah putus asa...”

Baiyah mengeluh perlahan. Kedua-dua bahu cucunya disentuh lembut. “Tak apalah. Biar nek carikan calon isteri Riz  yang seterusnya ya?”

“Tak payahlah nek. Riz dah malas nak fikir dah. Lebih baik Allah tarik aje nyawa Riz ni.”

“Tengok tu. Nek dah cakapkan? Jangan asyik ulang benda yang sama aje. Kamu fikir tak apa yang kamu cakap ni?”

“Riz tak boleh nak teruskan kehidupan ni, kalau wajah Riz macam ni. Siapa yang sanggup nak bersama dengan Riz? Cuba nek fikir? Siapa yang bodoh buat sumpahan macam tu! Siapa!” jerit Tuan Mukhriz. Dia seakan hilang akal saat ini.

Tuan Mukhriz mula menangis. Dia sudah tidak tahan lagi, dengan keadaan dirinya. Dia juga kini sudah bergelar duda untuk kali yang ke-lapan. Mana tidaknya, apabila tiba sahaja malam pertamanya, semua isterinya akan menjerit seakan histeria dan minta diceraikan, kerana tidak sanggup melakukan hubungan malam pertama dengannya. Walaupun Tuan Mukhriz cuba untuk merayu, tetapi mereka  tetap tidak bersetuju. Dan akhirnya mereka diceraikan olehnya.

Baiyah merenung cucunya. Dia juga tidak tahu di mana lagi dia mahu mencari calon isteri untuk Tuan Mukhriz. Selalunya yang bersetuju mahu bernikah dengan cucunya itu pun, setelah mereka tahu yang mereka dari keluarga yang kaya-raya. Tetapi setelah melihat wajah cucunya, masing-masing mula menunjukkan sikap yang sebenar, dan tidak mahu meneruskan lagi, untuk bersama dengan cucunya.

“Nek cuba carikan calon isteri untuk Riz ya? Insya-Allah, masih ada lagi wanita yang ikhlas untuk Riz di luar sana. Nek harap, Riz dapat bersabar.” Bahu cucunya ditepuk lembut. Baiyah memang tidak akan pernah berputus asa untuk mencari calon isteri buat cucunya, sehinggalah nafasnya yang terakhir.

 

 

UMUR Tuan Mukhriz kini sudah pun menginjak ke 27 tahun. Sehingga kini, masih belum ada wanita yang sudi bernikah dengannya.  Kali terakhir dia bernikah, adalah ketika dia berumur 25 tahun.

Tok! Tok!

Pintu bilik diketuk.

“Masuk,” laung Tuan Mukhriz, yang sedang sibuk di meja kerjanya. Memang selama ini, dia hanya bekerja dari rumah sahaja. Dan selebihnya, Suzana yang menguruskannya.

Baiyah tersenyum lebar di muka pintu.

“Ada apa nek?”

“Riz, ni nek dah jumpa calon isteri untuk kamu. Dia bersetuju nak bernikah dengan kamu. Dan nek pun ada beritahu dengan keadaan kamu sekarang ni. Dan dia kata, dia tak kisah langsung. Dia terima kamu seadanya,” jelas Baiyah. Dia benar-benar teruja saat ini.

“Eh, betul ke ni nek? Perempuan tu memang ikhlas nak nikah dengan Riz?” Tuan Mukhriz seakan tidak percaya. Benarkah ada wanita yang tidak kisah dengan keadaannya?

“Ya, betul Riz. Dalam masa dua minggu, kamu boleh bernikah dengan dia. Mereka akan datang ke guest house kita di Rawang nanti. Nek dah beritahu pada keluarga pihak perempuan.”

Tuan Mukhriz menganggukkan kepalanya. Dia benar-benar gembira, dengan berita yang disampaikan oleh neneknya.

Selama dua tahun neneknya mencari calon yang baru untuknya. Tetapi satu pun tidak ketemu. Akhirnya, ada juga yang bersetuju mahu bernikah dengannya. Rasa sudah tidak sabar lagi, Tuan Mukhriz mahu mendapatkan wajahnya kembali. Kalau hendak diikutkan, ini adalah calon yang ke-sembilan.

“Riz? Kenapa termenung tu?” Baiyah menyentuh tangan cucunya.

Tuan Mukhriz tersedar dari lamunan. Dia memandang wajah neneknya.

“Riz takut...” jawab Tuan Mukhriz mendatar.

“Kenapa takut pula? Hari inikan, hari bahagia Riz. Riz dah nak nikah dah. Kenapa nak takut pula?”

“Takut perempuan tu minta cerai dengan Riz, sepertimana bekas-bekas isteri Riz dulu.”

“Insya-Allah, kali ini pasti berjaya. Riz tak nak ke, wajah Riz jadi normal semula?”

“Mestilah Riz nak nek. Nanti kalau dah kembali normal, Riz takkan sia-siakan isteri Riz tu. Riz tahu, dia pasti tak sama dengan wanita yang lain.” Tuan Mukhriz tersenyum.

Baiyah turut tersenyum. “Sudah, kita pun dah nak sampai ni. Nek doakan, kali ini takkan jadi seperti dulu.”

Tuan Mukhriz mengangguk sambil tersenyum manis.

Dalam satu jam lebih, kereta yang dipandu oleh pemandu keluarga Tuan Mukhriz, terus sahaja berhenti di pekarangan guest house milik keluarganya. Enjin kereta terus sahaja dimatikan.

Tuan Mukhriz terus sahaja menghalakan pandangannya ke arah keluarga pihak perempuan, yang sudah pun berada di dalam rumah. Jantung Tuan Mukhriz mula berdebar-debar. Memang sengaja Tuan Mukhriz mahu melakukan majlis pernikahan di guest house, milik keluarganya. Ini kerana, dia tidak mahu pihak pengantin perempuan tahu tempat tinggalnya, jika penceraian akan berlaku lagi.

“Mari cepat Riz. Tok kadi pun dah sampai tu. Ngam-ngam kita sampai sama-sama dengan tok kadi.” Baiyah sudah berjalan keluar dari perut kereta.

Tuan Mukhriz mengangguk. Pelitup muka, terus dipakaikan pada wajahnya.

“Riz masih nak pakai mask?”

“Takut dia orang terkejut nanti, kalau tengok muka Riz ni. Biarlah bakal isteri Riz lihat wajah Riz, masa malam pertama nanti.”

Baiyah tidak mahu memaksa. Dia perlu memahami keadaan cucunya. Dia tahu, cucunya masih belum bersedia mahu berdepan dengan orang ramai.

Majlis pernikahan sudah pun selesai. Akhirnya Tuan Mukhriz sah menjadi suami kepada seorang wanita yang menjadi pilihan neneknya. Nasib baik jugalah, pihak pengantin perempuan tidak banyak soal. Mungkin kerana neneknya sudah menjelaskan keadaan dirinya.

Tibalah malam pertama mereka. Isteri ke- sembilannya itu, sudah pun menunggu di dalam bilik. Yang tinggal, hanyalah Tuan Mukhriz dan isterinya sahaja. Jantung Tuan Mukhriz mula berdebar-debar. Dia takut penerimaan wanita itu terhadap dirinya.

Tuan Mukhriz terus melangkah ke dalam bilik. Pelitup muka dan cermin mata hitam terus sahaja dibuka. Tetapi susuk tubuh isterinya, langsung tidak kelihatan. Tiba-tiba kedengaran pintu bilik air dibuka. Tuan Mukhriz cuba untuk tersenyum.

“Kau... kau siapa?” soal wanita itu, dalam keadaan tergagap-gagap.

“Saya suami awak,” jawab Tuan Mukhriz.

“Suami aku?”

“Ya. Kita dah nikah tadi.” Tuan Mukhriz mula berasa tidak sedap hati.

“Tak mungkin kau suami aku.”

“Bukan ke awak yang bersetuju untuk berkahwin dengan saya, dan sanggup membantu saya?”

“Ya, memanglah. Tapi aku tak sangka rupa kau macam ni.”

“Apa maksud awak?”

“Ee! aku tak lalu nak bersama dengan kau. Cuba kau tengok muka kau dekat cermin tu. Menakutkan. Hodoh pula tu. Aku ingatkan, kau cuma tak handsome aje. Tapi sebenarnya kau hodoh! Hodoh kau tahu tak?”

“Tapi... awak kata, awak nak tolong saya.” Tuan Mukhriz menghampiri isterinya.

“Sekarang ni aku tak nak tolong kau. Aku tak nak! Ceraikan aku. Ceraikan aku sekarang juga! Aku tak lalu nak bersama dengan kau. Aku jijik.”

“Jijik? Tapi kenapa awak bersetuju nak nikah dengan saya?” Tuan Mukhriz masih tidak berputus asa.

“Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah! Ceraikan aku! Dasar hodoh!” jerit wanita itu.

Tuan Mukhriz benar-benar kecewa. Dia sudah tidak mahu lagi meneruskan semua ini. Akhirnya, dia menceraikan wanita itu dengan talak tiga. Bekas isterinya itu akhirnya berlari keluar dari rumah itu. Tuan Mukhriz menangis sepuas-puasnya, di tepi katil.

“Kenapa aku tak mati aje!” jerit Tuan Mukhriz, dengan air matanya tidak henti-henti mengalir.

 

 

ALEESYA sedang sibuk menuangkan air ke dalam setiap cawan kecil, yang ada di atas dulang. Waktu ini, dia sedang cuba untuk menarik pelanggan yang ada di dalam pusat membeli belah tersebut, dengan mempromosikan air mangga yang dijualnya. Kebetulan ada seorang wanita sedang berjalan di hadapannya. Aleesya terus menahan wanita itu.

“Kak, kak nak cuba air mangga ni tak? Kita ada produk baru tau?” Aleesya sedang menatang dulang ketika ini.

“Sedap ke?” soal wanita itu.

“Sedap kak. Cuba akak rasa dulu.” Aleesya mengambil cawan kecil dari atas dulang, lalu dihulurkan kepada wanita itu.

Wanita itu mengambil cawan dari tangan Aleesya, lalu airnya diteguk.

“Macam mana kak? Sedap tak?”

“Sedap. Berapa harga dia ni?”

“Harga dia Rm7.99, ada dua kotak dalamnya. Macam mana? Akak nak tak?”

“Bolehlah, bagi akak satu.”

Aleesya tersenyum, lalu menghulurkan air kotak tersebut. Wanita itu terus berlalu pergi.

“Weh, Esya. Macam mana? Ramai ke dapat customer?” soal Nurul, yang muncul dari belakang. Dia merupakan rakan baik kepada Aleesya, sejak mereka dari bangku sekolah lagi.

“Ramailah juga. Kau pula?”

“Adalah sikit. Kau tahulah kan, aku bukan suka sangat cakap dengan customer ni.”

Aleesya ketawa. “Nurul, kalau kita nak dapat customer ramai, kenalah pandai promote.”

“Aku tak macam kau. Kau tu memang jenis suka bercakap dengan orang. Lepas tu, kau tu ada penarik. Cantik. Putih. Tinggi pula tu. Kenapa kau tak jadi model aje?”

“Ceh apa kena mengena pula cantik? Kau nak suruh aku jadi model? Mimpi ajelah. Tak minat aku nak jadi model.”

Nurul ketawa. “Cantik ni pun boleh tarik perhatian orang juga tau. Tengok lelaki tu, dari tadi perhatikan kau aje.”

“Mana?”

“Tu ha,” tunjuk Nurul ke arah lelaki tersebut, yang dari tadi berdiri di rak kicap.

“Menakutkan pula aku tengok lelaki tu. Jomlah Nurul, kita pergi rehat. Aku lapar ni.”

“Ha, yalah.” Mereka berdua mula berjalan keluar dari pusat membeli belah tersebut, untuk keluar makan tengah hari bersama.

“Ayah kau macam mana?” soal Nurul, sambil mengambil beg tangannya.

“Macam itu ajelah. Kos rawatan ayah aku tu makin lama makin naik. Aku pun dah buntu mana nak cari duit lagi. Dengan adik perempuan aku dekat universiti lagi. Nasib baik dia ada biasiswa. Tapi itulah, kadang-kadang minta juga aku duit, untuk belanja dia dekat sana.”

“Kau kahwinlah. Cari lelaki kaya. Dapat juga kau tampung perbelanjaan dia orang.”

“Laki kaya? Kau ni buat lawak ke apa?”

“Apa yang lawaknya? Kau pun umur dah 24 tahun. Baik kau kahwin aje. Muka pun cantik.”

“Hello. Aku ni kau tengoklah kerja apa? Kerja pun promoter aje. Ingat laki kaya nak pandang aku ke? Baik dia cari sama level dengan dia aje.”

“Ya tak ya, jugakan?” Nurul tersengih.

Bunyi deringan telefon bimbit milik Aleesya telah mengejutkan mereka berdua.

“Siapa call tu?”

Aleesya mengeluh. “Siapa lagi, kalau bukan adik aku Mira.”

Nurul mencebik. Dengar sahaja nama Amira, sudah cukup buatkan dia menyampah.

“Hello Mira,” ucap Aleesya lemah.

“Hello kak. Akak dah masuk duit ke belum?”

“Akak tak gaji lagilah dik. Esok baru gaji.”

“Kak ni! Habis tu Mira nak makan apa?”

“Bukan ke akak baru aje bagi duit dekat Mira minggu lepas. Takkan dah habis?”

“Akak ingat cukup ke dua ratus tu? Tak sampai seminggu dah habis.”

“Mira makan apa sampai dua ratus boleh habis?”

“Eh banyak tanya pula akak ni. Kalau tak nak bagi cakap ajelah!” Talian terus sahaja dimatikan.

Aleesya tersentak dengan sikap adiknya tadi. Dia tidak faham kenapa adiknya itu langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepadanya.

“Adik kau kenapa?” soal Nurul.

“Dia minta duit.”

“Aik? Bukan ke baru minggu lepas kau bagi dia?”

“Dia kata dah habis. Entahlah, duit dah banyak habis dah ni. Pening kepala aku macam ni. Aku ni nak kena berjimat. Nak beli ubat untuk ayah aku lagi.” Keluhan berat dilepaskan.

“Nah ambil ni.” Nurul tiba-tiba menghulurkan wang RM150 ringgit kepada Aleesya.

“Eh, apa ni?”

“Ambil ajelah. Aku bagi.”

“Eh, tak payahlah. Aku tak nak berhutang.”

“Habis tu nanti adik kau nak makan apa pula dekat sana?”

“Esok dah gaji. Nanti aku bagilah dia.”

“Ambil aje ni. Bagi dekat adik kau. Aku tahu, walaupun esok gaji, mungkin kau tak cukup duit juga. Sebagai kawan, aku patut tolong kau. Ni aku bagi. Bukannya pinjam.”

Aleesya memandang Nurul sejenak.

“Ambilah...”

“Thanks Nurul. Kaulah kawan aku, dunia dan akhirat.” Aleesya tersenyum manis.

“Sama-sama. Dah jom, kita pergi makan. Kejap lagi nak masuk kerja balik. Tapi kan...”

“Tapi apa?”

“Macam aku cakap tadi, kau kena kahwin dengan lelaki kaya. Baru kau banyak duit lepas ni.” Nurul ketawa.

Aleesya turut ketawa. “Kalau ada yang nak dekat aku ni, memang aku terima aje.”

Nurul menampar bahu Aleesya. “Gatal eh?

“Aik, kau yang suruh cari lelaki kaya, kan?”

“Aku main-main ajelah. Kalau nak cari lelaki kaya, jangan suami orang pula tahu? Cari yang bujang.”

“Merepeklah kau ni. Sudahlah. Jom makan. Lapar dah aku ni.”

Nurul ketawa. Mereka berdua terus sahaja berjalan beriringan menuju ke kafe yang ada di situ. Dalam masa yang sama, Aleesya memikirkan kata-kata Nurul tadi. Siapalah yang mahu berkahwin dengannya? Adakah lelaki kaya yang mahukannya? Tetapi, takkan dia nak berkahwin dengan lelaki kaya, hanya disebabkan mahukan wang sahaja? Tetapi cinta bagaimana pula?

Share this novel

sekuntum mawar
2021-08-11 00:11:19 

sukanya dengan novel novel alin alia. semua best best^^

Rasyidah Hamid
2020-07-12 09:24:52 

suka suka


NovelPlus Premium

The best ads free experience