BAB 3

Romance Completed 4031

“Aku tak boleh terima keputusan papa. Bagi aku papa sangat pentingkan diri sendiri. Tentu ada orang menghasutnya.” Bentak Rania. Dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya dekat Shafie. Shafie merupakan sahabat baiknya sejak kecil. Dia mengenali Shafie kerana dia adalah anak kepada Siti Aishah, bekas pembantu rumahnya. Umur mereka yang hanya berbeza tiga tahun membuatkan mereka kelihatan seperti rakan sebaya. Walaupun Siti Aishah telah berhenti menjadi pembantu rumahnya sepuluh tahun yang lalu kerana masalah kesihatan, ia bukanlah penghalang kepada persahabatan yang telah terjalin antara mereka berdua. Malah kini Shafie merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat ayahnya. Shafie dilantik oleh ayahnya kerana Shafie sangat berkelayakan. Sikapnya yang sentiasa tenang dan penyabar membuatkan ayahnya yakin menyerahkan syarikat tersebut untuk diuruskan oleh Shafie. Dia sendiri tidak setanding dengan Shafie dalam membuat sebarang keputusan untuk syarikat.

“Tentu ada alasan kenapa papa kau halang hubungan ni. Sejak kecil papa kau sentiasa berikan yang terbaik untuk kau.”

“Ini pilihan aku Shafie. Aku akan bahagia bersama Amirul. Kenapa susah sangat dia nak setuju?” Marah Rania. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan. Nasihat dari Shafie dibiarkan sahaja. Sedikit pun dia tidak ambil peduli. Namun Shafie masih tetap cuba untuk menenangkan Rania.

“Itu kata kau Nia. Seorang ayah tidak melihat kebahagian anaknya untuk jangka masa pendek. Kau kena ingat, ayah kau seorang pelabur. Dia melihat perkahwinan kau dari sudut lain. Ayah kau menentang bukan kerana Amirul tidak layak dijadikan menantu tetapi kerana kerjaya korang berdua yang berbeza.” Rania mengalihkan pandangannya ke arah Shafie. Kata-kata Shafie menarik perhatiannya.

“Kau bekerja di pejabat dan ada masa tetapnya. Amirul tidak bekerja di pejabat dan tiada masa tetap. Dia tidak dapat menentukan masa lapangnya.” Sambung Shafie.

“Kau menawarkan kerja kepada orang tetapi Amirul menunggu tawaran kerja dari orang.” Rania mengetap bibir. Hatinya cuba menafikan kebenaran dalam kata-kata Shafie.

“Tapi kerjaya yang sama juga belum tentu menjanjikan kebahagiaankan? Sekarang ni pasangan yang mempunyai banyak persamaanlah yang paling banyak bercerai.” Shafie tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Rania masih tidak dapat menerima hakikat hubungannya dengan Amirul perlu dihentikan.

“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang? Nak bawa Amirul jumpa papa kau?” tanya Shafie. Untuk seketika Rania hanya mendiamkan diri. Dia cuba untuk mencari penyelesaian tanpa mengguriskan hati kedua-dua pihak.

“Hubungan ini tetap diteruskan. Amirul tidak perlu tahu. Apa nak jadi, jadilah. Yang pasti, aku tak sanggup kehilangan Amirul.” Luah Rania dengan nada yang sangat perlahan. Dia benar-benar kecewa hubungan cintanya tidak direstui oleh ayahnya. Dia sendiri tidak menyangka yang perkenalan yang pada mulanya atas dasar kerja telah mewujudkan perasaan cinta dalam hati mereka. Kebaikan yang ada dalam diri Amirul telah membuatkan dia jatuh hati kepada lelaki itu. Dia yakin menerima huluran cinta Amirul kerana Shafie juga merestui hubungan tersebut. Shafie menyakinkan dirinya bahawa Amirul adalah calon yang terbaik sebagai suaminya. Kini setelah hampir dua tahun dia menyulam cinta dengan Amirul, ayahnya pula menghalang. Dan lebih merumitkan keadaan, Shafie juga bersependapat dengan ayahnya.

“Kenapa show tu dibatalkan?” Irwan hanya menggelengkan kepalanya sebagai jawapan kepada pertanyaan Amirul. Dia sendiri terkejut apabila menerima panggilan telefon yang memberitahu persembahan Amirul terpaksa dibatalkan kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Amirul berjalan menuju ke baranda kondominiumnya. Dia membuang pandanganya ke bawah. Ini bukan kali pertama persembahannya dibatalkan pada saat-saat akhir. Dia menolak tawaran lain bagi memenuhi tawaran-tawaran tersebut. Tetapi alih-alih tawaran tersebut dibatalkan tanpa alasan yang kukuh. Kerjayanya semakin hari semakin merundum. Tawaran juga semakin berkurangan. Lebih mengeruhkan keadaan, album studionya yang dijadual untuk dipasarkan pada bulan ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada penyanyi baru. Wartawan-wartawan juga sudah kurang menulis mengenai dirinya.

“Aku tak boleh menyerah kalah. Insya Allah rezeki aku ada.” Bisik hati kecil Amirul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience