“Jom kita ke jalan raya,” kata-kata Encik Nazhan itu mengejutkan aku yang sedang berkhayal.
Alamak! Perasaan takut kembali kembali menyerang diriku. Sudahlah di jalan raya itu banyak kenderaan yang laju-laju, haii… bolehkah aku boleh memandu di sana? Aku masih mahu berlatih di dalam litar pusat latihan memandu ini sahaja.
“Encik Nazhan, saya takutlah hendak memandu di jalan raya. Boleh tak kalau saya minta tangguh,” pintaku dengan suara yang hampir menggeletar.
Encik Nazhan memandang sinis ke arah wajahku yang sudah pucat seperti tiada darah.
“Awak nak tangguh sampai bila? Sampai tahun hadapan ke?” Soal Encik Nazhan kembali. Kedengarannya dia dia sedang memerli permintaan aku sebentar tadi. Boleh tahan pedas juga ayat yang keluar dari mulutnya itu.
“Eh, tak ada lah sampai tahun hadapan, Encik Nazhan. Tapi tangguhkan sekejap sahaja, dalam dua tiga hari,” balas aku separuh membela diri.
“Hanya kerana awak takut, awak hendak tangguhkan? Memang di dalam memandu kenderaan, kita tidak boleh ada perasaan takut yang cuma akan membuatkan kita menjadi panik. Tetapi cuba awak fikir, apabila kita melayan perasaan takut itu, kita akan menjadi lebih takut lagi. Saya tidak rasa sikap bertangguh itu akan mampu membuang perasaan takut. Sebaliknya sikap bertangguh itu hanya akan membuatkan kita menjadi malas. Inilah punca kepada kebanyakan perancangan yang terhenti di pertengahan jalan. Awak mahu ke usaha mendapatkan lesen awak ini terhenti? Hanya dengan tidak bertangguh sahajalah awak akan mampu melawan perasan takut itu,” luah Encik Nazhan.
Hmmm… panjang sungguh kata-kata Encik Nazhan itu. Aku sudah terasa seperti sedang mendengar ceramah motivasi pula. Siapa suruh aku meminta tangguh? Jika tidak, sudah pasti Encik Nazhan tidak akan berkata sepanjang itu. Tetapi, benar juga apa yang telah Encik Nazhan katakan. Sampai bila aku mahu bertangguh? Belum tentu perasaan takut aku ini akan hilang selepas dua atau tiga hari. Entah-entah makin kuat pula perasaan itu nanti. Hisyy, tidak boleh jadi!
Share this novel