Bab 50

Romance Series 106380

JUWITA telah bersiap untuk berjoging. Sengaja dia menuju ke taman rekreasi berhampiran rumah. Tambahan pula dia terlalu rindukan kenangan mereka di rumah itu.

Maka dia dan adik-adiknya pulang untuk mengemas dan bermalam di sana. Beg baju telah disumbat masuk ke dalam bonet.

"Ibu tak nak ikut sama?" soal Juwita sebelum berangkat.

"Tak apa. Ibu dan janji dengan uncle dan aunty untuk ke kelas agama. Lagi sebulan kami akan berangkat ke Mekah." Zaitun pamer senyum bahagia.

"Maafkan Ju, ibu. Ju gagal jadi anak yang baik." Juwita sebak. Sepatutnya dia menggunakan duit simpanannya untuk menghantar Zaitun ke Mekah tapi sebaliknya pula yang berlaku.

"Ju dah buat yang terbaik. Dah tak mau sedih-sedih. Ju jaga adik-adik baik-baik. Jangan asyik gaduh je ye," pesan Zaitun.

"Ala bu... tak gaduh, tak bestlah. Kan memang kami selalu gaduh." Mengekek Juwita ketawa. Lega hati Zaitun apabila melihat Juwita kembali ceria.

"We are ready!"

Pap! Mendapat penampar sedas di bahu Junaidi.

"Buang tabiat pepagi ni terjerit-jerit?" Juwita ketawa berdekah apabila Junaidi ditampar oleh Zaitun.

"Kat sana kau buat perangai macam ni, aku hempuk kau dengan frying pan Tefal ibu." Terjegil biji mata Junaidi mendengar ugutan Junaida.

"Seriously sis? Berani kau nak hempuk aku?" Junaidi seakan tak percaya dengan ugutan Junaida.

"Ye serius. Sebab aku nak tidur." Buntang mata Juwita dan Zaitun dengar jawapan Junaida pula.

"Oh... banyak cantik kau punya tidur. Lepas subuh kemas laman rumah. Entah-entah dah naik semak samun apa. Kau sedap je nak membuta. Kalau kau nak membuta, kau duduk sini ikut ibu pergi kelas agama." Juwita mula membebel.

Geleng kepala Zaitun dengan ragam mereka. Riuhnya macam sekampung berkumpul. Tapi, itulah kebahagiaan dia. Itulah kegembiraan dia. Andai saja Sazali masih hidup, dia pasti mereka akan lebih bahagia.

"Ju gerak dululah ibu. Kang joging entah ke mana." Tangan Zaitun diraih lalu dikucup lembut.

Zaitun hanya memerhati kereta Juwita bergerak meninggalkan perkarangan rumah pusaka itu. Air mata yang mengalir di pipi segera diseka.

Dia terlalu rindukan Sazali. Malah sejak akhir-akhir ni, dia sering didatangi oleh Sazali dalam mimpi. Itu semakin menguatkan lagi rindu yang bersarang di dalam hati.

'Abang, Tun rindu sangat pada abang. Abang tunggu Tun ye. Semoga Allah temukan kita di sana nanti. Abang satu-satunya suami yang Tun sayang dan cinta.'

Zaitun melangkah masuk ke dalam rumah. Angin sejuk pada subuh hari itu menyucuk hingga ke tulang.

*****

ZAILANI melangkah ke pasaraya Mydin. Sebal hatinya apabila dipaksa ke situ sendirian. Bak kata Salmiah, belajar jadi bakal suami mithali. Saranan itu pula disambut mesra oleh Sahak.

Zailani menyusuri bahagian biskut. Dia membelek beberapa jenama sebelum dimasukkan ke dalam troli.

Baru hendak melangkah ke bahagian seterusnya. Bahunya ditepuk oleh seseorang. Zailani pantas menoleh.

"Hai, Lan..." figura itu tersenyum manis. Zailani melepaskan nafas berat. Dalam banyak-banyak orang, kenapalah mereka sering dipertemukan.

"Sorang je ke?" soalnya apabila tiada reaksi dari Zailani.

"Ye sorang je. Sorry Aliya, saya nak cepat." Zailani baru ingin membuka langkah apabila Aliya memegang lengannya.

"Kenapa Lan suka mengelak dari Liya? Setiap kali kita terserempak mesti Lan mengelak. Liya ada buat salah ke?" Aliya pamer riak sedih. Zailani usap lembut tengkuknya.

"Errr... bukan macam tu Liya tapi saya betul-betul ada hal. Ni pun nak cepat." Zailani cuba berdalih. Dia tidak betah apabila berduaan dengan Aliya.

"Kalau betul Liya takde buat salah dekat Lan, boleh tak Lan teman Liya makan lepas ni?" Aliya masih mencuba nasib.

Dia sudah lama sukakan Zailani. Dari di universiti lagi. Tapi Zailani selalu mengelak. Sampailah satu universiti gempar apabila ada desas desus yang mengatakan Zailani ni gay.

Mereka berlainan fakulti tapi kerap bertembung di kafe atau pun perpustakaan. Sampailah satu hari Aliya dengan tidak sengaja terlanggar Zailani ketika terburu-buru hendak keluar dari perpustakaan.

Sejak dari peristiwa itulah dia jatuh hati pada Zailani. Sikap gentleman Zailani membuatkan Aliya terpaut tapi entah apa kurangnya dia, Zailani tidak pernah melayannya lebih dari seorang kawan. Namun, dia tak pernah mengalah.

"Aliya... saya bukan tak nak temankan awak tapi saya dah janji dengan orang tua saya untuk balik awal. Mungkin lain kali." Zailani masih cuba menjaga hati Aliya.

"Saya ada kat sini sampai esok je. Harap awak dapat keluar makan dengan saya esok sebelum saya balik ke KL. Ni kad saya. Jangan lupa ye. Saya tunggu awak call." Wajah Aliya penuh pengharapan. Dia benar-benar berharap Zailani sudi keluar makan dengannya.

"Okeylah. Saya tak nak ganggu masa awak. Jumpa nanti." Aliya tersenyum manis seraya melangkah pergi meninggalkan Zailani sendirian. Zailani melepaskan nafas berat.

Kad di tangannya direnung lama. Berbolak balik hatinya ketika itu. Apatah lagi dia tahu Aliya sedari dulu menaruh perasaan padanya. Dia tak mahu dikatakan mempermainkan perasaan anak dara orang.

Kad Aliya diselit ke dalam dompet. Langkah kaki diatur mencari barang yang dipesal oleh Salmiah. Mau tak berhenti tazkirah emaknya itu kalau dia lambat.

Dari jauh Aliya hanya memerhati susuk tubuh Zailani menghilang. Sakit rasa hatinya apabila terus menerus ditolak oleh Zailani. Dia nekad, apa jadi sekalipun dia akan pastikan Zailani akan menjadi miliknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience