BAB 2

Romance Completed 10273

“Jom lah gerak!” Suhana dan Izziyani bersuara serentak. Kami mulai bangun, mengemaskan meja. Sebelum beredar, kami saling bersalaman dan berpelukan. Jelas kelihatan betapa akrabnya persahabatan antara kami.

Aku bergerak seiringan dengan Aina keluar dari KFC. Kami berjalan ramai-ramai menuju ke arah parkir kereta yang disediakan. Sempat lagi menyambung perbualan yang tergendala tadi. Aina menarik tanganku lembut, menjauhi kelompok sahabat-sahabat lain. Aku disapa kehairanan dengan tindakan gadis itu namun aku diamkan sahaja.

“Kau dengan Sahli tu nampak macam rapat aje. Ada apa-apa ke? Takkan tak nak bagitau aku kot.”

Hampir tersedak aku mendengar pertanyaan Aina. Darah panas menyerbu ke wajah. Aina ni memang nak kena cepuk dengan aku. Nasib baiklah kami agak jauh tertinggal di belakang. Jika kawan-kawan lain dengar, mati aku! Malu setahun!

“Eh, mana ada. Aku biasa-biasa ajelah dengan dia. Macam kau dengan akulah.” Jawabku kalut. Boleh pulak minah ni tanya hal peribadi macam ni. Huhu!

“Alah, sejak bila kau pandai nak berahsia dengan aku ni Fina! Aku tahu kau tak pernah lupakan Si Sahli tu kan? First love–lah katakan…” Aina meleretkan suaranya. Dia tersenyum sinis melihat kekalutanku. Bibir kuketap kuat. Timbul rasa kesal kerana pernah berkongsi perasaanku dulu dengan gadis tinggi lampai di sebelahku ini. Buat malu diri sendiri sahaja!

Mataku tertancap pada Sahli yang sedang bergurau senda dengan Salmi dan Dhira di hadapan. Pemuda itu tersenyum riang. Denyutan jantungku mulai laju. Ah, jantungku ini memang mempunyai masalah. Suka buat hal dengan tiba-tiba lebih-lebih lagi ketika aku berada berhampiran dengan Sahli. Sahli, seorang sahabat lelaki yang paling akrab denganku berbanding sahabat-sahabat lelaki yang lain. Kami sudah berkawan semenjak dia dipindahkan ke dalam kelasku ketika di tingkatan satu lagi. Oleh sebab terlalu rapat, perasaanku padanya mulai berubah. Tumbuh rasa kasih melebihi sayang kepada sahabat di taman hati. Tetapi tidak pernah aku khabarkan padanya. Hanya Aina dan Dhira sahaja yang mengetahui tentang perasaanku ini. Aku tidak mahu persahabatan antara aku dengan Sahli musnah kerana cinta! Aku tahu, dia hanya menganggap aku sebagai sahabat seperti mana dia dengan kawan-kawan perempuan yang lain.

“Kau masih sayang dia ke?” sekali lagi Aina melemparkan soalan membunuh. Malas mahu menjawab, aku sekadar menggedikkan bahu. Sengaja mahu selindungkan resah di hati. Ya, aku memang masih menyimpan perasaan terhadap Sahli. Entah kenapa, sukar benar untuk aku membuang perasaan kasih yang masih mekar di nubari. Padahal, ramai lelaki yang jauh lebih kacak dan tampan yang kutemui di universiti, tetapi tiada yang mampu menggugat kasihku pada Sahli. Bagaimana aku boleh melupakannya jika dia rajin berhubung denganku? Jika tidak di Fac, dia akan menghubungiku melalui telefon bimbit. Paling tidak pun, dia akan mengirimkan pesanan ringkas.

Dia menghubungiku sebagai seorang sahabat, kawannya untuk berkongsi cerita. Tetapi tindakannya itu telah membuai perasaanku. Tindakanya telah membuahkan rasa cinta di dalam hati tanpa dia sedari. Ah, malunya jika dia mengetahui apa yang aku pendamkan ini! Pasti dia akan menjauhkan diri. Sudah tentu dia tidak dapat menerima rasa hatiku. Aku hanya sahabatnya! Bodohnya aku!

“Aku, aku!” Lamunanku berkecai mendengar suara Aina tiba-tiba. Diriku sedikit kebingungan. Tanpa kusedari, aku sudah sampai di kawasan parkir kereta. Kulihat mereka sudah mula menaikki kenderaan masing-masing. Perodua Kancil yang dipandu oleh Salmi dipenuhkan oleh Dhira, Fatihah, Basyirah dan Diana manakala Wana, Manira, Mila dan Farhah menumpang Kia Sephia Yusrini. Perodua Myvi putih milik Fuad pula diisi oleh Azlan, Dani dan Muaz. Aku membalas lambaian mereka apabila kenderaan mereka mula bergerak. Senyuman tak lekang dari bibir. Ah, entah bila aku berpeluang untuk bertemu dengan mereka lagi.

“Bawak kereta elok-elok. Kau jangan nak buat jalan raya tu macam kat litar Sepang pulak.” Sahli berpesan pada Suzana sebelum merapatkan pintu kereta gadis itu. Izziyani, Aina, Anita dan Atiya melambai padaku dan…eh, kejap! Proton Saga yang dipandu oleh Suzana kupandang dengan rasa cuak. Penuh muatan! Habis, aku ni macam mana? Aku nak balik dengan siapa?! Oh, tidak! Jangan tinggalkan aku kat sini!

“Eh, aku nak balik jugak! Tunggulah aku!” sedikit tinggi suaraku menghalang Suzana memulakan pemanduan. Cepat-cepat aku menghampiri kereta Suzana. Takut kena tinggal. Sudahlah jauh dari rumahku. Hendak naik teksi…mana ada teksi malam-malam buta macam ni! Kalau ada pun, belum tentu selamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience