BAB 21

Romance Completed 16440

Amira dan Kak Yati mula menghantar Alin, Nor dan Shidah ke stesen bas. Sempat mereka bertukar juadah kuih raya untuk dibawa pulang.

“Kirim salam pada keluarga ya!” Kak Yati peluk Alin, Nor dan Shidah. Amira turut peluk teman serumahnya.

Amira dan Kak Yati mula beredar bila Alin, Nor dan Shidah sudah menaiki bas. Mereka berdua mula menapak ke arah tempat letak kereta.

“Eh..tu Shafiq kan?” Kak Yati menuding ke arah kanan jalan.

Amira mula jenguk ke arah kanan jalan. Kelihatan Shafiq bersama Halim sedang leka berbual di tempat menunggu bas. Dia pandang pula Kak Yati yang juga terjenguk-jenguk ke arah Shafiq dan Halim.

“Jom kita tegur dia orang!” kak Yati terus menarik tangan Amira menuju ke tempat menunggu bas.

Amira tidak sempat berkata apa-apa bila Kak Yati bertindak begitu. Dia turut terheret sama melangkah ke arah jiran sebelah kiri mereka di situ. Dari jauh, Shafiq sudah senyum.

“Shafiq! Nak ke mana ni?” Kak Yati mula mendekati Shafiq dan Halim.

“Nak balik ke rumah kak..tadi hantar kawan naik bas. Akak buat apa kat sini?” Shafiq pandang Kak Yati yang manis berbaju kurung biru. Dia jeling pula Amira yang juga berbaju kurung dengan warna merah menyala.

“Hantar kawan juga..Alin, Nor dan Shidah dah balik tadi. Jomlah naik kereta akak!”

Amira jeling Kak Yati yang mula mengajak Shafiq dan Halim. Dia mula resah.

“Kak..Alin dah balik? Ala..tak sempat kirim salam..” Halim pula menyampuk.

Shafiq sengih melihat muka kelat Halim yang tak sempat melihat Alin. Dia pandang Amira yang tercegat berdiri di sebelah Kak Yati. Amira sudah muncung. ‘Ada hati kat Halim ke minah ni’..Shafiq mula meneka sendiri. Setiap kali Halim berbicara tentang Alin, Amira pula yang muncung. Ada sahaja cara yang digunakan untuk menghalang Halim berbual dengan Alin.

Shafiq dan Halim mula menaiki kereta Kak Yati. Sepanjang perjalanan, Amira yang berada di tempat duduk penumpang hadapan hanya diam membisu sambil melayan lagu yang diputar di radio. Kak Yati pula asyik melayan pertanyaan Shafiq dan Halim. Sesekali ketawa mereka berderai bila Shafiq membuat lawak.

Amira hanya senyum bila terasa cerita dari Shafiq lucu. Kerana ego, tidak berani dia ketawa. Dalam diam dia mula suka dengan sikap Shafiq yang peramah dan lucu. Selama ini dia asyik bergaduh dengan Shafiq. Mungkin dia tidak mengenali Shafiq secara dekat. Walaupun dia dan Shafiq satu fakulti tetapi mereka jarang berjumpa.

“Amira..kenapa diam je ni?” Kak yati mula pandang Amira yang diam dari tadi.

Amira pandang Kak Yati sambil tersenyum. Tiada apa yang penting hendak dikongsi. Dari cermin sisi, dia menjeling Shafiq yang berada di belakang bersama Halim. Dari dalam cermin, jelas bibir Shafiq menguntum senyum kepadanya. Sekejap itu juga dia terasa ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Jantungnya berdegup laju.

“Apa kena dengan aku ni?” Amira berkata sendiri.

“Apa Amira cakap?”

Amira pandang ke sebelah. Rupanya Kak Yati mendengar kata-katanya tadi. Cepat-cepat dia tunduk.

TIBA di rumah, Shafiq dan Halim mengucapkan terima kasih kepada Kak Yati kerana menumpangkan mereka sekali tadi. Amira pula cepat-cepat masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan Shafiq dan Halim yang masih tercegat di depan pintu pagar.

“Kenapa dengan Amira tu kak?” Shafiq mula perasan sikap Amira yang diam sejak tadi.

“Entahlah! Selalunya mulut dia macam murai tapi kali ni diam pulak. Mungkin dia malu dengan korang kut..” Kak Yati mengusik Shafiq.

Shafiq hanya senyum. Malu?? Shafiq tidak mahu percaya kata-kata Kak Yati. Baginya itu bukan sikap Amira yang dikenalinya sejak mereka berjiran. Amira bukan pendiam begitu. Mungkin dia ada hati dengan Halim sebab itulah Amira diam saja sepanjang perjalanan tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience