“Angah, boleh Along masuk?” Amirah meminta izin dari adiknya untuk memasuki bilik yang di diami oleh Fawwaz sendirian. Amirah dan adik-adik yang lain berkongsi bilik.
“Masuklah Along.” Fawwaz memberikan keizinan kepada kakaknya. Dia lebih suka berseorangan di dalam biliknya. Mungkin kerana dia seorang sahaja lelaki di dalam rumah tersebut berbanding dahulu dia ada ayahnya.
“Ah… Ayah, masihkah dia ingat kami semua kat sini?” hati Fawwaz menjerit.
“Angah ada masalah ker? Along tengok sikap angah semakin berubah semenjak kita berpindah ke sini. Angah tak suka kita tinggal kat sini ker?” Amirah cuba berlembut dan menyelami hati adiknya itu.
“Angah ok ja. Angah tak kisah pun akak kita tinggal kat mana asalkan kita sekeluarga ada tempat berteduh dan kita sekeluarga sentiasa bersama.” Jawab Fawwaz dengan telus dan mendalam.
“Apa maksud angah? Along tak berapa faham.” Amirah berpura-pura untuk bertanya lebih mendalam agar adiknya itu meluahkan apa yang di pendamkan olehnya selama ini.
“Tak ada papelah along. Along, kejap lagi angah nak keluar pergi memancing dengan Alif. Mungkin kita boleh berborak lain kali sahaja.” Fawwaz sengaja mencari helah daripada bercakap dengan kakaknya. Dia berkira-kira untuk bersolat jemaah di masji kampungnya sebelum menuju ke rumah Alif.
“Baiklah kalau macam tu. Kalau angah ada apa-apa masalah, jangan segan ceritakan pada along.” Amirah berlalu setelah melihat adiknya bersiap-siap ingin menuju ke masjid.
Fawwaz merasakan masih terlalu awal untuk dia ke masjid untuk menunaikan solat asar. Dia berkira-kira untuk beriktikaf di dalam masjid sementara menunggu waktu asar. Langkah di hayunkan dengan berhati-hati dan fikirannya menerawang memikirkan tentang keluarganya dan juga sikapnya terhadap kedua ibu bapanya.
Setibanya di masjid, Fawwaz melabuhkan punggungnya di beranda masjid dan fikirannya menerawang jauh. Dia mengingati kembali kenangan mereka sekeluarga bersama-sama ayah mereka ketika mereka berada di rumah yang dibelikan oleh ayahnya untuk mereka sekeluarga. Ketika itu, senyuman terukir lebar di wajahnya kerana saat itu amat bahagia buat dirinya dan keluarganya. Kemudian dia mengingati tentang surat yang di temuinya di dalam helaian album milik ibunya. Ketika itu wajahnya berubah masam mencuka dan seakan marah. Gelagatnya itu di perhatikan oleh Imam Nasir yang merupakan imam kampungnya.
Share this novel