Aku melangkah turun daripada katil. Aku membuka pintu dan keluar daripada bilik. Bilik aku terletak di penghujung koridor. Ruangan koridor memanjang ini ditempatkan dengan bilik yang diletak secara bertentangan dan berhadapan antara satu sama lain. Aku tak pasti sama ada bilik lain ada penghuninya atau tidak. Tapi aku dapat merasakan hanya aku seorang yang terkurung di dalam hotel gila ini.
Aku bertapak selangkah demi selangkah menuju ke penghujung koridor bahagian utara. Di situ terdapat jendela kecil yang tidak mempunyai cermin tingkap. Aku berjalan ke arahnya.
Sebaik tiba, aku melontarkan pandangan keluar. Satu kehairanan terbetik tidak semena-mena. Pantai yang menjadi tarikan aku memilih hotel ini dahulu telah hilang. Aku rayapi pandangan ke serata arah tetapi tetap tiada. Aku melihat ke bawah. Jarak antara tanah dan tempat aku berdiri agak tinggi. Aku berkalih di sebelah kanan. Terdapat satu batang paip besi yang menganjur sehingga ke bawah.
Lantas satu keputusan diambil. Aku menghulurkan kaki terlebih dahulu untuk keluar melalui jendela itu. Tetapi kaki aku terhadang oleh sesuatu. Kerutan terbentuk di wajah aku. Segera aku meraba permukaan tingkap menggunakan tangan.
Rupa-rupanya terdapat cermin bersifat lutsinar yang langsung tidak dapat terlihat dari pandangan mata. Aku mengetuk, menampar dan menendang beberapa kali namun kaca itu tidak pecah. Yang menghairankan apabila angin yang berpuput dingin menerobos menyapa tubuh aku seolah-olah tiada penghalang di antara dunia luar dan dalam hotel itu.
Akhirnya aku berputus asa. Aku berpusing dan melangkah menjauhi tingkap tersebut. Baru beberapa tapak melangkah, telinga aku dapat menangkap bunyi dengungan di belakang aku. Aku teragak-agak untuk menoleh. Ketakutan mula terasa menjalar di jiwa. Namun desakan hati kuat untuk mengetahui jika ada sesuatu di belakang aku. Bulu roma aku pula mula meremang keseluruhannya.
Akhirnya sisa keberanian dipacu. Aku menoleh melihat ke arah belakang. Saat itu, mata aku terbeliak. Jantung terasa berhenti berdegup. Satu makhluk berpakaian serba putih sedang terapung beberapa meter dari lantai sedang menghala ke arah aku. Dia mengangkat muka menampakkan wajahnya yang buruk dan menggerunkan. Tidak semena-mena kepalanya perlahan-lahan berputar 360 darjah.
Aku tidak menunggu lama. Lantas aku memacu kekuatan melarikan diri. Namun langkahan kaki terasa memberat seolah-olah terdapat berjuta tangan memegang kaki aku dari berlari. Namun aku gagahkan jua. Aku benar-benar dalam ketakutan. Lampu-lampu koridor satu persatu terpadam mengiringi larian aku. Seolah-olah ia turut sama mengejar aku. Aku melihat menerusi ekor mata. Aku dapat melihat dengan jelas makhluk itu terbang di belakang aku. Dia mengejar aku! Jantung aku berdegup pantas.
Aku berhenti di hadapan bilik. Tombol pintu dipulas kasar dan keras. Namun ianya berkunci. Aku menendang-nendang pintu dengan rasa cemas dan takut yang mengasak. Makhluk menakutkan itu semakin hampir dengan tubuh aku. Jari jemarinya yang berkuku tajam bersedia bila-bila masa untuk mencengkam leher aku. Aku terpaksa berlari lagi sehingga tiba di tangga.
Di situ aku terlihat terdapat anak tangga yang menganjur ke bahagian atas hotel. Aku tidak berfikir lama. Aku mendaki dengan pantas. Meskipun nafas terasa semput namun semangat untuk menyelamatkan diri menjadi penunjang kekuatan.
Sebaik tiba di bahagian atas hotel yang sedikit sempit, aku mengitari pandangan ke serata arah. Nasib aku baik apabila terdapat sebuah bilik di bahagian kiri tidak jauh dari aku berdiri. Aku berlari pantas. Tombol pintu dipulas dan ianya tidak berkunci. Aku segera masuk ke dalam bilik itu. Pintu serta merta aku kunci dari dalam.
Aku bernafas tercungap-cungap menahan kepenatan. Namun sekurang-kurangnya aku lega dapat melarikan diri daripada makhluk tersebut. Perlahan-lahan aku mengalihkan tubuh. Aku ingin melihat persekitaran bilik yang aku masuk itu. Sebaik pemandangan terserlah mulut aku terlopong. Aku tersandar di pintu. Perlahan-lahan tubuh aku melorot dan jatuh terduduk. Ibarat lepas dari masuk singa kini masuk di mulut naga.
Di hadapan aku, terdapat berpuluh-puluh jasad yang sedang terbaring kaku di atas stretcher. Semuanya dialas dengan sehelai kain putih yang ditutup sehingga paras dada. Liur ditelan. Terasa keras dan perit melalui kerongkong. Aku terketar-ketar bertapak melihat satu persatu mayat yang terbaring.
Share this novel