Pantulan

Horror & Thriller Series 22056

"Khalil nak bunuh aku?" Suara aku bergetar. Mata merenung tepat ke arah Ana yang sedang cuba untuk bertenang.

"Aku tak tahu. Yang aku tahu ialah, dia akan buat apa sahaja untuk Maha." Ana mengulang sekali lagi. Tangan memicit kepalanya sendiri yang terasa berat dengan pemikiran buruk dan ketakutan.

"Kau pun pengikut Maha…Macam mana aku nak tahu yang kau tak akan buat apa apa pada aku?" Tanya aku jujur. Aku tidak tahu kenapa aku bertanya pertanyaan ini padanya. Bukannya dia akan beritahu yang sebenarnya pun jika dia mahu bunuh aku.

"Aku dah cakap. Aku tak mahu terlibat dengan semua ini. Aku cuma nak selamat." Ana menghembus nafas jengkel. Marah kerana aku tidak percayakan dia. Dia tidak boleh salahkan aku. Sesiapa pun pasti akan rasa curiga.

"Keadaan di luar biasa saja. Tak ada kekecohan atau rusuhan pun." Aku membuang pandang ke luar tingkap bilikku.

"Mereka belum sampai. Aku yakin pengikut setia Maha sedang mengumpulkan semua orang untuk berperang." Ana menelan liur.

"Kalau kau takut, duduk sahaja di bilik aku sampai keadaan reda. Aku tak rasa mereka akan datang cari kita." Aku bangun lalu mengunci pintu dan tingkap.

"Aku takut." Ana menghayun tubuh ke depan dan kebelakang. "Kalau mereka serang, kau ada aku." Jawab aku pendek.

Ana merenung aku seperti tidak percaya dan aku teringat yang dia tidak pernah punya sesiapa untuk melindungi dia selama ini.

"Okay." Ana mengangguk sekali. "Tidurlah, kau nampak tak sihat." Nasihat aku. Ana kelihatan penat dan tidak berdaya. Bawah matanya bengkak dan berlingkaran gelap.

"Okay." Jawabnya pendek sekali lagi. Dia baring di atas katilku. Dalam beberapa minit, dia sudah hilang dibuai mimpi.

Aku menyapu wajahku dengan kedua tapak tangan. Ini gila. Ini benar benar gila. Sudahlah sekarang ini cuti semester dan hanya kami sahaja tidak pulang ke kampung.

Tiada siapa akan bantu kami kalau apa apa terjadi di sini.

Aku meletakkan kepala dia atas katilku, merehatkan kepala yang sedang runsing dan rasa mengantuk mula menguasai diriku.

Fikiran aku melayang dan aku terlihat seorang budak lelaki di tepi tasik yang airnya tenang.

Dia Faiz. Budak lelaki itu sedang menarik pancingnya yang disangkakan sudah mengena umpan sebelum dia mengeluh hampa. Yang tinggal hanyalah mata kail yang sudah tiada umpan. Ikan di sini bijak bijak rupanya, fikirnya.

Dia memasang umpan sekali lagi dan mencuba nasib sekali lagi. Perkara yang sama terjadi. Faiz mengeluh kecewa.

Dia mengemas barang barangnya untuk pulang. Kail dan umpan disimpan di dalam kotak semula dan pancing dimasukkan ke dalam beg sarung pancing.

Saat dia mahu melangkah pergi, dia merasakan sesuatu dibaling ke kepalanya. Dia menoleh. Sudah bersiap sedia untuk berlawan dengan sesiapa sahaja yang mengganggunya yang sedang berasa jengkel itu. Sudahlah seekor ikan pun tidak dapat, sekarang diganggu pula.

Tatkala dia menoleh, seorang budak lelaki berwajah persis wajahnya. Semua tentang dia sama dengan Faiz. Jantung Faiz berdegup kencang.

"Siapa kau?" Faiz memberanikan dirinya.

"Siapa kau?" Budak lelaki itu mengulang kata kata Faiz tadi dengan bunyi suara yang sama dan ton yang sama. Persis Faiz.

Ibarat cermin.

Dahi Faiz berkerut. Dia mengundur ke belakang dan makhluk itu mengundur juga. Mengikut pergerakannya tanpa ada perbezaan lansung. Seperti cermin.Pantulan cermin.

Faiz berundur lebih jauh dan makhluk itu juga berundur sehingga dia masuk ke dalam tasik. Faiz terduduk, tidak percaya dengan apa yang baru dilihatnya tadi.

Dia perlahan lahan berjalan ke tasik itu semula. Setiap derap kakinya kedengaran sangat kuat kerana keadaan di situ sangat sunyi. Sepertinya dia boleh mendengar bunyi detak jantungnya sendiri.

Dia menjenguk ke dalam air dengan rasa takut takut. Wajahnya berubah pucat. Di dalam air itu tiada pantulannya.

Faiz lari dengan pancing dan kotak umpannya seperti lipas kudung. Sesampainya di rumah, dia tercungap cungap memanggil makcik Limah di dapur. "Mak!! Faiz nampak hantu! Kat tasik!" Faiz menggoncang goncang tubuh makcik Limah laju.

"Faiz, cuba kau bertenang, nak. Takut mak dengan kau ni." Makcik Limah menepuk belakang Faiz lembut. "Faiz nampak hantu kat tasik tadi, Mak. Faiz takut."

Wajah Makcik Limah berkerut. "Faiz, sebab tu mak tak bagi kau keluar senja senja ni. Sudah sudah, pergi solat. Takde apalah tu." Makcik Limah menolak anaknya lembut ke dalam bilik air. "Mandi lepas tu solat jemaah dengan ayah." Katanya sebelum dia masuk ke biliknya.

Faiz melangkah ke dalam bilik air dengan rasa terpaksa. Kakinya terasa lembik menuju ke kolah bilik air itu. Bagaimana kalau bayangnya masih tiada di dalam air itu?

Dia menjenguk perlahan lahan.

Nafas lega dihembus setelah dia melihat pantulan wajahnya di dalam air itu. Dia kemudiannya pergi ke pancuran air untuk mandi. Mata dikatup perlahan dan air jatuh ke atas kepalanya lalu membasahi badannya yang kelelahan.

Saat itu, dia merasakan bulu romanya tegak berdiri. Matanya cepat cepat dibuka dan dia memusingkan kepalanya kanan dan kiri mencari gerangan yang membuatkan dia merasakan sebegitu rupa.

Tiada apa pun.

Faiz mencapai shampoo rambut dan diletakkan di atas rambutnya. Dia menggosok rambutnya lembut lalu membasuhnya dengan air dari pancuran.

Ketika itu, dia terbau sesuatu yang sangat busuk. Matanya tidak boleh dibuka kerana tidak mahu terkena shampoo dan menyebabkan pedih sekejap lagi namun jantungnya berdegup laju dan bulu romanya tegak berdiri semula.

Dia tetap membuka matanya sedikit untuk melihat sekelilingnya dan dia terpaku apabila melihat seorang budak persisnya sedang berdiri di dalam kolah itu.

Tangannya laju laju menggosok matanya dari shampoo dan membuka mata semula untuk melihat dengan lebih jelas.

Budak lelaki itu sudah tiada. Dia yakin dia nampak budak lelaki itu tadi. Pantulannya itu.

Dia cepat cepat mengeringkan badan dan keluar dari bilik air itu dan berlari ke biliknya lantas mengunci pintu dengan nafas laju.

Dia pasti ibunya pasti akan buat endah tidak endah lagi jika dia mengadu. Dia memakai bajunya cepat cepat dan menyarungkan kopiah dia kepala sambil melihat ke cermin. Saat itu, dia boleh bersumpah.

Dia nampak pantulannya tersenyum kepadanya sebelum dia mengerlip mata.

Jantung berdegup laju lantas dia berlari keluar dari bilik. Sedaya upaya untuk tidak melihat ke arah cermin atau takungan air kerana dia tidak mahu takut lagi.

"Faiz, kenapa pucat muka kau ni." Pakcik Idris bertanya pada anak lelaki tunggalnya itu. "Takde apa apa ayah." Faiz tersengih pahit lalu membentangkan sejadahnya untuk dia dan ibunya di kedudukan yang disuruh ayahnya.

Usai solat, mereka mengaji sebentar sambil menunggu waktu isyak untuk masuk. Pakcik Idris memakai cermin mata dan memandang ke arah Faiz. Faiz yang sedang mengaji tiba tiba terdiam.

Dia melihat pantulan wajahnya di cermin itu sedang menggoyang goyangkan kepalanya seakan sedang berseronok. Faiz membaca Qur'an itu lebih kuat dan kuat dengan harapan makhluk yang mengganggunya itu akan berhenti melakukan sedemikian.

Pantulannya berhenti bergerak dan kelihatan biasa semula. Paranoia menyusup ke dalam fikiran Faiz mengatakan yang itu ialah makhluk jahat itu. Bukan pantulannya sendiri.

Setelah solat isyak, ibu dan ayah Faiz masuk ke dalam bilik meninggalkan budak lelaki itu sendirian di ruang tamu. Matanya ligat mencari kalau kalau makhluk itu datang lagi.

Jantungnya terasa laju semenjak tadi dan liurnya ditelan. Mungkin juga dia akan meminta Makcik Limah menemannya sehingga dia tidur malam ini. Pasti ibunya akan membebel padanya nanti.

Saat dia berjalan ke bilik ibu dan ayahnya, dia perlu lalu di depan cermin panjang di dinding rumahnya itu. Langkahnya terasa semakin kecil dan masa seakan semakin perlahan. Matanya bergerak dengan laju memandang kiri dan kanan, berharap yang makhluk itu tidak akan datang lagi.

Pada waktu itu dia menutup mata, berharap yang jika makhluk itu masih mengganggu nya dia tidak perlu untuk melihat wajah itu lagi. Wajah yang sama dengan wajahnya itu.

Setelah dia membuka mata dia merasakan suasana di sekelilingnya seperti sejuk. Bunyi unggas malam juga tidak kedengaran, bunyi angin yang selalunya kuat terasa sangat perlahan. Seakan tidak berada di dunia yang sama lagi.

Faiz melihat kiri kanannya dan keadaan masih sama. Ini rumah Faiz ibu dan ayahnya, tetapi kenapa? Kenapa atmosfera tempat ini tidak sama lagi. kesunyian yang mencengkam membuatkan Faiz tidak senang hati.

Dia kini sedang berdiri di depan pintu bilikku dan ayahnya. Pintu diketuk dengan perlahan dengan hati yang risau. Jantungnya berdegup kencang sama seperti petang tadi. Apa pun jadi dia perlu beritahu ini kepada ibu dan ayahnya.

Beberapa saat setelah pintu diketuk Makcik Limah membuka pintu itu. Wajah ibu Faiz yang tua dimamah usia kelihatan di muka pintu. Dia bertanya, "Kenapa datang, takut ke?"

Faiz diam dan merenung wajah ibunya yang sepertinya tahu akan perasaannya. "Faiz takut, ibu. Hantu tadi kacau Faiz sampai ke rumah." Budak lelaki itu memberitahu yang sebenar benarnya.

"Kenapa nak takut, Faiz?" Ayahnya pula muncul di depan muka pintu di sebelah ibunya. "Muka hantu tu macam Faiz, Faiz takut. Faiz takut hantu." Faiz merenung wajah ayahnya pula.

"Kenapa perlu takut, Faiz? Dia kan diri kau juga?" Ayah berkata, menunduk sedikit supaya paras mata mereka sama. Wajah Faiz berkerut.

"Apa yang ayah cakap ni?" Faiz mengundur sedikit. "Kau yakin dia ikut kau sampai balik ke rumah kau?" Makcik Limah bertanya dengan senyumannya yang manis. Namun Faiz seakan dapat merasakan aura yang pelik dari senyuman itu.

"Mari masuk, tidur dengan mak malam ni." Makcik Limah menarik tangannya masuk ke dalam bilik. Dia menyuruh Faiz berbaring di atas katil kemudian dia berbaring di sebelah Faiz.

"Kasihan anak mak. Takut ya?" Makcik Limah menepuk nepuk bahunya yang sedang berbaring. "Takut yang dia ikut kau sampai balik ke rumah?" Dia bertanya. "Ya." Faiz menjawab.

"Kau yakin dia yang ikut kau balik ke rumah, atau kau yang balik ke rumah dia?"

Faiz terpaku. Wajahnya berkerut.

Mungkinkah, mungkinkah dia...Dia melihat sekelilingnya dan dia baru tersedar. Ini dunia cermin. Dia di dalam dunia cermin.

Faiz bangun dari posisi baringnya dan berlari keluar dari bilik itu. Dia berlari sehingga ke luar rumah, berlari tanpa mempedulikan sekelilingnya. Keadaan sunyi sepi. Tiada bunyi apa pun yang kedengaran. Termasuk bunyi derap tapak kakinya berlari.

Dia tidak tahu ke mana lagi harus dia tuju. Langkah kakinya tidak mampu diolah, sedar tidak sedar, dia sampai ke tasik itu.

Tasik senja tadi.

Dia berdiri di tebing tasik itu dan merenung ke dalam air yang hitam itu. Sekarang sudah malam, dia memang tidak akan nampak pantulan dirinya di dalam tasik itu.

Dia tidak tahu ke mana lagi harus dia tuju. Air mata memenuhi kelopak matanya dalam ketakutan. Saat itu, dia merasakan bulu romanya meremang.

Dia menoleh dan Makcik Limah, Pakcik Idris dan Pantulannya sedang berdiri di belakangnya. Mereka tersenyum dengan senyuman mereka yang mengerikan itu.

Faiz bernafas dengan laju lalu dia menoleh ke arah tasik itu semula. Kalaulah semuanya bermula daripada tasik ini,mungkin inilah juga pengakhirannya.

Faiz menutup mata dan melompat ke dalam tasik itu. Kegelapan dan kesejukan menyapa mata.

Beberapa saat kemudian dia timbul semula.

"Faiz! Apa kau buat kat sini, nak!?" Makcik Limah menariknya keluar dari dalam tasik itu.

Dia merenung wajah ibunya dalam ketakutan sebelum wajah itu berubah lembut dan dia yakin, itu ibunya yang sebenar. "Mak!!" Faiz memeluk ibunya kuat kuat.

"Ya Allah, Faiz." Ayahnya memeluknya selepas itu. "Jangan buat kami risau Faiz." Pakcik Idris menepuk belakang anaknya kuat. Budak lelaki itu ketawa lega.

Pantulannya merenung dari dalam tasik. Menanti untuk bertukar tempat dengan Faiz semula.

Aku terjaga dari tidurku apabila Ana menggoncang bahu aku. Telefon aku berbunyi. Nama Khalil tertera di skrin telefon aku. "Jawab, Una, jawab." Arah Ana. Aku mengangguk dan menekan ikon telefon warna hijau.

"Una, aku tak tahu apa yang jadi tapi ada portal besar kat tengah fakulti, makhluk kegelapan keluar dari sini." Khalil kedengaran tercungap cungap seperti dia sedang berlari.

"Ha? Apa kau merepek ni?" Jantungku berdegup laju. Ini semua gila.

"Pengikut Maha, mereka tengah marah." Khalil memberitahu membuatkan dahiku berkerut.

Kalau Khalil pengikut Maha…Kenapa dia terkejut? Atau dia pura pura terkejut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience