Bab 4: Nama

Romance Series 20066

LELAKI itu hanya mengukir kuntuman senyum kepada Damia. Rasa geli pulak hati melihat Damia di depannya tu dah macam patung. Keras kejung tak berkutik.

"Assalamualaikum, cik."

Lelaki itu memulakan ucapan. Suaranya itu lembut saja menggetarkan halwa telinga Damia.

"Wa ... Waalaikumussalam." Damia menelan air liur. "Tak sangka kita boleh jumpa lagi kat sini." Damia semakin tak keruan.

Mana taknya, baru sahaja kelmarin dia bertemu lelaki itu buat pertama kali, hari ini mereka bertemu lagi. Takdir mungkin?

Lelaki itu hanya tertawa kecil. Bagi Damia, dia memang tidak menyangka kehadiran jejaka itu tetapi bagi lelaki itu pula, pertemuan ini adalah pertemuan yang sudah dirancang.

Damia segera menggelengkan kepala menyedarkan diri.

"Kedai runcit kat kampung awak tu tutup ke?" Damia bertanya. Masih tidak tahu tujuan sebenar lelaki itu ke sini.

"Tak adalah. Saja datang sini. Nak try jugak beli barang kat kampung sebelah ni," lelaki itu jawab tak acuh.

"Ye ke? Padahal setahu saya kedai kat kampung awak tu lagi murah harga dia dari kedai ni. Kenapa beli kat kedai ni jugak?"

Damia berasa pelik. Dalam masa yang sama juga sempat dia memperlekeh kedai milik ibunya itu. Iyalah, kedai cekik darah katanya.

Kalau Mak Siti dengar ni, memang kena bantai agaknya Si Damia tu.

"Okeylah, kalau macam tu awak tunggu kejap ya." Lelaki itu langsung keluar dari kedai. Terlihat seperti dia mengambil sesuatu dari raga motornya.

Tak sampai dua minit sahaja, lelaki itu kembali semula. Kali ini dia membawa bersama beg kertas berwarna coklat keemasan itu.

"Nah, ni awak punya, kan?" Seraya lelaki itu menyerahkan beg kertas itu. Senyuman masih tak lekang di bibirnya.

Tu macam ... beg baju mak aku! Bisik hati Damia.

Damia mengambil beg kertas itu dengan penuh teruja. Dia turut melihat-lihat keadaan barang di dalamnya. Baju kurung moden itu masih elok keadaannya.

"Eh? Ni baju saya yang hilang tu. Saya baru je nak cari lepas habis kerja kejap lagi." Damia tidak mampu menyembunyikan rasa gembiranya. "Kat mana awak jumpa?" tanya Damia lagi.

"Kat tepi jalan menuju sungai hujung kampung saya tu. Saya rasa awak tercicir tu."

Damia menggaru sahaja kepalanya yang tak gatal itu. Malu dirinya diketahui cuai sampaikan beg kertas bersaiz besar tu pun dia tak perasan tercicir.

"Saya nak bagitahu, yang saya nak minta maaf siap-siap sebab basuh baju awak tu tanpa kebenaran. Lepas je jatuh atas tanah, habis baju tu kotor. Sebab tu saya terpaksa cuci dan bersihkan semula," ujar lelaki itu.

"Awak cuci, guna mesin?"

"Eh, tak. Saya cuci guna tangan je." Lelaki itu cepat sahaja menjawab. Takut dimarahi pula oleh gadis di depannya ttu.

Damia menghela nafas lega. "Nasib baik. Saya takut rosak je baju ni. Ye la, kan banyak labucinya. Nanti habis semua tertanggal."

Takut sangat baju itu rosak. Nanti habis pula dileter ibunya lagi.

"Betul jugak tu. Saya memang cuci guna tangan, awak jangan risau." Tenang dan lembut sahaja lelaki itu bicarakan.

"Lagipun, saya mana ada mesin basuh," sambungnya lagi.

Pandangan redup dilemparkan Damia. Dia dapat rasakan keikhlasan lelaki itu dari bicaranya.

"Awak, terima kasih sangat tau. Dahlah awak yang jumpa baju ni, lepas tu awak tolong basuhkan pulak. Sepatutnya saya yang kena minta maaf tau sebab susahkan awak," ucap Damia.

"Tak apalah. Lagipun kelmarin awak dah tolong tunjukkan keberadaan adik saya. Jadi anggaplah ni sebagai tanda terima kasih saya kat awak."

Lalu lelaki itu mengambil beg plastik yang berisi barang beliannya.

"Ish, awak ni. Saya tolong kelmarin tu bukannya susah sangat pun. Saya tunjukkan je bukannya buat apa sangat," sangkal Damia.

Lelaki itu hanya melemparkan senyum pada jawapan Damia. Lantas matanya pandang ke arah lain. Tingkahnya tiba-tiba menjadi gelisah.

"Umm ... kalau awak ta ... tak keberatan, awak nak tak ... keluar makan dengan saya? Saya belanja," pinta lelaki itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Lelaki itu tidak berani menatap mata Damia. Dirinya bersedia jikalau permintaannya itu ditolak mentah-mentah.

Tetapi bukan ditolak, tapi kelihatan Damia bagaikan tertarik dengan pelawaan lelaki itu.

"Makan? Makan kat mana?"

"Makan sate, kat gerai saya."

Kali ini lelaki itu turut bersedia lagi jika ditolak. Mahu ajak wanita yang baru dikenali makan di gerai sate? Memang tiada kejutan jika pelawaannya kali ini ditolak. Lainlah jika mahu ajak makan di tempat mahal bertaraf lima bintang.

"Sate? Kat gerai awak?" Suara Damia meningkat ke oktaf yang lebih tinggi.

Sambil mengangguk dan memejamkan mata, lelaki itu hanya mampu berbisik reda dalam hati.

"Jadi awak penjual sate?" Damia bertanya lagi.

Lelaki itu hanya memberi jawapan dengan mengangguk kepalanya lagi. Muka Damia dia sembunyi-sembunyi pandang melalui hujung matanya. Nak tengok reaksi jugak sama ada Damia tu nampak suka atau tak.

"Mestilah nak!" Tiba-tiba sahaja Damia kelihatan teruja. Matanya membulat luas tanda mengekspresikan kesenangan hatinya.

Pantas saja lelaki itu kini berani menatap wajah Damia dengan lebih mendalam. Senyuman dibalasnya kerana rasa lega. Lega pelawaan dirinya diterima baik wanita itu.

"Jadi, awak suka sate?" tanya lelaki itu.

"Mestilah. Sate tu makanan favourite saya tau. Tak sangka kat kampung sebelah pun ada orang jual sate. Kalau saya tahu, saya beli kat gerai awak tak apa, tak perlu pergi kat pekan jauh sana tu."

Senyuman lelaki itu semakin melebar. Mahu sahaja dia menjerit kegembiraan di situ juga, tetapi mujurlah rasa segan dan malu masih wujud dalam dirinya.

Kalau menjerit tiba-tiba, nanti confirm dilabel gila pulak. Jangan buat pasal ...

"Jadi, kat mana gerai awak tu? Nak pergi makan bila?" Damia sambung bertanya.

Bertubi-tubi soalan diajukan Damia. Terlihat dirinya memang tak sabar nak makan makanan kegemarannya itu. Ditambah pula dibelanja orang lain, lagilah membuak-buak keinginannya itu.

"Kalau hari ni boleh ke? Saya start meniaga pukul 6:00 petang sampai 10:00 malam."

"Boleh-boleh!" Laju saja Damia menjawab. Semuanya boleh dan ya saja baginya ketika ini.

"Tapi gerai awak tu kat mana? Saya tak tahulah."

Betul juga apa yang ditanya Damia itu. Takkan mahu makan tanpa tahu lokasi gerainya.

Lelaki itu mengetuk-ngetuk dagunya mencuba berfikir. Lalu terlintas satu idea.

"Boleh saya mintak telefon awak kejap?" Lelaki itu meminta izin.

"Ya, boleh ja," jawab Damia seraya memberi telefon pintar miliknya kepada lelaki itu.

Damia perhati sahaja telefonnya tu ditekan-tekan lelaki depannya tu. Nak buat apa dengan telefon aku? Damia masih tertanya-tanya.

Lelaki itu terus menaip sesuatu di telefon yang dipinjamkan Damia itu. Selang beberapa detik sahaja, telefon di dalam poket lelaki itu berdering.

"Nah, saya dah masukkan nombor saya kat dalam telefon awak. Apa-apa, saya akan hantar location gerai tu kat awak." Lelaki itu memberi kembali telefon itu kepada pemiliknya.

Nombor telefon rupanya. Tak terfikir pula Damia tentang hal itu.

"Oh, alright."

"Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu. Jumpak malam ni tau." Lelaki itu sempat memberi peringatan mesra kepada Damia.

Tapi belum sempat dia melangkah keluar, panggilan Damia menghentikan langkah.

"Eh, awak. Tunggu!"

Lelaki itu menoleh semula.

"Boleh saya tahu nama awak? Kita belum saling kenal nama, kan?" Damia teruskan katanya.

Sepanjang perbualan mereka, nama mereka berdua itu mereka saling tak ketahui. Belum sempat lagi mereka berkenalan dengan sebenar-benarnya.

"Saya Syafiq Aiman. Panggil je Syafiq. Awak?"

"Damia. Damia Qistina."

Mereka berdua saling berpandangan. Hanya ukiran senyuman menghiasi wajah mereka ketika itu.

Syafiq Aiman dan Damia Qistina.

Kini, nama yang didengar itu sudah terpahat dalam ingatan masing-masing. Nama yang bakal menjadi lakaran dalam hati antara mereka berdua.

*****

Jarum jam baru tepat berdetik pukul 8:30 malam. Damia sudah bersiap-siap mahu bertemu 'kawan baru' dia tu.

Mukanya cantik bersolek. Rambutnya kemas didandan dibiarkan lepas tanpa diikat. Badannya pula wangi dengan semburan haruman berjenama De'Xandra.

"Amboi, kamu cantik-cantik ni nak pergi ke mana? Jumpa boyfriend?" Mak Siti yang senyap-senyap masuk ke bilik Damia menegurnya dari belakang.

Tak ada isyaratnya, main terjah aje Mak Siti masuk ke dalam bilik Damia tu. Nasib baiklah Damia dah masak dengan ibunya tu. Kalau tak, ada jugak yang terkejut beruk nanti.

"Ish, mak ni. Sibuk je," Damia malas melayan terus mencapai sling bag miliknya.

"Habis tu, kamu nak jumpak siapa malam-malam ni?" tanya Mak Siti kehairanan.

Selalunya Damia memang agak jarang keluar dari rumah lagi-lagi pada malam hari. Orang macam Damia ini lebih banyak dan suka habiskan masa di rumah. Jadi rasa agak pelik jugalah Mak Siti tengok Damia bersiap-siap sebegitu. Malam hari pulak tu.

"Keluar makan dengan kawan je mak," jawab Damia sambil mengenakan gincu. "Ha lagi satu, mak makanlah dulu dengan kak long. Tak payah tinggal makanan kat angah tau," sambung Damia.

"Yalah. Yang kamu ni siap bergincu bagai. Macam tak percaya je kamu nak jumpa kawan." Mak Siti masih ragu-ragu.

"Betullah mak, takkan angah nak tipu."

Mak Siti hanya mendesis. Ikut suka kamu la, Damia.

Ketika matanya merewang ke setiap pelosok bilik anaknya, dia terlihat beg kertas berwarna coklat keemasan itu di atas katil. Segera Mak Siti ambil beg itu ketika Damia sibuk memperkemas solekannya.

"Ini baju mak ni. Ingatkan dah hilang ke mana sebab kamu tu." Mak Siti membelek baju di dalam beg itu.

"Oh ya. Angah lupa nak bagitahu mak."

Mak Siti lalu tercium bau yang amat menarik perhatiannya pada baju itu. Bau wangi sabun pencuci yang melekat.

"Wanginya baju ni. Eh? Takkanlah Ustazah Najihah tolong basuhkan?" Hidungnya masih mencium-cium baju kurung itu.

"Sepanjang beberapa kali mak tempah baju kat Ustazah Najihah tu, tak pernah-pernah dia cuci baju tempahan dia. Pelik," sambung Mak Siti dengan 1001 rasa kemusykilan.

Kata-kata Mak Siti itu membuatkan Damia cuak. "Wangi? Memang ada bau ke mak?"

Lalu Damia turut menghidu bau dari baju itu. "Iyalah, bau Downy!"

Boleh dia tak terperasan akan bau tersebut sewaktu diberi Syafiq tadi. Mungkin dirinya terasa gugup berjumpa lelaki itu tadi, membuatkan deria menghidunya dah macam tak berfungsi.

Lelaki handsome depan mata datang bagi baju ... siapa je yang tak rasa gugup.

Lalu di fikiran Damia sekarang, terlintas nama dan wajah Syafiq. Tersenyum sendiri dia mengingat lelaki itu. Bau yang terlekat pada baju itu pasti kerana si dia. Lelaki yang sanggup basuhkan dan cucikan baju tersebut, walhal pada ketika itu mereka saling tak mengenali.

Mak Siti memasang muka pelik melihat anaknya yang tiba-tiba tersenyum selepas mencium baju itu. "Kamu ni dah kenapa tersengih lepas hidu baju mak ni? Kena sampuk? Khayal? Macam baru lepas hisap gam je mak tengok."

Berdas-das kata-kata tajam dari Mak Siti itu membuatkan Damia segera tersedar dari lamunannya.

Damia terus merampas beg kertas yang dipegang oleh ibunya. "Mak, mak jual baju ni kat angahlah ye."

"Angah! Apa ni? Tu baju mak tau!" Mak Siti berusaha mengambil kembali bajunya tetapi segera Damia menghalang.

"Ala, mak. Mak belilah baju lain. Lagipun baju ni bukannya satu je jual kat dunia ni."

"Senang kamu cakap. Kamu tahu tak baju tu mak beli kat kawan mak dari Kuala Lumpur tu? Dahlah mahal, lepas tu lama pula nak sampai. Dapat-dapat je baju tu, mak bukannya boleh terus pakai. Mak suruh Ustazah Najihah otter pulak baju mak tu sebab saiz besar sangat." Panjang lebar Mak Siti memberi penerangan.

Nak berebut baju punya pasal, bergaduh dua beranak ni.

Damia terlihat tak ambil peduli sahaja dengan ibunya itu. Mendengar seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Memang taklah Damia nak mengalah dengan hujahan ibunya itu.

"Okeylah! Mak nanti potonglah gaji angah. Gaji angah tu mak guna untuk beli baju kurung baru. Boleh tak?" Tiba-tiba Damia memberi cadangan berani mati.

Hah?

Bagaikan mahu pitam Mak Siti. Nasib badan dapat anak yang kaki melawan. Kalau berdebat yang tahu nak menang saja.

"Ikut suka kamulah. Malas mak nak bertekak pasal baju tu. Bukannya special sangat pun. Nanti mak beli baju lagi mahal dan lagi cantik dari baju tu." Mak Siti masih tak berpuas hati. Sengaja dia tekankan perkataan 'mahal' dan 'cantik' itu untuk menjengkelkan Damia.

Damia tidak hiraukan kata-kata ibunya. Ingat dia kisah? Tangannya masih tak lepas dari baju kurung itu. Yang penting baju yang dibasuh Syafiq itu menjadi miliknya sekarang.

Segera dia pergi ke arah ibunya dan bersalam untuk keluar. "Bye, mak. Angah pergi dulu."

"Tu kamu bawak sekali baju kurung tu buat apa?"

"Kena bawaklah, nanti mak curi baju ni," jawab Damia selamba.

Mak Siti apa lagi, terus menampar-nampar bahu anaknya itu. Suka hati memfitnah.

"Aduh, mak! Sakitlah." Damia yang merengek kesakitan terus berlari keluar dari bilik. Tahu pun sakit kena belasah.

Angahlah. Jin apa pulak la yang rasuk badan kamu hari ni? Lain semacam perangai. Gumam Mak Siti sendiri tatkala anaknya itu sudah hilang dari pandangan mata.

Tak tahu yang anaknya tu dah kena rasuk dengan jin angau.

Bersambung...

Done publish √

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience