LAFH - 1

Romance Series 665659

PROLOG

PRANG!

Bunyi kaca pecah berderai kedengaran daripada dalam bilik Datin Mariam. Diikuti dengan suara jeritan yang sangat kuat.

Bik Anum berlari anak menuju ke bilik majikannya itu. Kebetulan pintu bilik tidak ditutup rapat, dia terus melangkah masuk mendapatkan wanita itu.

“Ya Allah Datin. Kenapa ni?” soalnya risau. Matanya jatuh pada pasu kaca yang sudah hancur berderai di atas lantai.

Datin Mariam duduk di tepi katil sambil memeluk tubuh. Jeritannya masih lagi kedengaran. Tangan kanannya mengigil sambil memegang telefon bimbit. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

Bik Anum dapat mengagak pasti ada sesuatu yang wanita itu lihat di telefon bimbitnya sehingga dia jadi begini. Dia yang tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika ini terus berlari keluar daripada bilik untuk meminta pertolongan.

Kebetulan anak majikannya itu berada di rumah hari ini. Langkah kaki terus diatur menuju ke bilik lelaki itu.

“Encik Haqq!” Tangan dilayang mengetuk pintu bilik lelaki itu sekuat hati. Tak kisahlah kalau Haqq nak marah sekalipun. Dalam waktu-waktu genting begini dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Risau jika Datin Mariam bertindak di luar kawalan.

Tak sampai beberapa minit, pintu dibuka daripada dalam. Terjengul wajah Haqq dengan rambutnya yang berserabai. Nampak sangat dia baru bangun daripada tidur. Lagipun hari ini hari minggu. Memang sengaja dia habiskan hari cutinya dengan berehat di rumah sahaja.

“Ada apa Bik Anum?” soal Haqq. Matanya yang masih mengantuk itu digosok-gosok perlahan.

“Datin Mariam!” Jelas riak kerisauan terpancar di wajahnya.

Terus segar mata Haqq sebaik mendengar nama ibunya meluncur keluar daripada bibir pembantu rumahnya itu.

“Kenapa dengan mama?” soal Haqq risau.

“Bik Anum tak tahu. Tapi tadi Datin Mariam baling pasu dalam bilik sampai pecah berderai. Lepas tu tiba-tiba dia menjerit.”

Tanpa bertanya lebih lanjut, Haqq terus mengatur langkah menuju ke bilik ibunya.

“Mama!” Haqq terus menerpa ke arah Datin Mariam.

“Ya Allah mama!” Serpihan kaca yang berada di tangan Datin Mariam segera dirampas. Dia tahu ibunya itu cuba mencederakan dirinya sendiri.

Tangisan Datin Mariam semakin kuat kedengaran. Terhinjut-hinjut bahunya melepaskan tangisan. Haqq terus menarik tubuh ibunya itu ke dalam pelukannya.

“Kenapa ni mama? Siapa yang buat mama macam ni? Beritahu Haqq,” soalnya. Luluh hatinya melihat keadaan Datin Mariam ketika ini.

“Perempuan tu...” Datin Mariam menghulurkan telefon bimbitnya pada Haqq.

Haqq ketap bibir kuat menahan geram saat melihat gambar yang terpapar di skrin telefon bimbit milik Datin Mariam. Dadanya berombak laju ketika ini.

“Daneen Qaysa.” Nama perempuan itu disebut perlahan. Dia yakin dia tak salah lihat. Dia kenal perempuan yang bersama dengan papanya itu.

Hatinya mendongkol geram. Penumbuk digenggam kuat. Aku tak akan lepaskan kau Daneen.

BAB 1

PINTU almarinya dibuka. Dia termenung seketika memilih pakaian yang ingin dia pakai hari itu. Terlampau banyak sangat baju sehingga tak tahu nak pilih yang mana satu. Akhirnya Daneen membuat keputusan. Sehelai dress singkat paras lutut ditarik keluar daripada almari.

Daneen membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Dress berwarna kuning lembut itu terletak cantik di tubuhnya yang langsing.

Sebagai seorang pengarah hotel lima bintang, Daneen harus memastikan penampilannya sentiasa kemas. Kadang-kadang dia akan berurusan dengan klien. Jadi dia harus tampak cantik dan kemas sepanjang masa untuk menjaga nama baik hotel.

“Dah cantik dah tu cik Daneen,” tegur satu suara.

Daripada dalam cermin, Daneen dapat melihat Salwa sedang berdiri di hadapan pintu biliknya.

“Awal pula kau bangun harini ya,” sindir Daneen. Kebiasannya kawan baiknya itu pasti bangun lewat.

“Aku shift pagilah harini,” balas Salwa.

Salwa juga bekerja di hotel yang sama dengan Daneen. Cuma Salwa bekerja sebagai penyambut tetamu.

“Aku tumpang kau boleh? Malaslah nak drive,” soal Salwa.

“Kalau aku cakap tak boleh pun, kau tetap nak tumpang kan?”

Salwa tergelak kecil. Dia tak ambil hati dengan Daneen. Mereka sudah terbiasa bergurau begitu. Daripada zaman sekolah lagi mereka berkawan. Hubungan Daneen dan Salwa memang rapat. Ibarat adik beradik lain mak lain ayah.

Daneen anak yatim piatu. Ayahnya meninggal dunia ketika dia masih dalam kandungan ibunya kerana kemalangan. Dua tahun lepas pula arwah ibunya meninggal juga kerana kemalangan.

Dia bernasib baik apabila kawan lama ibunya, Dato' Tarmizi menawarkannya bekerja di hotelnya sebagai pengurus hotel. Bukan mudah untuk dia mendapatkan jawatan itu jika tanpa pertolongan daripada Dato' Tarmizi. Walaupun Daneen memang mempunyai kelayakan dalam bidang ini, tak semudah itu untuk Daneen mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya.

“Dah, jom cepat Daneen. Nanti lambat pula sampai hotel,” gesa Salwa sebaik melihat jam di pergelangan tangannya. Dia harus sampai ke hotel sebelum jam sembilan pagi.

“Rileks lah. Bukan jauh sangat pun hotel tu.” Daneen capai lipstick berwarna nude lalu dioleskan sedikit di bibirnya.

Salwa mencebik. “Kau lainlah. Kau pekerja kesayangan Dato' Tarmizi. Aku ni cuma kuli jer.”

Daneen tergelak kecil. Ini bukan kali pertama Salwa berkata begitu. Bukan hanya Salwa tapi hampir semua pekerja di hotel mengatakan hal yang sama. Walaupun Dato' Tarmizi kawan arwah ibunya, Daneen tak pernah rasa dia dapat layanan yang istimewa daripada majikannya itu. Baginya sama saja seperti pekerja yang lain.

Dia juga tak pernah ambil kesempatan di atas kebaikan Dato' Tarmizi padanya. Dia tetap menjalankan tugasnya dengan amanah. Kepercayaan yang lelaki itu berikan padanya perlu dijaga dengan baik.

“Dah jomlah.” Daneen capai tas tangan berjenama LV yang disangkutkan di belakang pintu. Langkah terus dibawa keluar daripada bilik.

“LEPAS ni jawatan pengarah hotel tu bolehlah you serahkan pada Haqq.”

Dato' Tarmizi angkat wajah memandang isterinya itu. Kopi panas di dalam cawannya disisip sedikit sebelum diletakkan kembali.

“I tak boleh nak senang-senang serahkan jawatan tu pada Haqq. Dia masih baru lagi. Banyak benda yang perlu dia belajar sebelum dia pegang jawatan tu,” balas Dato' Tarmizi.

Datin Mariam terus tarik muka sebaik mendengar jawapan suaminya itu. Dia sudah mengagak.

“Atau you takut perempuan tu merajuk dengan you nanti kalau you serahkan jawatan dia pada Haqq?” Sinis Datin Mariam.

“Jangan nak mengarutlah. Dah berapa kali I nak cakap dengan you yang I dengan Daneen tak ada apa-apa hubungan?”

“Kalau tak ada apa-apa hubungan, tak akanlah staf dekat hotel tu cakap hal yang sama? Pokok takkan bergoyang kalau tak ada angin,” bidasnya kembali.

Dato' Tarmizi mengeluh perlahan. Dia sudah letih dengan perangai cemburu buta isterinya itu. Tak habis-habis menuduh dia dan Daneen mempunyai hubungan sulit. Padahal dia tak pernah menganggap Daneen lebih daripada seorang pekerja. Lagipun dia sudah terlalu tua untuk gadis seperti Daneen.

“Pagi-pagi lagi you dah nak cari gaduh dengan I. Depan rezeki pula tu.”

“I cakap benda yang betul Mizi. Haqq tu anak you. Jadi you patut utamakan dia. Bukannya perempuan tu. I tak peduli. I nak you serahkan juga jawatan tu pada Haqq. Dia yang lebih layak,” tegas Datin Mariam.

“Good morning mama, papa,” ucap Haqq yang baru turun daripada tingkat atas.

Pergaduhan Dato' Tarmizi dan Datin Mariam terhenti di situ. Mereka menyambung kembali makan.

“Good morning my handsome son.” Datin Mariam tersenyum lebar melihat anak tunggalnya itu.

“Morning,” balas Dato' Tarmizi ringkas.

Haqq menghampiri mereka. Kerusi di sebelah Datin Mariam ditarik lalu dilabuhkan duduknya di situ.

“Haqq nak makan apa? Nasi lemak?” soal Datin Mariam.

“Roti jer ma. Haqq tak biasa makan berat-berat.”

“Mentang-mentanglah dah tiga tahun duduk dekat UK tu. Terus lupa asal usul ya. Kalau tak dulu, tiap pagi nasi lemaklah yang Haqq akan cari dulu,” sindir Datin Mariam.

Haqq tergelak kecil. Kepala digeleng perlahan.

“Haqq dah ready nak mula kerja?” soal Dato' Tarmizi.

“Mizi, janganlah cerita pasal kerja waktu makan. Bosanlah,” tegur Datin Mariam.

Dato' Tarmizi jungkit kening memandang isterinya itu. Bukan ke tadi wanita itu juga yang mula buka cerita tentang kerja?

“Haqq dah ready papa. Lepas ni papa tak perlu risau lagi. Haqq akan bantu papa uruskan Majestic Hotel.”

Dato' Tarmizi tersenyum. Memang itu harapannya. Siapa lagi yang akan mewarisi perniagaannya jika bukan Haqq? Haqq satu-satunya anak yang dia ada, jadi sudah tentulah Majestic Hotel akan diberikan pada Haqq.

“Haqq bolehlah ambil alih tempat pengarah hotel tu nanti,” tambah Datin Mariam.

“Cepat sikit makan Haqq. Nanti lambat pula kita sampai office. Papa tunggu Haqq dalam kereta.” Dato' Tarmizi terus bangun daripada duduknya dan berlalu pergi.

Datin Mariam tarik muka masam. Dia tahu suaminya itu sengaja nak mengelak daripada berbicara tentang jawatan itu.

DANEEN dan Salwa berjalan beriringan menuju ke lobi hotel.

“Cik Daneen! Ada bunga untuk cik.” Joana berlari anak ke arah Daneen dan Salwa. Di tangannya ada sejambak bunga.

“Eh eh geram jer aku tengok si pondan ni berlari,” kutuk Salwa. Sakit matanya melihat Joana aka Johan. Huh elok-elok dilahirkan lelaki sejati, nak juga jadi perempuan.

Daneen menyiku perlahan lengan Salwa. Salwa ni anti betul dengan Joana. Pantang berjumpa pasti nak bergaduh.

“Siapa yang bagi bunga ni?” soal Daneen. Bukan pertama kali dia dapat bunga daripada orang yang dia tak kenali. Kerap juga dia dapat bunga daripada pelanggan hotel mereka. Padahal mereka tak pernah kenal pun.

“Tengku Rais. Pelanggan yang check in minggu lepas. Tadi dia datang singgah untuk hantar bunga ni pada you,” balas Joana.

“Oh...” Daneen kenal Tengku Rais. Selalu juga lelaki itu bermalam di Majestic Hotel. Sejambak bunga ros merah yang dihulur oleh Joana disambut.

“Helok betul Tengku Rais tu kan. Kalau I yang jadi you Daneen, I tak akan lepaskan lelaki macam tu.” Joana tersengih-sengih sendiri. Membayangkan jika dia yang berada di tempat Daneen. Indahnya dunia!

Salwa buat gaya ingin muntah melihat Joana. Meluat!

“Eh Tengku Rais tu tak pandang lah wanita berloceng macam kau.”

“Hey, you diamlah Salwa. You cemburu lah tu tak ada orang yang berkenan dekat you. Tak macam Daneen, ramai peminat. You tu, sendu. Huh!” Joana menjulingkan matanya ke atas.

“Apa kau cakap? Sendu?!” Terjengil biji mata Salwa memandang Joana. Besar kecik besar kecik jer lelaki itu di pandangan matanya ketika ini.

“Hisy, sudah-sudah lah tu. Bergaduh jer kau orang berdua ni. Pantang berjumpa. Gaduh-gaduh nanti jatuh cinta baru tahu,” usik Daneen.

“Agak-agak lah Daneen! Gila ke aku nak jatuh cinta dekat si pondan ni.”

“Eiii mulut you ni memang macam longkang kan Salwa! Memang patutlah you tu jadi anak dara tua. Tak laku!” Joana cepat-cepat beredar daripada situ sebaik dia menghabiskan ayatnya. Lebih baik dia lari dulu sebelum Salwa koyak-koyakkan mulutnya nanti.

“Hoi pondan!” Panggil Salwa geram. Berombak laju dadanya menahan marah.

“Sudahlah tu Salwa. Malulah orang pandang,” Daneen tarik tangan kawan baiknya itu.

“Kau dengar tak si pondan tu cakap apa tadi? Kalau aku dapat dia, aku ganyang-ganyang badan dia yang lembik macam sotong tu.”

Daneen tergelak kecil. Dua-dua sama jer. Aku nikahkan nanti baru tahu.

“Dahlah, aku masuk office dulu. Jumpa waktu lunch nanti,” kata Daneen seraya menapak pergi ke arah lift.

LANGKAH kaki diatur ke pejabatnya. Dahinya berkerut sedikit apabila melihat pintu pejabatnya terbuka. Pelik. Cepat-cepat dia melajukan langkah. Dia cukup pantang kalau ada orang berani-berani menceroboh masuk ke dalam pejabatnya tanpa keizinan daripadanya.

Langkah kaki Daneen terhenti di muka pintu. Ada seseorang duduk di meja kerjanya. Dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah itu kerana kerusi itu membelakanginya.

Bau minyak wangi maskulin kuat menusuk hidungnya. Mak ai dia ni mandi minyak wangi ke pagi tadi?

“Ehem. Excuse me...” Daneen berdehem perlahan.

Kerusi beroda yang membelakanginya tadi terus berpusing menghadapnya.

“Yes?” Lelaki itu jungkit kening memandang Daneen. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

Daneen terkedu. Dipandang lama wajah lelaki memakai kemeja berwarna biru gelap itu. Siapa lelaki di hadapannya ini? Cukup berani menceroboh masuk ke dalam pejabatnya tanpa izin.

Happy reading! Tengahari or petang nanti orked update bab 1 pulak ya. Boleh follow orked untuk dapatkan notification tiap kali orked update. Thank you!

Share this novel

meskikah
2022-01-30 14:15:04 

boss yg bagus ialah yg hands-on. to be hands-on, perlu mula dari bawah. sanggup?

Asmaj Anna
2021-09-07 14:48:37 

Klu dpt online book dear sbb saya tiada masa cari buka, tambahan pula keadaan pendemik yang memang nggak mengizinkan

Nur Shida
2021-08-31 19:18:42 

katanya percuma baca disini kenapa perlu topup coin sila bagi penjelasan


NovelPlus Premium

The best ads free experience