BAB 8

Family Completed 7198

KINI, kenallah Kax pada lelaki yang bawa sisi hitam dalam hidup Adra. Tapi, itu kisah lalu. Sekarang, hal antara mereka saja. Bila mama khabarkan yang Adra telah keluar daripada rumah, Kax terhenyak sendiri. Harus dia relakan. Mereka tiada apa-apa hubungan dan memang kerisauan mama bertempat. Dia rela biarpun saban masa mengintai daripada kejauhan. Bahagia bila melihat Adra kekal manis dan sopan bertudung.

“Adra sihat?”

Adra angguk. Kax senyum. Adra langsung tak pandang dia.

“Kenapa keluar tak bagitahu abang? Telefon pun tak…”

“Maaf…” jawab Adra ringkas. Dalam hatinya nekad. Dia dah bulat hati dengan keputusannya.

Perbualan mereka hambar. Kax meraup wajah. Dia buang pandang jauh ke tengah taman. Lepas minta izin daripada tauke Adra, untuk berborak dengan Adra sekejap.

“Adra dah berubah. Dah tak nak cakap dengan abang,” luah Kax sedikit sayu.

“Maaf…” Sekali lagi.

Kax ketap bibir. “Untuk apa minta maaf?”

“Sebab abang kena tengok masa lalu Adra…”

“Bukan abang tak tahu, kan?” selar Kax, geram. Memang geram. Tak kanlah dia je yang rindu Adra tapi Adra tak ingat dia langsung. Tak nak rindu pun tak apalah, janji ingat. Dia dah berterima kasih. Tapi ini…

“Adra tak rindu abang?”

Soalan Kax benar-benar buat Adra keliru dan kehilangan kata. Mahu tak rindu. Saban masa dia rindu tapi dia tak mampu. Hanya doa saja dia titipkan. Dia sedar dirinya. Dia tak layak untuk Kax. Lagipun, mama mesti melarang keras.

“Kalau kata tak rindu, ingat pun tak?”

Masih tak ada jawapan. Kax bangkit. Dia sebenarnya bawa berita baik. Sungguh, dia tak kisah langsung tentang hal lepas. Mama pun dah terima biarpun berat hati. Setidak-tidaknya, mama tak membenci. Adra layak bahagia dan dia sudi menjadi pembimbing buat Adra. Tapi, nampaknya kebisuan Adra buat dia buntu.

“Tak apalah. Abang saja datang tengok Adra okey ke tak. Pasal Nuar tu, abang yakin dia tak datang lagi. Kalau ada, telefon abang. Abang datang ni bawa berita baik tapi nampaknya masa tak sesuai. Apa yang abang nak Adra tahu, tempat Adra sentiasa dalam hati abang saat pertama kali Adra menangis sebab nak cari jalan lurus. Dan, abang nak kita pilih yang tepat bukan sekadar ambik jalan untuk lepas diri daripada masalah.”

Kax bangkit. Dia pandang Adra yang sedang tunduk. “Boleh abang nak tanya sesuatu…”

Adra angkat kepala. Merenung Kax. Matanya basah tapi tiada kata mampu diungkapkan bila keputusan dia bagaikan dah nekad.

“Abang ada depan Adra sekarang. Tunggu Adra. Adra nak jalan terus pada abang atau nak pilih jalan lain?”

Soalan Kax dicerna dengan baik. Adra tunduk. Menarik nafas dalam sebelum memandang Kax semula. Kax baik tapi dia tidak.

“Adra tak nak terkorban perasaan atau jasad lagi, bang. Terima kasih bantu Adra cari jalan pulang tapi Adra dah buat keputusan untuk pilih jalan yang tak akan buat sesiapa serba-salah…” Dia terus berlalu setelah bersuara.

Kax terkedu.

Adra menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience