Bab 4

Drama Completed 240250

SAMBIL berjalan menuju ke meja kaunter, Izara melilau-lilau ke sekeliling ruangan kafe yang tidak terlalu ramai pelanggan pada ketika ini mencari seseorang.

"Dia dah pergi. Joe yang ambil dia tadi tak lama lepas kau jalan. Kenapa kau pergi rembat motor dia?" soal Aniza disusuli tawa kecil seolah-olah tahu siapa yang sedang dicari oleh rakannya itu.

"Siapa suruh dia pergi rampas kunci motosikal aku? Dah tu, selamba badak dia pergi kunci tayar motosikal aku. Padan muka dia!" balas Izara dengan muka bersahaja sambil membuka jaket dan sarung tangan kulitnya. Topi keledarnya sudah awal-awal diletakkan di bawah meja.

"Aku dengar dia mengadu kat si Joe tadi. Tapi tak dengar jelas. Apa kes korang sebenarnya ni?" soal Aniza ingin tahu.

Izara melepaskan keluhan kecil sebelum dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. "Gila ke tak gila dia nak upah aku berlakon jadi girlfriend dia?"

"Berlakon dalam drama ke?" soal Aniza dengan muka polos.

"Ha'ah. Drama dia sendiri. Ceh, dramalah sangat! Mungkin depan kawan-kawan dia atau depan keluarga dia, aku pun tak tahu. Aku tak tanya, sebab aku terus reject lepas dia offer aku macam tu. Kalau tak ada girlfriend tu, buatlah cara tak ada. Ni nak juga berlakon nak menipu. Jangan-jangan dia gay," jawab Izara sambil membuat mimik wajah meluat.

"Sembarang je kau menuduh. Tak baik tau!" Terpacul tawa kecil Aniza. "Kenapa kau reject? dia bayar kot. Manalah tahu kan jadi girlfriend betul-betul."

"Hisy, tak naklah aku! Kau jelah kalau kau nak."

"Kalau dia offer aku, aku on je, tapi dia offer kau, kan? Apa masalah kau dengan dia sebenarnya ni? Dia okey apa. Handsome, terkenal, banyak duit, body cun macam model. Haa, apa lagi?"

"Terkenal ke? Kalau bukan sebab si Joe tu, aku tak kenal pun dia. Masalahnya... dari awal aku jumpa dia pun dah memang bermasalah," balas Izara, lalu dia pun mula menceritakan apa yang berlaku di antara dia dan Ikhwan di awal pertemuan mereka.

Terhambur tawa besar wanita berkulit hitam manis itu setelah Izara selesai bercerita. "Lawaklah korang ni!"

"Dia yang cari pasal."

"Orang cakap, selalunya kalau lelaki dengan perempuan yang gaduh-gaduh, benci-bencian, biasanya jodoh kuat tu."

"Yelah tu!"

"Kita tengok nanti."

"Hisy, kau ni! Malaslah aku cakap pasal dia," balas Izara sambil mengeluarkan telefonnya dari beg silangnya dan lantas dia membuat panggilan.

"Aku pergi tandas sekejap," ujar Aniza.

Izara membalas dengan anggukan sambil menanti panggilannya dijawab. "Haihhh! Kenapa dia tak angkat pula ni? Masih waktu rehat pejabat lagi kot," rungutnya sambil merenung skrin telefon. Selang beberapa saat, telefonnya berdering. "Panjang pun umur!" Dengan pantas dia menatal skrin untuk menjawab panggilan. "Kenapa kau tak angkat aku call tadi?"

"Tak sempat angkat. Aku tengah parking kereta tadi," jawab Johari.

"Kau ada dengan BFF kau ke tu? Kau cakap kat dia, bagi balik kunci motosikal aku!"

Kedengaran tawa kecil di hujung talian dan dia dengar dengan jelas bekas rakan sekampusnya itu bercakap-cakap dengan Ikhwan. Kejap lagi aku hantar dia pergi situ," ujar Johari selepas seminit.

"Hmm, yelah." Izara terus meletakkan telefonnya di atas meja selepas dia menamatkan panggilan.

"Hujung minggu ni, kau pergi spend masa dengan budak-budak tu ke, Zara?" soal Aniza sekembalinya dia dari tandas.

"Macam biasalah. Aku nak belanja budak-budak tu makan KFC. Aku minta deliver je."

Aniza membungkam buat sejenak. "Kenapa kau tak guna kereta kau yang dulu tu je? Senang kau nak bawa barang banyak-banyak. Tak terjemur matahari, tak kena hujan."

"Tak naklah. Kereta tu beli guna duit ayah aku."

"Dah ayah kau yang belikan untuk kau, kan?"

"Hisy, tak naklah! Nanti nenek kebayan tu bunyi. Sebelum dia bunyi, baik aku tak ambik. Kesabaran aku dengan orang spesies macam tu tipis, Niza. Sedangkan rumah yang ayah aku dah bagi kat mak aku dulu pun boleh kena ambil balik, apalagi kereta sport tu. Bernilai kan... Biasalah kalau orang yang gila harta ni. Bukan aku cakap ayah aku, tapi nenek kebayan dengan anak-anak dia tu."

"Abang dengan kakak kau kat mana sekarang? Lama dah tak nampak diorang," soal Aniza. Sudah lama dia hendak bertanyakan hal tersebut sebenarnya, tapi asyik terlupa.

"Entahlah diorang tu, Niza. Aku ni dah macam tak ada adik-beradik, tahu tak? Sejak mak ayah aku bercerai, diorang pun masing-masing bawa diri. Abang aku tu sibuk mengalahkan menteri. Sekali-sekala je balik, itupun sekejap. Kakak aku tu pula, dia kan dah berkeluarga, lepas tu sibuk pula urus kedai perabot dia. Suami dia pakar bedah kan... sibuk jelah memanjang. Raya dua tahun lepas tulah last kitorang berkumpul, itupun sehari dua je."

"Kesian Mak Cik As..."

"Kesiankan mak aku je? Habis tu, aku kau tak kesian?"

"Kesian juga, tapi kesian sikit je," balas Aniza sambil tersengih.

"Hmm... Yelah, siapalah aku ni. Insan yang hina, insan yang tak dihargai, insan yang..."

"Eh, dah, dah! Tak payah kau nak berdrama depan aku!" Aniza menampar perlahan bahu Izara membuatkan Izara ketawa kecil. "Aku kenal kaulah. Semangat kau kuat, sentiasa positif, tak kenal erti putus asa dan yang penting tak lokek. Haaa... 10 ringgit!" Tapak tangannya ditadahkan di depan Izara.

"Lah, pujian berbayar rupanya!" kata Izara sambil menampar perlahan punggung Aniza yang sedang tersengih sampai di telinga.

"Motosikal kau tu kan Zara, kalau kau jual kan... boleh beli satu biji kereta Honda, tahu tak?"

Spontan Izara menjegilkan matanya memandang wajah Aniza. "Ehhh, kau nak suruh aku jual kesayangan aku tu? No, no, no! Kau tahu kan motosikal tu hadiah aku menang Kejohanan Grand Prix dulu? Gigih aku training sampai beberapa kali accident untuk capai kejayaan tu tau! Aku takkan jual motor tu. Kalau aku nak kereta, aku beli kemudian. Aku lagi suka tunggang motosikal je sekarang nak pergi ke mana-mana. Kalau aku jalan dengan mak aku, aku bawa kereta mak aku je."

"Haa, yelah, aku faham."

Selang 15 minit kemudian, orang yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul. "Ni barang kau!" Izara meletakkan rantai yang mengunci tayar motosikalnya di atas meja setelah Ikhwan berdiri di depan kaunter. "Kunci motor aku mana?!"

"Bagi dulu kunci aku!" balas Ikhwan sambil menjongketkan kening.

"Bagi kunci aku dulu!" Izara menjegilkan matanya.

"Haihhh, korang ni kan! Macam budak-budak!" keluh Aniza sambil menggeleng.

"Kau Aniza, kan?"

"Ya, panggil Niza je," balas Aniza sambil tersenyum mesra.

"Kau tolong cakap kat kawan kau ni, bagi balik kunci motosikal aku," ujar Ikhwan sambil melirik Izara dengan ekor mata.

"Niza, kau cakap kat mat poyo tu... bagi kunci aku dulu, baru aku bagi kunci dia."

"Masing-masing bagi aku 20 ringgit. Nak aku jadi orang tengah bukan free tau!" kata Aniza sambil menadah tangannya di depan Izara dan Ikhwan.

"Amboi! Senang buat bisnes ye, mak cik?" perli Izara bersama dengan jelingan.

"Of courselah! Ni Anizalah!" balas Aniza sambil ketawa kecil.

"Bagi kunci aku!" Izara menadah tangannya di depan lelaki itu.

Ikhwan mengetap giginya sambil mendengus. "Okey, kita serentak," cadangnya, lalu dia mengeluarkan segugus kunci yang mempunyai keychain patung kecil Teletubies kuning dari poket seluarnya. "Haa... mana kunci aku?" soal Ikhwan sambil menadah tangannya di sebelah tangan Izara.

Menggeleng Aniza dibuatnya. "Ada-ada jelah korang ni. Dah! Korang settlelah baik-baik. Aku nak masuk dapur," ujar Aniza, lalu dia terus menuju ke dapur.

Izara dengan pantas merampas kuncinya di tangan Ikhwan ketika lelaki itu terleka seketika memandang Aniza. "Ni kunci kau!" kata Izara, lalu dia meletakkan segugus kunci milik Ikhwan di atas meja. Lantas, dia duduk semula di kerusinya tadi.

Agak lama Ikhwan merenung kuncinya sebelum dia mengambilnya. "Zara... Kali ni, aku minta tolong baik-baik. Aku cuma nak minta tolong sekali ni je lagi," ujarnya dengan nada merayu yang lebih santai dan tenang.

Izara mendengus sambil mengerutkan dahinya memandang wajah Ikhwan. "Kau nak aku berlakon jadi girlfriend kau, kau nak tunjuk kat siapa sebenarnya? Nak jealouskan ex kau ke?" tekanya.

"Bukan... Aku nak tunjuk kat ibu aku. Sekali ni je. At least, takdelah ibu aku beria lagi nak aku kahwin dengan anak kawan dia tu."

"Kenapa kau nak aku juga?" soal Izara.

"Sebab aku sukakan kau." Erk! Dia hampir tercekik dengan air liurnya sendiri. "Maksud aku, aku suka keyakinan kau macam yang aku nampak masa fashion show semalam." Laju dia mencipta alasan.

"Maaflah. Aku tak buat job menipu. Kau cari orang lain jelah. Keputusan aku muktamad dan kau takkan mampu paksa aku, walau berapa pun kau nak bayar," tegas Izara.

"Sebab kau dah ada boyfriend ke?"

"Ya. Sebab aku dah ada boyfriend."

Ikhwan mengangguk tanda faham. "Okeylah kalau macam tu." Dia terus berpaling menuju ke pintu tanpa meminta diri.

"Hisy! Entah apa-apalah nak menipu orang tua," gumam Izara sambil memerhati lelaki itu dari belakang.

- - - - - -

DAHINYA berkerut melihat ibunya sedang duduk bersantai di atas kerusi panjang di luar rumah.

"Kenapa mak duduk kat luar?" soal Izara sebaik sahaja dia turun dari motosikal. Lantas, dia duduk di sebelah ibunya.

"Ada Encik Marwan dengan penyelenggara dia kat dalam. Paip singki bocor," jawab Puan Asneh lalu dia meletakkan buku majalah Wanita yang dipegangnya ke atas ribanya. "Awalnya Zara balik hari ni. Selalunya dah nak gelap baru balik."

"Satu bangunan blackout, sebab ada litar pintas kat hujung blok bangunan tu. Nak buat kerja macam mana, dahlah dalam kafe gelap, mesin kopi pun tak boleh guna. Ermm, dah lama ke diorang kat sini, mak?" soal Izara sambil memandang pintu rumah yang terbuka luas.

"Adalah dalam lebih kurang 15 minit," jawab Puan Asneh dan pada ketika itulah juga dua orang lelaki keluar.

"Eh, Zara!" sapa Encik Marwan sambil tersenyum mesra.

"Hai, pak cik," balas Izara dan turut melakar senyuman mesra buat tuan rumah yang mereka sewa itu. "Pak cik terus nak balik ke? Duduklah dulu. Zara buatkan kopi untuk pak cik sekali dengan pekerja pak cik tu." Izara segera berdiri, lalu dia menarik dua buah kerusi plastik untuk dua orang lelaki itu.

"Wah, rezeki! Kalau kopi Zara, pak cik memang takkan tolak," balas Encik Marwan, lalu dia terus duduk.

"Kejap ye." Izara masuk ke dalam rumah, lalu dia meletakkan jaket dan topi keledarnya di atas meja ruang tamu sebelum dia menuju ke dapur.

Tidak sampai 10 minit, Izara kembali ke luar membawa jag kecil dan empat biji cawan serta biskut kering di dalam pinggan. Satu per satu cawan dituangkan kopi sebelum dia duduk semula di sebelah ibunya.

"Perhhh, tak ada lawan!" puji Encik Marwan sambil menggeleng kecil dengan mata tertutup buat beberapa saat menikmati rasa kopi yang baru dihirupnya.

"Pak cik pun tak ada lawan... kebal! Boleh minum kopi yang masih panas," balas Izara disusuli tawa kecil.

Sejak mereka mula menyewa di rumah teres itu, setiap kali lelaki yang kelihatan sebaya dengan ibunya itu datang sama ada untuk mengutip sewa ataupun menyelenggara, tidak pernah dia membiarkan lelaki itu pulang tanpa menghidangkan minuman.

"Ni kalau buat menantu ni, bolehlah selalu minum kopi sedap buatan Zara ni," ujar Encik Marwan, lalu dia menghirup lagi kopi di cawannya.

"Halah, beli je cappuccino yang dalam pek tu pak cik... senang. Tak pun, beli mesin kecil macam yang kat dapur tu."

"Tapi tak sama dengan air tangan Zara. Kena yang pakar juga yang buat, baru sedap secukup rasa. Zara dah berpunya ke? Nak jadi menantu pak cik tak?" Lebar sampai ke telinga sengihannya.

"Okey juga jadi menantu pak cik. Mesti anak pak cik pun baik dan handsome macam pak cik, kan? Lepas tu, sewa rumah pun dah tak perlu bayar lagilah, kan? Tapi, nak ke anak pak cik tu dengan Zara ni? Pak cik beria nak Zara jadi menantu, sekali anak pak cik reject pula. Sorok muka dalam bajulah jawabnya," balas Izara sambil ketawa.

"Jumpa dulu, baru tahu. Hujung minggu ni, datang rumah pak cik, nak? Pak cik serius ni."

Serta merta Izara menghentikan tawanya. "Zara main-main jelah pak cik. Zara tak terfikir lagi nak bercintan cintun ni. Belum ready," ujarnya, lalu tersengih.

"Bila nak ready? Lagi beberapa tahun, umur dah nak masuk three series dah. Takkan Zara pun nak ikut jejak Abang Am Zara tu," sampuk Puan Asneh.

"Dah tak ada orang yang nakkan Zara, nak buat macam mana lagi?"

"Ya ke takde? Pak cik tak percayalah perempuan cantik macam model ni tak ada yang nak. Ni mesti sebab Zara jual mahal ni," tukas Encik Marwan sambil memandang Izara dengan pandangan curiga.

Terpacul tawa kecil dari mulut Izara. "Bukan jual mahal pak cik, tapi lelaki-lelaki yang selalu mengurat Zara tu, jenis yang suka main perempuan. Memang Zara tak naklah. Tapi, tu cerita zaman masa masih belajar dulu."

"Anak pak cik tu, pak cik jamin bukan jenis yang suka main perempuan. Zara jumpa je dulu. Kalau tak berkenan, takpe pak cik faham," kata Encik Marwan seakan mendesak.

"Pak cik betul-betul serius ke ni? Macam pelik pula perempuan yang datang ke rumah pihak lelaki."

Encik Marwan mengangguk sambil tersenyum mengiakan. "Tak ada yang pelik punlah."

"Hmm, in shaa Allah ya, pak cik, sebab hujung minggu ni, Zara nak pergi lawat budak-budak kat rumah anak yatim tu."

"Haa, yelah. Kalau Zara dapat datang, Zara call je pak cik, nanti pak cik suruh orang jemput Zara," ujar Encik Marwan, lalu dia menyudahkan minumannya dengan sekali teguk. "Okeylah, pak cik balik dulu," ujarnya lagi, lalu dia berdiri. "Asneh, saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa masalah dalam rumah ni, jangan segan, call je."

"Yelah. Terima kasih dah baiki paip bocor tu. Selalunya kalau setakat masalah-masalah kecil macam tu, Zara boleh je buat, tapi tadi tu, kalau nak tunggu Zara balik, sempat banjirlah dalam rumah," kata Puan Asneh sambil tersenyum.

"Tak ada hallah."

"Hati-hati memandu, pak cik," pesan Izara.

"Bukan pak cik yang drive, ni haa si Muin ni driver pakcik," balas Encik Marwan sambil menjuihkan bibirnya ke arah pekerjanya yang berusia dalam pertengahan 40-an tahun dan bapa kepada empat orang anak itu.

Izara dan Puan Asneh terus masuk ke dalam rumah setelah kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki itu tadi meluncur pergi dari situ.

- - - - - -

IKHWAN memberhentikan langkah kakinya ketika dia terpandang ibunya sedang memeriksa setiap kotak yang bersusun di atas meja ruang tamu sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah.

"Banyaknya beli barang, bu. Nak tambah koleksi pinggan mangkuk lagi ke? Dah penuh dah rak dengan almari kat dapur tu dengan koleksi ibu."

"Bukan pinggan mangkuklah. Ni semua beg tangan dengan pakaian berjenama, tapi bukan ibu yang beli. Datin Tamara yang belikan. Dah orang bagi, terima jelah. Rezeki jangan ditolak," balas Puan Zalia sambil tersenyum girang.

Nak ambil hatilah tu! getus hatinya. "Wan boleh je belikan untuk ibu kalau ibu nak. Sepuluh pun boleh," ujar Ikhwan lalu dia meneruskan langkahnya yang terhenti tadi menuju ke tangga.

"Tak sama. Kalau Wan kahwin dengan Adalia tu, ibu dengan Datin Tamara bolehlah jadi geng pergi shopping sama-sama nanti. Wan cuba jelah dulu bersuai kenal dengan Adalia tu."

Ikhwan memberhentikan semula hayunan kakinya, lantas dia menoleh. "Ibu..."

"Hmmm, yelah, yelah. Hujung minggu ni, Wan bawa girlfriend Wan datang sini. Macam yang ibu cakap pagi tadi tulah. Kalau ibu tak berkenan, Wan kena terima pilihan ibu," tegas Puan Zalia dengan muka serius.

Ikhwan melepaskan keluhan panjang sambil meraup rambutnya ke belakang. Wajah Izara serta merta bermain di layar fikirannya. Aku akan buat sampai kau setuju!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience