BAB 31
Keesokan harinya Puan Aisyah dan Encik Khairul berangkat pulang ke rumah mereka yang berada di Melaka. Kerana tuntutan kerja Encik Khairul tidak dapat berlama di Villa Taylor. Manakala aku dan Harry juga bersiap-siap untuk meninggalkan rumah itu selepas waktu makan tenghari.Aku terasa berat hati pula apabila ingin meninggalkan Villa Taylor. Baru sahaja datang ke sini, dan masih tidak puas melepaskan rindu kini kami sudah bertolak pulang. Hanna yang berat hati memeluk aku dengan erat. Aku berjanji akan datang lagi ke sini barulah Hanna melepaskan aku pergi.
Ketika dalam perjalanan Harry tidak pedulikan aku di sebelahnya. Dia memang tidak suka bercakap apabila masuk ke dalam kenderaan. Aku pun hairan denga sikapnya itu walaupun aku sepatutnya bersyukur!
Aku cuba memikirkan apakah lagi yang lelaki itu akan memaksa aku selepas ini. Sampai bila? Kenapa dia tidak mahu ke pangkuan Sallyna, bukankah dia ada perasaan kepada wanita itu? Aku semakin tidak memahami lelaki ini, benarlah dia orang yang paling sukar untuk difahami. Malah, kawan-kawannya juga tidak faham benar dengan sikapnya. Kenapa hidupnya perlu menjadi sukar seperti ini?
Aku pernah berjanji dahulu yang aku akan menjadi kawannya yang baik, aku fikir dengan sikapnya seperti itu dia tiada kawan untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Kalau boleh memang aku ingin salami hatinya, rasai segala keresahannya. Tetapi itu tidak mungkin... aku sepatutnya menjauhi lelaki ini, mengelak untuk mencintai atau dicintai. Kerana hubungan ini pasti tiada kesudahan yang baik. Benar kata Abang Is, aku sendiri pun tidak akan maafkan diriku sendiri jika Harry membelakangkan keluarganya demi aku. Walaupun hakikatnya... aku sangat berharap untuk bersamanya.
Tidak aku sedari air mataku gugur dengan perlahan membasahi pipi. Mencintai tidak semestinya memiliki. Aku perlu buat sesuatu untuk selesaikan semua ini. Aku tidak sanggup lagi, tidak sanggup bermain dengan api. Aku menoleh melihat dia di sisi, matanya terpejam seperti tertidur. Perlahan-lahan tanganku menghampiri wajahnya. Entah dari mana kekuatan itu datang aku menyentuh pipinya, lama. Aku tersenyum, pipinya hangat. Dia tersengguk dan aku terus mengalih tanganku dari pipinya. Berdebar jantungku takut jika perbuatanku tadi tertangkap. Sumpah malu seumur hidup! Badannya tiba-tiba condong ke arahku, kepalanya terlentok di bahuku. Aku hampir tidak boleh bernafas kerana terlalu gementar.
Wangi pula rambutnya, aku tidak menolak tubuhnya yang sedang lena dengan nyenyak itu. Macam ni ke pasangan yang sedang bercinta? Aku tiba-tiba rasakan satu perasaan yang bahagia menyelinap masuk di sudut hati. Seperti di atas kereta api dulu, beginilah keadaan kami.
Harry diam tidak bergerak. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja memeluk gadis itu. Dia terlalu rindu sebenarnya...
**********
“MALAM esok aku akan jemput kau, kalau boleh pakai baju yang formal sikit. Aku tak nak dengar kau ada hal atau apa, faham?”
“Ya,” aku malas mahu bertekak terus memusingkan badan untuk masuk ke dalam rumah sewaku.
“Kau ada pakaian yang sesuai ke tak?” Soal Harry lagi.
Tanpa menoleh melihatnya aku menjawab. “Ya,”
“Baguslah.” Harry seperti tidak puas hati dengan sikapku seperti ini. Mungkin dia lebih suka mendengar aku membantah. Huh!
Aku terus masuk ke dalam rumah. Kunci pintu dan dan berjalan ke sofa untuk merebahkan badanku yang terasa agak letih. Tiada siapa di rumah, mungkin Lin dan Julia pergi kelas. Tiba-tiba aku merindui suasana belajar di universiti. Aku pernah belajar di UiTM selama lima tahun lebih. Tiga tahun diploma dan dua tahun setengah aku membuat degree pula. Cita-cita untuk sambung master itu memang ada memandangkan pointer degree aku boleh tahan juga. Kalaulah ada peluang memang aku akan rebut dan lari dari semua masalah di sini!
Telefon bimbitku berbunyi dan aku malas mahu menjawabnya. Aku perlukan ketenangan dan tidak mahu ada gangguan. Tetapi deringan itu berbunyi lagi dan aku terpaksa mengangkat kerana bimbang pula jika itu adalah panggilan penting. Ah, panggilan dari Senior Ray! Mata aku tertacap di skrin telefon.
“Hello, er... senior.” Tergagap pula aku kali ini kerana agak lama dia tidak menghubungi aku.
“Aya... apa khabar, lama tak dengar cerita.” Tanya lelaki itu bersahaja.
“Alhamdulillah, baik aje.”
Ray berjeda sebentar. Masing-masing tidak bersuara. Aku mula resah.
“Emm... esok malam Aya free tak?”
Hah! Kenapa dia tanya macam tu pula, macam mana aku nak jawab ni? Takkanlah nak beritahu aku akan keluar dengan Harry?
“Ke... kenapa senior?”
“Tak adalah... saya nak ajak Aya pergi ke suatu tempat.”
“Minta maaf, saya ada hal malam esok. Macam mana ni... saya minta maaf senior.” Kataku dengan bersungguh-sungguh, bimbang jika Ray kecewa pula.
“Nak pergi mana?” Ray seperti dapat menghidu sesuatu.
“Tak... tak tahu, tapi kawan saya ada ajak keluar.” Aku terpaksa berdalih.
“Tak boleh postpone hari lain ke? Saya nak ajak Aya ke satu majlis yang penting ni.”
“Rasanya... rasanya tak boleh.” Aku menarik nafas. ‘kalau tidak saya akan mati senior!’ sambungku dalam hati.
“Nampaknya kawan awak tu lagi penting dari saya...” Suara lelaki itu bertukar sedikit kecewa.
“Bukan macam tu senior...” aku semakin rasa bersalah.
“Tak mengapalah. Dia yang ajak dulu, jadi Aya tak boleh mungkir janji. Take care, saya letak dulu.”
“Ah...” belum sempat aku membalasnya dia sudah memutuskan talian. “Senior Ray dah terasa hati ke? Arrggghhh! Susahlah macam ni, semua orang aku kena jaga hati!”
Tiba-tiba telefonku berdering lagi dan aku mengagak pasti Senior Ray. Tetapi jangkaanku meleset apabila nama Karl pula di talian.
“Hello, Encik Karl.” Perlahan saja suaraku menyapanya.
“Minta maaf ganggu Aya petang-petang ni,”
“Tak mengapa Encik Karl. Ada apa call saya ni?” aku bangun dari pembaringan dan duduk dengan tegak.
“Malam esok Aya free tak?”
Aku terus mengurut dada. ‘Ya Allah, mereka ni tak ada soalan lain ke?’ aku mengeluh perlahan.
“Kenapa Aya?” Soal Karl bimbang.
“Er... tak ada apa-apa. Malam esok saya ada hal...” Luahku lemah.
“Penting ke? Sebab saya nak ajak Aya ke satu tempat ni, bukan selalu dapat peluang ni.”
Lemah seluruh badanku ketika ini. “Pergi ke mana Encik Karl?”
“Saya ingat nak surprise tapi terpaksa la beritahu jugak. Ke Dewan Filharmonik Petronas, KLCC. Persembahan pertama Sallyna di Malaysia, semua orang tak nak lepaskan peluang ni. Memandangkan Aya ni kenalan adik saya tu, saya nak la Aya pergi jugak. Lagipun saya tak ada teman malam tu.” Terang Karl panjang lebar.
Aku semakin terperanjat mendengarnya. Apakah Ray dan Harry juga berniat untuk membawa aku ke sana? Habislah kalau memang betul macam tu. Aduhh, kacau!
“Sa... saya minta maaf Encik Karl. Saya dah ada janji dengan kawan saya.” Ujarku dengan berdebar. Aku risau jika Harry juga ingin membawa aku ke sana dan kami semua bertembung. Ke mana aku nak menyorok?
“Emm... saya rasa kecewa juga. Terpaksa la ajak orang lain...” Luah Karl dengan nada kecewanya.
“Sa... saya minta maaf.”
“Bukan salah awak la Aya...” Karl ketawa kecil di hujung talian. Mendengar suaranya yang ceria kembali sedikit mengurangkan rasa bersalahku.
Betul ke Harry akan bawa aku ke sana? Biar betul... aku macam tak percaya! Aku harus mencari akal untuk mengelak mengikutnya ke sana. Aku tidak sanggup berhadapan dengan Karl dan Senior Ray!
**********
TEPAT pada masanya Harry betul-betul datang menjemputku, aku masih belum bersiap kerana aku tidak mahu mengikutnya. Biarlah langit runtuh sekalipun aku tidak mahu! Mujurlah juga Julia dan Lin tidak ada di rumah kerana keluar membeli makanan kalau tidak pasti mereka akan histeria lagi apabila melihat wajah si Harry di depan pintu rumah!
“Kau dah gila ke?! Kenapa tak siap lagi?” Begitu luas mata Harry memandang aku dari atas ke bawah dan aku rasakan telinganya juga sudah berasap.
“Ataupun... ini je baju yang kau ada untuk keluar dengan aku?” Sambungnya lagi. Aku keluar bertemu dia dengan hanya memakai seluar dan baju tidur berlengan panjang. Cukup untuk memberitahunya yang aku tidak mahu ke mana-mana malam ini. Tetapi biji mataku hampir tersembul apabila melihat kereta di belakangnya. Namun, aku sempat mengawal reaksiku untuk tidak kelihatan terlalu teruja. Cita rasanya terhadap kereta memang terlalu tinggi. Bugatti Veryon berwarna biru campur hitam itu sememangnya antara kereta terlaju di dunia. Dan juga termahal...
“Minta maaf... saya tak berapa sihat. Jadi...arrgghh!” Aku terus menjerit apabila tanganku ditarik kasar oleh lelaki itu menuju ke dalam keretanya yang diparkir di depan rumah sewaku. Aku terpinga-pinga dan cuba untuk melepaskan diri tetapi badanku ditolak masuk dengan kasar.
“Apa awak buat ni!!” Aku hanya mampu menjerit apabila pintu di sebelahku ditutup dengan kuat dan Harry berjalan pantas untuk masuk ke tempat pemandu. Kali ini dia drive sendiri nampaknya! Tiada pemandu peribadi atau pembantunya.
“Seumur hidup, aku tak pernah jumpa perempuan sedegil kau lembap!” Harry menjerit sambil memandangku dengan wajahnya yang benar-benar marah.
Aku terdiam dan terkunci mulutku apabila mendengar kata-katanya yang dilontarkan dengan nada yang begitu kuat itu. Tersentap sungguh aku kali ini.
“Kenapa... kenapa setiap kali aku minta kau buat sesuatu pasti kau akan membantah sehingga aku terpaksa buat begini kepada kau!” Marahnya lagi.
Kali ini hatiku disiat-siat pula. Aduh... pedihnya untuk menjawab soalan awak Harry. Aku hanya mampu menunduk, tidak berani membalas pandangannya apatah lagi kata-katanya.
Melihat reaksiku yang hanya membisu Harry terus menghidupkan enjin dan memandu keluar dari situ. Aku baru perasan yang aku sedang memakai baju tidur dan dia ingin membawaku ke mana?!
“Awak nak pergi mana? Saya pakai macam ni...” aku menjadi gelisah dan terus melupakan perbualan kami sebentar tadi.
Harry pula yang tidak mahu bersuara, beberapa kali aku bertanya tetapi dia tetap tidak mahu menjawab dan hanya terus membisu. Aku akhirnya mengalah dan turut diam. Aku hanya memandang ke luar sehinggalah kereta itu berhenti.
“Saya tak nak! Saya tak nak!!!” Aku cuba melepaskan pegangan tangannya yang kuat itu. Harry menarikku masuk ke dalam sebuah butik yang kelihatan sangat mewah.
“Kalau kau cakap lagi aku kerat lidah kau tu!” Harry kelihatan sungguh bengang kali ini dia menolakku masuk dengan kasar sehingga pekerja di butik itu turut terkejut dengan kehadiran kami. Apatah lagi melihat penampilanku ini.
“Ehh...er... selamat datang Encik Hairy Fattah!” Dua orang pekerja itu sungguh terkejut melihat Harry di depan mata mereka. Pekerja-pekerja yang lain turut datang dan semuanya terlopong meilihat kami. Aku cuba menyembunyikan diri di belakang tubuhnya yang sasa itu kerana tahap maluku sudah mencapai darjah yang lebih dari maksimum!
“Bo... boleh kami membantu?” Tanya salah seorang pekerja yang paling senior di antara mereka itu.
“Saya nak jumpa manager butik ni.” Jawab Harry dengan serius.
“Baiklah, sila tunggu sebentar.” Pekerja senior itu terus mengarahkan pekerja yang lebih muda darinya untuk masuk memanggil ketua mereka di dalam pejabat.
Aku sempat menoleh ke kiri dan kanan dan kelihatan pelanggan lain melihat kami dengan pelik. Dan ada yang cuba untuk mencuri mengambil gambar tetapi dihalang oleh pihak security di butik itu. Memandangkan butik ini hanya dikunjungi oleh orang kelas atasan jadi kuranglah mereka yang fanatik terhadap bahan sensasi. Huh! Jaguh renang negara bersama perempuan memakai baju tidur cartoon Mickey Mouse! Errkk!
“Ya, ada apa yang saya boleh bantu?” Pengurus butik itu muncul bersama pekerja muda itu. Dia kelihatan gembira melihat Harry yang kelihatan segak bergaya dengan sutnya yang berwarna hitam.
“Perempuan ni...” Harry menolak aku ke depannya. “Tolong tukarkan dia dari kepala sampai ke kaki supaya sesuai untuk menghadiri majlis. Saya sangat berharap kepada kamu semua.”
“Apa?!” Aku masih tidak puas hati dengan sikap diktatornya yang semakin melampau itu! Ingat aku anak patung ke apa?!
“Oh...”pengurus itu tersenyum sahaja. “Jangan risau tuan muda, serahkan saja kepada kami.”
“Saya tahu, saya pasti akan membalas jasa kalian dengan setimpal kerana perlu mengubah seorang badut macam ni!” Harry sempat menjeling dengan sinis kepadaku. Sakitnya hati!
“Tuan muda sila tunggu, kami pasti tak menghampakan tuan muda.” Pengurus itu bijak mengambil hati pelanggan seperti Harry. Aku di bawa masuk ke dalam butik itu yang lengkap dengan salon, spa dan juga koleksi pakaian yang sangat cantik bergaya.
Mula-mula mereka mengukur badanku untuk mengetahui saiz baju yang sesuai untukku. Kemudian aku disolek dan rambutku juga diubah suai sehingga aku sendiri tidak tahu style apa. Solekan sederhana dan aku suka juga dengan mainan warna yang lembut itu.
“Wajah cik sangat natural, jadi tak boleh solek terlalu over nanti akan hilang kecantikan semula jadi itu. Kulit juga bersih dan sekata, Encik Hairy sangat bertuah!” Puji pekerja butik itu yang bertangungjawab untuk menyolek wajahku. Aku hanya tersenyum sahaja tanpa perlu menjawab apa-apa. Kembang? Emm... ada la juga!
Gaun malam berwarna putih melekat di badanku dengan begitu padan sekali. Mereka kelihatan sangat berpuas hati dengan hasil kerja mereka mengubahku. Ya, seumur hidup aku tidak pernah bergaya seperti ini. Aku melihat di cermin panjang, sungguh aku terkejut dengan apa yang aku lihat...
“Tuan muda, silakan...” Pengurus itu mempelawa Harry masuk ke dalam bilik persalinan yang luas itu. Aku berdiri di atas pentas kecil yang berada di tengah-tengah ruang bersama cermin besar. Perlahan-lahan aku memusingkan badan berhadapan dengan Harry.
Harry seperti tergamam tetapi dia berjaya mengawal reaksi wajahnya. Aku tersenyum kepadanya, entah kenapa aku senyum aku sendiri tidak pasti. Seperti bakal suami melihat bakal isterinya menggayakan gaun pengantin pula! Ah... mudahnya hatiku berbunga walaupun sebentar tadi membara!
“Good job.” Kata Harry kepada pengurus itu sehingga wanita itu turut tersenyum puas.
Kami keluar dari butik itu untuk kembali kepada kereta mewah Harry yang diparkir agak jauh dari butik itu. Aku berjalan dengan agak sukar kerana kain gaun itu agak ketat untukku melangkah luas dan kasut tumit 4 inci itu sungguh menyiksakan aku. Harry berjalan di depan tanpa mempedulikan aku. Aku berhenti berjalan dan mencekak pinggang.
“Awak! Saya tak boleh berjalan lagi macam ni!” Marahku kerana dia berjalan agak laju.
Tanpa menoleh dia menjawabku. “Aku tak suruh kau kejar aku pun.”
“Hah!” Aku berdengus kuat. Arggghh! Siksanya... aku cuba melangkah lebih luas kerana aku sendiri tidak suka berjalan lambat seperti kura-kura. Silap haribulan aku koyak kain ini sampai jadi skirt baru puas hati!
“Lembap betul!” Harry merengus sambil berpatah balik kepadaku. Melihat wajah Harry yang tegang itu sudah membuat perutku rasa senak.
“Tak apa, tak apa saya boleh jalan!” Aku cuba mengelak dari sesuatu yang buruk berlaku. Aku tidak mahu dia mengheret aku seperti mula-mula datang ke butik ini tadi, boleh tersembam ke jalan jadinya dalam keadaan aku berkasut tumit tinggi dan kainku yang ketat ini. Buatnya hidungku patah? Memang patah tengkok la mamat ini nanti aku kerjakan. Jangan pandang rendah dengan teknik Judo aku!
“Boleh tak kau diam!” Harry mendekati aku. Kali ini aku diam dan berhenti melangkah.
“Ahh...” aku hampir menjerit apabila Harry dengan selamba mendukung tubuhku. Kedua belah tangan sasanya mengangkat aku dan aku tidak mampu melawan. Entah kenapa... aku rasa begitu tersentak kali ini. Tangnku memaut bahunya, Harry tidak memandangku walau sesaat dia hanya memandang ke hadapan sambil mengatur langkah. Aku merenungnya dengan tidak percaya.
Harry menurunkan aku apabila tiba di keretanya, Bugatti Veryon. Dia membukakan aku pintu dan aku tanpa paksaan terus masuk dan duduk diam-diam di dalam kereta mewah itu. Sepanjang perjalanan kami tidak banyak bercakap, Harry lebih banyak mengelamun dan aku sendiri tidak dapat membaca fikirannya.
Apa yang aku risaukan benar-benar berlaku. Harry memandu menuju ke KLCC. Aku ternganga dengan luas.
“Awak! Awak... saya tak boleh datang sini!” Aku menggelebah teruk ketika itu.
“Maaf, aku tak terima alasan kau.”
“Sa... saya tak boleh. Senior Ray dan Karl abang Sallyna ada di sini. Saya kenal dengan Karl... saya tak boleh muncul di sini dengan awak!” Aku menjelaskan kepadanya mengapa aku tidak mahu masuk ke situ.
“Kau diam dan ikut aku masuk aje.” Tegas Harry tanpa memperdulikan penjelasan aku.
Aku sungguh tidak tahan dengan sikapnya itu. Kenapa nak ajak aku datang ke sini? Perlukah?!
Ketika kami berjalan untuk memasuki Dewan Firhalmonic aku sentiasa memandang kiri dan kanan. Aku bimbang jika bertemu dengan Karl mahupun Ray. Tetapi ketika kami masuk, persembahan Sallyna sudah pun bermula dan semua orang berada di tempat masing-masing. Cuma penyambut tetamu yang berada di pintu masuk. Harry berjalan di hadapanku sehingga ke penghujung tempat duduk bahagian paling belakang. Dia duduk di situ dan aku mengambil tempat di sebelahnya.
Oleh kerana para penonton yang ramai aku tidak dapat mencari Karl dan Ray. Dan yang paling penting mereka tidak akan menyedari kehadiran aku di sini. Aku sangat berharap!
Tepukan gemuruh bergema dalam dewan yang sangat gah itu apabila Sallyna menamatkan satu lagunya. Mata aku akhirnya tertumpu kepada Sallyna yang bersedia untuk memainkan lagu seterusnya. Sallyna kelihatan sangat anggun di atas pentas dengan gaun berwarna putih. Rambutnya menggurai dan dia melarikan jarinya di atas piano dengan lembut dan mempersona. Semua orang kagum melihatnya. Aku menoleh melihat Harry di sebelah, lelaki itu memberikan sepenuh tumpuannya ke arah pentas. Sama ada kepada Sallyna atau lagu yang dimainkan itu aku sendiri tidak pasti.
***********
Share this novel