BAB 4

Fantasy Completed 10501

Ariana menepuk nyamuk di lengannya. Peluh yang merecik di dahi di lap dengan hujung tudung. Matanya meliar ke sekeliling kawasan hutan itu. Beberapa rakan sekuliahnya masing-masing tenggelam dalam aktiviti mereka. Ada yang sedang memasak air, ada yang merehatkan tubuh yang kepenatan setelah seharian meredah hutan. Dia? Seperti biasa duduk menyendiri melayan perasaan.

“Jom semua… Berkumpul dekat unggun api ni.” Suara prof Johan menerobos pendengaran Ariana. Gadis itu melangkah malas. Sebaik melabuhkan punggung, rakan di kiri dan kanannya menjauhkan sedikit diri mereka. Ariana membuat muka tidak berperasaannya. Sudah selalu sangat dia dipencilkan. Bukan setakat itu sahaja, malah ada yang menggelarnya gilalah, perempuan sihirlah. Gelaran itu lekat kerana sikapnya juga. Kalau dia merenung tajam seseorang dengan lama, berkemungkinan besar orang itu dirasuk. Ada yang pengsan, tidak kurang juga yang menjerit histeria. Alih-alih dia yang dituduh menyihir orang. Apa yang mereka tahu? Yang dia renung bukan calon-calon mangsa rasukan itu, tetapi yang direnung ‘benda’ yang mendampingi mereka.

“Kita nak mulakan aktiviti malam ni dengan… ” Meleret suara prof Johan mendatangkan saspens dalam diri semua yang ada. “Cerita hantu!” Jelas suaranya teruja. Ariana tahu mata-mata rakan sekuliahnya terhala ke arahnya. Ah! Apa dia peduli.

“Prof… Saya tak nak lah join. Saya ni lemah semangat.” Ariana memandang ke sebelah kanannya. Ada getar pada suara Alissa.

“Betul Prof… Apa-apa jadi susah. Kita kan tengah hutan ni.” Doktor Asnizam yang sedari tadi hanya diam turut menyuarakan pendapatnya pada rakan sekerjanya. Keluhan panjang dilepaskan dari bibir prof Johan. Kecewa ideanya tidak diterima.

“Habis tu, kita nak buat apa?” Suara prof Johan sudah tidak seceria tadi. Seorang lelaki tiba-tiba bangun membuat semua mata tertumpu ke arahnya kecuali Ariana yang hanya menekur tanah. Semakin bosan pastinya.

“Kita menyanyi.” Ujar Hakim ceria. Beberapa rakan kuliahnya sudah bersorak. Majoriti bersetuju dengan cadangan lelaki tadi. Apa lagi, lelaki tinggi lampai itu segera bergerak ke khemahnya. Beberapa minit kemudian dia muncul bersama sebuah gitar.

“Larat kau angkut gitar redah hutan.” Tegur seorang rakannya yang agak berisi. Hakim hanya tersengih mendengar komen Arman itu.

Bunyi indah hasil petikan Hakim mengalun melodi seiring indahnya dengan simfoni semulajadi alam. Kesemuanya tertegun dengan bakat yang ditonjolkan Hakim terutamanya gadis-gadis. Ariana pula. Hmm… Masih memandang sepi. Harmoni sekali suara mereka menyanyikan lagu ‘Kau Ilhamku’.

Ariana langsung tidak berminat untuk menyertai mereka. Setelah memaksa dirinya lebih kurang setengah jam tercongok di situ seperti patung cendana mendengar alunan suara rakan-rakannya, Ariana akhirnya angkat punggung. Dia bergerak menuju ke khemah miliknya yang dikongsi bersama Alissa dan Salbiah tanpa menyedari mata Hakim yang memerhati tingkahnya dengan rasa hampa. Hampa kerana gadis kesayangannya itu tidak menunjukkan sebarang minat terhadapnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience