BAB 1

Crime Completed 5579

Apa definisi merdeka bagi kau?

Bagi aku, merdeka bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan

tetapi juga membebaskan jiwa daripada dikuasai.

Aku berjuang untuk aku

juga berjuang untuk mereka

Tuhan bantulah aku, merdekakan aku, bebaskanlah aku dari belenggu ini.

Malam ini sepertinya gelap dan suram lain macam dari biasa. Bintang di langit malam langsung tidak mahu memunculkan diri masing-masing. Terus bersembunyi untuk mendapatkan istirehat yang cukup. Udara dingin lembut menjilat pipiku dengan penuh asyik. Aku menelan liur, kegelisahan menyelubungi jiwaku.

Malam ini bukan kali pertama aku terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu. Namun entah kenapa, jiwaku terpalit perasaan takut dan curiga. Wajah manusia di hadapanku itu ku perhatikan dalam gelap. Aku mampu melihat senyuman sinis yang diukir pada wajah lelaki berbadan tegap itu.

“Kau tahu prosedurnya, bukan? Tunjukkan aku bukti, dan aku akan berikan kau imbalannya,” si badan tegap itu akhirnya bersuara.

Mendengar kata-kata itu, lega sedikit hatiku. Aku menghela nafas pendek sambil tangan kiriku meraba-raba sesuatu di dalam poket seluar jeansku yang sudah koyak-rabak dan lusuh.

Aha, setelah mendapatkan barang yang aku inginkan, aku mengeluarkan tangan kembali dan membuka sampul surat itu untuk membiarkan dia berpuas hati.

Dia menyelukkan tangannya ke dalam sampul dan menyentuh sesuatu. Kemudian dia menjilat jari telunjuknya dan kembali tersenyum sinis. Betapa hodohnya wajahnya ketika itu, kalau boleh kukatakan padanya.

Setelah itu, si badan tegap menukarkan sampulku dengan sampulnya yang lebih tebal.

“Macam mana aku nak pastikan semuanya cukup?” giliranku pula untuk menyoal.

Bukan apa, aku sekadar mahu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku tidak mahu tertipu seperti satu peristiwa yang pernah terjadi tidak lama dahulu. Aku masih mentah lagi ketika itu.

Aku sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pembeli-pembeli bedebah yang licik. Aku tidak akan lupa saat aku dipukul dengan teruk oleh ahli-ahli kumpulanku sendiri.

Mujur ketika itu Bang Joe menyelamatkanku. Jika tidak, aku mungkin telah lama mengucapkan selamat tinggal pada Bumi.

“Kau boleh periksa kalau kau masih ragu. Aku tak ada masa untuk bermain dengan kau sekarang. Kau cuma akan membazirkan masa aku.” Si badan tegap mengangkat sebelah keningnya, mungkin tidak senang dengan pertanyaanku itu.

“Baiklah.” Setelah menjenguk sebentar isi di dalam sampul yang diberikan, aku mengangkat tangan kanan ke hadapan paras pusat si badan tegap. Dia menjabat tanganku acuh tidak acuh.

Si badan tegap masuk ke dalam keretanya dan aku pula menghidupkan enjin motosikalku. Kami mengambil haluan yang berbeza, membelah kedinginan malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience