Prolog - “First Meeting”

Romance Completed 334004

“MINTA maaf semua.  Saya tengah cari driver kereta Audi putih nombor plat BOS 5.  Kereta tu block kereta saya.  Ada sesiapa di sini pemilik kereta tu?”

Mikael mengangkat wajah memerhati ke arah gadis bertubuh tinggi lampai yang berada di ruang hadapan restoran sedang membuat pengumuman.  Untuk seketika dia terpegun dengan wajah anggun dan manis milik si gadis.  Memukau pandangan mata ‘nakal’nya.

Cuitan lembut dari jemari seorang gadis lain yang berada di sebelah bagaimana pun mematikan lamunan Mikael.

“Itu bukan kereta you ke?” soal si gadis dalam nada berbisik.

Pantas Mikael menggeleng.

“I datang sini jalan kaki.  Tak bawa kereta.” Spontan dia membalas.

Gadis di sisinya tertawa.  Mengerti bahawa lelaki yang baru dikenali itu sedang bergurau.  Masakan lelaki berstatus tinggi seperti itu datang ke sini dengan berjalan kaki.  Pakaiannya sahaja sudah menunjukkan penampilan dari golongan berada.

“Bawa I jalan-jalan dengan kereta you, please.” Rengeknya manja.

Mikael tersenyum memerhati gelagat si gadis.  Pertemuan mereka diaturkan oleh teman baiknya yang juga seorang kasanova.  Konon-konon ‘blind date’.  Namun, selepas melihat sikap gedik gadis ini, mati pula seleranya untuk ber’dating’.  Ini bukan gadis yang menepati citarasanya.  Buat berlibur dan suka-suka bolehlah.

Hampir satu jam menghabiskan masa berbual-bual kosong bersama si gadis, Mikael lantas menamatkan perbualan mereka dengan memberi beberapa alasan yang dirasakan logik.  Bosan.  Lebih baik dia balik tidur.  Pertemuan ini adalah yang terakhir.  Tidak mungkin ada lagi yang lain.

Melangkah keluar dari restoran, telefon pintar di tangan berbunyi.

“Bro, how’s your date?” Kedengaran suara tawa nakal teman baiknya di hujung talian.

“Okey.”

“What?  Okey aje?  Komenlah sikit.  Susah-payah aku arrange dia dating dengan kau.  By the way she’s pretty, right?  Macam Megan Fox.”

“Banyaklah kau punya Megan Fox.  Bro, nanti kita borak lagi.  Aku block kereta oranglah.  Mengamuk pulak ‘minah’ tu kejap lagi.”

“Kereta siapa yang kau block, bro?”

Soalan tersebut tidak dijawab.  Sebaliknya Mikael mematikan talian.  Dengan pantas langkah diatur menuju ke kereta miliknya yang diparkir di belakang sebuah kenderaan.

Sebetulnya dia tidak berniat untuk menghalang parkir orang lain.  Namun, puas dia berpusing mencari petak kosong tadi lansung tidak ditemui.  Lantas tanpa rasa bersalah dia memarkirkan keretanya di belakang kenderaan tersebut.  Terlupa pula nak lepaskan brek tangan dan meletakkan nombor telefon di dashboard kereta.

Ketika gadis tinggi lampai tadi muncul di restoran, bukan dia tidak mahu mengaku kenderaan tersebut miliknya.  Tetapi, malu jika dipandang seisi restoran.  Jatuhlah saham ‘kekacakan’ dia nanti.  Biarkan sahajalah gadis itu menanti.  Bukan lama pun.

Mikael masuk ke dalam kereta.  Ketika dia baru sahaja menghidupkan enjin kenderaan, seseorang datang mengetuk cermin keretanya.  Mikael memerhati.  Ah, gadis tadi rupanya.  Dipandang wajah itu dari sebalik cermin.  Cantik dan manis.

Lantas cermin tingkap kereta diturunkan perlahan-lahan.  Wajah gadis itu berada betul-betul di depan mukanya.  Cukup dekat.  Hanya sejengkal.

Namun, belum sempat Mikael mengeluarkan sebarang kata-kata, gadis di hadapannya terlebih dahulu menghambur kemarahan.

“Hei!  You tahu tak berapa lama I tunggu kat sini?  Dekat satu jam!  Lain kali kalau nak double parking jangan tarik hand-brake.  Fikir sikit tentang orang lain.  Tak belajar sivik ke?!”

Mak oi! Boleh tahan garang.  Muka sahaja cantik tapi bahasanya agak biadap.  Barusan Mikael bercadang ingin ‘mengorat’ sebentar tadi.  Nampaknya terpaksa dibatalkan niat tersebut.

Tanpa membalas kata-kata gadis itu, Mikael dengan selamba menaikkan kembali cermin tingkap kereta.  Lalu menolak gear dan memusing stereng sebelum dipandu kenderaannya meninggalkan kawasan tersebut.

Melalui cermin sisi dia dapat melihat reaksi gadis itu sedang menjerit melepaskan perasaan marah dan geram.  Mikael tersenyum sumbing.  Seronok sesekali dapat menyakat orang yang tidak dikenali seperti itu.

Buat seketika wajah gadis manis itu memenuhi ruang mata.  Apakah mereka berpeluang bertemu lagi di lain waktu?  Entahlah.  Mikael tidak menaruh sebarang harapan.

Share this novel

Guest User
2024-08-08 18:48:49 

test_account

Rizqin Mktg
2022-06-25 18:26:49 

ox

Saphire
2022-03-17 07:37:52 

jemput baca novel sy yg berjudul cinta yang tak didendangkan, jgn lupa support dan komen . Trima kasih


NovelPlus Premium

The best ads free experience