BB - BAB 5

Drama Completed 308942

USAI menunaikan solat subuh, Qaireena berlalu ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi.  Seminggu pemergian ibunya dia langsung tidak menghadiri kuliah. Banyak urusan yang berkaitan dengan ibunya perlu diselesaikan. 

Fikirannya juga semakin kusut apabila doktor yang memantau keadaan kesihatan Qaisara mencadangkan agar Qaisara segera menjalankan rawatan kemoterapi.  Cadangan itu sudah pun dikemukakan oleh doktor kepada Puan Qamariyah sebelum ini, tetapi arwah ibunya itu meminta masa untuk berfikir dan akan memberikan keputusan setelah pulang dari Sarawak.

Namun kini keputusan itu harus dibuat olehnya sendiri setelah ibunya itu pergi meninggal mereka.  Apa yang menjadi buah fikiran Qaireena adalah kos rawatan kemoterapi tersebut.  Buat sementara waktu ini dia boleh menggunakan duit simpanan yang ditinggalkan oleh arwah Puan Qamariyah tetapi dia juga perlu memikirkan bagaimana untuk menambah sumber kewangan mereka kerana dia pasti wang yang sedia ada itu tidak akan mencukupi untuk menampung kehidupan mereka dua beradik hari demi hari.

"Sara, Kak Reen dah siapkan sarapan dekat dapur, jom kita sarapan sama.  Lepas ni Kak Reen nak pergi universiti pula, Kak Reen nak ambil barang-barang dekat asrama". Kata Qaireena sambil duduk di birai katil Qaisara.

"Sara nak ikut Kak Reen boleh?".  Sambil memandang wajah kakaknya itu.

"Sara tak letih?". Soal Qaireena padanya.

Qaisara geleng kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan Qaireena itu.

"Baiklah, lepas sarapan nanti Sara bersiap ya". Kata Qaireena dengan senyuman sambil tangannya naik menyentuh pipi adiknya itu.

Ketika mereka menikmati sarapan berdua, Puan Azarina yang baru sahaja keluar dari bilik tidur terus menuju ke ruang makan.

"Eh, Reen dah buat sarapan? Reen masak apa?". Soal Puan Azarina sambil melihat ke atas meja makan.

"Nasi goreng dan telur mata je".  Jawab Qaireena tanpa memandang wajah ibu saudaranya itu.

Selama seminggu wanita itu bersama suaminya tinggal di rumah mereka, baru sekali dua ibu saudaranya itu memasak untuk mereka.  Jika bukan Qaireena yang memasak dan menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, pasti mereka semua tidak akan makan.

Itu sahaja sudah cukup membuatkan dia hilang kepercayaan untuk meninggalkan Qaisara bersama ibu saudaranya itu sekiranya dia meneruskan pembelajarannya dan kembali tinggal di asrama. Qaireena yakin, pasti makan dan minum adiknya itu nanti tidak akan terurus.

"Emm...Nampak sedap je nasi yang Reen goreng ni".  Kata Puan Azarina sambil menyenduk nasi goreng itu ke dalam pinggannya.

Qaireena hanya diam sambil meneruskan suapan ke dalam mulutnya tanpa mempedulikan pujian wanita itu.

~~~

Qaisara duduk di atas katil sambil membantu Qaireena melipat pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg.  Manakala Qaireena pula sibuk memasukkan buku-buku dan alat tulisnya ke dalam kotak.  Hari itu dia akan keluar daripada asrama kerana dia sudahpun mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian kepada Qaisara.

"Mesti lepas ni aku rindu dekat kau".  Kata Adira ketika dia berpelukan dengan Qaireena.

"Alaa..kalau kau ada masa, bila-bila pun kita boleh berjumpa.  Belajar baik-baik tau, jangan selalu lewat hantar assignment lagi". Kata Qaireena sambil tertawa kecil.  Dia cuba menyembunyikan kesedihan dihati kerana terpaksa berhenti belajar.

Adira turut tertawa apabila mendengar pesanan sahabatnya itu. 

Qaireena melangkah menuju ke kawasan tempat dia meletakkan kereta.  Dilihatnya Nasrul sudah pun berdiri menunggunya di situ. 

"Boleh kita borak sekejap?".  Soal Nasrul sebaik sahaja Qaireena berada di hadapannya.

"Boleh, tapi dekat sini jelah, sebab Sara pun dah tertidur dekat dalam kereta tu, penat agaknya tolong Reen angkat barang tadi".  Jawab Qaireena sambil mengukir senyuman.

Nasrul menganggukkan kepalanya tanda setuju selepas dia menoleh sekilas ke dalam kereta dan melihat Qaisara sedang tertidur.

"Reen dah fikir masak-masak ke Reen berhenti belajar ni?". Tanya Nasrul sambil memandang wajah Qaireena.  Sedih hatinya apabila mengetahui yang wanita itu akan berhenti belajar.

Qaireena menarik nafas dalam sebelum menjawab pertanyaan lelaki di hadapannya itu.

"Reen dah tak ada pilihan lain lagi Nas.  Kalau ikutkan kemahuan Reen,  memang Reen nak sangat habiskan belajar dan dapatkan segulung ijazah yang dah lama Reen impikan, tapi mungkin nasib tak menyebelahi, dan Reen terpaksa akur". Jawab Qaireena.

"Apa perancangan Reen selepas ni?".  Matanya masih melekat ke wajah wanita yang sudah lama mencuri hatinya itu.

"Reen perlu cari kerja untuk menyara hidup kami dua beradik dan menampung kos rawatan kemoterapi Sara.  Nas pun tahukan, kos untuk rawatan tu bukan murah.  Reen tak boleh berharap pada duit simpanan yang ibu Reen tinggalkan tu je. Semuanya Reen kena fikirkan termasuklah perbelanjaan harian kami, bil api dan bil air". Kata Qaireena sambil membuang pandangannya ke tengah padang yang  berada di hadapannya.

Mendengarkan itu, Nasrul terdiam seketika, memikirkan betapa beratnya tanggungjawab yang harus dipikul oleh Qaireena seorang diri dalam usianya yang baru mencecah dua puluh tahun.  Sungguh dia benar-benar simpati pada wanita itu.

"Reen, Nas doakan semoga segala urusan Reen dipermudahkan dan Sara juga diberikan kesembuhan.  Nas harap, Reen kuat hadapi ujian ni dan Nas nak Reen tahu yang Nas akan sentiasa ada bila-bila masa je Reen perlukan pertolongan daripada Nas". Ujar Nasrul sambil memandang wajah Qaireena.

"Terima kasih Nas". Ucap Qaireena dengan senyuman.  Dia turut memandang Nasrul yang sedang berdiri di sebelahnya.

"Reen jaga kesihatan dan jangan banyak sangat berfikir, In Shaa Allah bila Nas tak sibuk dengan assignment dan kuliah Nas datang lawat Reen dan Sara ya". Kata Nasrul lagi bersama senyuman di bibir. Qaireena senyum dan menganggukkan kepalanya.

••••••••••

Qaireena bangun dan duduk di birai katil.  Dia melirik jam pada telefon bimbitnya sebelum melangkah ke bilik mandi untuk mengambil wudhuk.

Selesai menunaikan solat sunat taubat dan tahajud dia menunaikan pula solat hajat.  Itulah yang dilakukannya semenjak kebelakangan ini apabila dia tidak dapat melelapkan matanya setelah terbangun dari tidur. 

Tangannya ditadahkan dan doa dipohon kepada yang Maha Esa.

"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, aku memohon kepadaMu, Kau ampunkanlah segala dosa kedua ibu bapaku, Kau perluaskanlah kubur mereka, Kau terangilah kubur mereka dan Kau selamatkanlah mereka dari seksaan kubur serta Kau letakkanlah mereka dikalangan orang-orang yang beriman.  Aku memohon kepadaMu ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku, Kau kuatkanlah keimanan dan ketaqwaanku, Kau tabahkanlah hatiku untuk melalui setiap ujian dan dugaan yang Kau berikan padaku, sesungguhnya aku adalah manusia yang lemah. Ya Allah, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, aku memohon kepadaMu, Kau permudahkanlah segala urusan rawatan adikku Qaisara Azalea, dan Kau berikanlah kesembuhan kepadanya.  Hanya padaMu sajalah tempatku bergantung harap dan meminta pertolongan kerana Engkaulah yang Maha Berkuasa atas segala yang Engkau ciptakan di langit dan bumi.  Aamiin ya Rabbalalamiin".    Airmata Qaireena mengalir membasahi pipinya.

Kini hanya itu sahajalah senjata yang ada untuknya.  Berdoa dan meletakkan sepenuh harapannya kepada Allah s.w.t.

Gambar Puan Qamariyah bersamanya dan Qaisara sewaktu bercuti di Pahang yang menjadi wallpaper telefon bimbitnya direnung  seketika.

"Ibu, maafkan Reen sebab tak dengar kata-kata ibu ya.  Reen nak tengok Sara sembuh dan menjalani kehidupan seperti orang lain, bersekolah dan mencapai cita-citanya".  Airmata Qaireena mengalir semakin deras saat dia mengucapkan kata-kata itu.

"Hari ni, Reen akan jalani ujian untuk mengenalpasti sama ada tulang sum sum Reen sesuai untuk Sara atau pun tidak.  Sekiranya nasib menyebelahi Sara dan tulang sum sum Reen sesuai untuk dia, kami akan jalani pemindahan tulang sum sum dalam masa yang terdekat ni bila Reen dah berjaya mengumpulkan wang untuk menampung kos pembedahan tu nanti".  Bicara Qaireena seolah-olah ibunya itu berada di depannya.  Airmata yang mengalir di pipinya, dikesat dengan tapak tangan.

Ya, dia nekad untuk mendermakan tulang sum sum nya kepada Qaisara agar adiknya itu mempunyai peluang untuk sembuh sepenuhnya.   Qaireena tidak mahu lagi terus menanti penderma lain sedangkan keadaan kesihatan Qaisara semakin merosot dari hari ke hari.

"Maafkan Reen ya ibu".  Ucapnya lagi bersama airmata yang tidak henti mengalir.

~~~

Qaireena dan Qaisara jalan beriringan keluar dari bangunan hospital itu setelah selesai menjalani prosedur untuk membuat ujian sebagai penderma tulang sum sum.

"Kak Reen dah fikir betul-betul ke ni nak dermakan tulang sum sum pada Sara?  Kak Reen tak takut?".  Soal Qaisara.

"Buat apa nak takut pula kalau apa yang Kak Reen buat tu adalah untuk menyelamatkan adik kesayangan Kak Reen". Kata Qaireena sambil menoleh sekilas kepada Qaisara.

"Ya lah, prosedur untuk ambil  tulang sum sum tu kan sakit.  Lagi satu Kak Reen tak takut ke risiko yang mungkin Kak Reen akan hadapi nanti?". Ujar Qaisara.

"Sakit sekejap je Sara, lepas tu kan boleh sembuh.  Kalau pasal risiko pula, Kak Reen dah bersedia untuk hadapinya.  Lagipun doktor dah terangkan semuanya pada Kak Reen sebelum Kak Reen bersetuju jalani ujian tu, Sara jangan risaulah ya, kak Reen tak nak Sara banyak fikir.  Apa yang penting sekarang ni, kita berdoa supaya tulang sum sum Kak Reen sesuai untuk Sara".  Jawab Qaireena sambil mengukir senyuman.

Baginya dia lebih sanggup menghadapi segala risiko yang mungkin akan berlaku terhadap dirinya daripada dia kehilangan Qaisara.  Sungguh, dia tidak dapat membayangkan bagaimana jika dia kehilangan Qaisara pula setelah ayah dan ibunya pergi meninggalkan mereka.

Qaisara senyum sambil menganggukkan kepalanya.

••••••••••

Qaireena duduk termenung di halaman rumah mereka. Sudah dua minggu dia keluar untuk mencari kerja, namun sehingga ke hari ini dia masih belum mendapat panggilan dari mana-mana syarikat yang dia hadiri temuduga. Fikirannya buntu kerana dia sendiri tidak tahu lagi bagaimana untuk mencari kerja. Dia perlu segera bekerja dan mengumpulkan wang untuk melakukan pembedahan untuk Qaisara.

Seketika Qaireena menoleh ke arah jiran sebelah rumahnya yang sedang keluar mengambil pesanan makanan dari seorang wanita yang menunggang motor. Dia memerhatikan wanita penghantar makanan itu sambil otaknya ligat berfikir. Baru sahaja motor itu mahu berlalu setelah menyerahkan pesanan yang dibuat oleh jiran Qaireena, dia terus memanggil wanita itu.

"Kak, boleh saya tanya sesuatu?". Soal Qaireena pada wanita yang menjadi penghantar makanan itu.

"Boleh, adik nak tanya apa?". Kata wanita itu sambil memandang Qaireena.

"Macam mana nak jadi penghantar makanan macam akak ni?". Tanya Qaireena.

"Oh pasal tu. Adik pergi je daftar dekat pejabat syarikat penghantaran makanan ni, nanti mereka terangkan semuanya dan berikan segala kelengkapan untuk adik menjadi penghantar makanan". Ujar wanita itu dengan senyuman.

"Berapa gaji sebulan kak?". Soal Qaireena lagi.

"Mereka tak bayar gaji setiap bulan dik, mereka bayar gaji setiap minggu. Gaji pula akan dibayar mengikut berapa jumlah penghantaran yang adik buat dalam seminggu tu. Banyak pesanan yang adik dapat hantar, banyaklah gaji yang adik terima setiap minggu". Jelas wanita itu lagi.

Qaireena terangguk-angguk apabila mendengar penjelasan wanita tersebut. Dia senyum kemudian mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut.

Langkah kaki dibawa menghampiri skuternya. Qaireena memandang skuter yang dihadiahkan oleh Puan Qamariyah padanya itu ketika dia dapat memasuki Universiti. Lama skuter itu di pandangnya sambil berfikir-fikir. Dia kemudian tersenyum sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

Happy Reading korang.. Sorry sebab lambat update

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience